Monday, March 21, 2016

KAJIAN BERSAMA SPAD-ECER UNTUK JARINGAN TREN BARU DI PANTAI TIMUR


Bagi merancakkan lagi rancangan transformasi ekonomi di koridor Pantai Timur, pengangkutan awam darat adalah antara faktor utama untuk merealisasikannya. Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang diberi tanggungjawab sebagai pemacu dan penggerak sistem pengangkutan awam darat negara, telah merangka satu projek berimpak tinggi yang memudahkan hubungan darat di antara Kuala Lumpur dan negeri-negeri di Pantai Timur.

Di antara pengangkutan awam darat yang difikirkan sangat bermanfaat dengan akses yang mudah adalah melalui laluan keretapi. Justeru itu, satu kajian bersama di antara SPAD-ECER di peringkat kaji selidik pasaran akan dimulakan melalui kaedah Pelawan Memberi Maklumat (RFI) bagi merancang Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL).

Jaringan perkhidmatan tren baru itu bakal merentasi Banjaran Titiwangsa yang melibatkan laluan sepanjang kira-kira 600 kilometer (KM) melalui beberapa bandar seperti Gombak, Mentakab, Jengka, Kuantan, Kuala Terengganu, Kota Bharu dan berakhir di Tumpat.

CEO SPAD Encik Mohd. Azharuddin Mat Sah
Menurut CEO SPAD Encik Mohd. Azharuddin Mat Sah, ECRL mampu membantu mengurangkan kos perjalanan dan pengangkutan kargo ke Pantai Timur. Di samping itu kajian bersama SPAD-ECER ini turut mengkaji jaringan perkhidmatan pengangkutan awam lain seperti bas bagi setiap stesen yang bakal dibina nanti berdasarkan jumlah penduduknya yang akan meningkat sehingga 4.43 juta apabila projek ini siap nanti.

Kajian bersama SPAD-ECER juga meliputi membuat analisa jenis perniagaa, model teknikal serta strategi perolehan dan alternatif yang mampu membantu meningkatkan aktiviti ekonomi di sekitar kawasan terlibat.

Memandangkan pembangunan jaringan pengangkutan awam darat dijangka menjadi kunci kepada pembangunan 6 bandar seperti Bentong, Mentakab, Kuantan, Kuala Terengganu dan Kota Bharu, pihak-pihak yang berkepentingan dari syarikat dan konsortium yang berminat dijemput untuk mengambil bahagian di dalam kaji selidik untuk mendapat pandangan industri dan mengumpul maklumbalas pasaran.

Di antaran bidang yang terlibat termasuklah reka bentuk sistem kereta api ECRL, pembiayaan, pembinaan, pengendalian operasi dan penyelenggaraan seluruh rangkaian bekalan. Tarikh akhir penyerahan untuk kaji selidik RFI adalah pada 15 Mei ini sebelum 12.00 tengahari.

Encik Azharuddin juga berpandangan yang projek ECRL mampu memberi impak kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM50.1 bilion dan merangsang pertumbuhan antara satu hingga 1.5 peratus setiap tahun kepada KDNK Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
 

No comments: