Friday, March 23, 2018

KISAH NGERI DI SEBALIK EKONOMI MAHATHIR


Di sebalik kepesatan pertumbuhan ekonomi di era Dr Mahathir yang dibanggakannya dan termasuk penyokong-penyokongnya, beliau telah mengambil selama 2 dekad untuk mencapai kejayaan ini. Beliau yang sering memperlekeh pentadbiran PM Najib Razak sering mendakwa kemampuannya membangunkan negara dan kini setelah berada bersama-sama blok pembangkang, GST adalah polisi kerajaan hari ini yang sangat ditentangnya.

Di dalam keghairahan Dr Mahathir menjual manifesto pakatan pembangkangnya, beliau mendakwa yang tanpa GST, Malaysia akan mampu menjadi Harimau Asia nanti. Rakyat diharapkan akan terpesona dengan janji ini dan berkempen habis-habisan menentang GST yang telah diperkenalkan dari zaman beliau dan berani dilakasanakan oleh PM Najib Razak walaupun mengetahui ia bukan polisi populis namun sangat diperlukan.

Persoalan yang dikemukakan oleh pihak parti pemerintah - Mengapa GST tidak diperlukan di zaman Mahathir dan apakah benar beliau akan mampu menjadikan Malaysia sebagai Harimau Asia?

Selama 22 tahun mengetuai pentadbiran negara, apakah Malaysia telah setanding Hong Kong, Singapura, Korea Selatan dan Taiwan yang sememangnya digelar Harimau Asia? Walaubagaimanapun, tidak dapat dinafikan Malaysia hanya mampu diberi gelaran sebagai sebuah negara ekonomi anak harimau setanding Indonesia, Filipina, Thailand dan juga Vietnam.

Persoalan seterusnya, apakah sumber sebenar pendapatan negara di zaman Mahathir?
Mungkin generasi muda tidak mengetahui yang sebahagian besar negara mengalami pertumbuhan pantas hanya pada sekitar 90an dan ia bukan Malaysia saja yang pesat membangun tetapi turut dirasai negara-negara jiran di mana ia digelar sebagai 'era emas'. Pada tahun 22 September 1985, Perjanjian Plaza telah ditandatangani negara-negara barat dengan Jepun di New York untuk meningkatkan nilai matawang Jepun ekoran segala uruniaga eksport Jepun di dalam nilai matawang rendah.

Dengan itu, dalam beberapa tahun saja nilai matawang Yen melonjak naik dan sekali ganda berbanding USD dan nilai matawang asing yang lain. Oleh kerana peningkatan Yen, Won Korea Selatan dan juga dollar Taiwan ketika itu, maka pelabur asing telah memindahkan industri mereka ke China dan juga negara-negara Asia termasuklah Malaysia.

Walaupun Malaysia sempat menikmati gelombang pelaburan asing ini sehingga mampu melonjakkan pertumbuhan ekonomi yang rancak, namun ia terhenti dalam masa sedekad apabila krisis kewangan Asia Timur tercetus pada Julai 1997.

Maka sebab itu pentadbiran Dr Mahathir hanya mampu melakukan pertumbuhan kukuh ekonomi negara hanya pada awal 90an dan tanpa Perjanjian Plaza dan kesan kepada lonjakan nilai matawang Yen, kilang-kilang mereka terpaksa dibawa keluar dari Jepun yang mampu memberi kos pengeluaran yang lebih rendah. Ia bukanlah kejayaan seratus peratus Dr Mahathir seorang tetapi negara-negara jiran juga mencapai kemajuan yang sama.

Di dalam kerancakan itu, seharusnya Dr Mahathir tidak memerlukan GST dan negara ketika itu juga mempunyai sumber dana lain dari hasil asli negara yang kebanyakannya samada telah pupus seperti timah dan berkurangan seperti minyak mentah. Dr Mahathir juga sebenarnya rancak membuat hutang melalui pelbagai pinjaman antarabangsa dan akibatnya, hutang negara melonjak sehingga pernah mencapai 103 peratus pada tahun 1986, dalam masa 5 tahun beliau memegang jawatan Perdana Menteri.

Nisbah hutang negara berbanding KDNK kekal melepasi 60 peratus selama 10 tahun tetapi PM Najib telah mampu menurunkannya sehingga ke 50.7 peratus pada hari ini.

Siapa kata di zaman Dr Mahathir tiada cukai-cukai yang dikenakan? Di zaman Dr Mahathirlah maka cukai korporat dan individu dikenakan melebihi 30 peratus tetapi PM Najib telah mengurangkan cukai-cukai ini yang bermula dari 28 peratus dan kini hanya 24 peratus sahaja. Tambahan, PM Najib turut melepaskan cukai individu yang berpendapatan bulanan di bawah RM4,000.

Cukai jualan di zaman Dr Mahathir adalah di antara 10 hingga 20 peratus dan ditambah pula dengan cukai perkhidmatan 6 peratus. Pentadbiran Dr Mahathir juga telah mengenakan cukai jualan sebanyak 19.64sen bagi setiap liter diesel dan 58.62 sen bagi setiap liter petrol hampir sepanjang 22 tahun pentadbirannya. Cukai 58.62 bagi setiap liter petrol ini dimansuhkan pada 2004.

Memang benar Dr Mahathir tidak pernah salurkan subsidi untuk petrol tetapi sebaliknya cukai dikenakan kerana ketika zamannya, harga minyak berada di antara USD10 hingga USD20 setong sahaja jika dibandingkan harga kini adalah USD60 setong. Subsidi beras, minyak kelapa sawit atau gula pasir juga tidak disalurkan subsidi kerana jelas, harga komoditi-komoditi ini sangat rendah di zaman beliau berbanding harga global komoditi hari ini.

Apakah beliau juga mampu mengawal harga komoditi dunia hari ini?

Siapa di antara kita yang tidak pernah dengar perkataan 'penswastaan' dan inilah polisi yang sangat terkenal di zaman Dr Mahathir. Di sebalik namanya yang gah, sebenarnya Dr Mahathir sedang menjual saham dan aset kerajaan untuk mendapatkan wang untuk kerajaan pentadbirannya. Di antara yang telah dijual termasuklah pemilikan saham Telekom Malaysia, Tenaga Nasional, Bursa Saham, Pelabuhan Klang, Kuantan dan beberapa bank, kesemua lapangan terbang, syarikat penerbangan, jambatan Pulau Pinang, khidmat Pos malah Lembaga Padi juga, dijualnya.

Petronas adalah kantong duit utama Dr Mahathir sehinggakan menara berkembar tertinggi di dunia KLCC mampu dibina. Apakah ini projek mega untuk rakyat atau telah dimanfaatkan oleh sebilangan rakan kroni dan keluarganya sahaja? Jangan terperanjat apabila di zaman Dr Mahathir, baki wang Petronas hanya mampu berada di antara RM20 - RM30 bilion berbanding hari ini di mana PM Najib telah menunjukkan sikap hormatnya supaya Petronas mampu menguruskan kewangan mereka sendiri. Setakat hujung tahun 2017, baki wang Petronas adalah RM128.2 bilion.

Jika Dr Mahathir dikatakan telah berjaya menyelamatkan Malaysia dari kegawatan ekonomi ke dua pada tahun 1998, Barisan Nasional ingin bertanya, siapakah Perdana Menteri ketika itu yang menyebabkan negara ini terjerumus ke kedudukan kegawatan itu sehingga memerlukan Mahathir menyelamatkan Malaysia?

No comments: