Tuesday, August 18, 2015

TIADA KENAIKAN GAJI PEKERJA LADANG FGV SEPERTI LAPORAN MAYBANK IB



Felda Global Ventures Bhd (FGV) menjelaskan bahawa ia tidak menaikkan gaji pekerja ladangnya sebagaimana terdapat dalam laporan Maybank InvestmentBank Research (Maybank IB) pada 12 Ogos lalu  bertajuk, Maybank IB Kekalkan Saranan 'Neutral' Ke Atas Sektor Perladangan.

Dalam kenyataan Maybank IB ada menyebut;
 
"Peneraju perladangan yang besar seperti Felda Global Ventures Holdings Bhd dan Kuala Lumpur Kepong Bhd, antara lain, telah bersetuju untuk menaikkan gaji pekerja ladang mereka (termasuk pekerja kilang minyak sawit dan pekerja am yang lain) sebanyak 8-10 mulai 1 April 2015." dan "Maybank Investment Bank Research (Maybank IB) telah mengekalkan saranan 'neutral' ke atas sektor perladangan Malaysia berikutan keputusan Persatuan Pengeluar-pengeluar Pertanian Tanah Melayu (MAPA) yang dibuat semalam untuk menaikkan gaji sebanyak 8-10 peratus berkuatkuasa 1 April 2015.

Walaubagaimanapun dalam kenyataan balas pihak FGV mengulangi bahawa dasar buruhnya berpandukan kepada Persatuan Pengeluar-pengeluar Pertanian Tanah Melayu (Mapa), yang menyediakan standard industri mengenai gaji minimum, dan dikawal selia oleh Kementerian Sumber Manusia.

Tiada kenaikan gaji sebanyak 8-10 peratus untuk pekerja ladang FGV termasuklah pekerja kilang minyak sawit mahupun pekerja am yang lain yang berkuatkuasa 1 April 2015 seperti cadangan laporan.

FGV sedang dalam kajian pelarasan gaji dan sebagai entiti senaraian awam, sebarang perubahan dalam dasar buruh FGV memerlukan kelulusan daripada lembaga pengarah.

Di dalam senario harga minyak sawit mentah yang sangat rendah, sememangnya kenaikan gaji ketika ini mampu memberi kesan penurunan keuntungan apabila tidak diimbangi dengan pertambahan produktiviti.

Maka adalah tidak munasabah sekiranya FGV ingin mengambil risiko penurunan keuntungan syarikat dan pihak Maybank IB perlu lebih bertanggungjawab mendapatkan pengesahan maklumat sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan kerana ia mampu memberi persepsi negatif seandainya FGV didapati tidak menaikkan gaji pekerja seperti laporan mereka.

FGV juga sedang berhadapan persepsi negatif seperti dilaporkan WSJ apabila portal berita ini hanya menyiarkan sebahagian kecil dari jawapan penuh FGV.

Di antara jawapan penuh FGV kepada WSJ adalah;
Ketika ini FGV menggaji kira-kira 33,720 pekerja asing (kira-kira 85 peratus daripada tenaga kerja kami) secara sah dan mematuhi sepenuhnya syarat-syarat peraturan.

Mengenai kebimbangan gaji minimum, FGV berkata dasar buruhnya berpandukan kepada Persatuan Pengeluar Pertanian Malaysia yang menyediakan standard industri bagi gaji minimum dan dikawal selia oleh Kementerian Sumber Manusia.

Bagaimanapun, pekerja perlu memenuhi minimum 26 hari bekerja seperti yang digariskan oleh peraturan bagi menerima gaji minimum.

Selain daripada itu, semua pekerja asing diberikan hak dan keistimewaan yang sama seperti rakyat Malaysia, dengan dasar buruh standard kami yang berasaskan kepada peraturan buruh Malaysia, serta Deklarasi Organisasi Buruh Antarabangsa bagi Prinsip Asas dan Hak di Tempat Kerja. 

Semua perkara berkaitan dengan penggajian Pekerja Asing diuruskan oleh Jabatan Tenaga Kerja FGV di bawah Kluster Huluan Sawit.

No comments: