Sunday, August 09, 2015

SPRM BUKAN MUSUH POLIS - KETUA POLIS NEGARA


Sepanjang minggu lepas, betapa kecohnya apabila dua pegawai kanan SPRM, Pengarah Operasi Khas Bahri Mohd Zin dan Pengarah Strategik Komunikasi Rohaizad Yaakob dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri dengan serta merta dan seterusnya pelbagai kenyataan yang terkeluar dari pelbagai pihak.

Ia seolah-olah kedua-dua pegawai kanan ini telah dianiaya pihak polis kerana siasatan pertuduhan kebocoran maklumat yang telah diterbitkan portal Sarawak Report.

Perselisihan faham antara Polis dan SPRM telah dijadikan isu oleh pihak umum dan politik yang telah menimbulkan pelbagai andaian dan persepsi. Untuk mengelakkan salah faham yang berterusan, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengumumkan bahawa siasatan akan ditangguhkan buat sementara waktu sehingga diberitahu kelak.

Dalam memerangi rasuah, Tan Sri Khalid juga telah menyatakan dengan jelas bahawa ia sentiasa menjadi tanggungjawab PDRM untuk menyokong dan bukan menjadikan SPRM sebagai musuh.

Tindakan terhadap pengarah SPRM dan dua pegawai kanan itu diambil kerana terdapat keperluan untuk mencari bagaimana salinan kertas pertuduhan boleh disiarkan ke portal Sarawak Report. Malah, saksi dari Bank Negara dan bank-bank komersial yang lain juga telah diminta untuk hadir semasa proses penyiasatan.

Polis bertindak di atas arahan Peguam Negara di mana tumpuan diberikan kepada maklumat yang diterbitkan dalam Sarawak Report serta maklumat perbankan. TS Khalid juga telah menelefon Tan Sri Abu Kassim, Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk menerangkan matlamat tindakan polis yang bukan untuk menyiasat mahupun mensasarkan SPRM.

Pihak polis telah menerima aduan dari individu dan ia adalah sesuatu yang sangat serius di mana siasatan polis tidak boleh memilih dan berpihak. Pihak polis bertanggungjawab sempurnakan siasatan dan hantar laporan ke pihak Peguam Negara untuk dibuat keputusan.

Sebagai tunggak untuk mengekalkan kestabilan dan keharmonian negara, Tan Sri Khalid mengingatkan bahawa sesiapa juga yang dilantik sebagai Perdana Menteri yang sah, polis akan sentiasa menyokong dasar dan setia kepada Yang di-Pertuan Agong. Mereka tidak mudah lemah dan dipermainkan hanya dengan sebaran khabar angin dan maklumat yang tidak tepat melalui media sosial tetapi mempertahankan kepimpinan kerajaan sekarang kerana ia dipilih dalam sistem demokrasi.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, pihak polis mengambil tindakan di bawah Akta Institusi Perbankan dan Kewangan 1989 (BAFIA) dan mencari dalang di belakang kebocoran maklumat ini. Oleh itu, ia tidak pernah dikaitkan untuk campur tangan dalam siasatan SPRM.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri pula menegaskan bahawa polis tidak mensasarkan SPRM tetapi menyiasat kebocoran dalam siasatan 1MDB dan semuanya dilakukan mengikut prosedur.

No comments: