Sunday, February 21, 2016

DATUK LIOW : PENDIDIKAN KESELAMATAN JALAN RAYA DIBANGUNKAN SEMULA


Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Peribahasa ini membawa maksud yang bertepatan kepada usaha Kementerian Pengangkutan untuk bergandingan dengan Kementerian Pendidikan di dalam siri kempen keselamatan jalanraya yang fokus kepada kanak-kanak sekolah.

Pelbagai kerjasama telah dilaksanakan bagi mengukuhkan mesej keselamatan jalan raya kepad rakyat dan sebelum ini Kementerian Pengangkutan telah bekerjasama dengan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR).

Di dalam statistik Jabatan Pengangkutan Jalan, pada tahun 2015 mencatatkan lebih daripada 300,000 pemandu baru yang kebanyakannya terdiri daripada anak-anak muda.


Memandangakan angka ini yang pasti akan meningkat, maka adalah bertepatan inisiatif Projek Semakan dan Pembangunan Semula Modul Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PKJR) 2016 diteruskan dan dibangunkan semula bersama-sama Kementerian Pendidikan.

Statistik kemalangan jalan raya pada tahun 2015 juga meningkat berbanding tahun sebelumnya iaitu dari 476,196 ke 489,606 pada tahun 2014 dengan jumlah kematian yang meningkat dari 6,674 pada tahun 2014 ke 6,706 pada tahun 2015 dan secara purata, 18 kematian dicatat setiap hari.

Kerajaan memandang sangat serius dengan catatan angka tersebut dan oleh itu kerajaan komit meluluskan peruntukan berjumlah RM42 juta di bawah Rancangan Malaysia ke11 khas untuk projek ini. Komitmen kerajaan untuk mengurangkan kadar kemalangan juga diselaraskan dengan Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2014-2020 yang akan dijadikan panduan untuk mencapai sasaran yang telah ditetapkan.

Di dalam kajian MIROS pula, kemalangan jalan raya mampu memberi kesan kepada ekonomi negara di mana pada tahun 2015 sahaja, kerajaan terpaksa berbelanja sebanyak RM8.6 bilion termasuk kematian, cedera parah dan paling memeranjatkan apabila MIROS mendedahkan yang sebanyak 1,849 kematian adalah anak-anak muda yang berumur 25 tahun ke bawah.

Berpandu kepada statistik yang tercatat di atas, maka kerajaan berpendapat pendidikan keselamatan jalan raya perlu diadakan dalam satu program khas Kementerian Pendidikan yang fokus kepada kanak-kanak sekolah bagi memupuk pemikiran yang mementingkan keselamatan ketika berada di jalan raya dan mempraktikkan penggunaan jalan raya secara selamat.

Bagi Datuk Liow, kerjasama Kementeriannya bersama-sama Kementerian Pendidikan dalam membangunkan semula modul ini mampu membentuk minda masyarakat agar peka terhadap apsek keselamatan jalan raya terutamanya di kalangan kanak-kanak.

Didalam memupuk kesedaran di kalangan kanak-kanak sekolah ini, ia perlu ditingkatkan minat mereka dan modul yang akan diguna perlu pendekatan yang menarik, lebih berinteraktif dan bertepatan dengan kesesuaian zaman ini. Di antaranya, Kementerian bolehlah mengambil contoh, kesedaran kesalahan mengguna telefon bimbit ketika memandu di jalan raya.

Sebelum ini, para guru telah dijemput untuk bersama-sama memberi pandangan dalam menambahbaik lagi modul pembelajaran keselamatan jalan raya namun bagi memantapkan lagi projek ini, pendapat dari semua lapisan rakyat juga dialu-alukan.

Melalui website MIROS, bolehlah memberi pandangan dan pendapat dalam tempoh satu bulan dari 18 Februari sehingga 17 Mac 2016 ini dan segala maklumat akan dijadikan bahan rujukan.


Sebagai peneraju kempen keselamatan jalan raya kebangsaan, Datuk Liow akhiri ucapannya di pelancaran  Projek Semakan dan Pembangunan Semula Modul Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PKJR) 2016 dengan mengingatkan bahawa ... 'KEMALANGAN JALAN RAYA ADALAH SESUATU YANG BOLEH DIELAKKAN".

No comments: