Monday, March 07, 2016

DATUK WEE : #MCA TIDAK MAMPU BERPECAH UNTUK TERUS KEKAL RELEVAN


Bukan mudah untuk seseorang mengaku kekalahan dan seterusnya ingin memperbaiki kelemahan dengan terus menabur khidmat kepada rakyat jika beliau bukan seorang yang ikhlas. Itulah pendirian dan iltizam MCA.

Walaupun prestasi MCA mengalami kekalahan di dua pilihanraya umum yang lalu, ia bukan suatu fenomena perubahan politik yang berlaku tanpa sebab, maka kepimpinan MCA yang diterajui Datuk Liow Tiong Lai sangat menyedarinya. Di antara faktor utama kekalahan MCA di pilihanraya lalu adalah akibat daripada  perpecahan di peringkat kepimpinan yang akhirnya menular hingga ke akar umbinya.

Menasihati dan memberi peringatan kepada ahli-ahlinya, pada perhimpunan ulangtahun MCA ke 67 baru-baru ini, Timbalan Presidennya Datuk Wee Ka Siong telah menegaskan bahawa Presiden parti telah berusaha bersungguh-sungguh untuk merapatkan jurang perbezaan di antara kawan dan lawan di dalam parti sejak mengambil alih tampuk kepimpinan pada Disember 2013.

Hanya dengan satu barisan yang bersatu maka segala cabaran di luar akan mampu dihadapi bagi MCA bangkit sebagai pemenang terutamanya di kalanganbangsa yang diwakilinya iaitu bangsa Cina. MCA dan masyarakat Cina mesti bergerak ke hadapan dan ke arah yang sama. Untuk itu, MCA telah mejalin hubungan yang lebih rapat melalui pelbagai platform di antara parti, kerajaan dan bukan kerajaan bagi benar-benar merasai denyut nadi masyarakat.

Di dalam ucapannya sebagai Timbalan Presiden MCA dan juga Pengerusi Jawatankuasa pilihanraya umum, Datuk Wee Ka Siong juga telah memulakan dengan mengingatkan ahli-ahlinya yang MCA tidak mampu untuk berpecah lagi dan perlu bersatu dari atas hingga ke akar umbinya sekiranya tidak ingin ditinggalkan masyarakat Cina.

Pilihanraya akan datang bukan saja ujian penting buat MCA malahan sebagai penentu relevannya parti ini untuk mewakili suara masyarakat Cina terutama sekali di dalam kerajaan.

Datuk Wee telah mengajak pemimpin dan ahli-ahli MCA di semua peringkat agar kesukaran yang dihadapi mereka dijadikan sebagai satu peluang terbuka yang perlu diambil segera.

Sebagai amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan kepada beliau untuk menerajui persediaan pilihanraya umum ke 14 ini, Datuk Wee telah membuat persediaan terlebih awal berbanding 2 pilihanraya yang lalu dengan turun padang dan berjumpa hampir kesemua pemimpin-pemimpin hingga ke peringkat cawangan di seluruh tanahair.

Di dalam siri perjumpaan ini, Datuk Wee telah mengambil kesempatan menjelaskan perlunya MCA menang dan akibatnya jika terus mengalami kekalahan. Di samping itu, Datuk Wee juga telah memberi panduan dan bimbingan untuk mempersiapkan diri berhadapan dengan segala tohmahan dan kritikan pembangkang.

Namun, yang penting adalah MCA perlu bersatu. Oleh itu, Datuk Wee memohon agar segala pergeseran dan persaingan lalu di dalam parti, perlu ditamatkan. Sesungguhnya pertelingkahan yang berterusan tidak akan memberi sebarang kebaikan kepada parti, ahli-ahlinya, masyarakat Cina dan juga rakyat Malaysia.

MCA mampu membantu ke arah memberi kestabilan politik negara dan bukan masanya untuk kucar-kacirkan keadaan untuk menjatuhkan mana-mana pemimpin. Oleh itu, sekali lagi juga MCA tegas dengan pendiriannya untuk memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Apabila MCA bersatu, maka BN pasti teguh!

No comments: