Showing posts with label Datuk Seri Liow Tiong Lai. Show all posts
Showing posts with label Datuk Seri Liow Tiong Lai. Show all posts

Monday, February 19, 2018

LIMPAHAN NIKMAT DAN RAKYAT YANG BERSYUKUR DI TAHUN BARU CINA 2018


Setiap tahun bangsa Tionghua akan meraikan Tahun Baru Cina tetapi kelainan di tahun baru kali ini lebih ceria dan meriah kerana rakyat Malaysia dapat merasakan satu transformasi yang berjaya. Ia diakui PM Najib Razak dan Presiden MCA DS Liow Tiong Lai bilamana petunjuk kepada perkembangan ekonomi negara yang sihat, hari ini diraikan bersama.

Keceriaan bangsa Tionghua khususnya dan semua pelbagai bangsa rakyat Malaysia amnya adalah hasil dari kecekapan pentadbiran kerajaan yang diterajui Barisan Nasional di bawah kepimpinan PM Najib Razak. Manakan tidak, ekonomi negara telah berkembang sehingga 5.9% tahun lepas, nilai ringgit telah bertambah kukuh dan prestasi saham di BSKL telah meningkat.

Keyakinan rakyat Malaysia terhadap masadepan negara telah diserlahkan pada perayaan Tahun Baru Cina MCA. Justeru, PM Najib dan Presiden MCA yakin ini adalah satu petanda baik kepada Barisan Nasional yang akan berhadapan dengan proses demokrasi di pilihanraya umum ke 14 nanti.

MCA juga sependapat dengan PM Najib di mana pelbagai projek pembinaan negara sedang berjalan rancak, termasuk peningkatan dalam infrastruktur pengangkutan di seluruh negara, justeru ini membuktikan kerajaan yang diterajui Barisan Nasional menjadi negara maju di pentas global.

Hanya Barisan Nasional yang mampu membela rakyat dan memenuhi keperluan dan kebajikan rakyat, manakala MCA pula telah terserlah menjadi juara kepada masyarakat Cina. MCA tanpa henti memberikan bantuan dan sokongan, baik dari segi pendidikan berkualiti, pembangunan kampung baru dan juga dalam perkembangang perniagaan mereka.

MCA juga sangat bangga kerana dapat memainkan peranan penting dalam mengukuhkan hubungan diplomatik dengan negara China dan yang pasti rakyat Malaysia khususnya komuniti Tionghua telah mendapat banyak manfaat daripada inisiatif One One Belt One Road.

Agar segala yang telah dan sedang diusahakan Barisan Nasional dan MCA, diharapkan semua rakyat dan khususnya masyarakat Cina dapat memberi mandat untuk menerajui pemerintahan negara pada PRU14 akan datang. Suara MCA sangat diperlukan di dalam kerajaan untuk mewakili komuniti Cina. Jika masih mengharapkan impian dan janji-janji kosong DAP, maka yang akan rugi bukan rakyat Malaysia tetapi komuniti Cina itu sendiri.

Sebagai parti yang dibina berdasarkan nilai kesederhanaan, keterbukaan, bekerjasama dan kemajuan bersama, MCA percaya mereka akan dapat terus melaksanakan tanggungjawab mereka untuk negara dan rakyat dan juga masyarakat Cina.

Presiden MCA berharap Tahun Baru Cina ini dapat memenuhi perpaduan bersama, limpahan nikmat dan yang pasti adalah berkumpul dengan kaum keluarga serta sahabat handai dalam suasana gembira.


Gong Xi Fa Cai!

Sunday, July 30, 2017

MCA YAKIN PENGUNDI CINA DI PENANG AKAN BERALIH MEMILIH BN

Presiden MCA : BN mampu memenuhi janji-janjinya

Perbezaan ketara di antara kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) adalah BN mampu memenuhi janji-janjinya. Demikianlah peringatan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai kepada rakyat Pulau Pinang khususnya dan rakyat Malaysia amnya.

Maka dengan itu, setelah menyedari PH gagal dalam menunaikan janji-janji mereka yang telah lalu, telah ada tanda-tanda positif yang pengundi Cina di Pulau Pinang akan kembali memberi sokongan kepada BN pada PRU14 nanti.

Ternyata kepimpinan Guan Eng dan DAP di Pulau Pinang telah mengecewakan rakyatnya apabila setelah mandat dan peluang diberikan kepada mereka, bukan saja segala janji-janji terdahulu gagal dilaksanakan malahan mereka telah ditambahkan dengan pelbagai beban.

Selama 9 tahun, DAP telah berjaya menipu rakyat Pulau Pinang yang semata-mata memecah-belahkan bangsa Cina hanya untuk berkuasa, namun DAP tidak lebih daripada tidak berkeupayaan membangun Pulau Pinang malahan negeri ini bakal dibebani dengan pelbagai musibah dan hutang.

Datuk Liow yang juga adalah Menteri Pengangkutan turut menyelar DAP yang telah menabur pelbagai janji-janji palsu kepada rakyat Pulau Pinang kononnya Pelan Pengangkutan Pulau Pinang akan memberi sinar kepada penduduk tempatan. Tetapi apa yang terjadi, jumlah yang besar yang menelan ratusan juta  telah dikeluarkan untuk kerja-kerja penyelidikan sahaja tetapi sehingga kini bukan sahaja tidak mampu disiapkan malahan belum pun dimulakan.

Jauh bezanya dari kerajaan BN yang telah berjaya melengkapkan aliran MRT (Mass Rapid Transit) dari Sungai Buloh ke Kajang. Projek mega ini bukan saja telah berjaya beroperasi malahan oleh kerana ia dikawalselia oleh kerajaan BN, ia telah mampu disiapkan lebih awal. Justeru, kos perbelanjaan telah mampu dikurangkan sebanyak RM2 bilion.

Banyak lagi projek yang berpaksikan kepentingan rakyat yang telah dilaksanakan kerajaan BN di bawah kepimpinan PM Najib Razak. Kita juga telah menyaksikan pembinaan rumah-rumah rakyat yang dibina di Kampung Kerinchi, Cheras dan merata Lembah Kelang. Tetapi sehingga kini, janji DAP untuk membina rumah mampu rakyat hanya tinggal rumah mampu lihat oleh rakyat tempatan.

Kerajaan BN juga telah mampu menyatukan rakyat Malaysia dari pelbagai kaum dalam pelbagai program. Lihat saja setiap kali perayaan besar setiap bangsa. Ini adalah hasil inisiatif awal kerajaan BN yang ingin ditiru Pakatan Harapan dan mereka ternyata gagal. Di negeri-negeri lain selain Pulau Pinang, Tahun Baru Cina diraikan semua kaum bersama, Hari Raya disertai oleh semua kaum selama sebulan, Hari Gawai pula didatangi oleh rakyat dari Semenanjung untuk bersama-sama rakan dan sahabat di Sarawak.

Tetapi DAP di Pulau Pinang telah menyisihkan perayaan Aidil Fitri dari bangsa Cina dan Tahun Baru Cina pula disisihkan dari bangsa Melayu. Apakah ini yang dikatakan sebagai keharmonian rakyat?

Ternyatalah DAP ini hanya mampu bercakap tetapi gagal melaksanakan amanah dan tanggungjawab. Begitu juga yang sekarang ini berlaku dalam kerajaan PKR di Selangor di mana sehingga kini isu air masih di tahap kritikal walaupun mereka berjanji menyelesaikannya pada PRU12 dan PRU13.

Bagi MCA pula, Datuk Liow sekali lagi memaklumkan yang parti yang mewakili bangsa Cina telah melalui transformasi parti dalaman untuk persiapan menghadapi PRU14 nanti. MCA telah mengadakan pelbagai program untuk mendekati pengundi muda di mana MCA sangat mengetahui yang mereka ini penuh dengan idea dan mereka perlukan sokongan dan galakan agar mampu memberi sumbangan positif kepada negara.

Ramai di kalangan masyarakat Cina hari ini telah mula menyedari yang negara ini hanya boleh dikendalikan oleh sebuah parti yang kuat dan bersatu seperti  Barisan Nasional. Maka dengan itu, MCA perlu diberi mandat penuh untuk terus berada di dalam kerajaan agar dapat benar-benar memperjuangkan masa depan masyarakat Cina dan rakyat Malaysia juga. Diharapkan rakyat Pulau Pinang tidak akan berterusan dikecewakan dengan JANJI PALSU DAP!

Saturday, April 22, 2017

DAKWAAN SALAH PEGUAM PAN TERHADAP 'MATA DEMERIT' DIPERJELAS DATUK LIOW



Jika menggunakan platform politik samada untuk memberi pandangan mahupun mengkritik dasar-dasar kerajaan, maka pasti akhirnya ia akan berakhir dengan matlamat untuk berpolitik juga. Maka, apabila Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Nasional (PAN), Faiz Fadzil cuba bercakap secara terbuka tanpa membuat rujukan kepada pihak berkuasa JPJ, akhirnya bukan saja beliau telah memberi pandangan yang salah malahan beliau yang mewakili PAN, kelihatan memilih pembohongan untuk kelirukan rakyat.

Kerajaan hari ini bukanlah seperti di zaman Dr Mahathir yang menyekat sebarang kritikan dari pihak pembangkang tetapi apabila kebebasan ini gemar disalahgunakan, maka kenyataan yang salah pasti bertujuan mewujudkan kemarahan rakyat. Adalah lebih baik jika Faiz Fadzil ini berjumpa dan minta penjelasan dari pihak JPJ mahupun menteri sebelum beliau terus-terusan kelirukan rakyat.

Faiz Fadzli yang juga seorang peguam mendakwa sistem pemberian mata demerit keselamatan jalan raya (Kejara) bagi kesalahan trafik adalah bertentangan dengan perlembagaan negara atau 'double jeopardy' seperti mana yang termaktub dalam Perkara 7(2) Perlembagaan Persekutuan di mana pesalah trafik akan menghadapi dua hukuman serentak.

Dakwaan yang salah ini bertentangan dengan penjelasan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai bahawa Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 membolehkan pesalah jalan raya dikenakan dua hukuman serentak iaitu kompaun dan pemotongan mata demerit seperti yang dilaksanakan di bawah Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS).

JPJ mula melaksanakan sistem mata demerit pada 15 April lalu terhadap pemandu yang melakukan dua jenis kesalahan jalan raya iaitu gagal mematuhi lampu isyarat merah dan memandu melebihi had laju.

Manakala 'double jeopardy' yang dimaksudkan Faiz Fadzil ini pula adalah mengenai dakwaan berganda di mahkamah atas kesalahan yang sama, sebaliknya di bawah sistem Awas, pesalah hanya akan dikenakan satu dakwaan sahaja. Sistem pemberian mata demerit keselamatan jalan raya (Kejara) bersama-sama dengan sistem penguatkuasaan automatik (AES), iaitu rangkaian kamera bagi merakamkan kenderaan yang melebihi had laju, membentuk sistem keselamatan kesedaran automatik (AWAS).

Sekiranya ada di pihak pembangkang yang masih tidak yakin dengan penjelasan menteri kerana terlalu fobia dengan menteri Barisan Nasional, ini pula penjelasan dari Ketua Pengarah JPJ Datuk Nadzri Siron;

"Pelaksanaan mata demerit tidak ada kaitan dengan kompaun atau sabitan oleh mahkamah bagi kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

"Ketua Pengarah JPJ () mempunyai kuasa menggunakan budi bicaranya untuk menggantung atau membatalkan lesen berdasarkan beberapa syarat yang ditetapkan Seksyen 35 dan Seksyen 35A Akta Pengangkutan Jalan, dalam menentukan seseorang pemandu itu masih layak atau tidak untuk memegang lesen memandu.

"Di bawah Seksyen 35 dan Seksyen 35A Akta 333 ini juga ditetapkan cara untuk Ketua Pengarah menentukan seseorang pemandu itu masih layak atau tidak untuk memegang lesen memandu iaitu melalui pemberian mata demerit. Justeru, sistem mata demerit ini tiada kaitan dengan penetapan hukuman (kompaun atau sabitan oleh mahkamah).

"Ini kerana kuasa Ketua Pengarah untuk menggantung atau membatalkan lesen hanya diguna berdasarkan mata demerit yang terkumpul dan bukannya terus ditetapkan berdasarkan sesuatu kesalahan yang dilakukan," katanya.

Sehubungan itu, JPJ menjelaskan bahawa bagi sistem mata demerit, isu 'double jeorpardy' tidak berbangkit sama sekali dan tiada kaitan dengan kuasa Ketua Pengarah dalam menggantung atau membatalkan lesen di bawah seksyen 35 dan 35A Akta 333.

Apakah tiada persamaan penjelasan di antara menteri BN dan Ketua Pengarah JPJ? Alangkah lebih baik jika pemimpin muda PAN ini mendapatkan penjelasan sebelum beliau kelihatan sebagai seorang ahli politik dan peguam yang kurang berilmu dan terlalu terpengaruh dengan politik pembohongan.

Sunday, January 17, 2016

HARAPAN PRESIDEN MCA AGAR HUAZONG DAPAT SATUKAN BANGSA CINA


Manifestasi yang mampu menyatukan di antara peniaga-peniaga bangsa cina dan persatuannya bersama-sama bekerjasama dengan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Dato Seri Najib Razak telah terserlah dengan terbinanya bangunan Wisma HuaZong di Seri Kembangan. Itulah harapan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Komitmen Perdana Menteri Najib Razak telah ditunjukkan kepada Persatuan peniaga terbesar bangsa Cina ini apabila beliau telah memulakan mengutip derma dengan menyumbang sebanyak RM5 juta pada tahun 2011 dan sehingga terbinanya Wisma HuaZong. Malahan PM Najib telah menambah RM3 juta lagi bagi mencukupkan kekurangan dana.

Sebagai Presiden parti politik terbesar bangsa cina, Datuk Liow sangat berbesar hati dan berterima kasih ke atas komitmen kerajaan pimpinan PM Najib. Datuk Liow juga berharap agar Persatuan HuaZong bersama-sama membantu bekerjasama dengan kerajaan dalam mendepani cabaran ekonomi dan seterusnya bersama-sama memajukan negara.

Menyedari bahawa tahun 2016 adalah tahun yang penuh cabaran, Datuk Liow menyeru agar rakyat semua bersatu tidak mengira bangsa untuk menyokong PM Najib dan polisi-polisi kerajaan serta terus bergerak ke hadapan untuk mencapai kejayaan.

Walaubagaimanapun, Datuk Liow ingin mengingatkan bahawa tanpa sokongan dari bangsa Cina maka MCA tidak akan lagi relevan. Namun beliau yakin, persatuan HuaZong mampu bersama-sama menyatukan bangsa cina yang berdaya maju dan meyakinki pendekatan kerajaan hari ini yang membawa dasar yang terbuka dan kesederhanaan dan menolak segala bentuk ektrimis.

Perdana Menteri juga menegaskan di dalam ucap utamanya yang kekuatan negara kita banyak bergantung kepada perpaduan dan kerjasama di kalangan masyarakat majmuk yang berbilang bangsa. Ketika memperkenalkan konsep 1Malaysia, PM Najib yakin rakyat Malaysia yang berbilang kaum mampu bertoleransi dan menghormati antara satu sama lain dalam memperkukuhkan Malaysia yang progresif dan bersatu.

Perdagangan Malaysia tidak boleh menyisihkan diri daripada menyertai rakan-rakan perdagangan global. Justeru, perjanjian-perjanjian perdagangan seperti TPP, inisiatif China 'One Belt One Road' mahupun komuniti ekonomi ASEAN perlu disertai dan Malaysia perlu memanfaatkan peluang-peluang perdagangan tersebut.

Di sini juga peranan persatuan HuaZong perlu bersama-sama kerajaan menjayakannya dan berani menyahut cabaran di mana kejayaan sesebuah negara bergantung kepada keyakinan yang sangat tinggi dari rakyatnya.

PM Najib juga telah menghadiahkan satu kompilasi buku "Si-Quan-Shu Hui-Yao yang mengandungi 500 buku-buku sejarah lama dan budaya Cina.

 

Tuesday, December 22, 2015

Datuk Liow : KERJASAMA UMNO-PAS SENGAJA DIPUTARBELITKAN DAP


Kita tidak perlu terikut-ikut dan termakan hasutan DAP yang nyata tidak akan senang dengan segala usaha Barisan Nasional untuk kebaikan dan keharmonian rakyat. Itulah mesej yang ingin disampaikan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai ketika diminta mengulas kerjasama UMNO-PAS.

Selanjutnya, Datuk Liow menegaskan bahawa kerjasama UMNO-PAS dan PAS bergabung ke dalam UMNO adalah dua perkara yang sangat berbeza yang tidak perlu dikelirukan terutamanya apabila ia datang dari DAP. Pendirian MCA adalah jelas dan tegas yang mereka tidak akan menyokong undang-undang hudud PAS.

Malahan kerjasama UMNO-PAS dianggap Datuk Liow sebagai hal peribadi dalaman UMNO dan MCA tidak akan campurtangan malahan menghormati keputusan mereka. Tetapi seandainya PAS ingin bergabung di dalam Barisan Nasional, ia perlu dibawa ke dalam perbincangan Ahli Majlis Tertinggi BN dan mendapat konsensus dari parti-parti gabungan yang lain.

Pendirian MCA adalah adil dan bijak tetapi DAP yang telah menceraikan PAS serta meruntuhkan pakatan bersama, mereka pula yang menuding jari kepada MCA dan menghasut dengan pelbagai tohmahan. DAP memang terkenal dengan politik kebencian dan segalanya perlu menuding jari kepada MCA. Malahan, DAP sengaja lupa yang ketika 2 pilihanraya umum lalu, DAP telah memberi kekuatan kepada PAS sehingga menyeru pengundi-pengundi Cina untuk memberi sokongan.

DAP juga telah menunjukkan perangai hipokritnya apabila pada satu situasi Guan Eng membidas kerjasama UMNO-PAS dan di situasi lain DAP masih bekerjasama dengan PAS dan ini terbukti di Selangor. Mengapa sehingga hari ini, Guan Eng tidak berani mengarahkan kesemua ahli-ahli exco DAP Selangor untuk meletak jawatan atau DAP secara senyap masih bekerjasama?

Gabungan di antara Umno dan PAS secara kerjasama hanya disalahertikan oleh DAP berikutan ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini, dan juga penampilan bersama beliau dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam baju merah jambu Melayu pada Persidangan Serantau (Multaqa Serantau) Al-Azhar graduan pula.

Ceteknya pandangan DAP yang tidak mampu melihat kerjasama yang mampu diadakan di antara UMNO-PAS melampaui politik. Kerjasama sebagai satu umat Islam dalam bentuk kemanusiaan seperti bencana banjir yang sering dialami di Kelantan dan Terengganu serta bekalan air bersih kepada Kelantan oleh kerajaan BN Terengganu sedang diusahakan.

Berbeza dengan MCA yang menitik beratkan keharmonian dan berkawan dengan semua bangsa walaupun parti ini mewakili bangsa Cina. DAP memang terkenal dengan perangai suka bermusuh walaupun dengan rakan seangkatan tidak akan dapat hidup bersatu dengan kepelbagaian di negara ini. Sikap suka menjadi abang besar DAP juga terbukti apabila rakan dalam pakatan mereka, ADUN PKR Penanti, Pulau Pinang Dr Norlela Ariffin menangis mencurahkan kesedihannya apabila kawasan beliau telah disisih dan dianaktiri oleh kerajaan DAP Pulau Pinang.

Selama UMNO menerajui tampuk pemerintahan sejak 58 tahun lalu, tidak ada satu pun insiden di antara parti-parti gabungan Barisan Nasional yang terpaksa merintih dan menangis untuk mendapatkan bantuan. MCA sebagai rakan setia dan kedua terbesar pun tidak pernah mendabik dada sebagai abang besar.

Inilah kelebihan Barisan Nasional yang sentiasa ingin berlaku adil dan saksama walaupun ia diterajui UMNO. Di antara UMNO dan MCA, hormat menghormati dan saling bekerjasama adalah prinsip yang membawa kejayaan mereka sehingga ke hari ini.

Sunday, October 25, 2015

KEPIMPINAN MCA ANGGAP BAJET 2016 KEKAL BERPAKSIKAN KEPERLUAN RAKYAT

Ketika mengulas Bajet 2016 Presiden MCA Dato' Sri Liow Tiong Lai melihat ia masih kekal kepada 'BAJET UNTUK RAKYAT' di mana ia mencerminkan komitmen kerajaan dalam mengutamakan pembangunan demi rakyat.

Komitmen Kerajaan dalam Bajet 2016 adalah seimbang dengan pembangunan yang terus mampan di mana pembangunan infrastruktur telah mendapat perhatian utama dalam pembentukan masa depan negara demi mencapai cita-cita negara sebagai status negara maju menjelang tahun 2020 nanti.

Bajet yang dikatakan komprehensif ini juga meliputi kepentingan rakyat semua kaum dan lapisan masyarakat. Keperluan golongan berpendapatan rendah dan sederhana telah diutamakan memandangkan kos sara hidup yang terus meningkat dan mempersiapkan rakyat menghadapi cabaran ketidaktentuan ekonomi global pada tahun depan.

Antara langkah-langkah seperti pelepasan cukai bagi kumpulan pertengahan pendapatan, kenaikan dalam pembayaran BR1M, projek perumahan, dan pengangkutan awam yang lebih baik akan memberi manfaat kepada rakyat.

Bagi sektor pengangkutan, Dato' Liow berterima kasih kepada kerajaan kerana telah memperuntukkan dengan bajet yang agak tinggi berjumlah RM5.8 bilion bagi merangkumi projek-projek jalan raya dan jambatan; keretapi dan transit laju; penerbangan awam; pelabuhan dan perkhidmatan laut, yang dijangka mampu memberangsangkan ekonomi.

Bagi parti MCA pula, nampaknya 'wishlist' Bajet 2016 yang telah disuarakan agar sektor usahawan PKS di golongan masyarakat Cina diberi perhatian telah mendapat peruntukan sebanyak RM50 juta di bawah KOJADI.


Timbalan Presiden MCA dan juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Wee Ka Siong pula berpendapat bahawa tiada peningkatan dalam pendapatan negara yang mendadak, ini bermakna kita perlu lebih berhemah dan berhati-hati dalam setiap perbelanjaan.

Namun Datuk Wee berpuas hati apabila rakyat yang berpendapatan rendah termasuk penjawat awam, petani dan kumpulan B40 mendapat manfaat yang cukup banyak dari bajet 2016 ini. Bagi kelas berpendapatan sederhana pula, mereka akan mendapat manfaat daripada rebat cukai dan seterusnya mereka akan menikmati akan mendpat pengecualian untuk pendidikan anak-anak mereka. Sekali gus kelas sederhana mampu mengurangkan beban daripada membayar sejumlah besar cukai pendapatan.

Datuk Wee juga menjelaskan bahawa Bajet 2016 kini lebih melindungi kelas berpendapatan rendah apabila lebih banyak produk akan mendapat pelepasan GST. Di antara produk yang mendapat perhatian adalah ubat-ubatan yang kini diperluaskan kepada lebih dari 4,000 jenis. Di samping itu, bajet 2016 juga memberi manfaat kepada kaum petani yang mampu membantu mereka meningkatkan pendapatan dan seterusnya mengurangkan beban mereka.

Bajet 2016 telah dibentangkan Perdana Menteri DS Najib Razak yang juga Menteri Kewangan pada Jumaat lalu, merupakan bajet yang pertama daripada lima belanjawan tahunan di bawah Rancangan Malaysia ke-11. Bertemakan "Memakmur Kehidupan Rakyat", Bajet 2016 mempunyai lima bidang utama iaitu yang pertama - memperkukuh daya tahan ekonomi negara dengan keutamaan yang melibatkan lebih banyak pelaburan domestik; kedua - meningkatkan pasaran modal menerusi inisiatif, termasuk potongan cukai ke atas kos mengeluarkan Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab bon sukuk; ketiga - PKS dengan langkah-langkah termasuk peruntukan sebanyak RM1 bilion bagi Skim Pembiayaan PKS Patuh Syariah; keempat - infrastruktur sebagai pemangkin untuk semua pembangunan ekonomi dan sosial dan terakhir adalah sektor pelancongan termasuk melanjutkan pengecualian 100% cukai pendapatn hingga 2018.

Friday, June 26, 2015

MESEJ PRESIDEN DI AGM BAHAGIAN-BAHAGIAN MCA

Di sepanjang bulan Jun ini, nampaknya MCA bahagian di seluruh Malaysia sedang mengadakan mesyuarat agung tahunan mereka. Justeru di kesempatan ini, Presiden MCA Datuk Sri Liow Tiong Lai telah merasmikan beberapa bahagian dan menyampaikan amanat beliau.
 

Berlainan pula di Bahagian Bentong, MCA telah menyambut ulang tahun parti yang ke 66 bersama-sama semua sayap parti dan ahli-ahli veteran. Di dalam menyambut kemeriahan ini, Datuk Liow sempat mengingatkan ahli-ahli MCA untuk sentiasa melindungi kepentingan masyarakat Cina. Beliau juga menyeru kepada masyarakat Cina untuk membuat perubahan yang lebih baik dan mengajak pengkritik-pengkritik di luar parti untuk menyertai MCA dan lihat sendiri transformasi parti yang sedang dilaksanakan.

Liow telah mengingatkan ahli agar menghargai parti dan tidak mudah dipengaruhi hasutan-hasutan pembangkang.

Di antara amanat Datuk Liow ketika berucap di Mesyuarat Agong Tahunan MCA bahagian-bahagian terdiri daripada;
 

MCA Subang
Pada 24 Jun di MCA Subang, di antaranya mengingatkan ahli tentang kenyataan-kenyataan negatif di internet yang di tahap membimbangkan seperti gambaran Malaysia tidak lagi sesuai didiami dan seolah-olah satu-satunya penyelesaian hanyalah dengan berhijrah ke negara-negara lain. Datuk Liow menegaskan bahawa selagi kita di landasan yang benar, pasti orang di sekeliling akan merasai keikhlasan kita untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih baik untuk didiami.


AGM Tanjung Karang

Di Tanjung Karang pula, Datuk Liow mengimbas kembali sejarah jatuh bangun MCA sejak 1969. MCA tidak pernah putus asa walaupun pernah mengalami kekalahan. MCA telah menubuhkan Kolej TAR dan hari ini telah menjadi sebuah Kolej Universiti. Sejak penubuhannya, Kolej Universiti TAR telah melahirkan lebih daripada 200,000 graduan dan ia merupakan penyumbang yang besar kepada negara.

Amanat Datuk Liow seterusnya adalah kepada ahli-ahli MCA di Tanjung Karang, di mana ahli-ahli disarankan untuk menghargai parti MCA, mengekalkan sikap positif, berpegang kepada landasan yang membina, dimantapkan dengan semangat positif bagi manfaat masyarakat setempat.
 
AGM Cheras

Ketika memberi ucapannya di Bahagian Cheras, Datuk Liow berkongsi pengharaannya terhadap jawatankuasa bahagian yang berusaha untuk penambahan ahli parti. Usaha ini mampu menggalakkan ahli-ahli yang lain kekal optimistik, positif and berdaya maju untuk meyakinkan masyarakat Malaysia terutama bangsa Cina, MCA adalah parti politik yang masih mampu mempertahankan hak serta kepentingan rakyat.
 
AGM Serdang

AGM Ampang


Manakala di bahagian Serdang dan Ampang pula, ahli-ahli MCA diberi peringatan bahawa Pakatan Rakyat yang diwakili 3 parti pembangkang adalah Pakatan yang tidak pernah didaftarkan. Pakatan ini tidak mempunyai matlamat yang sama tetapi mengejar kepentingan-kepenting sendiri. Apa yang mereka mampu hasilkan hanyalah menghuru-harakan politik tanahair. Walaupun pada dasar nampak seperti mereka bersatu, namun yang penting bagi mereka hanyalah untuk mendapatkan undi dan bukan untuk berkhidmat.

Walaupun selepas perpecahan Pakatan Pembangkang ini untuk sekian kalinya, dan wujudnya gabungan yang baru selepas ini, ia hanyalah semata-mata untuk memancing undi.

Tiba masanya MCA perlu belajar dan bangkit dengan segera dari kesilapan lalu, bersungguh-sungguh melaksanakan perubahan dalam mempertahan kepentingan kaum Cina, justeru menguatkan lagi kuasa politik.

Wednesday, June 17, 2015

JAWAPAN MENTERI PENGANGKUTAN KE ATAS UGUTAN NUFAM

NUFAM atau Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Malaysia telah memberi tempoh 48 jam kepada MAB untuk menarik balik surat penamatan khidmat 6,000 pekerja MAS atau mereka bakal berdepan tindakan mogok besar-besaran setelah pengumuman pada 1Jun lalu.

Syarikat penerbangan MAS telah mengalami kerugian dan Khazanah Nasional Berhad sebagai pemegang saham terbesar dalam MAS, telah pun mengumumkan 12 langkah dalam pelan penyusunan semula MAS. Salah satu langkah adalah menamatkan perkhidmatan 6,000 kakitangan dari pelbagai peringkat manakala 14,000 lagi telah ditawarkan pekerjaan di sebuah entiti baru, Malaysia Airlines Bhd (MAB) pada bermula 1 Jun.

Khazanah Nasional Bhd juga telah memainkan peranan yang penting dalam mengukuhkan kedudukan MAS menerusi suntikan dana yang dilakukan.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai baru-baru ini telah mendedahkan siapa NUFAM sebenarnya. Rupanya NUFAM bukanlah persatuan yang diiktiraf MAS, dan presiden kesatuan itu telah dipecat pada 2013 dan bukan lagi merupakan kakitangan MAS.

Maka perbincangan di antara MAS dan NUFAM tidak akan diadakan. Malahan pihak MAS telah membuat satu aduan kepada PDRM dengan pengumuman NUFAM mengadakan mogok secara besar-besaran.

Lebih kurang lapan persatuan yang diiktiraf MAS seperti Kesatuan Pekerja Sistem Penerbangan Malaysia (MASEU) sedang bekrjasama bagi menyalurkan masalah pekerja yang diberhentikan dan ada di antara pekerja ini telah pun merujuk kepada Kementerian Sumber Manusia.

Bagi pihak kerajaan pula, Datuk Liow akan memastikan operasi MAS berjalan lancar dan tidak terjejas apabila proses penstrukturan semula syarikat itu bermula. Malahan kakitangan MAS telah menunjukkan komitmen tinggi  dalam memastikan operasi MAS berjalan baik dan licin dalam memberi perkhidmatan yang baik kepada rakyat memandangkan ia merupakan operasi yang amat penting buat negara.

Kementerian Pengangkutan pula akan turut membantu MAS dengan mencari lebih banyak laluan penerbangan baharu.

Kakitangan MAS yang diberhentikan atau persatuan yang mewakili mereka perlu menyalurkan masalah atau pertanyaan mereka kepada saluran yang betul untuk berbincang. Malah pihak MAS sebenarnya telah menawarkan pakej penamatan perkhidmatan yang baik sekali. Proses penamatan perkhidmatan mereka adalah proses yang mengikut lunas undang-undang.

Friday, May 22, 2015

LIOW : FASA PELAKSANAAN DALAM RMK11 UNTUK SEKTOR PENERBANGAN NEGARA



Industri penerbangan bukan sahaja mampu menyumbang kepada hasil negara malahan ia adalah merupakan kebanggaan negara kita selepas kemerdekaan. Namun, selepas tragedi MH370 dan MH11, industri penerbangan dilihat sebagai penting untuk ditingkatkan agar mampu menghadapi cabaran di masa akan datang.

Di dalam pengumuman Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11), Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia yang di antara lain merangkumi lesen penerbangan, bayaran lapangan terbang, peruntukan laluan udara, penyelesaian pertikaian dan perlindungan hak pengguna.

Suruhanjaya ini  sebagai langkah kerajaan meningkatkan lagi sektor penerbangan negara dan diberi tanggungjawab di bawah seliaan Kementerian Pengangkutan dan badan bebas ini akan diperbadankan pada Julai 2015 nanti.

Disamping itu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai yakin Suruhanjaya Penerbangan Malaysia akan mampu menguruskan keupayaan dan persaingan dalam industri penerbangan negara serta industri penerbangan akan menjadi lebih berstruktur dan sistematik.

Negara sedang meletakkan laluan pilihan utama logistik ke Asia dan meningkatkan kedudukan sebagai antara 10 tertinggi bagi Indeks Prestasi Logistik Bank Dunia menjelang 2020.

Ini juga memberi peluang untuk mencapai pertumbuhan tahunan sebanyak 8.5 peratus bagi subsektor pengangkutan dan penyimpanan dan sekali gus mampu mewujudkan 146,000 peluang pekerjaan tambahan.

Bagi mewujudkan sistem pengangkutan logistik yang efisien, Kementerian Pengangkutan juga akan mengambil langkah menubuhkan satu bahagian khusus iaitu Bahagian Logistik.

Satu Pasukan Petugas Logistik Negera (NLTF) diwujudkan sebagai strategi utama bagi memperkukuh rangka kerja pengawalseliaan sektor logistik yang berperanan untuk melaksana Pelan Induk Logistik Negara dan Kemudahan Perdagangan dan juga menambahbaik proses-proses dan mempertingkatkan pertumbuhan perniagaan.

Di dalam menuju Wawasan 2020 dan seterusnya, dari fasa perancangan dan kini ke fasa pelaksanaan, RMK11 telah menggariskan langkah-langkah jelas sebagai panduan untuk sistem perhubungan yang lebih efisien dan mampu memperkukuhkan kedudukan dan daya saing negara di peringkat dunia.

Saturday, May 02, 2015

#PRKRompin : PENGUNDI CINA MAMPU BERI SIGNAL MCA KOMITED


Ketika berkempen di Rompin, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Datuk Wee Ka Siong tidak melepaskan peluang ke Muazam Shah menemui pengundi Cina di sana.

Perkataan pertama yang dikeluarkan Datuk Liow ialah beliau gembira dan berpuas hati dengan respon pengundi Cina di sana. Beliau juga berkesempatan bertemu dengan pengundi Orang Asli yang turut menyambut baik kedatangan kedua-dua pemimpin MCA ini.

Walaupun pengundi Cina hanya sekitar 1,200 lebih sahaja, namun dengan sokongan padu mereka, ini memberi petunjuk kepada rakyat Malaysia bahawa MCA telah diterima baik dan tetap relevan dalam memperjuang masyarakat Cina terutamanya.

Sepanjang sesi dialong bersama masyarakat Cina di Muazam Shah, mereka telah menunjukkan keyakinan terhadap kepimpinan BN untuk meneruskan pembangunan.

Di Rompin, 2 aspek pembangunan yang perlu diberi perhatian iaitu pelancongan dan perikanan. Kedua-dua industri yang berkait rapat ini, sangat menggalakkan dan mendapat sambutan yang tinggi di mana kemudahan dan infrastruktur yang baik telah pun disediakan. Oleh kerana itu, ia mampu dipertingkatkan agar industri ini terus mendapat sambutan.

Ada 2 perkara yang telah dipersetujui Datuk Liow. Pertamanya adalah untuk membaiki dan ditambahbaik beberapa jeti terutama yang digunakan untuk memancing bagi industri pelancongan. Kedua, lebih banyak tanah untuk menjalankan aktiviti pertanian.

Datuk Liow sangat teruja apabila mendapat tahu di Rompin, masyarakat Cina,Melayu dan Orang Asli bekerjasama di dalam satu ladang yang luas.

Di dalam pilihanraya Rompin ini, Datuk Liow berharap pengundi Cina dapat menghantar signal kepada rakyat Malaysia bahawa MCA sangat komit dan akan terus berbakti kepada masyarakat Cina terutamanya dan semua rakyat amnya demi transformasi negara ke tahap mencapai sebuah negara maju.

Thursday, April 16, 2015

#MH370 : MESYUARAT TRIPARTITE DI MALAYSIA SEBELUM KEPUTUSAN DIBUAT BULAN MEI



Pada akhir Januari tahun ini, Kerajaan Malaysia, China dan Australia telah bersetuju dengan pengisytiharan bahawa insiden pesawat MH370 adalah satukemalangan oleh Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA).

Namun operasi pencarian tetap diteruskan dan ketiga-tiga negara terlibat masih terus komited. Kawasan yang telah dikenalpasti bertumpu di skala 60,000 km persegi di Lautan India Selatan dan bulan Mei adalah penentunya.

Sebagai susulan persefahaman yang dicapai, Mesyuarat Tripartite di peringkat menteri dan pegawai kanan telah diadakan di Australia sebelum ini.

Kini tiba giliran Malaysia menganjurkan Mesyuarat Menteri yang dihadiri Timbalan Perdana Menteri Australia, Warren Truss MP bersama-sama Menteri Pengangkuta China, Yang Cuantang pada 16 April ini.

Oleh kerana dijangkakan bulan Mei adalah pengakhiran pencarian, sekali lagi Malaysia, Australia dan China duduk untuk mencapai keputusan secara kolektif bagi meneruskan langkah seterusnya. Ketiga-tiga negara ini akan diberi taklimat dan nasihat dari pakar search strategi working group (SSWG).

Sekali lagi secara berterusan, kerajaan Malaysia sentiasa komited meneruskan pencarian dan ini telah dinyatakan sejak hari pertama berlaku insiden kehilangan ini.

Negara sangat berterima kasih kepada kerajaan Australia yang telah menunjukkan kerjasama serta kesungguhan mereka walaupun di dalam keadaan pencarian di kawasan yang sukar lagi terpencil, mereka tetap komited.

Berikut adalah kenyataan rasmi dari Datuk Sri Liow Tiong Lai merangkap Menteri Pengangkutan berkenaan perkembangan terkini;



Walaupun terlalu banyak tuduhan dan spekulasi mengenai kehilangan MH370, namun kerajaan Malaysia telah menunjukkan komitmen yang tinggi untuk meneruskan pencarian.

Setiap keputusan yang diambil adalah secara kolektif di antara 3 negara besar dan pakar-pakar antarabangsa dilibatkan, maka adalah tidak adil sekiranya ada yang masih menuduh kerajaan Malaysia tidak berbuat apa-apa.

Dengan menidakkan usaha dan kepakaran dunia, ini bermakna kita juga mempertikai kepakaran mereka yang telah pun diiktiraf dunia.

Dalam masa yang sama, seandainya masih gagal mengesan kedudukan pesawat MH370 sehingga Mei, berkemungkinan pihak yang berkepentingan akan terpaksa membuat siasatan semula.

Thursday, March 26, 2015

LIOW : APA MUSLIHAT KIT SIANG DAN ANAKNYA?


Minyak dan air tidak mungkin dapat disatukan tetapi jika disatukan juga hasilnya pasti merosakkan. Begitulah ibarat pakatan politik di antara dua parti ekstrim PAS dan DAP yang matlamat perjuangan politik mereka sangat menyimpang.

Itulah yang dipersoal Presiden MCA, Datuk Sri Liow Tiong Lai terhadap Kit Siang dan anaknya kerana bekerjasama dengan PAS di dalam Pakatan Rakyat sejak penubuhannya walaupun secara rasmi tiada pendaftaran.

Memperjuangkan negara Islam dan melaksana hukum hudud bukan perkara baru untuk PAS dan masakan Kit Siang yang telah lama terlibat dalam arena politik tanahair tidak mengetahuinya dan pada masa sama tetap bekerjasama dalam satu pakatan.

Pada tahun 1990, dalam usaha untuk memenangi pilihan raya umum, DAP bekerjasama dengan PAS melalui Parti Semangat 46. PAS memenangi Kelantan dan hasrat mereka untuk laksana hudud telah disuarakan. Selepas itu, pada bulan November 1993, Dewan Undangan Negeri Kelantan meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993.

Kemudian pada bulan Oktober 1999, Barisan Alternatif yang terdiri daripada DAP, PAS, Parti Keadilan dan Parti Rakyat telah ditubuhkan. Walau bagaimanapun, DAP menunjukkan prestasi yang teruk dalam pilihan raya umum berikutnya. PAS pula telah menunjukkan prestasi yang lebih baik, menjadi parti pembangkang terbesar dan seterusnya memerintah Kelantan dan Terengganu. Terengganu beransur-ansur menjadi lebih ultra-konservatif di bawah PAS.

Akhirnya pada bulan Julai 2002, dengan sokongan semua 28 ADUN PAS, Dewan Undangan Negeri Terengganu telah meluluskan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2001 (Takzir). Daripada 4 wakil rakyat UMNO, 3 berkecuali dan yang satu lagi tidak hadir.

DAP mengambil keputusan untuk menarik diri daripada Barisan Alternatif pada bulan September 2001, tetapi tanpa rasa malu, berkumpul semula dengan PAS dan PKR untuk membentuk Pakatan Rakyat pada tahun 2008.

Sejak tahun 1990 lagi, kita boleh lihat penglibatan Kit Siang dalam percaturan politik pihak pembangkang. Bukankah aneh apabila Kit Siang mengaku tidak mengetahui bahawa matlamat PAS adalah untuk melaksanakan hukum hudud? Terang dan nyata, Kit Siang masih amalkan taktik menipu dan berlakon tidak bersalah setelah berkali-kali memperdayakan masyarakat bukan Islam terutamanya bangsanya sendiri.

Hari ini pula, putar belit Kit Siang untuk menyertai Barisan Nasional hanya untuk menutup penipuan kepada masyarakat bukan Islam atau mungkin itulah talian hayat terakhirnya.

Dua beranak Lim yang terlalu terdesak untuk terus berkuasa akan lakukan apa saja walaupun dengan menipu, berlakon dan menikam rakan sendiri.

Pengumuman terkini DAP bahawa kesemua 37 Ahli Parlimennya tidak akan menyokong hudud, hanyalah satu lagi sandiwara untuk menipu rakyat kerana bagi pandangan Datuk Liow, selagi mereka masih bersama di dalam Pakatan Rakyat, sebenarnya mereka masih dan sedang bekerjasama.

Perlaksanaan hukum hudud bukanlah agenda peribadi Hadi Awang tetapi parti PAS yang mempunyai ahli dan wakil dalam Dewan Undangan Negeri serta di Parlimen. Datuk Liow juga mempersoal kenyataan Guan Eng yang membuat keputusan memutuskan hubungan dengan Hadi Awang sebagai Presiden PAS tetapi masih memerlukan PAS pada masa yang sama.

Kecelaruan fikiran Guan Eng tidak boleh diterima kerana Hadi Awang dilantik ahli-ahlinya secara demokrasi dan Hadi diberi kuasa oleh ahli-ahlinya untuk melaksanakan apa yang termaktub di dalam perlembagaan parti.

Jelas sekali ini menunjukkan DAP terus-terusan mengkhianati ahli-ahli DAP dan masyarakat Cina yang telah memberi undi kepada mereka pada pilihanraya-pilihanraya lepas.

Tuesday, January 27, 2015

MCA MULA MENCARI CALON PRU 14 DEMI MEREALISASI TRANSFORMASI PARTI


Ketika di dalam ucapan Presiden MCA YB Dato Sri Liow Tiong Lai dalam Program “Teguh Bersama” pada 3 Mei 2014 lalu, ini janjinya;
"MCA telah mengalami kekalahan teruk dalam Pilihanraya Umum pada tahun 2008 dan 2013. Oleh itu, pucuk pimpinan baru parti telah memutuskan untuk melaksanakan transformasi dalam MCA."

Bagi merealisasikan rancangan transformasi parti, salah satu langkah yang telah diambil MCA adalah persediaan PRU 14 dengan pemilihan calun-calunnya. Presidennya sendiri mengumumkan bakat-bakat kepimpinan baru sedang dicari dan diteliti di mana masyarakat tempatan diberi peluang memberi pandangan tentang calon-calon MCA nanti.

MCA juga akan memastikan calon-calon mereka termasuk di dalam kriteria calon yang berkualiti, mempunyai komitmen dan kebolehan untuk berkhidmat kepada rakyat.

Malahan, satu jawatankuasa PRU 14 di peringkat kebangsaan dan bahagian telah ditubuhkan untuk melihat bagaimana MCA boleh mengatasi cabaran yang bakal muncul.

Kita semua ketahui pada PRU 13, majoriti pengundi Cina telah beralih arah kepada DAP dan di antara faktor-faktornya adalah calon yang bertanding. Jika kita lihat DAP telah mengemukakan ramai calon muda dan baru yang berprofil pendidikan yang tinggi. DAP juga telah meletakkan lebih ramai calon wanita muda.

Dahulu, mungkin ramai berpandangan wanita tidak mungkin mampu berkhidmat dengan berkesan sebagai seorang wakil rakyat tetapi pada hari ini hampir kesemua calon wanita yang diletakkan bertanding telah mendapat keyakinan pengundi. Oleh itu, tiba masanya MCA juga perlu memikirkan untuk meletak lebih ramai calon wanita nanti.

Di dalam ucapan Presiden MCA ketika program "Teguh Bersama", beliau telah menggariskan 11 teras utama dalam kerangka program transformasi termasuk di antaranya ialah kaedah pemilihan calon; penubuhan pejabat pilihan raya parti tetap; pembaharuan latihan kader; mekanisme latihan menghadapi pilihan raya serta merangka strategi mendekati golongan belia serta wanita dalam persiapan PRU 14 nanti.

Nampaknya, dengan barisan kepimpinan MCA yang diketuai Datuk Sri Liow Tiong Lai ini serta transformasi parti, seperti satu nafas baru kepada pengundi Cina untuk kembali meyakini MCA semula.

MCA tidak perlu ikut rentak politik benci yang diserapkan DAP dan pengundi Cina tidak perlu terpengaruh dengan hasutan DAP yang terus-terus menggunakan politik rasis.

Dengan pendekatan inklusif dan menghormati parti komponen lain dalam Barisan Nasional, pengundi Cina tidak perlu ragu dengan perkongsian kuasa yang ingin dihapuskan DAP kerana formula inilah yang telah membawa negara ke peringkat lebih maju dan berdaya saing di persada antarabangsa.

Tiba masanya, samada Melayu, Cina dan India tidak lagi berpolitik berpaksikan perkauman tetapi lebih menilai calon parti yang benar-benar mampu berkhidmat dan bukan sekadar menjual modal dan memberi harapan kosong kepada mereka.

Perpaduan di dalam MCA yang telah berjaya diusahakan barisan kepimpinan Datuk Sri Liow Tiong Lai juga adalah antara faktor pengundi Cina perlu kembali memberi kepercayaan mereka.

Friday, January 23, 2015

LIOW TIONG LAI : KEWANGAN NEGARA DIPERKUKUH DAN RAKYAT SEBAGAI KEUTAMAAN


Apabila kerajaan mengkaji semula Bajet 2015 ia mencerminkan pandangan jauh Perdana Menteri dalam menimbang perubahan ekonomi global yang dihadapi dan bagaimana ia boleh dan akan memberi kesan kepada Malaysia. Itulah pandangan yang diberi Menteri Pengangkutan merangkap Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Sebagai mewakili parti politik terbesar kaum Cina di dalam Barisan Nasional, DS Liow telah memuji tindakan yang diumumkan Perdana Menteri dan menganggapnya sebagai langkah pembukaan dalam berhadapan dengan perubahan ekonomi global agar dapat membantu dan memastikan daya tahan kewangan negara.

Bagi DS Liow walaupun kerajaan mengambil keputusan untuk mengurangkan perbelanjaan pengurusan negara sebanyak RM5.5 bilion, namun perbelanjaan ke atas pembangunan seperti infrastruktur pengangkutan awam dikekalkan. Perbelanjaan pembangunan yang dikekalkan pada RM48.5 bilion ini telah mencerminkan keupayaan kerajaan menguruskan perbelanjaan di samping menitikberatkan produktiviti bagi memastikan pertumbuhan ekonomi masa depan.

Beliau juga memuji keputusan Najib untuk menangguhkan tarif elektrik dan kenaikan harga gas yang dijadualkan.

Satu lagi usaha proaktif yang diambil ialah pemansuhan yuran visa untuk pelawat ke negara terutama dari China. Langkah yang tepat pada masa ini adalah kerana hubungan erat dengan negara China dari segi pelancongan dan juga perdagangan.

Ketika rakyat sedang bergelut menempuh ujian banjir yang luarbiasa di Pantai Timur terutama di Kelantan, DS Liow bersyukur apabila DS Najib telah memperuntukkan bantuan fiskal untuk membantu pembinaan semula di negeri-negeri yang terlibat. Sebanyak RM800 juta diperuntukkan untuk pembaikan dan pembinaan semula infrastruktur termasuk sekolah, hospital, jalan raya dan jambatan dan RM893 juta lagi untuk projek-projek tebatan banjir.

Di dalam meneruskan usaha menuju ke arah mencapai status negara maju sepenuhnya, DS Liow yakin bahawa langkah-langkah awal yang dibentangkan DS Najib mampu memperkukuhkan daya tahan kewangan negara dan mengalakkan ekonomi domestik yang kukuh di samping memastikan kebajikan rakyat kekal sebagai keutamaan.