Wednesday, August 05, 2015

PABM 2015 : 71 PESERTA DARI 6 BENUA MULA BERPIDATO

2015 merupakan tahun yang ke 9 pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) dianjurkan dan pada tahun ini peningkatan peserta seramai 71 pemidato dari 6 benua akan menunjukkan kefasihan mereka berpidato dalam bahasa Melayu.

Di dalam ucapan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menyatakan rasa bangganya dengan penganjuran PABM ini dan kejayaan menghimpunkan wakil dari pelbagai negara menggambarkan bahasa Melayu kini mencapai tahap bahasa sejagat atau global.

Penganjuran PABM juga mampu melonjakkan imej Malaysia sebagai negara yang memiliki kekuatan jati diri dalam bidang bahasa dan budaya. Justeru, mampu membangunkan sosioekonominya juga.
 

Ketika meraikan peserta PABM 2015, Datin Seri Rosmah juga berharap agar pertandingan tahunan PABM ini dimanfaatkan untuk meningkatkan bahasa Melayu ke tahap yang lebih luas di peringkat antarabangsa.

 

Pada tahun ini seramai 71 peserta dari enam benua iaitu Amerika Utara, Amerika Selatan, Eropah, Asia, Afrika dan Oceania akan menyertai pertandingan PABM 2015.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula dijadual menyaksikan pertandingan akhir pidato berkenaan pada Sabtu ini di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Pertandingan tersebut terbahagi kepada tiga kategori dengan 10 peserta mengambil bahagian dalam Kategori Alam Melayu, 40 peserta Kategori Antarabangsa dan 21 peserta Kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia (PAM).

Pertandingan bagi ketiga-tiga kategori itu akan berlangsung di Hotel RHR di Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Bangi yang bermula dengan peringkat saringan esok, peringkat suku akhir (Rabu) dan peringkat separuh akhir pada Khamis.

Hadiah tempat pertama (setiap kategori) adalah piala pusingan, piala iringan dan wang tunai USD7,000 (RM27,000) manakala pemenang tempat kedua akan membawa pulang piala iringan, wang tunai USD5,000 (RM19,300), hadiah iringan dan sijil manakala pemenang tempat ketiga pula akan menerima piala iringan, wang tunai USD3,000 (RM11,500) dan hadiah iringan serta sijil.

Antara tema pidato tahun ini adalah peranan mahasiswa, keamanan dunia, pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar, pembangunan ekonomi, kepelbagaian budaya, kepentingan pendidikan, kerjasama antara negara, kepentingan bahasa, perpaduan dan komuniti ASEAN 2015.

Juri pertandingan pula terdiri daripada wakil tempatan dan antarabangsa yang merupakan pakar bahasa dan bidang yang berkaitan dengan ilmu retorik.

Setiap sesi pertandingan iaitu peringkat saringan, suku akhir dan separuh akhir akan diadili oleh lima juri manakala peringkat akhir diadili oleh tujuh orang juri iaitu empat juri antarabangsa dan tiga juri tempatan.


No comments: