Saturday, May 24, 2014

PENGARAH JPS LABUAN PALSUKAN DOKUMEN


Apa saja yang palsu pasti tidak akan selamat dan bertahan lama. Dalam kehidupan harian, kepalsuan adalah satu perbuatan keji dan ia pula adalah satu jenayah di dalam undang-undang negara.
 
Gejala pemalsuan dokumen melibatkan agensi kerajaan dan swasta boleh mendatangkan impak negatif kepada keharmonian dan keselamatan masyarakat.

Jika tidak dibendung, perbuatan itu mampu membantutkan perkembangan modal insan negara yang sedang menuju ke arah negara berpendapatan tinggi.  

Kes-kes pemalsuan yang sering dilaporkan membabitkan dokumen kerajaan adalah seperti pemalsuan dokumen, pas dan cop Jabatan Imigresen untuk membawa masuk pendatang asing tanpa izin, pemalsuan dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan surat-surat perakuan rasmi kerajaan persekutuan dan negeri.
Akibat dari pemalsuan dokumen, bekas Pengarah JPS Labuan dan kerani dipenjara 18 bulan dan didenda RM20,000;

KOTA KINABALU, 22 Mei - Bekas Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Labuan, Shahrunizam bin Mashkor, 40 tahun dan kerani beliau, Rahimah binti Abdul Rashid, 50 tahun dihukum penjara 18 bulan dan denda RM20,000 berhubung kesalahan memalsukan dokumen bernilai RM34,700 melibatkan dua baucar bayaran kerja-kerja kecemasan pada tahun 2008.
Kedua-dua mereka didapati bersalah atas dua tuduhan oleh panel tiga hakim yang diketuai oleh Dato' Abdul Aziz bin Abd Rahim; Dato' Rohana binti Yusof dan Dato' Abang Iskandar bin Abang Hashim.
Merujuk kertas pertuduhan pilihan yang dibacakan, kedua-dua mereka dituduh bersubahat dengan memperdayakan Penolong Akauntan Jabatan Akauntan Negara Labuan iaitu Anthony bin Biujin baucar bayaran bagi kerja mengorek dan mendalamkan muara Sungai Miri termasuk kerja-kerja berkaitan dilampirkan bersama surat lantikan, sebut harga dan pesanan kerajaan sedangkan kerja-kerja tersebut tidak dilakukan.
Pada 29 April 2011, kedua-dua tertuduh telah dilepaskan daripada tuduhan di bawah Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 oleh Mahkamah Sesyen Jenayah Labuan.
Rahimah diwakili Rizwan Dean Bukhary bin M.Borhan, Yusry dan Rizwan dari Rizuan Lim & Co. manakala Shahrunizam diwakili oleh tetuan Rakbir Singh & Co. dan SPRM diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya  Muhammad Saifuddin bin Hashim Musaimi.
Kesalahan Seksyen 16 (a) & (b) Akta yang sama memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada empat belas hari dan tidak lebih daripada dua puluh tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu dan jika suapan dinilai dapat dinilai atau berbentuk wang atau sepuluh ribu ringgit mengikut mana-mana lebih tinggi.
Kedua-dua perayu bagaimanapun tidak membayar denda.

No comments: