Showing posts with label ekonomi. Show all posts
Showing posts with label ekonomi. Show all posts

Friday, April 20, 2018

ANNUAR MUSA : APAKAH MAHATHIR BEGITU TERCABAR DENGAN KECEKAPAN PM NAJIB MENGURUS EKONOMI NEGARA?


Apabila badan-badan dunia seperti Bank Dunia, IMF dan juga organisasi yang membuat penilaian ekonomi untuk pelabur-pelabur asing seperti Standard & Poor's (S&P), Moody's dan Fitch Group memberi gred 'A' kepada pengurusan ekonomi negara yang diterajui PM Najib Razak, maka Dr Mahathir perlu sedar yang segala tuduhannya negara bakal muflis adalah tidak benar sekali.

Ketika pelabur-pelabur asing berlumba-lumba ingin meletakkan wang mereka di Malaysia, ini juga adalah petanda kerajaan PM Najib diyakini mereka. Ketika pembangunan rancak dilaksanakan terutamanya di sektor pengangkutan awam, ini menunjukkan kerajaan sememangnya tidak miskin. Ketika kerajaan mampu memberi pelbagai pembiayaan dan bantuan kepada rakyat, bukan saja PM Najib seorang yang berhati rakyat tetapi kutipan GST yang dilaksanakan telah digunakan secekap mungkin untuk dikembalikan kepada rakyat.

Terlalu banyak pencapaian di sepanjang hanya dalam masa 9 tahun PM Najib mentadbir ekonomi negara. Apakah kesemua itu perlu dinafikan Mahathir? Soalan selanjutnya, mengapa selama lebih dari 20 tahun ketika Mahathir adalah ketua pentadbir negara, kesemua itu tidak dilaksanakan? Lebih malang kini Mahathir beriya-iya ingin menghapuskan GST dan segala kebajikan dan kemudahan yang sedang dinikmati rakyat.

Sepertimana Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa katakan, seandainya Mahathir ingin kembali ke pentadbiran negara, ini bermakna negara pasti akan melangkah ke belakang dan akhirnya ekonomi negara akan kembali bergolak sepertimana yang pernah berlaku di zamannya. Bukan saja ekonomi lambat berkembang malahan dengan sikap Mahathir yang gemar mencabar dan mencari pertelingkahan dengan kuasa-kuasa asing, pasti Malaysia akan dipinggirkan.

Semua negara di dunia sedang berbaris untuk mendapatkan insentif 'Road and belt' negara Republik China, tetapi Mahathir ingin menghapuskannya setelah kaedah faedah pinjaman yang diberikan untuk projek ECRL adalah terendah. Tetapi Mahathir masih ingin meneruskan sepertimana yang pernah beliau laksanakan meminjam dengan Jepun yang jelas nila matawang Yen tersangat tinggi dan pasti nilai pinjaman negara juga nanti turut berkali ganda.

Apakah Mahathir begitu tercabar dengan kecekapan PM Najib mentadbir ekonomi negara? Walaupun diberi peluang menerajui pakatan pembangkang, manifesto PRU14 mereka jelas menunjukkan Mahathir tidak mampu mengatasi pemikiran PM Najib yang jelas merangkumi janji untuk semua peringkat umur. Manifesto khusus untuk belia dan juga wanita turut dilancarkan yang menunjukkan PM Najib bukan saja memikirkan masa depan negara untuk jangka waktu 5 tahun tetapi melangkaui lebih dari itu. Manakala wanita yang dianggap sebagai ratu negara, mereka berterusan diberi perhatian yang bermula dari mendidik anak yang baru lahir sehinggalah beban untuk mendapatkan pendidikan untuk anak-anak mereka diberi perhatian serius.

Walaupun di usia 93 tahun masih teringin kembali berkuasa tetapi apakah daya pemikirannya masih mampu menyaingi PM Najib? Sedangkan ketika beliau berada di usia PM Najib pun, pentadbiran beliau tidak pernah mendapat pengiktirafan dunia. Dr Mahathir pernah diberi peluang dan seharusnya apa yang beliau terfikir hari ini sepatutnya dilaksanakan.

Jika tidak mampu bersaing, seharusnya Dr Mahathir mengaku saja yang PM Najib telah menguruskan ekonomi negara dengan lebih baik dari beliau dan bukan sabotaj kepentingan rakyat untuk kepentingan politiknya semata-mata.
 

Friday, March 23, 2018

KISAH NGERI DI SEBALIK EKONOMI MAHATHIR


Di sebalik kepesatan pertumbuhan ekonomi di era Dr Mahathir yang dibanggakannya dan termasuk penyokong-penyokongnya, beliau telah mengambil selama 2 dekad untuk mencapai kejayaan ini. Beliau yang sering memperlekeh pentadbiran PM Najib Razak sering mendakwa kemampuannya membangunkan negara dan kini setelah berada bersama-sama blok pembangkang, GST adalah polisi kerajaan hari ini yang sangat ditentangnya.

Di dalam keghairahan Dr Mahathir menjual manifesto pakatan pembangkangnya, beliau mendakwa yang tanpa GST, Malaysia akan mampu menjadi Harimau Asia nanti. Rakyat diharapkan akan terpesona dengan janji ini dan berkempen habis-habisan menentang GST yang telah diperkenalkan dari zaman beliau dan berani dilakasanakan oleh PM Najib Razak walaupun mengetahui ia bukan polisi populis namun sangat diperlukan.

Persoalan yang dikemukakan oleh pihak parti pemerintah - Mengapa GST tidak diperlukan di zaman Mahathir dan apakah benar beliau akan mampu menjadikan Malaysia sebagai Harimau Asia?

Selama 22 tahun mengetuai pentadbiran negara, apakah Malaysia telah setanding Hong Kong, Singapura, Korea Selatan dan Taiwan yang sememangnya digelar Harimau Asia? Walaubagaimanapun, tidak dapat dinafikan Malaysia hanya mampu diberi gelaran sebagai sebuah negara ekonomi anak harimau setanding Indonesia, Filipina, Thailand dan juga Vietnam.

Persoalan seterusnya, apakah sumber sebenar pendapatan negara di zaman Mahathir?
Mungkin generasi muda tidak mengetahui yang sebahagian besar negara mengalami pertumbuhan pantas hanya pada sekitar 90an dan ia bukan Malaysia saja yang pesat membangun tetapi turut dirasai negara-negara jiran di mana ia digelar sebagai 'era emas'. Pada tahun 22 September 1985, Perjanjian Plaza telah ditandatangani negara-negara barat dengan Jepun di New York untuk meningkatkan nilai matawang Jepun ekoran segala uruniaga eksport Jepun di dalam nilai matawang rendah.

Dengan itu, dalam beberapa tahun saja nilai matawang Yen melonjak naik dan sekali ganda berbanding USD dan nilai matawang asing yang lain. Oleh kerana peningkatan Yen, Won Korea Selatan dan juga dollar Taiwan ketika itu, maka pelabur asing telah memindahkan industri mereka ke China dan juga negara-negara Asia termasuklah Malaysia.

Walaupun Malaysia sempat menikmati gelombang pelaburan asing ini sehingga mampu melonjakkan pertumbuhan ekonomi yang rancak, namun ia terhenti dalam masa sedekad apabila krisis kewangan Asia Timur tercetus pada Julai 1997.

Maka sebab itu pentadbiran Dr Mahathir hanya mampu melakukan pertumbuhan kukuh ekonomi negara hanya pada awal 90an dan tanpa Perjanjian Plaza dan kesan kepada lonjakan nilai matawang Yen, kilang-kilang mereka terpaksa dibawa keluar dari Jepun yang mampu memberi kos pengeluaran yang lebih rendah. Ia bukanlah kejayaan seratus peratus Dr Mahathir seorang tetapi negara-negara jiran juga mencapai kemajuan yang sama.

Di dalam kerancakan itu, seharusnya Dr Mahathir tidak memerlukan GST dan negara ketika itu juga mempunyai sumber dana lain dari hasil asli negara yang kebanyakannya samada telah pupus seperti timah dan berkurangan seperti minyak mentah. Dr Mahathir juga sebenarnya rancak membuat hutang melalui pelbagai pinjaman antarabangsa dan akibatnya, hutang negara melonjak sehingga pernah mencapai 103 peratus pada tahun 1986, dalam masa 5 tahun beliau memegang jawatan Perdana Menteri.

Nisbah hutang negara berbanding KDNK kekal melepasi 60 peratus selama 10 tahun tetapi PM Najib telah mampu menurunkannya sehingga ke 50.7 peratus pada hari ini.

Siapa kata di zaman Dr Mahathir tiada cukai-cukai yang dikenakan? Di zaman Dr Mahathirlah maka cukai korporat dan individu dikenakan melebihi 30 peratus tetapi PM Najib telah mengurangkan cukai-cukai ini yang bermula dari 28 peratus dan kini hanya 24 peratus sahaja. Tambahan, PM Najib turut melepaskan cukai individu yang berpendapatan bulanan di bawah RM4,000.

Cukai jualan di zaman Dr Mahathir adalah di antara 10 hingga 20 peratus dan ditambah pula dengan cukai perkhidmatan 6 peratus. Pentadbiran Dr Mahathir juga telah mengenakan cukai jualan sebanyak 19.64sen bagi setiap liter diesel dan 58.62 sen bagi setiap liter petrol hampir sepanjang 22 tahun pentadbirannya. Cukai 58.62 bagi setiap liter petrol ini dimansuhkan pada 2004.

Memang benar Dr Mahathir tidak pernah salurkan subsidi untuk petrol tetapi sebaliknya cukai dikenakan kerana ketika zamannya, harga minyak berada di antara USD10 hingga USD20 setong sahaja jika dibandingkan harga kini adalah USD60 setong. Subsidi beras, minyak kelapa sawit atau gula pasir juga tidak disalurkan subsidi kerana jelas, harga komoditi-komoditi ini sangat rendah di zaman beliau berbanding harga global komoditi hari ini.

Apakah beliau juga mampu mengawal harga komoditi dunia hari ini?

Siapa di antara kita yang tidak pernah dengar perkataan 'penswastaan' dan inilah polisi yang sangat terkenal di zaman Dr Mahathir. Di sebalik namanya yang gah, sebenarnya Dr Mahathir sedang menjual saham dan aset kerajaan untuk mendapatkan wang untuk kerajaan pentadbirannya. Di antara yang telah dijual termasuklah pemilikan saham Telekom Malaysia, Tenaga Nasional, Bursa Saham, Pelabuhan Klang, Kuantan dan beberapa bank, kesemua lapangan terbang, syarikat penerbangan, jambatan Pulau Pinang, khidmat Pos malah Lembaga Padi juga, dijualnya.

Petronas adalah kantong duit utama Dr Mahathir sehinggakan menara berkembar tertinggi di dunia KLCC mampu dibina. Apakah ini projek mega untuk rakyat atau telah dimanfaatkan oleh sebilangan rakan kroni dan keluarganya sahaja? Jangan terperanjat apabila di zaman Dr Mahathir, baki wang Petronas hanya mampu berada di antara RM20 - RM30 bilion berbanding hari ini di mana PM Najib telah menunjukkan sikap hormatnya supaya Petronas mampu menguruskan kewangan mereka sendiri. Setakat hujung tahun 2017, baki wang Petronas adalah RM128.2 bilion.

Jika Dr Mahathir dikatakan telah berjaya menyelamatkan Malaysia dari kegawatan ekonomi ke dua pada tahun 1998, Barisan Nasional ingin bertanya, siapakah Perdana Menteri ketika itu yang menyebabkan negara ini terjerumus ke kedudukan kegawatan itu sehingga memerlukan Mahathir menyelamatkan Malaysia?

Wednesday, March 09, 2016

#MAHATHIR SABOTAJ EKONOMI NEGARA

Pakar ekonomi yang berkata... dari tindakan yang tidak tepat dan niat Mahathir yang tidak baik, rakyat yang susah



Wednesday, January 21, 2015

WEE KA SIONG : MANGSA BANJIR SME TIDAK DIPINGGIRKAN

 
Pengusaha-pengusaha SME di Pantai Timur yang menghadapi bencana banjir baru-baru tidak dipinggirkan. Itulah di antara intipati perutusan khas Perdana Menteri di dalam mengumumkan langkah-langkah mengatasi kedudukan ekonomi semasa dan kewangan negara semalam.

Pengumuman ini telah disambut baik oleh YB Datuk Wee Ka Siong, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan prihatin kerajaan terhadap mangsa banjir di Pantai Timur merangkumi pengusaha-pengusaha SME juga.

Di antara langkah-langkah yang diumumkan adalah penubuhan Special Relief Facility bertujuan mengurangkan beban pengusaha-pengusaha SME di Pantai Timur agar kesinambungan pendapatan perniagaan mereka dapat diteruskan dengan kadar segera. Sekaligus, sumbangan pendapatan negara dari SME tidak terjejas di dalam keadaan negara sedang berhadapan dengan cabaran kedudukan ekonomi dunia yang tidak menentu.

Berikut adalah kenyataan media YB Datuk Ir. Dr. Wee Ka Siong merangkap Menteri di Jabatan Perdana Menteri;

20hb, Januari 2015, Putrajaya-

Saya menyambut baik pengumuman oleh Perdana Menteri berkenaan perkembangan semasa dan kewangan negara pagi tadi.

Di antara penyelarasan penting yang diambil oleh pihak kerajaan berikutan perkembangan semasa global dan dalam negeri baru-baru ini ialah penubuhan Special Relief Facility untuk menyediakan pembiayaan pinjaman SME pada kadar 2.25 peratus serta penangguhan tempoh bayaran balik sehingga 6 bulan kepada pengusaha SME yang dijejaskan oleh banjir baru baru ini.

Saya menyambut baik pengumuman tersebut dan ia merupakan langkah penting untuk membantu SME yang mengalami kerugian teruk dalam musibah banjir yang melanda beberapa negeri di negara ini, khususnya di Pantai Timur.

Pengumuman Perdana Menteri yang memberi jaminan bahawa projek-projek mega, seperti MRT jajaran kedua, LRT dan High Speed Rail KL-Singapura, Rapid di Pengerang akan tetap diteruskan turut menunjukkan bahawa keadaan ekonomi negara masih stabil dan utuh serta tidak dalam krisis.

Pengumuman ini turut membuktikan desas desus yang mengatakan bahawa industri pembinaan negara akan terbantut adalah dakwaan tidak berasas.

Sebaliknya, dengan adanya projek membaikpulih dan pembinaan semula infrastruktur asas yang musnah dalam banjir serta projek-projek mega tersebut akan dapat merangsang ratusan industri berkaitan (supporting industries), di mana kebanyakan adalah SME.

Pada masa kini, SME menyumbang sebanyak 34 peratus kepada KDNK Negara, dan sasaran kerajaan ialah sumbangan SME kepada KDNK dapat dipertingkatkan kepada 41 peratus menjelang tahun 2020.

Saya yakin strategi-strategi yang diumumkan oleh Perdana Menteri dalam perutusan beliau pagi tadi dapat merangsang pertumbuhan positif SME secara keseluruhannya.

Saya turut menyambut baik pengumuman Perdana Menteri untuk merasionalisasi dan mengurangkan  perbelanjaan kerajaan. Ini mempamerkan kesungguhan kerajaan dalam mengurangkan beban kewangan negara. Ini merupakan titik permulaan yang baik dan  semoga dapat memupuk budaya
berbelanja secara berhemah dalam sektor awam.

Tuesday, January 20, 2015

6 "KEY TAKE-AWAY POINTS" DARI PENJELASAN @najibrazak



6 perkara "key take-away points" di dalam penjelasan Datuk Seri Najib yang perlu kita beri perhatian sebelum terus membaca perutusannya:


Pertama, kita bukan di dalam keadaan gawat atau krisis, seperti mana pada tahun-tahun 1997 dan 1998, bahkan tidak juga seperti tahun 2009 yang lalu, sehingga pakej-pakej stimulus perlu dilaksanakan. 

Kedua, Strategi-strategi Kerajaan yang diumumkan tadi, adalah langkah proaktif untuk melakukan penyesuaian atau adjustment, berikutan faktor-faktor luaran yang di luar kawalan kita. Ini merupakan satu reality check, berikutan antaranya perubahan harga minyak dunia.

Ketiga, Akaun Semasa dalam Imbangan Pembayaran kita, Insya-Allah, dijangka kekal positif dan tidak berada dalam defisit.

Keempat, Pasaran kewangan tetap teratur dan kukuh. Malah, matawang ringgit, walaupun mengalami penyesuaian ketika ini, akan kembali ke paras yang menggambarkan asas ekonomi yang kukuh. Insya-Allah.

Kelima, Perbelanjaan Pembangunan atau Development Expenditure yang diperuntukkan dalam Bajet 2015 sebanyak 48.5 bilion ringgit tidak berubah dan akan tetap dibelanjakan. Ini termasuklah, projek-projek bersifat people economy, yakni perumahan rakyat, tebatan banjir, bekalan air, elektrik dan pengangkutan awam seperti Lebuhraya Pan Borneo. 

Di samping itu, projek-projek MRT jajaran kedua, LRT dan High Speed Rail Kuala Lumpur-Singapura, Rapid di Pengerang akan tetap diteruskan. 

Malah, pada bulan Mei nanti, saya akan membentangkan Rancangan Malaysia Kesebelas, bagi merencanakan pula perbelanjaan pembangunan negara sehingga tahun 2020, dan akhirnya;

Yang ke-enam, Perbelanjaan Mengurus atau Operating Expenditure dijangka akan dikurangkan sebanyak 5.5 bilion ringgit, dengan mengutamakan perbelanjaan yang benar-benar diperlukan sahaja.


PERUTUSAN KHAS PERKEMBANGAN EKONOMI SEMASA DAN KEDUDUKAN KEWANGAN NEGARA

Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam 1 Malaysia
YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin
Timbalan Perdana Menteri

YB Dato’ Seri Ahmad Husni Hanadzlah
Menteri Kewangan Kedua

YBhg. Tan Sri Dr. Ali Hamsa
Ketua Setiausaha Negara

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,
(Mukadimah)

1. Pertama-tamanya, marilah kita mengucapkan syukur yang tidak terhingga ke hadrat Allah SWT atas limpah kurnia-Nya dapat kita berkumpul pada pagi yang berbahagia ini. Begitulah ucapan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

2. Dalam Majlis ini, kita berhimpun bersama-sama, sebahagian pimpinan dan para pentadbir, penjawat awam, ketua-ketua industri dan orang-orang korporat, wakil-wakil kedutaan, golongan NGO dan para sukarelawan. Seterusnya, yang dikasihi seluruh rakyat Malaysia, sama ada yang di dalam dewan, atau yang sedang menonton juga mendengar perutusan khas ini. 

3. Tujuan saya berucap, adalah untuk memberi penjelasan terkini tentang perkembangan ekonomi semasa dan kedudukan kewangan negara. Mutakhir ini, terdapat laporan-laporan, kebimbangan dan pertanyaan terutamanya berkait harga minyak dan kedudukan nilai matawang ringgit. 

4. Ketahuilah bahawa, Kerajaan memang sentiasa memantau keadaan ini sejak awal. Sehubungan itu, hari ini, Kerajaan akan mengumumkan beberapa langkah proaktif, untuk membuat pengubahsuaian yang spesifik, bagi menjajar semula dasar-dasar kita, beriring dengan perubahan senario ekonomi global, yang faktor-faktornya, berada di luar kawalan kita. Ini dilakukan, untuk kita terus mencapai pertumbuhan ekonomi yang menyakinkan lagi boleh dibanggakan.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,
5. Dalam erti kata lain, I am here today to announce specific and proactive measures to align ourselves with the recent global economic developments.

6. We are not in crisis. Indeed, we are taking preemptive measures following the changes of the external global economic landscape, which are beyond our control.

7. This is to ensure that our economy continues to attain a respectable and reasonable growth. And at the same time, we want to ensure and must ensure development of the nation and socio economic welfare of the people to be continue to be the main focus of the government.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,
8. Sesungguhnya takwim 2014 yang lalu, merupakan tahun yang amat mencabar dan begitu menduga bagi kita dengan pelbagai tragedi. 

9. Pada penghujung tahun lepas, Malaysia diuji dengan musibah banjir yang luar biasa. Ia telah melanda beberapa buah negeri di Pantai Timur dan Utara Semenanjung, antaranya Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah dan Perak. 

10. Di beberapa negeri lain, sungguhpun tidak begitu kritikal, banjir turut memberi kesan kepada penduduk di sesetengah tempat di Johor, Sabah dan Sarawak.

11. Demikianlah, seperti yang difirmankan bahawa, manusia merancang, Allah merancang, sesungguhnya Allah jualah sebaik-baik Perancang. 

12. Apa yang ingin saya nyatakan di sini ialah, dalam segala kudrat Kerajaan dan pentadbiran, kita telah cuba merencana, merangka, menyusun dan berikhtiar untuk melaksanakan setiap sesuatu dengan sehabis baik demi kepentingan dan keperluan rakyat.

13. Justeru, jika diimbau, secara keseluruhannya, kira-kira hanya sekitar tiga bulan lebih yang lalu, sewaktu Bajet 2015 dibentangkan, perancangan Kerajaan adalah berpremiskan, antaranya, pertama, unjuran harga minyak Dated Brent pada kadar 100 dolar Amerika setong. 

14. Kedua, pertumbuhan ekonomi atau Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dijangka mencatat antara 5 hingga 6 peratus. Ketiga, kadar pertukaran matawang yang kekal stabil pada 3.2 ringgit berbanding dolar Amerika; dan 

15. Keempat, semasa bajet itu digubal, pertumbuhan ekonomi dunia pada 2015 diunjurkan oleh World Bank dan IMF adalah pada kadar 3.4 dan 3.9 peratus. Kini, mereka telah mengkaji semula kadar dan meletakkan paras yang lebih rendah di antara 3 hingga 3.8 peratus. 

16. Perlu difahami juga, sewaktu Bajet 2015 digubal, it was based on strong fundamentals, yakni asas 2014 yang teguh. Oleh sebab itulah, defisit fiskal tahun 2015 telah diunjurkan pada kadar 3 peratus, berbanding pada kadar 3.5 peratus pada 2014.

17. Walau bagaimanapun, kontemporari ini, mahu tidak mahu, kita harus menerima hakikat bahawa, persekitaran dan percaturan ekonomi dunia telah berubah, yang secara langsungnya memberi impak kepada Malaysia sebagai, antara negara yang mempunyai dagangan terbesar di dunia. 

18. Maksudnya, berbanding situasi beberapa bulan yang lepas, kini, the global economic landscape has changed in very significant ways. Beberapa perkara pokok yang telah Kerajaan unjurkan, bagi merancang ekonomi dan kewangan negara, kini perlu disemak dan diperjelaskan kedudukan semasanya. 

19. Turut dibangkitkan adalah keupayaan Kerajaan untuk mencapai sasaran fiskal pada tahun 2015. Ramai ingin tahu, persoalannya, berdasarkan situasi semasa ini, adakah ekonomi dan kewangan negara akan terjejas? 

20. Oleh yang demikian, perutusan khas hari ini disampaikan supaya rakyat Malaysia mendapat penjelasan langsung daripada Kerajaan tentang perkara ini. Saya juga turut akan mengumumkan beberapa strategi, berikutan kedudukan ekonomi semasa. 

21. Sebagai Kerajaan yang bertanggungjawab, kita akan terus merintis serta mencari jalan bagi mempastikan negara terus membangun dan kesejahteraan rakyat terjamin. 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,

22. Kita sedar mutakhir ini, wujud pertanyaan di kalangan rakyat, komuniti perniagaan dan para penganalisis bersabit kejatuhan mendadak harga minyak mentah dunia ke atas ekonomi Malaysia. 

23. Merujuk kepada trend harga minyak mentah global, dalam tempoh enam bulan kebelakangan ini, ia telah menjunam lebih 50 peratus. Ini adalah disebabkan, salah satunya, oleh kerana lebihan bekalan dan permintaan global yang berkurangan. 

24. Selain daripada itu, ini juga adalah disebabkan oleh pengeluaran gas dan minyak shale yang meningkat ketara di Amerika Syarikat berikutan kemajuan teknologi industri pengeluaran minyak. 

25. Dalam masa yang sama, keadaan ini menjadi lebih buruk, dengan pertambahan bekalan daripada kalangan negara-negara bukan OPEC. Manakala, negara-negara OPEC pula enggan mengurangkan pengeluaran mereka bagi mengekalkan penguasaan pasaran.

26. Di sinilah pihak Kerajaan sering ulang-ulangkan dan berharap, agar rakyat dapat sama-sama memahami bahawa, isu harga minyak mentah bukanlah sesuatu yang berada dalam kawalan langsung Kerajaan Persekutuan kita.

27. Kerana itulah, penanda aras harga minyak mentah Dated Brent terkini telah turun kepada sekitar 48 dolar Amerika setong pada hari semalam, yakni 19 Januari 2015. Walaupun begitu, para penganalisis menjangkakan harga minyak akan mengambil tempoh tertentu untuk kembali stabil. 

28. Tuan-Tuan dan Puan-Puan, apabila berlakunya penurunan harga minyak seperti sekarang ini, hikmahnya, ia membawa manfaat kepada negara pengimport bersih minyak seperti Malaysia.

29. Sebagai contoh, apabila pengurangan harga runcit petrol dan diesel pada 35 dan 30 sen seliter baru-baru ini, tambahan pendapatan boleh guna atau disposable income pengguna rakyat Malaysia secara kasarnya adalah di sekitar 7.5 bilion ringgit. Dengan andaian pengguna membelanjakan 40 peratus daripada jumlah tersebut, ini akan meningkatkan penggunaan swasta sebanyak 3 bilion ringgit. 

30. Selain itu, Bank Dunia mengunjurkan bahawa, harga minyak mentah yang lebih rendah akan memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi global. Malah, penurunan harga minyak sebanyak 30 peratus, mampu meningkatkan pertumbuhan KDNK dunia sehingga 0.5 peratus. 

31. Ini secara tidak langsung, akan juga memberi kelebihan kepada permintaan produk buatan Malaysia. Dengan kedudukan ekonomi Amerika Syarikat yang semakin kukuh pula, permintaan terhadap eksport Malaysia terus mampan terutamanya bagi produk elektrik dan elektronik. 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,
32. Ironisnya, kejatuhan harga minyak mentah dunia, memberi impak secara langsung dalam mengurangkan pendapatan negara. 

Pendapatan inilah, yang Kerajaan gunakan bagi tujuan pembangunan seperti membina sekolah-sekolah, jalan raya dan rumah-rumah ibadat. Ia juga digunakan antaranya, untuk perbelanjaan termasuklah seperti gaji penjawat awam, kos ubat-ubatan di hospital Kerajaan, subsidi pertanian dan kos perbelanjaan keselamatan untuk anggota RELA, tentera. polis dan sebagainya.

33. Seperti yang telah saya nyatakan tadi, harga minyak mentah dunia telah menjunam. Berdasarkan paras tertinggi minyak mentah Dated Brent, iaitu sebanyak 115 dolar Amerika setong, yang direkodkan pada 19 Jun 2014, harga semasa telah menunjukkan kemerosotan melebihi 50 peratus.

34. Selaras itu, ahli-ahli ekonomi berpendapat bahawa unjuran paras harga asas 100 dolar Amerika setong semasa Bajet 2015 dibentangkan, adalah tidak lagi realistik. Mereka kini, mengganggarkan purata harga minyak bagi tahun 2015 adalah antara 40 hingga 70 dolar Amerika setong. 

35. Lantaran itulah, Kerajaan perlu menyemak semula untuk merendahkan unjuran purata paras harga asas minyak, kepada 55 dolar Amerika setong bagi tahun 2015 ini, berasaskan kepada unjuran bajet yang disemak kembali.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,
36. Jika berasaskan kepada harga minyak mentah pada 100 dolar Amerika setong, serta mengambil kira penjimatan dari pelaksanaan mekanisme pengapungan terkawal harga runcit minyak mulai Disember 2014, Kerajaan dijangka memperoleh tambahan lebihan semasa akaun fiskal, sebanyak 3.7 bilion ringgit.

37. Dalam kata lain, seandainya harga minyak mentah kekal pada 100 dolar Amerika setong, Kerajaan mampu menampung pelaksanaan semua langkah yang telah diumumkan dalam Bajet 2015, dengan sasaran defisit fiskal tidak melebihi 3 peratus. 

38. Namun begitu sebaliknya, pada harga 55 dolar Amerika setong yang diunjurkan sekarang, Kerajaan akan mengalami pengurangan hasil sebanyak 13.8 bilion ringgit.

39. Maknanya di sini, jika dibuat perbandingan, di antara angka-angka semakan terkini dengan Bajet 2015, yang telah dibentangkan pada Oktober lalu, sekalipun peruntukan subsidi bahan api dapat dijimatkan sebanyak 10.7 bilion ringgit, melalui pelaksanaan mekanisme pengapungan terkawal harga runcit minyak, namun, Kerajaan masih mengalami kekurangan hasil sebanyak 8.3 bilion ringgit, bagi menampung langkah-langkah Bajet 2015. 

40. Jelasnya, jika dibiarkan, paras deficit tanpa intervensi kerajaan, defisit akan meningkat kepada 3.9 peratus daripada KDNK, berbanding sasaran 3 peratus bagi tahun 2015.

41. Keadaan ini, memaksa Kerajaan mengambil langkah untuk mengurangkan defisit, selaras dengan komitmen kerajaan ke arah konsolidasi fiskal. 

42. Oleh itu, dengan mengambilkira unjuran yang disemak tersebut, kita dengan ini, menetapkan sasaran defisit yang dikaji semula kepada 3.2 peratus, daripada KDNK pada tahun 2015. 

43. Kadar ini masih rendah berbanding defisit fiskal 3.5 peratus daripada KDNK pada tahun 2014. Dan realitinya, dengan faktor luaran ini, kita harus menerima hakikat, bahawa kita tidak mungkin mencapai sasaran asal Bajet, dengan defisit fiskal pada kadar 3 peratus daripada KDNK seperti yang telah diumumkan. Namun yang penting, adalah komitmen kita, untuk terus mengurangkan defisit fiskal daripada paras 3.5 peratus pada penghujung tahun sudah. 

44. Yang paling utama juga, kita tidak akan berkompromi ke atas perancangan pembangunan negara, kerana ia akan meningkatkan kapasiti produktif kepada ekonomi negara. Sekaligus, kita tidak akan sesekali mengabaikan kebajikan semua rakyat, khususnya golongan pendapatan isi rumah 40 peratus terbawah atau the bottom 40

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,
45. Seperkara lagi yang perlu diketahui oleh kita semua, perihal turun-naik nilai matawang, asasnya, adalah berdasarkan pengaruh ekonomi global. Oleh kerana itu, Ringgit bukanlah satu-satunya mata wang yang nilainya menyusut berbanding dolar Amerika. Malah, hampir semua mata wang serantau turut menyusut berbanding dolar Amerika sejak September 2014.

46. Ketidaktentuan dalam aliran modal dan penyusutan nilai ringgit yang signifikan baru-baru ini juga, disebabkan kebimbangan terhadap impak kejatuhan harga minyak yang mendadak ke atas ekonomi. 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian,
47. Sehubungan itulah, Kerajaan perlu mempastikan perkara-perkara berikut dipantau dengan sebaik mungkin. Pertama, akaun semasa dalam imbangan pembayaran, perlu sentiasa kekal dalam lebihan. Kedua, meneruskan langkah-langkah fiscal reform dan consolidation dan ketiga, aktiviti ekonomi negara perlu terus dipelbagai dengan sewajarnya, supaya negara mampu menghadapi kejatuhan harga minyak dan komoditi. 

48. Namun begitu, Kerajaan yakin kadar tukaran Ringgit, akan mengalami penyesuaian dalam tempoh tertentu dan kembali ke paras yang menggambarkan asas ekonomi yang kukuh. Apa yang penting, our financial system continues to function in an orderly manner.

49. Paling mustahak, tiada gangguan kepada pengantaraan kewangan atau financial intermediation dengan aktiviti pinjaman kekal lancar. Selanjutnya, aktiviti perniagaan terus mendapat akses kepada pembiayaan kewangan daripada institusi perbankan dan pasaran modal.

50. Pucuk pangkalnya, Kerajaan yakin, kesemuanya ini, diiringi dengan polisi atau dasar yang lebih dinamik, rizab antarabangsa yang mencukupi dan kukuh, pasaran kewangan yang pelbagai dan mendalam, sistem perbankan yang teguh serta pelabur institusi tempatan yang kukuh, seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, akan terus meningkatkan daya tahan Malaysia untuk menampan sebarang turun naik aliran modal. 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,
51. Menyentuh tentang Imbangan Akaun Semasa negara pula, perlu diketahui bahawa ia berkait langsung dengan imbangan perdagangan import dan eksport.

52. Seperti yang ramai tahu, kita merupakan negara pengeksport minyak. Maka, wujudlah tanggapan bahawa, apabila harga minyak merudum baru-baru ini, pendapatan daripada eksport keseluruhan kita, akan turut merosot secara mendadak, yang seterusnya mengakibatkan berlakunya defisit akaun semasa. 

53. Sesungguhnya, tanggapan ini tidak benar. Sebetulnya, bagi minyak mentah, kita merupakan pengeksport bersih dengan nilai lebihan eksport sebanyak 7.7 bilion ringgit, untuk tempoh bulan Januari hingga bulan November 2014. 

54. Manakala, bagi produk petroleum, kita adalah pengimport bersih dengan nilai lebihan import sebanyak 8.9 bilion ringgit untuk tempoh yang sama. 

55. Justeru itu, dengan gabungan kedua-dua minyak mentah dan produk petroleum ini, kita sebenarnya adalah pengimport bersih dengan nilai lebihan import sebanyak 1.2 bilion ringgit. 

56. Satu hakitat yang ramai tidak sedar. Oleh itu, tanggapan atau persepsi umum selama ini, bahawa Malaysia merupakan pengeluar minyak yang surplus atau berlebihan, adalah juga tidak tepat. 

57. Sebaliknya, jika dicampur eksport serta import minyak mentah, dan ditolak produk petroleum, maka, Malaysia sebenarnya, merupakan negara pengimport bersih petroleum. Perkara ini namun tidak termasuk Gas Cecair Asli atau LNG, di mana Malaysia masih merupakan negara pengeksport bersih.

58. Tambahan lagi, situasi kita masih utuh, berikutan kejayaan kita selama ini dalam mempelbagaikan ekonomi negara, sehingga dapat menampung kejatuhan harga minyak. 

59. Sememangnya lagi, kesan kejatuhan harga minyak, dijangka dapat ditampung oleh peningkatan permintaan bagi barangan pembuatan seperti barangan elektrik dan elektronik, produk berasaskan kayu-kayan, produk tekstil serta lain-lain, yang terdiri daripada 76 peratus jumlah eksport. Manakala, eksport minyak mentah hanyalah mewakili 4.5 peratus daripada jumlah eksport.

60. Bersandarkan yang demikian, Kerajaan yakin imbangan akaun semasa akan kekal mencatat lebihan pada tahun ini, walaupun nilainya mengecil kepada 2 hingga 3 peratus, daripada Pendapatan Negara Kasar atau PNK, berbanding pada 2014, imbangan lebihan semasa dianggar mencatat 5.1 peratus daripada PNK.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,
61. Jelasnya, sebentar tadi, saya telah menghuraikan beberapa isu atau perkara yang akan memberi impak yang besar kepada ekonomi negara. Berdasarkan situasi ini, Kerajaan perlu mengambil langkah-langkah bagi mempastikan pertumbuhan ekonomi berada pada landasan yang kukuh. Insya-Allah, kita mampu mencapai pertumbuhan KDNK antara 4.5 hingga 5.5 peratus pada tahun ini, dengan melaksanakan strategi-strategi berikut.

Pertama: Mempastikan pertumbuhan ekonomi yang balanced, inclusive and sustainable yakni seimbang, inklusif dan mampan;
Kedua: Meneruskan fiscal reform and consolidation; serta
Ketiga: Menyediakan bantuan kepada rakyat dan komuniti perniagaan bagi membina semula infrastruktur yang terjejas akibat banjir.

62. Strategi Pertama: Mempastikan Pertumbuhan Ekonomi Yang Seimbang, Inklusif Dan Mampan. Bagi merancakkan eksport barangan dan perkhidmatan, beberapa tindakan berikut akan diambil:

Pertama, mempromosi secara aktif perkhidmatan gantian-import atau import-substitution seperti perkhidmatan perkapalan, pelabuhan, pendidikan dan profesional. Ini, bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar bagi perolehan barangan dan perkhidmatan;

Kedua, menyegerakan pelaksanaan cadangan daripada National Export Council iaitu, membantu pengeksport terutamanya Perusahaaan Kecil dan Sederhana atau PKS untuk mendapat prospek pelanggan baharu di pasaran yang baharu, di bawah program jaringan antarabangsa menggunakan penghubung pasaran dan pakar industri.

Seterusnya, mempergiat program promosi eksport di 46 negara meliputi Asia, Eropah, Timur Tengah dan Amerika Syarikat; memperkenalkan SME-Go melalui SME Bank, sebuah program eksport untuk PKS, dan memanfaatkan Dana Perkhidmatan Eksport serta program promosi PKS untuk meningkatkan kemampanan eksport ke luar negara;

Ketiga, menambah baik last mile connectivity ke Pelabuhan Klang seperti jalan masuk, jaringan landasan dan sistem pengurusan trafik, bagi mempercepatkan pelaksanaan Logistik dan Fasilitasi Dagangan.

Selain itu, menaik taraf terminal keretapi Padang Besar; menambah baik kecekapan operasi proses import dan eksport, serta menubuhkan sistem hab dan jaringan perhubungan udara; 

Keempat, mempergiatkan keseluruhan industri pelancongan negara; 

Kelima, mengambil langkah-langkah untuk mengkaji semula kadar levi yang dikenakan ke atas pekerja-pekerja asing; dan
Keenam, visa diberi secara percuma kepada para pelancong antaranya dari negara China.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,
Selanjutnya, bagi meningkatkan penggunaan swasta pula, Kerajaan akan melaksanakan inisiatif-inisiatif berikut:
Pertama, memberi keutamaan kepada kontraktor tempatan kelas G1 yakni kelas F, G2 yakni kelas E dan G3 yakni kelas D, yang berdaftar dengan CIDB, untuk melaksanakan kerja-kerja baik pulih di kawasan masing-masing yang terjejas akibat banjir;

Kedua, mempergiatkan promosi pembelian barangan buatan Malaysia;

Ketiga, meningkatkan kekerapan dan memanjangkan tempoh operasi jualan mega di seluruh negara;

Keempat, mempergiatkan promosi pelancongan domestik dengan menawarkan tambang penerbangan yang kompetitif; dan

Kelima, menggalakkan sektor swasta meraih peluang daripada pewujudan Komuniti Ekonomi ASEAN. 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,
Seterusnya, dalam usaha merancakkan pelaburan swasta di Malaysia, Kerajaan akan:

Pertama, menubuhkan Skim Jaminan Sektor Perkhidmatan berjumlah 5 bilion ringgit kepada PKS dalam Sektor Perkhidmatan, dengan pembiayaan maksimum 5 juta ringgit dan jaminan Kerajaan sebanyak 70 peratus;

Kedua, menggalakkan GLC dan GLIC melabur dalam negara;

Ketiga, mengurangkan kos kendalian perniagaan melalui penangguhan cadangan kenaikan tarif elektrik pada tahun 2015; dan penangguhan cadangan kenaikan harga gas untuk sektor industri pada tahun 2015;

Keempat, memperuntukkan 30 peratus daripada perbelanjaan tahunan agensi Kerajaan dan GLC untuk perolehan bekalan serta perkhidmatan kepada PKS tempatan bertaraf pembuat; dan

Kelima, mempergiatkan penggunaan bahan, barangan dan perkhidmatan tempatan dalam perolehan Kerajaan.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,
63. Seterusnya, Strategi Kedua: Meneruskan Fiscal Reform and Consolidation

Antara langkah yang akan diambil bagi meningkatkan hasil Kerajaan adalah:

Pertama, meluaskan asas percukaian dengan menggalakkan syarikat mendaftar dengan Jabatan Kastam DiRaja Malaysia, bagi meningkatkan hasil daripada kutipan GST. Ini akan menyumbang kepada tambahan kutipan GST sebanyak satu bilion ringgit. Sehingga pertengahan Januari 2015, lebih 304 ribu syarikat telah berdaftar; dan

Kedua, meningkatkan kutipan dividen daripada GLC dan GLIC serta badan-badan Kerajaan yang lain yang dapat menyumbang tambahan hasil sebanyak 400 juta ringgit 

Bagi langkah merasionalisasi perbelanjaan pula, Kerajaan akan:

Pertama, mengoptimumkan perbelanjaan ke atas bekalan dan perkhidmatan, penganjuran majlis dan mesyuarat serta perkhidmatan profesional yang memberi penjimatan sebanyak 1.6 bilion ringgit;

Kedua, menangguhkan Program Latihan Khidmat Negara tahun 2015, dengan penjimatan sebanyak 400 juta ringgit bagi membolehkan program dikaji semula dan ditambah baik;

Ketiga, mengkaji semula pemberian dan geran kepada Badan Berkanun Persekutuan, GLC serta Tabung Amanah Kerajaan, terutamanya yang mempunyai aliran pendapatan yang konsisten dan rizab yang tinggi. Langkah ini dijangka memberi penjimatan sebanyak 3.2 bilion ringgit; dan

Keempat, menjadualkan semula pembelian aset tidak kritikal terutamanya peralatan pejabat, perisian dan kenderaan yang mampu memberi penjimatan sebanyak 300 juta ringgit.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,

64. Strategi Ketiga adalah Penyediaaan Bantuan Kepada Rakyat Dan Komuniti Perniagaan Serta Membina Semula Infrastruktur Yang Terjejas Akibat Banjir

Banjir baru-baru ini, telah melibatkan sekitar 400 ribu mangsa di seluruh negara. Anggaran terkini kemusnahan infrastruktur mencecah hampir 2.9 bilion ringgit.

Antara tindakan yang telah dan akan dilaksanakan oleh Kerajaan kepada mangsa-mangsa banjir, adalah seperti berikut:

Kerajaan telah menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak 500 juta ringgit sebagai bantuan permulaan, atau initial allocation untuk kerja-kerja baik pulih, dan program kebajikan mangsa banjir, tambahan kepada tabung Majlis Keselamatan Negara, menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak 787 juta ringgit; 

Sebagai peruntukan awalan, Kerajaan menyediakan 800 juta ringgit untuk membaiki dan membina semula infrastruktur asas seperti sekolah, hospital, jalan raya dan jambatan;
Menyediakan 893 juta ringgit bagi Bajet 2015 untuk rancangan tebatan banjir;

Membina rumah-rumah kampung bertiang atau stilt houses setinggi 8 kaki yang telah musnah akibat banjir kepada mereka yang mempunyai tanah sendiri;

Menyerahkan 1,000 unit rumah kos rendah yang sudah siap di Gua Musang;

Memberi bantuan 500 ringgit bagi setiap keluarga yang terlibat bermula hari ini; dan
Menghulur sumbangan 5 ribu ringgit kepada mereka yang kehilangan ahli keluarga.

65. Bagi perniagaan yang terjejas pula, tambahan 100 juta ringgit disediakan kepada TEKUN dan 100 juta ringgit kepada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), bagi menyediakan pinjaman mudah untuk menyokong PKS dan perusahaan mikro. 

66. BSN, Agrobank, SME Bank, TEKUN dan AIM akan menangguhkan tempoh bayaran balik pinjaman yang telah diambil, sehingga enam bulan.

67. Berkait itu, Bank Negara Malaysia akan menubuhkan Special Relief Facility, berjumlah 500 juta ringgit untuk menyediakan pembiayaan pinjaman SME pada kadar yang lebih rendah (concessionary rate) iaitu 2.25 peratus, dengan penangguhan tempoh bayaran balik pinjaman sehingga enam bulan melalui institusi pembangunan kewangan dan perbankan.

68. Bank Rakyat pula, akan menawarkan Skim Pinjaman Peribadi sehingga 50 ribu ringgit pada kadar keuntungan serendah 3.9 peratus, dan bayaran balik pinjaman bermula selepas enam bulan dari tarikh pengeluaran. 

69. Selain itu, sejumlah 500 juta ringgit akan disediakan oleh institusi kewangan dengan jaminan pembiayaan sebanyak 70 peratus di bawah Skim Jaminan Pinjaman Bantuan Banjir. Skim ini akan diuruskan oleh ProKhas; dan

70. Pengecualian pembayaran levi oleh majikan kepada Tabung Pembangunan Sumber Manusia, untuk tempoh enam bulan bagi PKS di kawasan yang terjejas berkuat kuasa 1 Februari 2015.
(Penutup)

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,
Secara keseluruhannya, dalam perutusan saya pada pagi ini, dapat saya rumuskan 6 perkara as the key take-away points:

Pertama, kita bukan di dalam keadaan gawat atau krisis, seperti mana pada tahun-tahun 1997 dan 1998, bahkan tidak juga seperti tahun 2009 yang lalu, sehingga pakej-pakej stimulus perlu dilaksanakan. 

Kedua, Strategi-strategi Kerajaan yang diumumkan tadi, adalah langkah proaktif untuk melakukan penyesuaian atau adjustment, berikutan faktor-faktor luaran yang di luar kawalan kita. Ini merupakan satu reality check, berikutan antaranya perubahan harga minyak dunia.

Ketiga, Akaun Semasa dalam Imbangan Pembayaran kita, Insya-Allah, dijangka kekal positif dan tidak berada dalam defisit.

Keempat, Pasaran kewangan tetap teratur dan kukuh. Malah, matawang ringgit, walaupun mengalami penyesuaian ketika ini, akan kembali ke paras yang menggambarkan asas ekonomi yang kukuh. Insya-Allah.

Kelima, Perbelanjaan Pembangunan atau Development Expenditure yang diperuntukkan dalam Bajet 2015 sebanyak 48.5 bilion ringgit tidak berubah dan akan tetap dibelanjakan.
Ini termasuklah, projek-projek bersifat people economy, yakni perumahan rakyat, tebatan banjir, bekalan air, elektrik dan pengangkutan awam seperti Lebuhraya Pan Borneo. 

Di samping itu, projek-projek MRT jajaran kedua, LRT dan High Speed Rail Kuala Lumpur-Singapura, Rapid di Pengerang akan tetap diteruskan. 

Malah, pada bulan Mei nanti, saya akan membentangkan Rancangan Malaysia Kesebelas, bagi merencanakan pula perbelanjaan pembangunan negara sehingga tahun 2020, dan akhirnya;

Yang ke-enam, Perbelanjaan Mengurus atau Operating Expenditure dijangka akan dikurangkan sebanyak 5.5 bilion ringgit, dengan mengutamakan perbelanjaan yang benar-benar diperlukan sahaja. 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,
71. Akhir kalam, marilah kita banyakkan berdoa, dan bertawakkal supaya Allah SWT sentiasa memberi bantuan-Nya, kepada ikhtiar-ikhtiar kita dalam terus membangun dan memakmurkan negara. 

72. Sesungguhnya jua, dalam segala kudrat manusiawi, kepada Allah kita bergantung dan mengembalikan segala urusan. Apa yang paling mustahak, kepada seluruh rakyat Malaysia, sederap dalam satu solidariti, kita mampu menongkah dan melangkah apa jua cabaran serta rintangan yang mendatang.

73. Pastinya, pada setiap kesukaran itu, ada janji-janji kesenangan dan bahagia yang menanti. 

74. Mudah-mudahan, Tuhan yang Maha Berkuasa terus melindung-lindung tanahair tercinta ini, dari segala keburukan dan mara bahaya. Bak kata orang tua-tua, kita berserah rugi dan untung, kepada Allah meminta tolong.

Sekian, Terima Kasih. Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Saturday, May 17, 2014

INTI PATI LAPORAN TAHUNAN PROGRAM TRANSFORMASI EKONOMI 2013



Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia
Rakyat Malaysia yang dikasihi,

Hasil perkembangan prakarsa Program Transformasi Kerajaan atau GTP dan Program Transformasi Ekonomi atau ETP yang telah dibentangkan YAB Perdana Menteri;

Inti Pati Laporan Tahunan Program Tranformasi Ekonomi 2013

  • Malaysia mungkin mencapai status negara berpendapatan tinggi lebih awal daripada 2020;
  • Program Transformasi Ekonomi (ETP) mengekalkan momentum kukuh sejak tiga tahun lepas, membantu ekonomi berkembang sebanyak 4.7 peratus pada 2013;
  • Pada 2013 sahaja, ETP menyumbang RM7.4 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK), mewujudkan 29,373 pekerjaan baharu dan menjana RM8 bilion nilai pelaburan;
  • Sebahagian besar daya tahan ekonomi Malaysia dipacu oleh pelaburan sektor swasta yang menyumbang hampir kepada 60.9 peratus jumlah pelaburan.
  • ETP mendorong kepada pasaran modal yang cergas. FTSE-KLCI mencecah paras tertinggi sebanyak 66 kali dalam tempoh tiga tahun dan mencapai rekod tertinggi pada 1,873 mata pada 30 Dis 2013;
  • Rundingan sedang dijalankan untuk memperoleh perkhidmatan peralatan asal terkenal bagi perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan & baik pulih (MRO) bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab MRO serantau yang kompetitif DAN;
  • Empat lagi projek ikonik besar – Menara Warisan Merdeka, Bukit Bintang City Centre, Institut Penyelidikan Getah Sungai Buloh & Pusat Pameran Matrade, yang dikenal pasti di bawah inisiatif “Carve Out & Compete” tahun ini, dengan sebanyak 40 peratus daripada kerja-kerja akan dianugerahkan kepada firma Bumiputera;
  • Kajian impak Ekonomi mengenai program pembangunan tanah untuk Sungai Nadi Kehidupan Projek (ROL) bermula pada 2014 untuk mendapatkan balik perbelanjaan bernilai RM4 Bilion;
  • Petronas & Petronas Gas akan terus menyokong Suruhanjaya Tenaga dalam membangunkan rangka kerja pengawalseliaan untuk memudahkan akses Pihak Ketiga (TPA);
  • Inisiatif Kerajaan Persekutuan untuk mengurangkan defisit fiskal dijangka membuahkan hasil dengan defisit menurun kepada 3.5 peratus tahun ini daripada 4.0 peratus tahun lepas;
  • Kerajaan menyasarkan untuk menaik taraf 500 kedai runcit melalui Program Transformasi Peruncit Kecil (TUKAR) tahun ini;
  • Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) melibatkan Kerajaan Singapura untuk menjalin perjanjian Sistem Kereta Api Berkelajuan Tinggi KL-S’pura tahun ini dan kajian teknikal;
  • Kerajaan berjaya melepaskan pegangan dalam 23 syarikat pada November 2013 sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengurangkan peranannya dalam perniagaan secara beransur-ansur;
  • National Instruments Academy dan Nucleus Innovation (NI-AIN) akan mengembangkan kemudahan kepada Iskandar Malaysia dan Sarawak untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan PKS;
  • Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 yang diperkenal tahun lepas untuk terus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab global bagi kewangan Islam;
  • Malaysia kini menguasai dua pertiga terbitan sukuk global;
  • Kerajaan memperuntukkan RM28 juta tambahan untuk permohonan baharu pekebun kecil persendirian untuk menjalankan penanaman semula dan penanaman baharu kelapa sawit dengan keseluruhan 2014 penunjuk prestasi utama sasaran (KPI) sebanyak 35,000 hektar;
  • Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) untuk terus meningkatkan kesedaran mengenai Pelan strategik Industri Pembinaan Kapal dan Pembaikan Kapal Malaysia 2020 untuk pemegang kepentingan dan menghasilkan cadangan strategik untuk menyelaraskan pembangunan industri dengan aspirasi negara.
  • Pada 2013, pelaburan swasta mencecah RM161.1 bilion, melepasi sasarannya sebanyak RM148.4 bilion, atau peningkatan 8.6 peratus.
  • Kadar pekerjaan, meliputi sektor dalam Bidang Ekonomi Negara (NKEA) mewujudkan sejumlah 1.3 juta pekerjaan tambahan bernilai tinggi sejak tiga tahun lepas.
  • Berdasarkan data Kumpulan wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi Mac 2014, gaji melebihi RM2,000 mencecah 52 peratus pekerja Malaysia dalam negara, meningkat lapan peratus daripada 44 peratus pada 2009.
  • Penggunaan swasta berkembang 7.6 peratus pada 2013, berbanding 6.9 peratus pada 2010 disokong kedudukan pasaran buruh yang sihat dan pertumbuhan pendapatan yang mampan.
  • Penggunaan swasta kini menyumbang 51.2 peratus kepada KDNK, dalam kedudukan yang baik untuk mencecah 60 peratus KDNK menjelang 2020.
  • Hasil kerajaan meningkat 38.1 peratus kepada RM220.4 bilion pada 2013 berbanding RM158.6 bilion pada 2010 hasil daripada kecekapan kutuipan cukai dan asas percukaian yang luas.

Tuan-tuan dan puan-puan rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian, 

Pada 2014, hasil kerajaan dijangka mencecah RM224.1 bilion.
 
Marilah kita bina masa depan yang gemilang untuk semua, marilah kita bina masa depan yang menjanjikan pulangan adil kepada yang bekerja keras, yang berkreativiti, yang berinovasi dan yang sanggup mengambil risiko. Marilah kita bina sebuah Malaysia yang menjanjikan taman kebahagiaan untuk semua.