Wednesday, February 11, 2015

KOPERASI PERTAMA UNTUK WARGA PONDOK DI MALAYSIA


Semenjak penubuhan Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) pada awal 2014, kita sering mendengar langkah-langkah yang telah terlaksana demi untuk mengiktiraf dan menambahbaik pengajian serta pentadbiran dan pelajar pondok. Usaha murni ini juga telah mendapat perhatian kerajaan sehingga diberi peruntukan di dalam bajet 2015.

YPPM juga telah membuat kerjasama dengan beberapa universiti tempatan untuk mengiktiraf kelulusan pondok serta memberi ruang kepada pelajar pondok sambung pelajaran mereka. Bukan setakat itu, YPPM juga sedang mengemaskini direktori sekolah-sekolah pondok agar mereka mendapat bantuan kerajaan.

Demi kelangsungan usaha ini, YPPM telah mengorak satu lagi langkah dengan penubuhan Koperasi Pembangunan Pondok Malaysia (KPPM) untuk menjana pulangan kepada Yayasan agar aktiviti-aktiviti transformasi pondok dapat digerakkan dengan lebih berjaya dan aspirasi warga pondok mampu dipenuhi.

Pengumuman penubuhan Koperasi Pembangunan Pondok Malaysia telah dibuat oleh Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Dr Mashitah Ibrahim dan Mesyuarat Agung Pertamanya bakal diadakan pada 28 Februari akan datang di Ibu Pejabat YPPM sebagai memenuhi keperluan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

Ini juga mungkin julung-julung kali sebuah koperasi untuk warga pondok ditubuhkan dan keahlian terbuka kepada warga pondok seluruh Malaysia.

Koperasi sebagai badan yang menjalankan aktiviti perniagaan akan mampu menggunakan peluang-peluang yang ada untuk memaju dan memantapkan kedudukan ekonomi orang Islam melalui kegiatan dan aktiviti perniagaan yang berlandaskan hukum Islam yang sebenar.

Tidak semua pondok mempunyai sumber pendapatan yang tetap. Bagi pondok yang menerima banyak bantuan sama ada zakat, sedekah atau sumber lain mungkin tidak menghadapi banyak masalah. Namun, banyak pondok di negara kita yang memerlukan bantuan untuk meneruskan aktiviti seharian.

Oleh itu, Mesyuarat Agung yang pertama kali ini juga akan memberi penerangan kepada bakal-bakal ahli mengenai matlamat dan hala tuju penubuhan serta aktivitiyang bakal diceburi. Pemilihan Ahli Lembaga Koperasi dan jawatan pengurusan untuk operasi koperasi juga akan dilakukan dan di samping itu, yuran dan nilai saham koperasi juga akan ditetapkan.

Di antara prospek pelaburan yang dipertimbangkan KPPM termasuk pembangunan hartanah, telekomunikasi dan pelancongan.

Namun di dalam usaha mentransformasi sistem pengajian pondok di Malaysia, YPPM menyedari halangan utama yang akan ditempuhi apabila tidak semua pondok akan memberi sokongan. Sesuatu pembaharuan ke satu anjakan positif seperti ini mungkin menjadi satu kejutan kepada pondok yang telah lama melalui sistem konservatif turun temurun.

Apa pun rintangan yang perlu dihadapi, YPPM yang telah diberi tugas dan tanggungjawab akan terus komited untuk memartabatkan institusi pondok dan sentiasa memastikan kelangsungannya.

Jika kariah masjid di seluruh negara telah disaran menubuhkan koperasi dengan tujuan menjana pendapatan untuk membangunkan kariah masing-masing, maka tidak ada sebab mengapa pula pondok tidak mengambil peluang ini yang pasti mampu memberi pelbagai faedah dan kelebihan kepada ahli-ahlinya.

No comments: