Saturday, May 11, 2013

Undi Popular vs Undi Elektoral

i
Ada rakan bertanya: “Apa kah konsep Undi Popular yang tiba-tiba jadi popular di Malaysia?”

Majoriti kerajaan di dunia menggunakan sistem undi kerusi (atau elektoral) bagi membentuk kerajaan. Bukan undi popular. Sistem undi elektoral inilah juga yang dipraktis di Malaysia. Konsep undi popular hanya dicanang sebagai bahan penenang psikologi. Sesuai diguna oleh aktivis politik yang sedang mengalami kemurungan jiwa; kerana gagal mencapai impian yang pernah diletak setinggi bulan.

Nanti bolehlah memujuk hati sendiri: Sungguhpun partiku tidak membentuk kerajaan negara ini, yang penting popularitiku gempar satu negara!

Dalam konteks Malaysia, kerajaan persekutuan mahupun negeri dibentuk mengikut majoriti undi elektoral (iaitu kiraan jumlah kerusi parlimen atau DUN). Amalan ini sudah digunapakai sejak pertama kali pilihanraya dianjur. Sistem ini bukan baru dibuat. Atau tiba-tiba digubal oleh SPR pada hari Isnin minggu lepas.

Sebab itu kita tidak perlu teruja sangat dengan konsep ‘Undi Popular’, sampai semangat kepohnya mencanak-canak. Sikit-sikit bolehlah.

iii
Apa beza Undi Popular dan Undi Elektoral?

Undi Popular berpaksikan konsep ‘samarata’. Ia mengira undi individu secara keseluruhan tanpa pertimbangkan segmen komuniti yang diwakili. Prinsip ini dipanggil sebagai keadilan kuantitatif (kuantiti). Undi Elektoral berteraskan konsep ‘saksama’. Ia mengira undi kolektif komuniti yang mewakili kerencaman demografi dan geografi. Pendekatan ini dinamakan keadilan kualitatif (kualiti).

Manakah gambaran yang lebih representatif bagi mengukur tahap kekuatan sokongan sesebuah parti? Terpulang kepada bagaimana kita mahu definisikan keadilan dan kebajikan penduduk.

Undi Popular mudah dicemari dengan sisihan piawai sosio-budaya kerana matematik kiraannya yang sangat simplistik dan individualistik. Tiada sebarang pemberat disuntik sebagai penambah nilai. Jika Undi Popular diguna untuk mengangkat kerajaan, maka kuasa di Parlimen akan terherot kepada wilayah-wilayah urban yang menjadi tumpuan penduduk. Maksudnya, sesebuah kerajaan boleh dibentuk, secara teorinya, hanya dengan suara tunggal satu segmen mana-mana komuniti tertentu yang menguasai kepadatan penduduk.

Sarjana sains politik, Rathbun (2007), ada membuat deduksi bahawa: penerapan konsep Undi Popular dalam sistem pilihanraya mencetuskan dua kegagalan demokratik. Yang pertama, dari aspek perundangan (tuntutan perlembagaan/tatanegara); dan yang kedua adalah aspek sosiologi (keperluan masyarakat).

iv
Apa sebenarnya isu dasar kepincangan Undi Popular sebagai satu representatif keputusan pilihanraya? Sangat jelas. Ia menggalakkan peminggiran dan pengabaian. Khususnya kelompok-kelompok minoriti yang lemah dan kecil.

Sebagai contoh. Sekalipun Pakatan Rakyat tidak berjaya memenangi undi rakyat pedalaman dan masyarakat desa; serta gagal teruk menarik sokongan penduduk Sabah/Sarawak (kurang 17%): undi popular parti ini di peringkat nasional masih mengatasi BN. Seolah-olah Sabah dan Sarawak (yang mewakili 2/3 asas keutamaan dalam pembentukan Malaysia) sudah tidak relevan lagi. Ini juga membawa konotasi bahawa: jika pun suara penduduk Borneo diabaikan sepenuhnya, pihak pengabai itu masih boleh menjuarai undi popular kebangsaan.

Tapi nasib baik. Kerajaan kita dibentuk bersandarkan perwakilan undi elektoral, bukan undi popular ini. Sistem elektoral melindungi kepentingan komuniti terpencil; e.g. mereka yang berada di pedalaman dan tidak ada sebarang akses kepada proses ‘decision making’. Sistem elektoral ini juga memberi signal kepada semua parti politik yang ada; jika mahu memerintah federal, maka haruslah mendekati segmen-segmen komuniti – yang merentas kerencaman wilayah, demografi, sosio-geografi dan sosio-ekonomi.

Tidak boleh hanya menumpukan pada satu 'comfort zone', mentang-mentang ia ada kekuatan kuantiti.

v
Kenapa Pakatan Rakyat memenangi Undi Popular walaupun gagal agak teruk dalam Undi Elektoral? Itu adalah tanda selektiviti – sama ada secara terancang atau kebetulan. Daya tarikan Pakatan Rakyat bersifat populist. Ia dirumus khusus untuk target satu niche penduduk, yang kebetulan membina puak tertinggi dalam strata tertentu demografi Malaysia.

Contoh tarikan populist?

Ok, ini yang mudah. Lihat pada saripati manifesto yang paling tersebar luas: harga kereta dan petrol yang murah, penghapusan bayaran tol dan pendidikan percuma.

Kemudian penjimatan belanja hasil dari manifesto PR ini; dibanding pula dengan penjimatan hasil pemberian wang bantuan 1Malaysia oleh BN. Akhirnya terolah analisis akhir: bahawa penjimatan BN hanya sekitar RM500++ setahun (wang bantuan yang diberi). Padahal penjimatan PR melangkau RM2000 ++ (dari kos petrol, harga kereta, tol, pinjaman pendidikan, etc).

Hanya ORANG GILA yang tidak mahu semua ini: kata para promoter PR ketika menjual manifesto ini. Ya, tiga perkara ini memang positif. Tapi ada tapinya.

vi
Apa isu di sini? Promosi manifesto yang kurang empati. Mereka lupa pertimbangkan bahawa: penduduk Malaysia datang dari pelbagai latabelakang. Sekecil mana pun saiz komuniti itu, keperluan unik dan spesifik penduduk tersebut harus diberi perhatian. Kerana itu adalah tanggungjawab moral.

Berapa ramai penduduk Penangah yang ada kereta? Berapa ramai penduduk Pensiangan yang pernah ke KL, dan menggunakan lebuhraya bertol? Paling penting: berapa ramai anak komuniti di Pulau Banggi yang pernah masuk universiti atau yang akan ke menara gading dalam tempoh 5 tahun mendatang? Bagi kumpulan komuniti ini: barangkali tidak ada sebarang penjimatan yang boleh diperoleh dari tawaran manifesto PR itu. Penjimatan langsung RM500 daripada BN – mungkin itu jauh lebih bermakna.

Jangan anggap semua penduduk Malaysia ada kereta; dan pengguna tegar lebuhraya bertol. Jangan anggap bahawa ‘masuk ke universiti’ itu adalah perkara natural dalam semua keluarga. Pergelutan hidup penduduk cirinya amat pelbagai. Setiap satu pergelutan itu unik dan penting. Sebab itu kita memberi satu undi elektoral parlimen kepada Kalabakan dan Kinabatangan – walaupun penduduknya jauh lebih rendah dan kurang metropolis berbanding Shah Alam dan Pantai Dalam. Agar suara hati mereka diangkat dengan pemberat yang sama.

Sekadar contoh. Ini bukan membandingkan manifesto siapa lebih baik. Bukan.

vii
Poin di sini: bahawa sekecil mana pun komuniti yang terpinggir di Malaysia, keperluan unik mereka harus difahami dan diselami. Mereka tidak boleh dibiar terabai dan menjadi tidak relevan – justeru ditenggelami oleh jutaan undi popular komuniti urban.

Keadilan itu adalah saksama mengikut prioriti dan keperluan, pada level komuniti. Bukan semestinya samarata untuk semua orang, pada level individu.

 

No comments: