Showing posts with label Tan Sri Khalid Abu Bakar. Show all posts
Showing posts with label Tan Sri Khalid Abu Bakar. Show all posts

Tuesday, February 16, 2016

MENTERI DAN KPN SEPENDAPAT SISTEM DEMERIT JALAN RAYA 'KEJARA' DIPERKENALKAN SEMULA



Bukan mudah untuk merubah sikap seseorang tetapi untuk memperbaikinya mungkin ada caranya terutama kepada pemandu-pemandu jalanraya yang gemar membuat kesalahan. Kementerian Pengangkutan sentiasa berfikir untuk mengurangkan jumlah kemalangan jalanraya terutama di waktu-waktu perayaan dan salah satu pendekatan yang pernah diperkenalkan adalah Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan seterusnya dikenakan saman.

Pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mencadangkan untuk menaikkan kadar saman bagi pesalah trafik jalanraya dan ia telah mendapat respon daripada Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai yang berpendapat selain daripada AES, penguatkuasaan Sistem Pemberian Mata Demerit (Kejara) juga mampu mendidik pengguna jalan raya di negara ini agar mereka lebih berhemah.

Sependapat dengan pandangan Datuk Liow, baru-baru ini Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar juga bersetuju dan berharap agar ia dapat dilaksanakan dengan kadar segera. Sistem Pemberian Mata Demerit (Kejara) perlu dikuatkuasakan dan dilaksana memandangkan sistem yang telah sediada dan pernah diperkenalkan pada tahun 1984.

Mereka juga yakin Kejara akan mampu menghalang pengguna jalan raya yang degil daripada terus melanggar peraturan lalu lintas serta mengurangkan kemalangan jalan raya.

Walaubagaimanapun, pihak Kementerian Pengangkutan memulakan dengan mengambilkira maklumbalas orang ramai sebelum Kejara dikuatkuasakan semula agar kerajaan dapat menambah baik dan memperkemaskan lagi sistem ini dan seterusnya melakukan kajian menyeluruh. Berkemungkinan sistem Kejara ini akan dilaksanakan pada hujung bulan Mac nanti.

Sistem Pemberian Mata Demerit atau Kejara adalah satu sistem di mana pemandu yang melakukan kesalahan lalu lintas tertentu diberi mata demerit di bawah Peratuan Kenderaan 1997. Pemberian mata demerit akan bermula apabila notis saman diselesaikan setelah penalti diselesaikan dengan membayar kompaun atau denda di mahkamah.

Samada lesen memandu digantung atau dibatalkan bergantung kepada proses mata yang diberikan iaitu amaran akan diberikan jika pemandu mendapat 20 mata atau lebih buat pertama kali dan untuk kali kedua pula, hukumannya adalah lesen digantung tidak kurang dari 6 bulan dan tidak lebih 12 bulan. Untuk kali ketiga pula, lesen memandu akan dibatalkan sekiranya lesen memandu telah digantung sebanyak 3 kali dalam tempoh 5 tahun.

Sebanyak mana pun saman yang dikenakan kepada pesalah trafik degil, bagi yang mampu dengan berpendapatn tinggi, ia tidak akan menjadi satu kudis pun kepada mereka tetapi mungkin memberi kesan kepada mereka yang berpendapatan rendah.

Namun sistem Kejara dilihat lebih efektif dan adil untuk menangani sikap pemandu yang gemar melakukan kesalahan jalan raya di semua lapisan.

Sunday, August 09, 2015

SPRM BUKAN MUSUH POLIS - KETUA POLIS NEGARA


Sepanjang minggu lepas, betapa kecohnya apabila dua pegawai kanan SPRM, Pengarah Operasi Khas Bahri Mohd Zin dan Pengarah Strategik Komunikasi Rohaizad Yaakob dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri dengan serta merta dan seterusnya pelbagai kenyataan yang terkeluar dari pelbagai pihak.

Ia seolah-olah kedua-dua pegawai kanan ini telah dianiaya pihak polis kerana siasatan pertuduhan kebocoran maklumat yang telah diterbitkan portal Sarawak Report.

Perselisihan faham antara Polis dan SPRM telah dijadikan isu oleh pihak umum dan politik yang telah menimbulkan pelbagai andaian dan persepsi. Untuk mengelakkan salah faham yang berterusan, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengumumkan bahawa siasatan akan ditangguhkan buat sementara waktu sehingga diberitahu kelak.

Dalam memerangi rasuah, Tan Sri Khalid juga telah menyatakan dengan jelas bahawa ia sentiasa menjadi tanggungjawab PDRM untuk menyokong dan bukan menjadikan SPRM sebagai musuh.

Tindakan terhadap pengarah SPRM dan dua pegawai kanan itu diambil kerana terdapat keperluan untuk mencari bagaimana salinan kertas pertuduhan boleh disiarkan ke portal Sarawak Report. Malah, saksi dari Bank Negara dan bank-bank komersial yang lain juga telah diminta untuk hadir semasa proses penyiasatan.

Polis bertindak di atas arahan Peguam Negara di mana tumpuan diberikan kepada maklumat yang diterbitkan dalam Sarawak Report serta maklumat perbankan. TS Khalid juga telah menelefon Tan Sri Abu Kassim, Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk menerangkan matlamat tindakan polis yang bukan untuk menyiasat mahupun mensasarkan SPRM.

Pihak polis telah menerima aduan dari individu dan ia adalah sesuatu yang sangat serius di mana siasatan polis tidak boleh memilih dan berpihak. Pihak polis bertanggungjawab sempurnakan siasatan dan hantar laporan ke pihak Peguam Negara untuk dibuat keputusan.

Sebagai tunggak untuk mengekalkan kestabilan dan keharmonian negara, Tan Sri Khalid mengingatkan bahawa sesiapa juga yang dilantik sebagai Perdana Menteri yang sah, polis akan sentiasa menyokong dasar dan setia kepada Yang di-Pertuan Agong. Mereka tidak mudah lemah dan dipermainkan hanya dengan sebaran khabar angin dan maklumat yang tidak tepat melalui media sosial tetapi mempertahankan kepimpinan kerajaan sekarang kerana ia dipilih dalam sistem demokrasi.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, pihak polis mengambil tindakan di bawah Akta Institusi Perbankan dan Kewangan 1989 (BAFIA) dan mencari dalang di belakang kebocoran maklumat ini. Oleh itu, ia tidak pernah dikaitkan untuk campur tangan dalam siasatan SPRM.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri pula menegaskan bahawa polis tidak mensasarkan SPRM tetapi menyiasat kebocoran dalam siasatan 1MDB dan semuanya dilakukan mengikut prosedur.

Thursday, January 22, 2015

SERANG MASHITAH DAN CABAR KHALID UNTUK GUAN ENG KELIRUKAN RAKYAT

Setiausaha DAP perlu beri kenyataan dalam apa jua isu walaupun ia akan mengelirukan. Dalam kenyataan medianya pada 13 Januari 2015, menyerang Datuk Dr Mashitah dengan isu orang China di Kedah telah membakar Al-Quran dan mencabar Tan Sri Khalid - Ketua Polis Negara sebagai mengambil tindakan yang double standard kemudian dikaitkan pula dengan BN.

Semua itu hendak disamakan dengan tindakan polis menahan peguam hak asasi, Eric Paulsen yang telah mengaitkan khutbah Jumaat dengan keganasan.

Alasan Guan Eng kesemua itu untuk usaha mengekalkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Setiausaha DAP ini dengan jelas hanya memutarbelit kejadian sebenar dan di dalam kenyataannya pun hanya disebut secara 'general'.

Telah berkali-kali dijelaskan, isu membakar al quran di Kedah yang disampaikan oleh Dr Mashitah ketika Perhimpunan Wanita UMNO, November lalu adalah berita yang disampaikan kepada beliau oleh Ketua Wanita Bahagian Kuala Kedah. Itu saja! Lagipun, Dr Mashitah telah bekerjasama dengan polis untuk memberi keterangan.

Jika Guan Eng katakan ini boleh menggugat keharmonian masyarakat Cina di Kedah, apakah ada di antara ucapan Dr Mashitah yang menyuruh perwakilan untuk memberontak dan huru harakan kaum China di Kedah?

Setelah Dr Mashitah dipanggil pihak polis untuk beri keterangan, ini bermakna polis akan menyiasat dan apakah Guan Eng sekali lagi ingin campurtangan dalam siasatan polis?

Beza isu Eric Paulsen dan Dr Mashitah ialah, ucapan bahas Dr Mashitah adalah di dalam sebuah perhimpunan parti politik tetapi Paulsen membuat sendiri kenyataannya di laman media sosial. Walaupun dimuatnaik di Youtube oleh pihak ketiga ucapan Dr Mashitah, ia bukan milik beliau dan beza dengan kenyataan Paulsen di akaun twitter miliknya sendiri.

Ini telah dijelaskan oleh Tan Sri Khalid di dalam twitternya;



Guan Eng tidak perlu melalut dengan mengaitkan tindakan polis dengan salah guna kuasa di pihak BN. Jika dilihat perkara yang lalu, pihak polis juga pernah menahan beberapa pemimpin UMNO yang membuat kenyataan berbau perkauman.

Paulsen ditahan untuk memberi keterangan dan bukan ditahan sebagai penjenayah dan di situ Guan Eng jelas cuba kelirukan rakyat.

Mengaitkan penahan Paulsen dengan sikap double-standard polis terhadap isu Dr Mahsitah adalah tidak masuk akal dan ia bukan sahaja bertujuan mengelirukan rakyat tetapi menghasut rakyat agar menunjukkan BN sebagai kerajaan pusat telah campurtangan dalam urusan polis.

Isu Dr Mashitah yang sangat jelas masih lagi digunakan Guan Eng untuk membela pelampau seperti Paulsen. Maka kita tanya, apa beza di antara Guan Eng dan Paulsen di dalam menyampaikan hasrat untuk menghasut dan menghuru-harakan rakyat berbilang bangsa di Malaysia?


Wednesday, July 17, 2013

@PDRM : SALAH LAKU RAKAN JANGAN DISOROK

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menggesa pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya melaporkan sebarang salah laku rakan sekerja mereka dan tidak berdiam diri mengenai perkara itu.

Beliau berkata, sama ada salah laku dalam bentuk rasuah atau disiplin, laporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Bahagian Tatatertib Polis bagi menjamin tahap integriti dalam pasukan itu.

"Kita dapati adanya "wall of silence" iaitu rakan sekerja tidak mahu beri keterangan mengenai rakannya yang melakukan kesalahan di dalam pasukan," katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) Datuk Heliliah Mohd Yusof di Bukit Aman di sini, hari ini.

Sehubungan itu, katanya PDRM akan menjalankan kempen kesedaran di kalangan pegawai dan anggotanya bagi meningkatkan lagi kesederan mengenai perlunya melaporkan sebarang salah laku agar integriti pasukan itu dapat ditingkatkan.

Khalid turut memberi jaminan bahawa setiap pegawai dan anggota yang melaporkan perkara itu akan dilindungi mengikut Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

Mengenai kunjungan Heliliah dan delegasi SIAP, beliau berkata polis menyerahkan kepada suruhanjaya itu untuk menilai dan meneliti prosedur operasi standard tahanan lokap dan menerima sebarang keputusan secara terbuka bagi memperbaiki prosedur itu.

"Kita tidak mahu lagi kes kematian tahanan dalam lokap berulang," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut meminta kerajaan supaya mempercepatkan kelulusan cadangan Akta Pencegahan Jenayah yang baharu bagi menggantikan Ordinan Darurat (EO).

"Ini kerana, ramai saksi yang enggan memberi keterangan secara terbuka di mahkamah terhadap penjenayah disebabkan perasaan takut menjadi mangsa jenayah keganasan," katanya dalam reaksi terhadap kekerapan insiden tembakan yang berlaku di seluruh negara, baru-baru ini.

Pada 4 Julai lalu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kementeriannya dalam proses merangka draf undang undang baharu bagi menggantikan EO yang dimansuhkan pada 2011, ekoran peningkatan kadar jenayah berat selepas lebih 2,600 tahanan di bawah ordinan itu dibebaskan.- BERNAMA