Showing posts with label Datuk Dr Mashitah. Show all posts
Showing posts with label Datuk Dr Mashitah. Show all posts

Friday, March 27, 2015

'e-WAQF JAMAIE' DIPERKENAL YPPM UNTUK SALURAN BERSEDEKAH SECARA ONLINE


Dunia digital tidak akan disisihkan dari pengajian pondok dan kesempatan inisiatif perhubungan melalui digital di era ini telah dimanfaatkan Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) dengan menandatangai satu Memorandum Kerjasama Strategik dengan Multimedia Development Corporation (MDec) dan Platform Crowd Funding (pitchIN)

Sebenarnya Memorandum Kerjasama Strategik in telah ditandatangani di hadapan YAB Dato’ Sri Haji Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri pertengahan tahun lalu.

Ini adalah inisiatif kelangsungan YPPM hasil daripada resolusi program Ijtimak Pondok-Pondok Malaysia yang dilangsungkan pada 23 dan 24 April 2014 di Alor Setar, Kedah.

Konsep yang boleh dianggap baharu bagi komuniti pondok negara ini adalah untuk memprofil institusi-institusi pondok di Malaysia secara digital, mengenalpasti keperluan-keperluan serta meraih bantuan dan sokongan sewajarnya, dan seterusnya melaksanakan secara berperingkat, program-program pengupayaan digital bagi komuniti dan institusi pondok di Malaysia.

Salah satu projek yang bakal dilaksanakan di bawah kerjasama ini ialah Program e-Waqf Jamaie yang mengambil model ‘social crowd funding’ sebagai asas kepada pelaksanaannya yang akan membolehkan orang ramai memperoleh maklumat yang lebih telus berhubung menyalurkan sumbangan bagi keperluan pondok-pondok di dalam senarai YPPM.

Bagi YPPM, langkah pertama yang telah diambil ialah mengenalpasti projek atau keperluan khusus komuniti pondok yang boleh ditaja samada dari pihak swasta mahupun masyarakat umum, khususnya pengguna internet yang mahu bersedekah dan memberi sumbangan secara online.

2 projek yang dimaksudkan adalah pelaksanaan kajian profil pondok-pondok, yang akan menghasilkan direktori pondok-pondok di Malaysia yang mengandungi maklumat terperinci dan projek kedua pula adalah berkaitan usaha Pemuliharaan Kitab-Kitab Lama khususnya kitab-kitab lama yang berada dalam simpanan pondok-pondok agar dapat dipulihkan menerusi kaedah digital (digital restoration).

Konsep 'social crowdfunding' yang diperkenalkan PitchIN ditugaskan menjalankan kempen dan promosi promosi projek secara online melalui saluran-saluran media sosial seperti Facebook, Twitter, Rebranding dan memperkenalkan seorang ikon yang selalunya berjalan di antara 30 hingga 90 hari sehingga dana akan terkumpul.

Untuk merealisasikan program ini, YPPM dan MDeC bersetuju menggunakan khidmat pakar dalam bidang e-waqf jamaie atau social crowdfunding, PitchIn, yang ditugaskan untuk menjalankan kempen dan mempromosi projek melalui media sosial. Tempoh kempen lazimnya antara 30 dan 90 hari sehingga jumlah dana yang perlu dapat diperoleh.

Setiap fasa projek dan pengumpulan dana yang telah disalurkan akan dipantau dengan teliti dan semuanya dipamerkan secara online.

Langkah strategik sebegini bukan sekadar mengadaptasi keperluan digital dalam operasi YPPM, malahan sekali gus dilihat mampu memperluaskan lagi pengetahuan masyarakat mengenai program-program YPPM dengan lebih terbuka untuk dimanfaatkan semua umat Islam.

Wednesday, March 25, 2015

PENJELASAN MENTERI KDN TIADA TANGKAPAN KE ATAS DR MASHITAH


Berani kerana benar, takut bila terasa dan memang bersalah! Itu adalah jawapan terbaik kepada pemimpin-pemimpin pembangkang yang sembunyikan diri atau mungkin berasa besar kepala untuk hadir ke balai polis setelah dipanggil untuk disoalsiasat.

Ini tidak terjadi kepada Dr Mashitah yang telah hadirkan diri secara sukarela dan bekerjasama dengan pihak polis untuk memberi keterangan. Namun, mengikut sumber dari Agenda Daily, nampaknya pihak pembangkang masih tidak puas hati dengan tindakan polis dan membawa isu ini ke parlimen.

Yang ingin pembangkang buktikan adalah tuduhan-tuduhan mereka seperti yang pernah didakwa Ketua Polis Negara, PDRM tunduk dan bertugas untuk UMNO.

Tetapi penjelasan Menteri KDN adalah seperti berikut... AgendaDaily;
Polis tidak menahan Ketua Wanita UMNO Baling, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim berhubung kes mengeluarkan kenyataan sensitif seperti yang dilakukan terhadap pemimpin pembangkang kerana kenyataan beliau dapat dirakam dalam tempoh 24 jam selepas aduan dibuat.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu demikian kepada Dewan Rakyat Selasa bagi menjawab soalan Ahli Parlimen DAP Ipoh Barat, M Kulasegaran yang bertanya kenapa pemimpin UMNO tidak ditahan berhubung kenyataan kontroversi yang dikeluarkan.

Bukan setakat kenyataan Dr Mashitah dirakamkan tetapi beliau dengan rela hati telah tampil ke balai polis untuk bekerjasama di dalam siasatan polis pada 8 Disember lalu dan pada 10 Mac, Menteri KDN telah pun umumkan siasatan polis telah lengkap dan telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

Di dalam isu ini, yang penting ialah pemimpin-pemimpin UMNO sentiasa beri kerjasama di dalam siasatan polis berbanding pemimpin-pemimpin pembangkang. Terdapat kejadian di mana pemimpin pembangkang cuba mencabar atau menghalang siasatan polis dengan menyembunyikan diri ataupun tidak mengendahkannya. Akhirnya bila polis bertindak, polis pula dikatakan zalim dan diberi pelbagai tuduhan.

Pemimpin pembangkang nampaknya tidak tahu membezakan di antara ditangkap atau ditahan. Apabila seseorang suspek ditangkap di atas kesalahan tetapi apabila seseorang ditahan, ini adalah kerana meminta seseorang itu tampil setelah tidak hadir seperti diarahkan polis untuk memberi keterangan.

Datuk Dr Mashitah tidak menghalang, tidak lari, tidak mencabar arahan polis, maka apa perlu beliau ditangkap mahupun ditahan?

Baca di sini... penjelasan polis pula.

Sunday, March 15, 2015

MOU YPPM dan KUIN bersaksikan YAB Perdana Menteri



Kehadiran YAB Perdana Menteri, DS Najib Razak memberi seribu makna kepada institusi pondok di dalam majlis MOU Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) dan Kolej Universiti Insaniah. Di dalam majlis ini juga, dengan rasminya Pusat Kajian Pondok (PKP) ditubuhkan dan perlantikan Datuk Dr Mashitah sebagai Pengarah PKP juga turut mendapat sokongan Perdana Menteri setelah diumumkan Senat KUIN sebelum ini.


Sokongan PM kepada Datuk Dr Mashitah
Kerjasama strategik di antara YPPM dan KUIN ini adalah bermatlamat menjalankan kajian yang lebih menyeluruh dan meluas terhadap institusi pondok dan sistem pengajiannya di dalam dan luar negara agar khazanah ilmu dan pengetahun mengenai pondok dapat ditambah.

Yayasan Pondok akan sediakan kepakaran dan jaringan manakala KUIN pula menyediakan kemudahan penyelidikan seperti perpustakaan serta logistik untuk program dan aktiviti. Di antara skop kerjasama pula meliputi bidang penyelidikan, perkongsian sumber dan kemudahan kajian akademik, penganjuran majlis dan wacana ilmu.




Penubuhan Pusat Kajian Pondok ini juga dianggap sebagai sebuah pusat kecemerlangan yang tentunya memberi tumpuan kepada penyelidikan yang terperinci dan menyeluruh dalam pelbagai aspek yang berkenaan pondok. Ini termasuk mengumpul segala khazanah sumbangan ulama dan tokoh pondok.

Masadepan pengajian pondok juga akan diperincikan di mana isu-isu berkaitan pembangunan, perkembangan dan pengaruh pondok dikaji dan direkodkan.

Pondok adalah sistem pendidikan tertua di negara ini dan telah dibuktikan melalui kajian sejarah tanahair. Ia bermula seawal abad ke-16 yang telah diasaskan oleh pedagang dari Timur Tengah yang pada masa yang sama mengembangkan syiar Islam kepada penduduk tempatan.

Setelah Islam bertapak dan mula berkembang pada abad ke-18, pengajian pondok dibangunkan dengan pertambahan penuntutnya dan kemuncaknya dari pertengahan abad ke-19 hinggalah negara merdeka.

Kajian pondok di PKP akan merentasi sehingga ke luar negara termasuk ke Nusantara dan diperluas sehingga Asia, Timur Tengah, Afrika dan Eropah.

Dengan termeterainya MOU di antara YPPM dan KUIN serta perlantikan Datuk Dr Mashitah Ibrahim sebagai Pengarahnya, selangkah lagi kejayaan untuk menaikkan martabat warga pondok di negara ini.

Adalah menjadi harapan agar penuntut-penuntut pondok dapat memanfaatkan juga platform yang diusahakan YPPM ini agar masa depan mereka terbuka luas dan masyarakat di negara ini dapat bersama-sama berkongsi ilmu dan juga lebih memahami ajaran Islam.

Thursday, March 05, 2015

LATARBELAKANG DAN KEBOLEHAN DR MASHITAH MEMBAWA PENGAJIAN PONDOK KE PERINGKAT DUNIA


Dengan pendidikannya, kebolehannya, latarbelakangnya serta pengalamannya, Datuk Dr Mashitah telah dilantik sebagai Pengarah Pusat Kajian Pondok (PKP) di Kolej Universiti Insaniah (KUIN) bermula 1 Mac. Perlantikan ini telah diumumkan Rektor KUIN, Prof Datuk Mohd Yusoff Kassim dan seterusnya pengumuman penubuhan PKP sebagai peneraju kajian dan penyelidikan mengenai institusi pondok di Nusantara.

Penubuhan PKP sebagai pusat khusus kajian pondok dilihat sebagai tepat pada masanya dan begitu juga perlantikan Dr Mashitah yang juga adalah Pengerusi Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia.

Di dalam memartabatkan institusi pengajian pondok, Dr Mashitah telah berajaya membawa pengajian pondok ke tahap yang lebih terbuka dan dinamik di mana di antara usahanya seperti kerjasama dengan beberapa institusi pengajian tinggi tempatan untuk memberi peluang kepada lulusan dan guru pondok meneruskan pengajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi dan seterusnya mereka diberi peluang-peluang setanding lulusan universiti tempatan.

Blog ini pernah menulis bagaimana seorang murid pengajian pondok dari Selatan Thailand, Dr Surin, mampu melanjutkan pengajian hingga ke Harvard dan beliau juga adalah bekas Menteri Luar Thailand dan Setiausaha Agung Sekretariat Asean.
 
Dr Mashitah juga telah berjaya membawa institusi pondok ke perhatian dan keyakinan kerajaan dan pada Bajet 2015 lalu, peruntukan telah diumumkan. Disamping dilantik sebagai pemantau dana, Kementerian Pendidikan pula adalah platform untuk YPPM memberi input dibuat kajian seperti statistik sekolah pondok di peringkat negeri, berapa ramai guru terlatih dan modul pembelajaran akan dikaji dan dipantau. Satu klasifikasi sekolah-sekolah pondok ini akan dicadang oleh YPPM agar bantuan dapat disalurkan terus kepada sekolah-sekolah yang layak menerimanya.

Kini, dengan pelantikan Dr Mashitah sebagai Pengarah PKP di KUIN, tanggungjawab kajian institusi pondok dilebarkan ke Nusantara serta negara-negara Asia, Timur Tengah, Afrika dan Eropah. 

Misi KPK untuk menjalankan kajian meluas yang meliputi di dalam dan luar negara ini, pasti memerlukan seseorang seperti Datuk Dr Mashitah, yang mempunyai latarbelakang, ilmu dan kebolehan. 

Disamping menjalankan kajian, penyelidikan dan penerbitan, PKP juga akan menganjurkan seminar, persidangan dan bengkel. 

Oleh itu, pelantikan Datuk Dr Mashitah ini bukan sekadar satu pengiktirafan kepadanya, malahan YPPM terus mengorak langkah dalam usaha memaju dan membangunkan institusi pondok di negara ini.

Saturday, February 28, 2015

DATUK DR MASHITAH : JERAT ISLAMIC STATE (IS) BHGN 2

... Bersambung dari Bahagian 1 (Di sini)


TV3 : Bagaimana membendung penyampaian maklumat yang tidak pasti kesahihannya melalui teknologi yang dikuasai remaja hari ini?
DMI : Media Sosial ini nampaknya kita tidak boleh ambil mudah dan dipandang enteng. Jika tidak disekat, sebenarnya kita sedang memberi laluan yang sangat mudah kepada agenda IS ini.

Satu klip video di laman sosial di mana memperlihatkan bagaimana pejuang IS ini telah ditembak dan hampir mati dan diambilkan wudu', dan setelah solat dalam keadaan terbaring dan luka parah, mati menutup mata tersenyum. Video itu ditonton beribu-ribu pelayar sosial media dalam masa beberapa jam sahaja. Ini membuktikan betapa cepatnya memberi pengaruh kepada ribuan penonton kononnya pejuang IS telah mendapat syahid seperti Saidina Hamzah.

Walaupun seseorang itu berada di penjara tetapi mampu diakses oleh orang ramai melalui media sosial. Ancaman seperti ini perlu disekat dan disaring.


TV3 : Apakah perlu kita mendidik umat Islam di negara kita terutama dari segi pengertian jihad, syurga neraka. Apakah perlu diberi satu penekanan
semula agar mereka betul-betul memahaminya?
DMI : Ia sangat 'crucial'. Andainya kefahaman sebenar tidak diberikan, maka takrifan-takrifan di media sosial dijadikan rujukan.

Apakah takrifan Islam mengenai mereka yang mengebom diri mereka sendiri? Apakah tepat istilah Jihadist yang gemar digunakan Barat? Apakah benar pengganas dan ekstrimis ini adalah Jihadist?

Perlu sangat-sangat diberi fahaman sebenar mengenai jihad, perjuangan, negara Islam berdasarkan kepada hadis dan al quran. Pengalaman para sahabat juga perlu dikongsi supaya masyarakat lebih faham.

Perlunya diberi kefahaman bagaimana Islam yang dibawa Rasulullah itu adalah agama yang murni dan boleh diterima baik oleh musuh dan kawan. Tetapi hari ini, yang dihidangkan adalah permusuhan yang akhirnya menjadi kerugian kepada umat Islam sendiri.



TV3 : Bagaimana YPPM dapat meningkatkan dakwah agar maksud-maksud yang terpesong ini boleh dihindarkan dan mentransformasikan pendidikan agama ini
bolehh dilakukan di peringkat organisasi supaya Islam lebih difahamai?
DMI : Salah seorang pejuang IS yang telah meninggal dunia datang dari salah satu pondok di Kedah, sangat mengejutkan. YPPM merasakan satu tanggungjawab.
Pertama YPPM mendekatkan diri dengan semua sekolah-sekolah pondok dengan mendapatkan pandangan mereka dan mendengar permasalahan mereka untuk diselesaikan bersama.

Imej sekolah pondok perlu dihindarkan dari dibabitkan dengan keganasan terutamanya IS. Yang berlaku hanya segelintir kecil sahaja, namun ia boleh menjejaskan imej pondok dan yakin sekiranya fahaman agama sebenar disebarkan, kita tidak akan mudah terpesong dengan fahaman-fahaman IS itu sendiri.

Friday, February 27, 2015

DATUK DR MASHITAH : JERAT ISLAMIC STATE (IS) BHGN 1

Negara telah mengenalpasti wujudnya pengganas-pengganas yang kini menggunakan Islam sebagai asas mereka. Keselamatan negara juga pernah diancam oleh kumpulan yang diketuai Ibrahim Libya di Kedah pada pertengahan tahun 80an. Ini telah disahkan oleh mantan Ketua Polis Negara... DI SINI

Nampaknya, ancaman yang dihadapi umat Islam hari ini telah berlanjutan sehingga yang terjebak terdiri dari golongan remaja dan pengaruhnya tersebar dengan begitu pantas. Namun, apakah jerat yang digunakan mereka kali ini?

Ikuti wawancara program SoalJawab TV3 yang disertai Datuk Dr Mashitah Ibrahim, Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia;

TV3 : YB Senator menyatakan syumulnya agama Islam dan ajaran yang dibawa Nabi Muhammad saw. Kita faham bahawa agama Islam ini penuh dengan mesej kedamaian dan kesejahteraan tetapi mengapa ia begitu mudah dipesongkan dan peliknya setelah dipesongkan ada pula di kalangan umat kita yang mahu mempercayainya?
DMI : IS ada penyelewengan, salah faham, penindasan, ada unsur pelampau, tapi diterima walaupun kita tahu itu bukan Islam. Kenapa boleh diterima?

Puncanya berlaku kerana Islam ini bukan agama warisan. Kebanyakan kita dilahirkan Islam. Islam warisan bukan Islam pilihan. Ambil kesempatan dan tidak belajar Islam itu sendiri. Fahaman-fahaman yang datang menyebabkan kita mudah mengikut. Mereka mengikut kerana mereka tidak belajar dan mencari jalan ekpres ke syurga dengan mati berjihad. Fanatik seseorang itu dalam satu-satu fahaman.

Sedangkan Islam yang sebenar perlu belajar dan kaji sedangkan Nabi s.a.w pun belajar dari Jibrail. Baginda pun pernah membawa Jibrail kepada sahabat-sahabatnya.

Tetapi generasi sekarang ini, peroleh ilmu dari internet tanpa berguru dan terus menerima. Kita kena balik semula dan belajar dari guru-guru.

Negara IS, apa yang sebenar nak dicapai? Negaranya Islam tetapi penganut dan tindak-tanduknya tidak Islam. Membakar dan membunuh sesama sendiri. Semua ini tidak pernah diasaskan oleh Rasulullah s.a.w mahu pun ajaran Islam.

Pokok pangkalnya kembalikan Islam sebagai indah dan sucinya agama ini yang inginkan kedamaian.


TV3 : Tiadakah sekelumit IS ini menggambarkan Islam selain dari namanya Islam walaupun matlamatnya untuk membentuk khalifah?
DMI : Ia cuma pada nama sahaja dan tidak sedikit pun menggambarkan Islam kecuali yang diceritakan bahawa perjalanan mereka itu akhirnya masuk
syurga. Mereka ada kesedaran tetapi tidak mempunyai pengetahuan yang sebenar. Kesedaran yang ada pada mereka pula dirasakan bahawa Islam ini mesti dengan kekerasan dan kesusahan. Kononnya lebih keras maka lebih Islamlah seseorang itu. Maka apakah tiada langsung ciri-ciri Islam dalam IS itu, jawapan saya, ia amat terpesong di mana mengajak seseorang itu ke arah kekerasan bukanlah yang dianjurkan Islam yang sebenar.



TV3 : Jika kita ingin mencari punca dan salah siapa, dari segi apakah kegagalan dunia Islam dan pendidikan Islam sehingga mampu melahirkan kumpulan songsang dan terpesong akidahnya seperti IS ini?
DMI : Satu forum ulama-ulama besar di Kaherah, bertanyakan soalan yang sama. Pendidikan Islam ini di mana silapnya? Imam besar al Azhar beri pandangan bahawa, silapnya kita ini dari pendidikan yang perlu dirombak dari sekolah rendah hingga sekolah menengah. Saya juga sama-sama terfikir, di manakah silapnya ini? Silapnya ialah bila sampaikan Islam ini lebih kepada hukum. Dosa pahala dan syurga neraka, itu yang menjadi konsentrasi di dalam menyampai dan mendidik masyarakat Islam. Sedangkan Islam itu sebenarnya ialah cara hidup dan dalam segala apa urusan harian mengajar kitabagaimana untuk menjadi khalifah yang baik.

Apa yang dibincang oleh ulama hari ini, bagaimana untuk merombak semula pendidikan yang tidak hanya bercakap soal dosa pahala tetapi bercakap bagaimana Islam ini sebagai satu cara hidup. 
Sahabat Rasulullah saw, Muaz pernah bertanya, "Ya Rasulullah... tunjukkan aku bagaimana cara nak masuk syurga supaya tak masuk neraka?", lalu Nabi terduduk dan bersabda, "Inilah soalan yang paling dahsyat. Soal syurga dan neraka adalah milik Allah. Apa yang perlu dibuat ialah jaga akidah, jaga rukun Islam dan sebagainya, banyak cari pintu-pintu kebaikan."

Kita perlu balik kepada penyampaian agama agar ia tidak berlegar pada soal hukum semata-mata.

Keduanya, kita harus bersaing dengan medium yang ada pada hari ini. Kita hanya menyampai ajaran agama di sekolah ugama dan sebagainya, pada masa
yang sama, media internet diguna dengan sepenuhnya untuk menyampaikan fahaman-fahaman yang salah dan tidak dijawab dengan lambakkan dan
segera fahaman sebenar. Dunia sekarang remaja lebih mudah mendapatkan maklumat dan memilih sumber internet walaupun berkemungkinan ia adalah salah.

Anak-anak remaja sememangnya mempunyai semangat untuk menyumbang tetapi apabila disalurkan kepada yang tidak baik, ia cukup membahayakan. 
Saya bersetuju apabila disarankan untuk menyemak semula korikulum Islam dan perlu ikut medium semasa yang ada.


TV3 : Kita dikejutkan dengan seorang anak gadis yang berumur 14 tahun, hampir terlepas ke Syira untuk berkahwin dan kemudiannya menyertai perjuangan IS. Apa sebenarnya sehingga mereka tertarik dengan Pak-Pak Arab di sana atau jerat apa sebenarnya gunakan untuk menarik ramai wanita dan gadis-gadis muda ini mengikuti perjuangan mereka?
DMI : Sebenarnya bukan sahaja rakyat Malaysia yang tertarik tetapi ramai juga dari Timur Tengah dan Barat. Pertamanya, aspek jiwa kosong remaja yang mudah mengikut di mana mereka ditawarkan satu harapan dan adanya idola, mereka mudah terikut. Contohnya juga seperti fanatik ikutan K-Pop. Bagi IS pula, kata-kata menarik seperti, "... datanglah kepada saya, saya tidak akan beri ganjaran apa-apa kerana kamu akan menjadi isteri solihah disampingku di dunia dan bersama di syurga."

Keduanya, faktor tarikan agama kerana kebanyakan yang terpengaruh adalah di kalangan mereka yang bermasalah seperti kecewa, pernah terjerumus dalam perkara-perkara salah tetapi ingin bertaubat dan kembali ke jalan yang sebenarnya.

Ketiganya pula, aspek pengaruh media sosial di mana lambakkan dengan fahaman yang tidak betul dengan mudahnya. Contohnya apabila digoogle perkataan Islam, pelbagai lambakkan maklumat.

... sambung ke Bhgn 2 (Di sini)

Friday, February 20, 2015

LAKONAN PAS DAN DAP BAKAL BERAKHIR MAC INI?


Apa yang nak diharap hubungan parti-parti politik dalam Pakatan Rakyat yang tidak lebih seumpama perkahwinan luar tabei. Ekstrimisme pula adalah tunjang latarbelakang mereka. DAP dengan penyokong ekstrim Kristian, PAS dengan ekstrim islam dan PKR berkiblatkan liberalismenya.

Selagi hudud adalah isunya, selagi itulah nampaknya tiada jalan kedamaian. Dulu mereka masih boleh berlakon untuk menampakkan seolah-olah mereka sentiasa bersatu untuk menentang parti pemerintah, tetapi nampaknya hari ini lakonan sumbang mereka telah didedahkan mereka sendiri.

Malahan surat cerai sentiasa dicabar secara terbuka dan tanpa segan silu di mana DAP akan mencabar PAS untuk keluar PR dan seterusnya PAS juga akan mencabar DAP untuk keluar dari rumah PR.

Isu selain hudud adalah apabila nampaknya kerjasama di antara PAS dan UMNO di dalam beberapa isu. Beberapa petikan dari tulisan Datuk Dr Mashitah di Sinar Harian yang bertajuk "Hubungan Pas-PR bercabang" telah memberi kekuatan bahawa PAS dan UMNO bersedia bekerjasama;

Di antaranya...
"Dalam mengalu-alukan bantuan dan sokongan Kerajaan Pusat kepada kerajaan negeri menangani krisis ekoran banjir besar akhir tahun lalu, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan timbalannya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menunjukkan sikap terbuka dan boleh bekerjasama dengan pemimpin Pusat. Mereka tidak berpendirian antagonistik dan bersikap diplomatik."

Ini adalah isu bantuan kemanusiaan dan seharusnya DAP dan PKR tidak politikkannya dan seandainya mereka parti politik yang gemar melaungkan ... demi rakyat, DAP dan PKR perlu menerima kerjasama ini sebagai tanggungjawab pemerintah negara dan negeri. Tetapi sebaliknya, DAP telah merendah-rendahkan keupayaan kerajaan negeri PAS Kelantan yang tidak pandai mentadbir dan gagal menangani isu banjir untuk rakyatnya.

Yang ini pula adalah isu yang paling tidak boleh diterima DAP apabila;
"Sebelum ini, mereka juga tidak ada masalah duduk bersama pemimpin Umno peringkat negeri dan Pusat dalam jawatankuasa teknikal bagi mengkaji pelaksanaan hukum hudud di Kelantan. Kesudian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melawat beberapa pemimpin."

Guan Eng terperangkap dengan pendedahan Mustapha Ali setelah PAS diserang tanpa henti kerana bersetuju menduduki jawatankuasa teknikal hudud. Bukan sekadar terperangkap tetapi Guan Eng juga didapati menipu dan di dalam satu sidang akhbar, apabila soalan ini ditimbulkan oleh wartawan, Guan Eng naik berang dan terus menamatkannya.

Kerjasama UMNO dan PAS bukan perkara baru, malahan pernah terjalin seperti catitian Datuk Mashitah;
"Mereka mengingatkan perpaduan dan kerjasama yang pernah terjalin antara kedua-dua parti dalam isu perjuangan Palestin dan penentangan terhadap kekejaman rejim Zionis Israel. Pada 1986 dan 2001-2002, pernah diusahakan muzakarah antara Pas dan Umno untuk membincangkan isu perpaduan Melayu."

... serta pertemuan-pertemuan terbuka;
"...misalnya Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Datuk Fadhil Noor, Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan Nik Aziz, dan Najib dengan Ahmad."

DAP adalah parti dalam Pakatan Rakyat yang paling terkesan sekali. Perlu diinagt, DAP adalah boss sebenar di dalam Pakatan Rakyat kerana keputusan PRU 13 telah membuktikan mereka sangat berpengaruh setelah memperolehi kerusi terbanyak di dalam PR dan mendapat undi popular terbanyak sehingga mampu memenagi majoriti lebih dari 50,000. Namun malangnya, ia hanyalah undi majoriti bangsa Cina dan majoriti undi Melayu tetap diberi kepada UMNO.

Inilah yang menggusarkan Lim Kit Siang dan parti DAP, kerana tanpa PAS, hasrat mereka ke Putrajaya pasti tidak mungkin berjaya.

Oleh itu PasMa dan Gabungan Impian Kelantan diwujudkan. Penubuhan dan kerjasama PasMa dengan DAP bukan lagi suatu yang mampu diselindungkan setelah pertemuan mereka pada 12 Januari lalu didedahkan.


Perjumpaan Diantara Pasma Dan Lim Guan Eng Di Komtar pada 12 Januari 2015 dan di antara intipati perbincangan termasuk kerjasama dan pembiayaan dari DAP untuk meruntuhkan Hadi Awang dari Presiden PAS.

DAP telah berjaya menyisihkan beberapa pemimpin kanan PAS seperti Hasan Ali dan Nasharuddin dan apakah kali ini mereka mampu menjatuhkan Hadi Awang pula? Kini tiada lagi amaran tetapi DAP terus keluarkan kenyataan;
Pas bukan lagi sebahagian daripada rakan gabungan Pakatan Rakyat (PR) sekiranya parti itu kekal dengan keputusannya membentangkan Enakmen Undang-undang Jenayah Syariah Kelantan II (Hudud) Mac ini.

Hanya tinggal beberapa hari saja lagi untuk PAS terus tunduk kehendak DAP atau bakal disingkirkan dari Pakatan Rakyat oleh DAP.

Maka, apakah bulan Mac 2015 adalah penentu rumahtangga Pakatan Rakyat yang songsang ini?

Wednesday, February 11, 2015

KOPERASI PERTAMA UNTUK WARGA PONDOK DI MALAYSIA


Semenjak penubuhan Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) pada awal 2014, kita sering mendengar langkah-langkah yang telah terlaksana demi untuk mengiktiraf dan menambahbaik pengajian serta pentadbiran dan pelajar pondok. Usaha murni ini juga telah mendapat perhatian kerajaan sehingga diberi peruntukan di dalam bajet 2015.

YPPM juga telah membuat kerjasama dengan beberapa universiti tempatan untuk mengiktiraf kelulusan pondok serta memberi ruang kepada pelajar pondok sambung pelajaran mereka. Bukan setakat itu, YPPM juga sedang mengemaskini direktori sekolah-sekolah pondok agar mereka mendapat bantuan kerajaan.

Demi kelangsungan usaha ini, YPPM telah mengorak satu lagi langkah dengan penubuhan Koperasi Pembangunan Pondok Malaysia (KPPM) untuk menjana pulangan kepada Yayasan agar aktiviti-aktiviti transformasi pondok dapat digerakkan dengan lebih berjaya dan aspirasi warga pondok mampu dipenuhi.

Pengumuman penubuhan Koperasi Pembangunan Pondok Malaysia telah dibuat oleh Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Dr Mashitah Ibrahim dan Mesyuarat Agung Pertamanya bakal diadakan pada 28 Februari akan datang di Ibu Pejabat YPPM sebagai memenuhi keperluan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

Ini juga mungkin julung-julung kali sebuah koperasi untuk warga pondok ditubuhkan dan keahlian terbuka kepada warga pondok seluruh Malaysia.

Koperasi sebagai badan yang menjalankan aktiviti perniagaan akan mampu menggunakan peluang-peluang yang ada untuk memaju dan memantapkan kedudukan ekonomi orang Islam melalui kegiatan dan aktiviti perniagaan yang berlandaskan hukum Islam yang sebenar.

Tidak semua pondok mempunyai sumber pendapatan yang tetap. Bagi pondok yang menerima banyak bantuan sama ada zakat, sedekah atau sumber lain mungkin tidak menghadapi banyak masalah. Namun, banyak pondok di negara kita yang memerlukan bantuan untuk meneruskan aktiviti seharian.

Oleh itu, Mesyuarat Agung yang pertama kali ini juga akan memberi penerangan kepada bakal-bakal ahli mengenai matlamat dan hala tuju penubuhan serta aktivitiyang bakal diceburi. Pemilihan Ahli Lembaga Koperasi dan jawatan pengurusan untuk operasi koperasi juga akan dilakukan dan di samping itu, yuran dan nilai saham koperasi juga akan ditetapkan.

Di antara prospek pelaburan yang dipertimbangkan KPPM termasuk pembangunan hartanah, telekomunikasi dan pelancongan.

Namun di dalam usaha mentransformasi sistem pengajian pondok di Malaysia, YPPM menyedari halangan utama yang akan ditempuhi apabila tidak semua pondok akan memberi sokongan. Sesuatu pembaharuan ke satu anjakan positif seperti ini mungkin menjadi satu kejutan kepada pondok yang telah lama melalui sistem konservatif turun temurun.

Apa pun rintangan yang perlu dihadapi, YPPM yang telah diberi tugas dan tanggungjawab akan terus komited untuk memartabatkan institusi pondok dan sentiasa memastikan kelangsungannya.

Jika kariah masjid di seluruh negara telah disaran menubuhkan koperasi dengan tujuan menjana pendapatan untuk membangunkan kariah masing-masing, maka tidak ada sebab mengapa pula pondok tidak mengambil peluang ini yang pasti mampu memberi pelbagai faedah dan kelebihan kepada ahli-ahlinya.

Friday, February 06, 2015

MISI BANTUAN YAYASAN PENGAJIAN PONDOK MALAYSIA (YPPM) BERMULA DI TEMERLOH

Turut serta bersama pelajar Sekolah Tengku Ampuan Afzan, Chenor




Setelah tinjaun bagi mengenalpasti pondok yang terjejas akibat musibah banjir paling dahsyat yang telah melanda Pantai Timur pada bulan Januari lalu, YPPM telah mengenalpasti 32 buah pondok berada didalam keadaan kerosakan teruk.

YPPM dengan kerjasama sukarelawan dari beberapa pihak lain termasuk Yayasan Salam, Kolej Vokasional Auto Prima (Shah Alam) dan sebuah masjid di Kuala Lumpur telah pergi meninjau keadaan di Pahang dan Kelantan.

Namun setelah dua perbincangan diadakan, YPPM mengenalpasti logistik dan jumlah dana yang diperlukan untuk menyalurkan bantuan dalam bentuk barangan keperluan seperti kitab, buku tulis, dapur gas, sistem PA, peti ais, khemah, atap zink, tilam, bantal, selimuat dan kain pelekat kepada pelajar dan penghuni pondok sekitar Temerloh Pahang. 


Pengerusi Eksekutif YPPM, Datuk Dr Mashitah bersama tenaga pengajar

Di antara pondok yang mendapat bantuan ini adalah Madrasah An-Najjah atau Pondok Bukit Keledang di Bera dan Madrasah Raudhah Al-Muhubbin atau Pondok Pak Kob, di Seberang Chenor. Pihak GiatMara pula telah membantu pondok-pondok tersebut memperbaiki pendawaian yang rosak. 

Kedua-dua pondok ini telah mengalami kerosakan di tahap yang sangat teruk sehingga tidak boleh lagi berfungsi. Lebih dari 300 pelajar dan gurunya terpaksa berpindah dan segala aktiviti juga terpaksa dihentikan.

Pihak YPPM amat mengalu-alukan sumbangan derma  dari dermawan, baik syarikat, organisasi atau individu, untuk disalurkan melalui YPPM dengan menghubungi talian 03-22016711 atau laman web YPPM atau di Facebook, agar lebih banyak pondok yang terbabit dapat membaiki kerosakan dan mendapat keperluan barang-barang asas bagi meneruskan aktiviti pengajian.



Bantulah mereka kerana jika diimbas kembali, peranan pondok amat besar dalam membina generasi al-Quran dan sumbangan pondok dalam memperjuang kemerdekaan negara. Bantulah mereka seikhlasnya...

Thursday, January 29, 2015

PAS PERNAH ANGGAP DR MASHITAH CARI PASAL MEMBABITKAN MILITAN DENGAN PONDOK, TETAPI HARI INI?



Enam bulan lalu, Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah bukan sekadar menafi tetapi menyelar kenyataan Dr Mashitah yang mencadangakan undang-undang untuk mengawal pergerakan pondok dalam penglibatan pengganas militan dan menganggap ia sebagai kenyataan 'cari pasal'. Malahan kenyataan Dr Mashitah dianggap sebagai fitnah yang sangat besar walaupun di akhir artikel seperti mengiakan kegiatan militan berlaku di pondok-pondok bawah naungan PAS.

Hari ini, apa yang berlaku?

Blog ini pernah menulis kenyataan dan saranan PDRM yang senada dengan Dr Mashitah... DI SINI. Apakah PDRM juga membuat kenyataan cari pasal?

Dr Mashitah didesak untuk memberi bukti dan setelah PDRM mendedahkan Mohd Lotfi terbunuh dalam serangan tentera Bashar as-Assad di Syria tahun lepas, terbukti apa yang dikatakan bukan satu fitnah dan bukan satu kenyataan 'cari pasal'.

Mohd Lotfi adalah bekas Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Kedah dan beliau mempunyai hubung kait dengan Madrasah Nurul Hidayah, Kedah apabila akhbar the New York Times pernah menerbitkan video bertajuk "The Jihadist in Our Family"  yang memaparkan temu bual mereka dengan keluarga allahyarham di Kuala Ketil di mana salah seorang saudaranya yang ditemubual adalah tenaga pengajar di Madrasah Nurul Hidayah telah menyarankan agar para pelajar mencontohi perjuangan Mohd Lotfi.

Tidak sukar untuk mendapatkan maklumat mengenai penglibatan madrasah atau pondok di portal-portal berita yang didedahkan PDRM dan bulan Oktober lalu satu Muzakarah Fatwa Kebangsaan yang berlangsung di Terengganu pula telah menetapkan isu jihad atas nama IS adalah bertentangan dengan hukum syarak.

Langkah-langkah yang dicadangkan PDRM juga termasuklah saranan pendakwah dari negara luar perlu melalui proses tapisan keselamatan pihak polis, sebelum dibenar memberi syarahan di negara ini.

Setelah pendedahan demi pendedahan dari pihak berkuasa PDRM terhadap penglibatan rakyat Malaysia dalam kegiatan militan dan keganasan, terkini Persatuan Majlis Ummah Ahli Sunnah (MUAS) Kedah pula telah bersuara agar kerajaan negeri menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk memantau dan mengatasi bagi mencegah sebaran bermotifkan militan di kalangan pelajar madrasah dan pondok.

Persatuan Profesional Muda Islam Kedah (PROMIS) juga senada dengan penubuhan jawatankuasa ini dan bersetuju agar guru-guru di sekolah pondok ditapis dan diteliti dan juga termasuk memperhalusi pengajaran dan kaedah pengajaran.

Apabila PAS Kedah cuba memperlekehkan kenyataan Dr Mashitah dan dengan pendedahan PDRM, tertanya-tanya pula samada PAS yang pernah digelar sebagai parti politik taliban oleh Jeff Ooi dari sekutunya DAP, apakah sememangnya ada melahirkan anggota militan dan bergiat melalui pondok?

Kini PAS tidak mampu menutup dan menafikan kegiatan militan di kalangan ahlinya walaupun mereka menganggap ia penglibatan peribadi, namun apa yang penting adalah ia berlaku dan telah dibuktikan.

PAS tidak perlu merepek dan sabitkan penglibatan Dr Mashitah di dalam YPPM dengan penyeneraian pondok di Kedah kerana kenyataan senada PDRM, MUAS dan PROMIS membuktikan sememangnya sekolah pondok di bawah naungan PAS perlu diawasi dan diberi perhatian ketat.

Setelah bukti demi bukti didedahkan PDRM, apakah kenyataan Dr Mashitah masih dikatakan cari pasal atau PAS yang sedang mencari pasal dengan membenarkan fahaman militan menular di kalangan ahli-ahlinya?

 

Tuesday, January 27, 2015

PERKAHWINAN PAKATAN DI AMBANG PARAH... BETULKE DR MASHITAH?



Seandainya kita adalah penyokong tegar Pakatan Rakyat, apabila membaca artikel Datuk Dr Mashitah di Sinar Harian bertajuk "Pakatan Rakyat jerut leher sendiri", boleh diagak reaksi panas mereka untuk menafikannya tetapi kepada penyokong BN pula, hati-hati permainan politik mereka.

Bermula dengan...
MANTRA yang sering dilaungkan parti yang menganggotai Pakatan Rakyat (PR) ialah ‘ayunan dua peratus undi lagi akan membawa kita ke Putrajaya.’

Namun, Dr Mashitah ingin rakyat semua kembali ingatkan apa yang berlaku sejak Pakatan Pembangkang diwujudkan di antara DAP, PAS dan PKR...

Dua tahun selepas ditubuhkan pada 2008, PR terpalit dengan krisis kepimpinan dan keyakinan yang serius sehingga memaksa Datuk Zaid Ibrahim keluar PKR, dan seterusnya menubuhkan parti baharu.

Selain beliau, berpuluh lagi pemimpin Pas, DAP dan PKR keluar pakatan yang suka berkomplot dan ‘membunuh’ sesama sendiri semata-mata kerana kuasa, kekayaan dan pengaruh.

Kerakusan kuasa Pakatan Pembangkang tidak terhenti di situ walaupun berjaya menambah kerusi di PRU13 terutama PKR. Seterusnya Dr Mashitah mengingatkan kita dengan 'Kajang Move" ...
Paling klasik ialah krisis Menteri Besar Selangor selepas PRU13. Secara tiba-tiba, Adun Kajang letak jawatan untuk memberi jalan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di situ.

Penduduk dan pengundi kawasan Kajang, malah hampir semua ahli dan penyokong PR terkejut dengan tindakan yang dipanggil Langkah Kajang. Dari situ bermulalah satu siri krisis yang panjang membabitkan keseluruhan kepimpinan PKR, DAP dan Pas, serta memalitkan pihak istana Selangor dan memangsakan rakyat Selangor.

PR terpaksa membayar harga politik yang cukup mahal.

Perkahwinan sumbang Pakatan sedang menuju perpecahan dan siapa mampu menafikannya dengan kenyataan ini...
Misalnya, dalam keadaan sekarang, mahukah Pas pinjamkan logonya kepada DAP seperti yang pernah ditawarkan satu masa dulu? Lebih relevan mungkin DAP pun tidak ‘hingin’ lagi.

Dalam parut krisis pergelutan kuasa di Selangor masih ada, PR terjerat lagi dengan isu hukum hudud di Kelantan. Sudah berbulan-bulan, pemimpin Pas dan DAP saling bertikam lidah, menuduh dan mencabar untuk keluar PR.

Yang terkini, DAP dan PAS terus menunjukkan mereka tidak mampu berkongsi kuasa...
Seminggu kebelakangan ini, hubungan Pas dan DAP diuji lagi kerana perbezaan pendapat mengenai pilihan raya kerajaan tempatan. Pemimpin tertinggi kedua-dua parti berkelahi di ruang awam manakala penyokong masing-masing saling mengutuk di ruang media sosial.

Keluh kolumnis Harakah, Lim Hong Siang: “Apakah hubungan PR mampu diperbaiki (dan) kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap PR mampu dikembalikan? Saya tidak nampak ada usaha untuk membubuh noktah kepada kemelut yang sedang berlangsung sekarang.

1 parti ortodok, 1 parti 'kiasu' dan 1 lagi parti liberal  di mana si kiasu dan si liberal mengagongkan kebebasan bersuara tetapi si ortodok seperti selalu lebih gemar mengumpat di belakang. Ironinya, langkah mereka tetap memakan diri... ini pengakuannya;
Setiausaha Agung Pas Datuk Mustafa Ali bimbang dengan trend pemimpin PR yang sering membuat kenyataan media yang merenggangkan hubungan parti sekutu, mengelirukan ahli dan penyokong parti, serta membuka ruang diserang musuh. Beliau tidak sedar bahawa beliau juga merujuk diri sendiri.

Kata seorang kolumnis Harakah: “Penyatuan fikrah, walak dan kerahsiaan jemaah tidak lagi boleh disandarkan untuk dijadikan asas kekuatan berjemaah. Semuanya dilanggar gara-gara ‘kebebasan bersuara’ dalam media maya yang dianggap seolah-olah platform teragung mengatasi semua disiplin jemaah.

“Amat malang apabila sebahagian sukarelawan maya Pakatan kini bertarung sesama sendiri secara sepenuh masa. Bahkan segelintir daripada mereka langsung tidak menyerang BN lagi, sebaliknya leka menyerang pemimpin dari parti sendiri atau parti politik komponen Pakatan.

Mereka mengambil ‘jalan selamat’ mewujudkan akaun maya menggunakan nama samaran dalam melancarkan serangan terhadap pemimpin tertentu dalam parti sambil mengadu domba, yang boleh bawa perpecahan dalaman.”

Apa yang ditulis oleh Dr Mashitah adalah sangat benar. Jika kita gemar membaca portal-portal akhbar pro-pembangkang, hari ini kita akan lihat bagaimana penyokong-penyokong parti terutama PAS dan DAP membuat komen di antara satu sama lain dengan lebih terbuka dan tanpa kiasan bahasa pun. DAP yang terkenal dengan kelantangannya, tanpa segan silu dan hormat menghentam Presiden PAS dengan pelbagai gelaran dan ini termasuk anak beranak Lim.



Apa pun perang media di antara PAS dan DAP sekarang ini, amat jauh sekali dengan apa yang diamalkan kepimpinan BN dan UMNO sebagai penerajunya. Apakah kita boleh menyaksikan di antara pemimpin-pemimpin BN membuat kritikan sesama mereka secara terbuka di media?

Amalan wasatiyyah yang disarankan Perdana Menteri walaupun di dalam memperjuangkan ideologi politik masing-masing, akan hanya dapat dilihat di antara komponen parti-parti politik Barisan Nasional.

Seharusnya, artikel yang ditulis Dr Mashitah ini mampu membuka mata rakyat agar lebih berhati-hati menentukan masa depan kita ketika pilihanraya nanti.

Walaubagaimanapun, kita janganlah terlalu yakin dengan sandiwara Pakatan ini, kerana menjelang pilihanraya nanti segala tuduhan-tuduhan kesat sesama sendiri akan dilupakan begitu sahaja demi menghancurkan keharmonian rakyat dan kesejahteraan negara.

Baca seterusnya artikel ini, dan nilailah perkahwinan sumbang yang sedang menuju ambang parah... DI SINI

Thursday, January 22, 2015

SERANG MASHITAH DAN CABAR KHALID UNTUK GUAN ENG KELIRUKAN RAKYAT

Setiausaha DAP perlu beri kenyataan dalam apa jua isu walaupun ia akan mengelirukan. Dalam kenyataan medianya pada 13 Januari 2015, menyerang Datuk Dr Mashitah dengan isu orang China di Kedah telah membakar Al-Quran dan mencabar Tan Sri Khalid - Ketua Polis Negara sebagai mengambil tindakan yang double standard kemudian dikaitkan pula dengan BN.

Semua itu hendak disamakan dengan tindakan polis menahan peguam hak asasi, Eric Paulsen yang telah mengaitkan khutbah Jumaat dengan keganasan.

Alasan Guan Eng kesemua itu untuk usaha mengekalkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Setiausaha DAP ini dengan jelas hanya memutarbelit kejadian sebenar dan di dalam kenyataannya pun hanya disebut secara 'general'.

Telah berkali-kali dijelaskan, isu membakar al quran di Kedah yang disampaikan oleh Dr Mashitah ketika Perhimpunan Wanita UMNO, November lalu adalah berita yang disampaikan kepada beliau oleh Ketua Wanita Bahagian Kuala Kedah. Itu saja! Lagipun, Dr Mashitah telah bekerjasama dengan polis untuk memberi keterangan.

Jika Guan Eng katakan ini boleh menggugat keharmonian masyarakat Cina di Kedah, apakah ada di antara ucapan Dr Mashitah yang menyuruh perwakilan untuk memberontak dan huru harakan kaum China di Kedah?

Setelah Dr Mashitah dipanggil pihak polis untuk beri keterangan, ini bermakna polis akan menyiasat dan apakah Guan Eng sekali lagi ingin campurtangan dalam siasatan polis?

Beza isu Eric Paulsen dan Dr Mashitah ialah, ucapan bahas Dr Mashitah adalah di dalam sebuah perhimpunan parti politik tetapi Paulsen membuat sendiri kenyataannya di laman media sosial. Walaupun dimuatnaik di Youtube oleh pihak ketiga ucapan Dr Mashitah, ia bukan milik beliau dan beza dengan kenyataan Paulsen di akaun twitter miliknya sendiri.

Ini telah dijelaskan oleh Tan Sri Khalid di dalam twitternya;



Guan Eng tidak perlu melalut dengan mengaitkan tindakan polis dengan salah guna kuasa di pihak BN. Jika dilihat perkara yang lalu, pihak polis juga pernah menahan beberapa pemimpin UMNO yang membuat kenyataan berbau perkauman.

Paulsen ditahan untuk memberi keterangan dan bukan ditahan sebagai penjenayah dan di situ Guan Eng jelas cuba kelirukan rakyat.

Mengaitkan penahan Paulsen dengan sikap double-standard polis terhadap isu Dr Mahsitah adalah tidak masuk akal dan ia bukan sahaja bertujuan mengelirukan rakyat tetapi menghasut rakyat agar menunjukkan BN sebagai kerajaan pusat telah campurtangan dalam urusan polis.

Isu Dr Mashitah yang sangat jelas masih lagi digunakan Guan Eng untuk membela pelampau seperti Paulsen. Maka kita tanya, apa beza di antara Guan Eng dan Paulsen di dalam menyampaikan hasrat untuk menghasut dan menghuru-harakan rakyat berbilang bangsa di Malaysia?


Wednesday, January 14, 2015

HANYA PELAMPAU SEPERTI ERIC PAULSEN MAMPU CETUSKAN TRAGEDI CHARLIE HEBDO

Betapa kita dikelirukan sehingga apabila menghina pemimpin sesuatu agama dan amalannya, ia dianggap sebagai  hak untuk kebebasan bersuara dan memberi pandangan. Keganasan sehingga menghalalkan pertumpahan darah di atas nama agama atau jihad pula dianggap satu kewajipan dan tanggungjawab.

Kejadian yang baru berlaku di Paris ke atas kakitangan Charlie Hebdo yang terkenal dengan penerbitan majalah kontrovesinya, di dalam kenyataan Perdana Menteri mengenai kejadian ini, beliau tegas dengan pendiriannya bahawa walaupun Malaysia adalah sebuah negara Islam, segala bentuk keganasan adalah ditegah dan perlu mengatasi ekstrimisme dengan pendekatan kesederhanaan.

Malangnya, penghinaan yang dilakukan Charlie Hebdo terhadap Nabi Muhammad s.a.w dianggap hanya sebagai hak kebebasan mereka untuk berkarya dan hak mereka perlu dipertahankan.

Di ketika hampir kesemua pemimpin dunia cuba bersatu memerangai keganasan, ada pula suara sumbang dari peguam hak asasi di tanahair kita, Eric Paulsen yang cuba menghasut di dalam kenyataan twitternya pula;


Apakah tidak jelas yang Eric Paulsen sedang mencurahkan minyak di dalam api kebencian dengan menuduh Jakim menggalakkan keganasan di dalam setiap khutbah Jumaat sedangkan khutbah Jumaat adalah salah satu rukun dalam solat Jumaat sebagai peringatan kepada umat islam yang mengandungi rahsia al quran dan hadis.

Tuduhan Eric Paulsen seolah-olah Islam menggalakkan keganasan dan ada pula di antara mereka ini menyeru agar kenyataan Eric Paulsen perlu dipertahankan atas dasar hak bersuara dan ia hanyalah satu kritikan terhadap Jakim.

Tanpa disedari, secara langsung kenyataan twitter Eric Paulsen itu telah membawa kepada perdebatan terbuka dengan penuh prejudis terhadap Islam dan Jakim. Prejudisnya perdebatan ini kerana ramai yang tidak mengetahui apa sebenarnya itu khutbah Jumaat dan kekeliruan menyamakan di antara seruan ammar maaruf nahi munkar dengan keganasan.

Inilah pelbagai bentuk serangan dan ancaman terhadap Islam serta umatnya yang pernah diketengahkan Datuk Dr Mashitah di dalam ucapan perbahasannya di #PAU2014 yang lalu.
 
Ini pula petikan Dr Mashitah di dalam akhbar Sinar Harian bertajuk  "Keganasan Bukan Jalan Ke Syurga" yang menurut beliau kumpulan ekstrimis fanatik ini:

Terbentuk dalam minda mereka satu persepsi atau pemikiran bahawa jalan terbaik masuk syurga ialah berjihad. Kekeliruan dan kurang kefahaman ini berpunca daripada salah tafsiran, yang kemudiannya boleh mencetus masalah berkaitan kestabilan dan keselamatan. Ada orang Islam yang bertindak ganas, menjadi jihadis atau pengebom berani mati, memerangi dan membunuh saudara seagama atas nama Islam, atau kerana ingin mati syahid untuk masuk syurga.
Tapi hakikatnya kena faham betul-betul. Jihad kalau dipupuk dengan cara yang betul akan menjadikan seseorang itu serius dan bersungguh-sungguh melaksanakan tuntutan Islam dalam segala aspek kehidupan. Tapi jika diselewengkan maknanya, ia boleh menjadi ancaman dan menyemarakkan lagi Islamophobia dalam kalangan Barat dan hanya akan meng’iya’kan label terroris pada umat Islam.

Sebenarnya, perpecahan yang berlaku bukanlah antara Timur dan Barat, antara dunia maju dan membangun atau antara umat Islam, Kristian dan Yahudi, tetapi antara golongan sederhana dan pelampau daripada semua agama dan bangsa.

Selama bertahun-tahun sejak kemerdekaan, rakyat Malaysia menghormati kebebasan untuk mengamalkan agama walaupun Islam adalah agama persekutuan. Tetapi untuk memecahbelakan di kalangan pelbagai bangsa dan agama samada melalui satiranya, hasil seninya atau pun kenyataannya, ini adalah satu tindakan menghasut.

Islam tidak pernah menggalakkan ekstremisme dan begitu juga agama-agama lain. Tan Sri Muhyiddin pula berpendapat sedemikian;
Jadi kalau ada tanggapan begitu tak boleh kita biarkan. Saya setuju sangat seruan banyak pihak supaya pihak berkuasa yang bertanggungjawab mengambil tindakan tegas, menyiasat berdasar fakta yang telah diungkapkan oleh beliau dan tindakan sewajarnya mesti diambil pasal bagi saya mungkin ramai yang bukan Islam yang tak faham apa Islam itu sebenarnya sehinggakan perkara yang biasa dianggap ekstrim.

Ada juga terdapat tulisan-tulisan sumbang di portal pro pembangkang yang kononnya risau akan berlaku kejadian seperti di Charlie Hebdo. 

Tetapi sebagai rakyat Malaysia yang mencintai keamanan dan kedamaian dengan menghormati antara satu sama lain, tidak ada sebab mengapa tragedi pembunuhan Charlie Hebdo perlu berlaku.

Hanya fikiran seorang pelampau seperti Eric Paulsen saja yang mampu mencetuskan sebarang kemungkinan.