Wednesday, August 19, 2015

MAKLUMAT BOCOR KE TANGAN TONTO PUNCA SPAD GAGAL CAPAI SASARAN


Pihak penguatkuasa SPAD gagal mencapai sasaran Ops Hippo ketika mengadakan operasi dari pukul 4 pagi dan dihentikan jam 9 pagi di sekitar Puchong dan Bukit Jalil gara-gara maklumat operasi yang dipercayai telah bocor.

Matlamat Ops Hippo adalah untuk mengesan lori tanah yang membawa lebih muatan terutama bahan batu-bata di tapak pembinaan projek yang telah dikesan banyak melakukan kesalahan di bawah Seksyen 57 Akta Pengangkutan Awam (APAD) 2010.

Dalam operasi tersebut penguatkuasa SPAD telah mendapati tiada lori kelihatan di atas jalanraya tetapi kelihatan sekurang-kurangnya 5 buah kenderaan Hilux yang dipercayai 'tonto' berkeliaran mengekori kereta operasi SPAD yang terlibat dalam operasi.

Di dalam setiap operasi, penguatkuasa SPAD mengguna kenderaan penyamaran yang tidak terdapat logo agensi penguatkuasa, namun keadaan luar biasa berlaku di mana kenderaan seperti Hilux yang banyak berkeliaran dan dipercayai tonto berkenaan telah mengenal pasti setiap nombor dan jenis kenderaan tidak rasmi yang digunakan oleh anggota penguatkuasa SPAD dalam operasi.

Pada kebiasaannya, apabila mengetahui kehadiran operasi sedang dijalankan, banyaklah lori yang berhenti di tepi jalan dan berkemungkinan tonto-tonto telah menaylurkan maklumat kepada pemandu lori di mana mereka dilengkapi dengan alat komunikasi yang canggih.

Situasi ini pasti menyukarkan SPAD untuk menjalankan operasi dan membuat tangkapan lori-lori yang menyalahi peraturan. Ada kalanya apabila SPAD mengadakan operasi di kawasan tertentu, mereka diawasi hampir 20 buah kereta tonto dalam satu-satu masa.

Ops Hippo dijalankan apabila SPAD mendapat banyak aduan dari penduduk tempatan yang mengadu banyak jalan rosak disebabkan kekerapan lori membawa muatan berlebihan. Lori-lori ini juga mampu mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.

Kerjasama syarikat pengendali lori-lori ini dengan pihak tonto nampaknya akan menjejaskan segala operasi SPAD dan lori-lori yang melanggar peraturan akan terus melakukan kesalahan.

No comments: