Showing posts with label PKS. Show all posts
Showing posts with label PKS. Show all posts

Friday, December 04, 2015

DATUK WEE KA SIONG 'PEMBUKA JALAN' PROMOSI PRODUK HALAL TERBESAR KE PASARAN CHINA


Sejak dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab untuk pembangungan PKS terutamanya komuniti perniagaan bangsa Cina, Datuk Wee Ka Siong telah bertemu dengan pelbagai kumpulan dan NGO perniagaan di seluruh Malaysia. Ini juga termasuk komuniti dari kumpulan perniagaan India dan Melayu bagi berkongsi pandangan dan pendapat mereka.

Potensi sektor halal ini sangat luas dan bukan sahaja untuk pasaran di Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa. Pada tahun ini sahaja, nilai pasaran halal telah mencapai hampir USD2.3 trilion di seluruh dunia, eksport halal Malaysia bernilai RM37.7 bilion dan pada suku kedua 2015 sahaja, bernilai RM19.5 bilion.

Satu perkara penting yang didapati adalah penyertaan bukan Bumiputera dalam industri halal dan nampaknya perushaan mereka telah berkembang begitu pantas sekali. Hampir 70 peratus perusahaan halal adalah terdiri daripada syarikat-syarikat kaum Cina kerana mereka memahami dan mengenali potensi besar pasarannya.

Bagi Datuk Wee, adalah amat penting untuk bekerjasama bagi menjayakan sektor halal ini di mana ia sekali gus dapat meningkatkan ekonomi negara. Di Malaysia, PKS telah menunjukkan minat yang amat tinggi untuk mengambil bahagian dalam perniagaan halal sejak 2014.

Oleh itu, usaha MITI dan JAKIM dalam memperkenalkan Pensijilan Halal dan logonya sangat dihargai sehinggakan ia telah diiktiraf di peringkat badan-badan perusahan dan perniagaan antarabangsa. Ia juga merupakan garis panduan dan simbol kualiti yang telah diterima di negara-negara rakan perniagaan terutamanya di negara China, India dan Timur Tengah. Di situlah tertumpunya potensi pasaran produk halal yang sangat besar di mana jumlah umat Islam di seluruh dunia dijangka meningkat sebanyak 73 peratus iaitu hampir 2.8 bilion menjelang tahun 2050.

Walaubagaimanapun, terdapat kekangan yang dihadapi pemain-pemain industri produk halal di kalangan PKS. Ada di antara mereka memerlukan lebih banyak bimbingan dan bantuan dalam proses permohonan mendapatkan sijil halal dan ada pula yang memerlukan nasihat tentang bagaimana untuk mengekalkan standard operasi mereka agar terus kekal layak memegang sijil tersebut.


Oleh itu, di kesempatan pentas Forum Halal 2015 yang dianjurkan ini, Datuk Wee memohon agar komuniti PKR dapat bersama-sama MITI dan JAKIM menyelesaikan masalah dan kerisauan mereka serta mengurangkan beberapa kerumitan. Melalui platform forum ini, kedua-dua pihak iaitu peserta dapat memahami prosesnya dan pihak berkuasa pula memahami keperluan dan cabaran perniagaan industri halal di dalam dan di luar negara.

Bagi melancarkan lagi proses permohonan sijil halal ini, Datuk Wee mencadangkan agar dibentuk sebuah badan yang terdiri daripada Lembaga Profesional Halal. Ia bertujuan sebagai pangkalan data untuk mengenalpasti perunding-perunding halal yang diiktiraf kerajaan bagi menasihati mengenai prosedur memohon dan yang lebih penting adalah untuk mengekalkan sijil halal yang telah diperolehi.

Seperkara lagi yang perlu komuniti PKS tidak abaikan ialah perdagangan gergasi di negara China. Di bawah inisiatif 'One Belt One Road' (OBOR), China telah membuka peluang yang sangat luas dalam perdagangan produk halal. OBOR adalah usaha negara China membuka semula laluan perdagangan zaman silam mereka yang dinamakan Silk Road yang meliputi perdagangan di darat dan lautan untuk persediaan abad akan datang.

Malaysia merupakan rakan dagangan utama dengan China selama lebih daripada empat dekad apabila kita telah berkongsi sejarah budaya dan hubungan diplomatik secara rasmi. Kepelbagaian budaya kita dan kedudukan yang strategik di Asia Tenggara telah berjaya membina rangkaian yang luas dengan rakan dagangan lain dan ia harus dimanfaatkan.

Dengan Strategi Lautan Biru yang telah diperkenalkan kerajaan, kita pasti mampu mewujudkan pasaran yang besar untuk negara dari segi pemasaran produk-produk halal. Maka adalah bertepatan agar komuniti perniagaan Cina untuk bekerja lebih rapat bersama-sama dengan HDC dan JAKIM untuk menjadi bahagian yang penting di dalam OBOR.

Pada masa ini, China telah menjadi rakan kongsi perdagangan Malaysia yang terbesar bagi enam tahun berturut-turut dan perdagangan dua hala melebihi USD100 bilion dalam dua tahun seterusnya. Maka produk halal perlu menjadi sebahagian besar daripada jumlah itu.

Kerjasama antara Malaysia-China telah terus diperkukuhkan, apabila penetapan Bank of China (M) Berhad sebagai bank penjelasan Renminbi di Malaysia, penubuhan Malaysia-China Taman Perindustrian Kuantan dan Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia.

Dengan sokongan dan inisiatif pelaburan Sime Darby di Pelabuhan Weifang Sime Darby Port berserta kerja-kerja yang cemerlang di antara PKS dengan HDC dan juga Jakim, kita pasti mempunyai kelebihan untuk menjadi tapak utama di China. Oleh itu, adalah sangat wajar jika Pelabuhan Weifang Sime Darby dijadikan pintu perdagangan produk halal untuk Malaysia.

Sunday, October 25, 2015

KEPIMPINAN MCA ANGGAP BAJET 2016 KEKAL BERPAKSIKAN KEPERLUAN RAKYAT

Ketika mengulas Bajet 2016 Presiden MCA Dato' Sri Liow Tiong Lai melihat ia masih kekal kepada 'BAJET UNTUK RAKYAT' di mana ia mencerminkan komitmen kerajaan dalam mengutamakan pembangunan demi rakyat.

Komitmen Kerajaan dalam Bajet 2016 adalah seimbang dengan pembangunan yang terus mampan di mana pembangunan infrastruktur telah mendapat perhatian utama dalam pembentukan masa depan negara demi mencapai cita-cita negara sebagai status negara maju menjelang tahun 2020 nanti.

Bajet yang dikatakan komprehensif ini juga meliputi kepentingan rakyat semua kaum dan lapisan masyarakat. Keperluan golongan berpendapatan rendah dan sederhana telah diutamakan memandangkan kos sara hidup yang terus meningkat dan mempersiapkan rakyat menghadapi cabaran ketidaktentuan ekonomi global pada tahun depan.

Antara langkah-langkah seperti pelepasan cukai bagi kumpulan pertengahan pendapatan, kenaikan dalam pembayaran BR1M, projek perumahan, dan pengangkutan awam yang lebih baik akan memberi manfaat kepada rakyat.

Bagi sektor pengangkutan, Dato' Liow berterima kasih kepada kerajaan kerana telah memperuntukkan dengan bajet yang agak tinggi berjumlah RM5.8 bilion bagi merangkumi projek-projek jalan raya dan jambatan; keretapi dan transit laju; penerbangan awam; pelabuhan dan perkhidmatan laut, yang dijangka mampu memberangsangkan ekonomi.

Bagi parti MCA pula, nampaknya 'wishlist' Bajet 2016 yang telah disuarakan agar sektor usahawan PKS di golongan masyarakat Cina diberi perhatian telah mendapat peruntukan sebanyak RM50 juta di bawah KOJADI.


Timbalan Presiden MCA dan juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Wee Ka Siong pula berpendapat bahawa tiada peningkatan dalam pendapatan negara yang mendadak, ini bermakna kita perlu lebih berhemah dan berhati-hati dalam setiap perbelanjaan.

Namun Datuk Wee berpuas hati apabila rakyat yang berpendapatan rendah termasuk penjawat awam, petani dan kumpulan B40 mendapat manfaat yang cukup banyak dari bajet 2016 ini. Bagi kelas berpendapatan sederhana pula, mereka akan mendapat manfaat daripada rebat cukai dan seterusnya mereka akan menikmati akan mendpat pengecualian untuk pendidikan anak-anak mereka. Sekali gus kelas sederhana mampu mengurangkan beban daripada membayar sejumlah besar cukai pendapatan.

Datuk Wee juga menjelaskan bahawa Bajet 2016 kini lebih melindungi kelas berpendapatan rendah apabila lebih banyak produk akan mendapat pelepasan GST. Di antara produk yang mendapat perhatian adalah ubat-ubatan yang kini diperluaskan kepada lebih dari 4,000 jenis. Di samping itu, bajet 2016 juga memberi manfaat kepada kaum petani yang mampu membantu mereka meningkatkan pendapatan dan seterusnya mengurangkan beban mereka.

Bajet 2016 telah dibentangkan Perdana Menteri DS Najib Razak yang juga Menteri Kewangan pada Jumaat lalu, merupakan bajet yang pertama daripada lima belanjawan tahunan di bawah Rancangan Malaysia ke-11. Bertemakan "Memakmur Kehidupan Rakyat", Bajet 2016 mempunyai lima bidang utama iaitu yang pertama - memperkukuh daya tahan ekonomi negara dengan keutamaan yang melibatkan lebih banyak pelaburan domestik; kedua - meningkatkan pasaran modal menerusi inisiatif, termasuk potongan cukai ke atas kos mengeluarkan Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab bon sukuk; ketiga - PKS dengan langkah-langkah termasuk peruntukan sebanyak RM1 bilion bagi Skim Pembiayaan PKS Patuh Syariah; keempat - infrastruktur sebagai pemangkin untuk semua pembangunan ekonomi dan sosial dan terakhir adalah sektor pelancongan termasuk melanjutkan pengecualian 100% cukai pendapatn hingga 2018.

Tuesday, August 18, 2015

DATUK WEE : KEJATUHAN RINGGIT PERLU DIAMBIL KESEMPATAN UNTUK TINGKATKAN EKSPORT


Adalah menjadi satu putaran dalam dunia perniagaan di mana kita akan saksikan jatuh bangunnya serta suasana baik dan sukar, maka senario ekonomi negara kini bukanlah satu krisis tetapi ia hanyalah satu putaran ekonomi global.

Krisis Kewangan Asia pada tahun 1997-98 adalah berbeza dengan situasi kejatuahun ringgit hari ini di mana ringgit jatuh sehingga paras  RM5 berbanding USD dan ini telah mengakibatkan keseluruhan sektor ekonomi mengalami kerugian.

Dalam menghadapi cabaran ekonomi khususnya kejatuhan nilai ringgit berbanding US Dollar, sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab portfolio Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Datuk Ir Wee Ka Siong telah menyarankan sektor awam dan swasta mengutamakan barangan buatan Malaysia dan menukar corak perniagaan yang berorientasikan eksport.

Langkah ini mampu mendorong aktiviti ekonomi yang menguntungkan Malaysia kerana aliran wang tunai hanya berlaku dalam negara ini dan tidak mengalir ke negara asing dan kerajaan sedang menggalakkan pengeluar barangan tempatan yang berkualiti dan berupaya untuk dieksport.

Perniagaan yang berorientasikan eksport dan menggunakan bahan mentah tempatan dalam pengeluaran produk yang akan mengaut keuntungan berbanding perniagaan berorientasikan import. Contohnya perniagaan pengeluaran yang berasaskan getah seperti pembuatan sarung tangan, mereka tidak terkesan dengan kejatuhan ringgit kerana bahan mentah boleh diperolehi di negara kita sendiri.

Bagi menggiatkan aktiviti eksport, kerajaan telah pun menubuhkan Majlis Eksport Malaysia Negara sejak tahun lepas dengan sasaran dari 19 peratus kepada 25 peratus menjelang 2020. Oleh itu, Datuk Wee menjelaskan dengan penubuhan  Majlis Eksport Malaysia Negara tersebut, maka kerajaan bersedia membantu usahawan PKS dari segi dana untuk mengembangkan pasaran eksport mereka.

Pada masa yang sama, industri pelancongan juga mampu meningkatkan pengaliran Ringgit ke dalam negara. Dalam usaha ini, kerajaan telah melanjutkan visa percuma dari 15 hari ke 30 hari bagi pelancung-pelancung dari negara Taiwan. Ini bukan sahaja bagus untuk meningkat ekonomi negara tetapi hubungan diplomatik antara dua negara juga mampu diperluaskan dan dieratkan.

Cadangan untuk melanjutkan tempoh visa percuma ini telah disuarakan oleh  Duta Malaysia ke China Datuk Seri Tiong King Sing. Seramai 274,000 pelancong dari Taiwan telah mengunjungi Malaysia pada tahun lalu.

Nampaknya walaupun baru sebulan Datuk Wee menjalani pembedahan dan kelihatan agak susut, namun demi rasa penuh tanggungjawabnya meneraju PKS, beliau tidak henti-henti menjelajah ke seluruh tanahair untuk menjelas keadaan ekonomi hari ini dan seterusnya memberi cadangan dan galakan kepada komuniti peniaga agar mereka tidak panik dan mengetahui bahawa kerajaan sentiasa membantu.