Thursday, September 15, 2016

DATUK WEE KA SIONG : HAYATI 'STRONGER TOGETHER' DALAM BN JUGA


Jika kita memahami kempen MCA 'Stronger Together' yang diperkenalkan di dalam Plan Transformasi Politiknya, ia sangat sinonim dengan peribahasa Melayu,Bersatu kita Teguh, Bercerai kita Roboh. Pada masa yang sama, MCA juga telah menunjukkan bersatunya mereka di bawah kepimpinan DS Liow dan Timbalannya DS Wee Ka Siong.

Walaupun mengalami kekalahan teruk di dalam dua PRU (12 dan 13), namun dengan kesungguhan iltizam mereka meneruskan perjuangan yang bukan sekadar mencari populariti tetapi berkhidmat kepada rakyat terutama bangsa Cina. Apa yang lebih penting ialah kesetiaan sebagai rakan komponen parti Barisan Nasional.

Presiden BN, PM Najib Razak menyedari tanpa penglibatan MCA, BN akan lebih lemah dan bangsa Cina akan terus hanyut dengan politik kebencian dan pembohongan DAP. Akhirnya, jurang perkauman di antara Melayu dan Cina akan lebih luas sehingga mampu menggagalkan segala perancangan kerajaan menuju negara maju menjelang 2020 nanti.

Barisan Nasional terdiri daripada pelbagai fahaman politik yang diwakili pelbagai bangsa dan agama. Namun, matlamatnya adalah satu untuk bergerak sebagai satu pasukan sahaja apabila berhadapan pilihanraya, di bawah satu lambang iaitu BN. Ini adalah hakikatnya. Maka menyedari dan memahami yang samada UMNO, MCA, MIC mahupun parti-parti di bawah naugnan Barisan Nasional, jika tidak bersefahaman dan tidak bersatu, maka BN tidak akan mampu bertahan parti pemerintah.

Untuk berbeza pandangan adalah perkara biasa di antara komponen parti BN tetapi ia haruslah dilakukan di atas semangat untuk memperbaiki dan memantapkan lagi Barisan Nasional. Justeru, itulah mesej yang ingin disampaikan Datuk Wee Ka Siong ketika terdapat perbalahan di antara segelintir pemimpin UMNO dan MCA baru-baru ini.

"Semua komponen perlu bersatu padu dan bekerjasama kerana kita memerlukan antara satu sama lain (untuk menang), terutama di kawasan bercampur-campur seperti Johor, kerana terdapat banyak tempat duduk dengan sejumlah besar pengundi Cina walaupun ia dimenangi oleh Umno dan sebaliknya"

Ini adalah salah satu contoh terbaik di mana semua parti komponen BN perlu meletakkan kepentingan bekerjasama dan tidak meneruskan perbalahan jika ingin kekal sebagai parti pemerintah.

Sebagai captain jentera PRU14, Datuk Wee telah membuat pusingan lawatannya ke 85 bahagian di mana MCA akan bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri atau Parlimen. Pada masa yang sama, Datuk Wee menyarankan agar program-program yang bakal diadakan di bawah payung Barisan yang melibatkan semua kaum dan yakin ia adalah pendekatan yang terbaik di dalam menghadapi PRU14 yang dijangka akan diadakan pada tahun hadapan.

Oleh itu, segala perbezaan pandangan perlu diselesaikan dan tumpukan untuk terus bekerja bersama-sama untuk memastikan kemenangan dalam pilihanraya umum akan datang. Teruskan semangat 'Stronger Together'.

No comments: