Apabila seorang Raja Pemerintah mangkat maka adalah menjadi 
tanggungjawab dan kerja Setiausaha Dewan Negara Perak dan Setiausaha 
Kerajaan Negeri mengumumkan perkara yang menyedihkan itu kepada semua 
Raja-Raja, Orang Besar-Besar dan rakyat jelata. 
Setiausaha Dewan Negara 
Perak juga akan memanggil suatu mesyuarat khas bagi semua ahli-ahli 
Dewan Negara untuk bersidang mengenai istiadat-istiadat kemangkatan, 
pemakaman dan berkabung selepas berdatang menghadap Duli Tuanku Raja 
Perempuan. 
Semboyan akan dipasangkan dengan bilangan tembakan das 
mengikut usia Almarhum, iaitu satu das bagi setahun. Biasanya semboyan 
kemangkatan dipasang di sebelah malam selepas pukul sepuluh, dan apabila
 kedengaran bunyi meriam, maka alamat tanda mangkatnya Raja 
Pemerintah.
Lazimnya, Raja Muda atau Raja Di Hilir dan Orang Kaya 
Bendahara Seri Maharaja akan mengetuai segala pekerjaan terhadap 
Istiadat Kemangkatan dan Istiadat Pemakaman. Pekerjaan membuat usungan 
atau pedati yang dinamakan 'Seraja Diraja' atau 'Raja Diraja' akan 
dimulakan secepat mungkin.
Jenazah Almarhum itu dimandi dan dikafankan 
oleh para alim ulama dan diletakkan Seri Balai, Istana Iskandariah untuk
 Istiadat Pemasyhuran Raja Pemerintah Baru. Pemilihan Raja Pemerintah 
baru dibuat dalam mesyuarat khas Dewan Negara Perak yang dihadiri oleh 
anggota-anggotanya. 
Lazimnya, istiadat pemasyhuran dilangsungkan di 
sebelah pagi dan Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja akan mengumum nama 
Raja Pemerintah baru dan membaca perisytiharan pemasyhuran itu. Majlis 
kemudian diikuti laungan 'Daulat Tuanku' sebanyak tiga kali daripada 
semua hadirin yang berada dalam Seri Balai. Tembakan meriam 21 das akan 
dilepaskan. Istiadat pemasyhuran Raja Pemerintah baru hendaklah diadakan
 sebelum Istiadat Memberi Penghormatan Terakhir dan Istiadat 
Pemakaman.
Setelah selesai Istiadat Pemasyhuran Raja Pemerintah baru, 
jenazah Almarhum dibawa dan diletakkan di atas persada khas empat segi 
tujuh tingkat bersalut kain kuning dengan pegawai tentera darat, udara 
dan laut serta polis berkawal di keempat-emapat penjurunya. 
Darjah-Darjah Kebesaran dan Bintang-Bintang Kehormatan Almarhum disusun 
di sekliling aras lima persada yang dibina di pertengahan Balairong Seri
 atau Dewan Santapan di istana Iskandariah.
Bacaan ayat suci al-Quaran 
berkumandang di ruang itu ketika kerabat diraja, Orang Besar-Besar, 
orang kenamaan dari dalam dan luar negara serta orang kebanyakan 
memberikan penghormatan terakhir mereka kepada Almarhum. Istiadat 
Memberi Penghormatan Terakhir kepada jenazah Almarhum lazimnya 
berlangsung selama beberapa jam sahaja dan tempoh ini ditetapkan oleh 
Dewan Negara Perak dengan kerjasama pihak Kerajaan Negeri. 
Cara 
berpakaian untuk istiadat ini ialah baju Melayu hitam bersamping hitam 
dan bersongkok yang berbelit dengan kain putih selebar 2.5 cm di 
tengah-tengah songkok. Kerabat diraja, Orang Besar-Besar Negeri dan 
bentara-bentara akan bertengkolok putih. Orang kebanyakan berpakaian 
lounge suit hitam dan bersongkok dengan kain putih yang telah disebutkan
 di atas. Kaum wanita berpakaian baju kurung hitam dan berselendang 
putih (untuk Melayu) atau hitam (untuk lain-lain bangsa). 
Ketika memberi
 penghormatan terakhir, mereka yang beragama Islam turut mengambil 
peluang berdoa supaya Allah mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum. 
Selepas istiadat memberi penghormatan terakhir maka persiapan akan 
dijalankan untuk mengusungkan jenazah ke luar dari istana dengan pedati 
khas ke Masjid Ubudiah untuk disembahyangkan. Orang ramai boleh datang 
untuk menziarahi mahupun menyaksikan Istiadat Pengiringan Jenazah 
Almarhum dari Istana Iskandariah ke Masjid Ubudiah. Ada pula yang datang
 mengiringi jenazah Almarhum diarak di atas pedati dalam perjalanan ke 
masjid.
Selepas jenazah disembahyangkan, biasanya oleh Mufti Kerajaan 
Negeri, maka jenazah akan dibawa untuk disemadikan dengan penuh adat 
istiadat yang dikenali sebagai Istiadat Pemakaman. Pada kelazimannya, 
istiadat ini dihadiri oleh kerabat diraja, Orang Besar-Besar dan orang 
kenamaan, dan mereka akan menyaksikan jenazah Almarhum diturunkan ke 
dalam liang lahad yang telah disediakan sebaik sahaja tersiarnya berita 
mengenai kemangkatan Almarhum. Bacaan talkin dan doa akan diketuai oleh
 Mufti Kerajaan Negeri, dan sebaik sahaja talking dan bacaan doa 
selesai, tembakan meriam dengan bilangan das berdasarkan usia Almarhum 
dilepaskan. Istiadat kemudian disusuli dengan menabur bunga rampai dan 
menyiram air mawar ke atas makam Almarhum dengan didahului oleh Raja 
Pemerintah baru, isteri gahara Almarhum, dan lain-lain kerabat diraja 
mengikut protokol yang ditetapkan oleh pihak Kerajaan Negeri.
 
Pada zaman dahulu, Istiadat Berkabung 
dilaksanakan dengan setiap orang lelaki dalam istana bercukur dan wanita
 berkerat rambut. Kini, istiadat berkabung cuma ada berkaitan dengan 
peraturan pakaian dan pembatalan acara rasmi sahaja. Tempoh perkabungan 
akan ditetap dan disiarkan oleh pihak Kerajaan Negeri, dan dalam tempoh 
ini bendera Negeri Perak hendaklah dinaikkan setengah tiang, acara-acara
 rasmi yang dikelolakan oleh pihak Kerajaan Negeri dikehendaki dibatal 
atau ditunda kepada suatu tarikh yang lain selepas tempoh perkabungan 
itu. 
Majlis-majlis bercorak hiburan, nyanyian dan tarian juga wajib 
dibatalkan. Dua buah gendang nobat dan dua buah gendang nengkara akan 
dibalut dengan kain putih sebagai tanda penghormatan kemangkatan 
Almarhum. Segala pawai kerajaan Negeri seperti lembing kerajaan, payung 
kerajaan, keris dan pedang kerajaan juga dikehendaki diikat dengan 
lapisan kain putih. 
Dalam tempoh berkabung, kerabat diraja lelaki 
berpakaian baju Melayu hitam dan bertengolok putih ikat solek. Kaum 
lelaki Melayu daripada orang kebanyakan memakai baju Melayu dengan 
bersongkok hitam yang berbelit kain putih selebar 2.5 cm. Lelaki 
daripada bangsa lain boleh berpakaian lounge suit atau baju kemeja 
berlengan panjang dan bertali leher hitam atau warna gelap tanpa 
bercorak serta memakai toha hitam selebar 8 cm di lengan kanan. Kaum 
wanita Melayu berbaju dan berkain hitam atau warna lain yang gelap dan 
berselendang mahupun bertudung putih. Wanita berbangsa lain juga 
berpakaian hitam atau gelap dan berselendang hitam. 
Untuk Paduka Seri 
Sultan, tempoh perkabungan ialah 100 hari, manakala untuk Raja Muda 40 
hari, Raja Di Hilir 7 hari dan Raja-Raja Bergelar 5 hari. Untuk Raja 
Perempuan mahupun Raja Permaisuri hendaklah berkabung selama 40 hari, 
dan Raja Puan Besar 14 hari, Raja Puan Muda 7 hari serta isteri-isteri 
lain Paduka Seri Sultan tidak melebihi 7 hari dan ditetapkan oleh Tuanku
 Paduka Seri Sultan. 
Selepas seratus hari daripada hari pemakaman 
berlangsunglah Istiadat Menurunkan Batu Nisan. Istiadat ini cuma 
disaksikan oleh kerabat-kerabat yang terdekat sahaja. Batu nisan itu 
akan dililiti dengan kain kuning mahupun kain putih, kuning dan hitam 
yang merupakan warna-warna kebesaran kerajaan Negeri Perak.