Monday, May 19, 2014

KURANGKAN SYARIKAT BAS EKSPRES ...



Tahun lepas Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) telah memohon SPAD mengkaji kenaikan tambang bas hingga 30% dengan pelbagai alasan bagi mengelakkan syarikat terbabit mengalami kerugian sehingga terpaksa menamatkan operasi. Itu tuntutan di musim perayaan. Namun, pihak kerajaan telah membenarkan pengusaha syarikat bas mengenakan caj tambahan sebanyak 10 peratus apabila tiba musim perayaan bagi membantu syarikat berkenaan.

Walaupun harga petrol dan diesel telah dinaikkan sebanyak 20 sen seliter pada 2 September tahun lalu, namun tiada kenaikan tambang tetapi pengusaha bas dibenarkan terus mengenakan caj tambahan 10 peratus setelah meneliti kesan langsung dan tidak langsung kenaikan harga bahan api ini kepada pengendali.

Akhirnya, semua pihak menang-menang dalam isu ini, di mana pengendali bas berpuas hati dan rakyat tidak rugi.

Baru-baru ini, kemalangan demi kemalangan jalanraya yang melibatkan bas ekspres sehingga mengadai nyawa manusia. Seperti biasa alasan demi alasan diberikan syarikat pengendali ekspres. Yang pasti kesalahan diletakkan di bahu pemandu. Paling memeranjatkan apabila ada pemandu bas yang mendakwa dipaksa memandu jarak jauh walaupun keadaan tidak sihat dan mengantuk.

Pihak SPAD didesak mengambil tindakan untuk menggantung lesen pengendali bas syarikat tersebut. Namun, menurut Pengerusi SPAD ia bukanlah bukan langkah penyelesaian yang berkesan untuk mengelak kecuaian dan kesalahan yang dibuat oleh pemandu bas pada masa akan datang.

Beberapa faktor lain telah dikenalpasti pihak SPAD bagi menghadapi masalah-masalah di atas.

Menurut CEO SPAD, En Mohd Nur Ismal Kamal, terlalu banyak syarikat pengendali bas ekspres dan kini terdapat 71 syarikat yang aktif di seluruh negara. Akibatnya, syarikat mengalami kekurangan pemandu dan kapasiti penumpang yang rendah terutama pada hari biasa. Bayangkan lapan bas ke destinasi yang sama manakala hanya memerlukan tiga buah bas sahaja. Seandainya kapasiti penumpang tidak memenuhi kouta, ini bakal mengakibatkan syarikat pengendali bas tersebut mengalami kerugian.

Apabila terlalu banyak bas ke satu destinasi, pihak SPAD juga mengalami kesukaran mengesan dan mengumpul data perjalanan bas dan ini termasuk perjalanan penumpang.

Oleh itu, adalah wajar jika pihak SPAD mencadangakan untuk mengurangkan syarikat-syarikat pengendali bas ekspres. Namun, cadangan ini masih diperingkat kajian.

Cadangan ini juga telah mendapat respon positif dari Setiausaha Eksekutif Persatuan Operator Bus Pan Malaysian, En Teoh Ewe Hun apabila menyatakan industri bas telah menghadapi masalah dengan terlalu banyak syarikat beroperasi lebih dari 20 tahun.

Apa-apa pun ini baru di peringkat cadangan dan diharap dengan kerjasama dari syarikat pengendali bas dapat mengatasi masalah yang mereka hadapi dan dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada orang ramai yang seiring dengan objektif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

1 comment:

Anonymous said...

Satu orang jual nasi lemah semua nak jual nasi lemah.