Sunday, February 28, 2016

FGV BAKAL AMBIL ALIH SYARIKAT DI NEGARA CHINA

Selepas menjalani tahun yang penuh cabaran dan berliku pada 2015 khususnya ketika pertumbuhan ekonomi global yang lembap, FGV tetap meneruskan
perancagan mereka di dalam apa jua keadaan untuk meningkatkan perniagaan mereka.

FGV masih meneruskan mod pengembangan mereka di mana industri minyak sawit banyak bergantung kepada penggunaan minyak makan yang tinggi di
pasaran negara China. Kini FGV mengorak selangkah lagi dengan mengambil alih kepentingan sebanyak 55% dalam syarikat minyak makan Zhong Ling Nutril-Oil Holdings Ltd dan vendor-vendornya yang lain pada harga RM976.25 juta.

Pengambil alihan ini dilakukan oleh anak syarikat FGV, Felda Global Ventures Downstream Sdn. Bhd. dengan 2 fasa perjanjian iaitu cadangan perolehan 81.57 juta saham di dalam syarikat Zhong Ling, pengeluar minyak makan, pati ayam dan bahan perasa. Cadangan pengambilalihan itu dijangka selesai sepenuhnya menjelang suku pertama tahun ini.

Langkah ini juga adalah  seiring dengan rangka tindakan strategik global FGV untuk meningkatkan keupayaan hiliran dalam perniagaan barang-barang makanan pengguna di China.

Zhong Ling Nutri-Oil telah berada di pasaran China sejak 20 tahun yang lalu dan pada tahun 2013 sahaja, peningkatan jualan produk mereka telah mencecah sehingga T$9.3bil (RM1.18bil) dengan peningkatan sebanyak 25.5% dan keuntungan bersih sebanyak 13.4%.

Jenama yang dipasarkan adalah Ostrich dan telah menyumbang sebanyak 70% daripada jumlah jualan syarikat tersebut.

FGVHB juga dijangkakan memanfaat hasil daripada perkembangan jualan dan rangkaian edaran Zhong Ling Nutri-Oil di mana syarikat ini telah membuka cawangan baru mereka di wilayah Jiangsu.

Ini merupakan satu rancangan yang mampu dimanfaatkan FGV ke atas perkembangan ekonomi negara China dan permintaan yang tinggi ke atas minyak makan.

Sebagai pengimport terbesar minyak makan, China menggunakan hampir satu perempat daripada jumlah pengeluaran minyak makan di dunia. Potensi peningkatan permintaan di negara China akan dapat mengembangkan keupayaan hiliran FGV terutamanya di dalam perniagaan produk pembungkusan untuk pelanggan.

No comments: