Friday, August 28, 2015

'MENSYUKURI NIKMAT' BERTEPATAN TEMA HARI PENEROKA FELDA 2015

Bermula dari seseorang yang menganggur, kemudiannya menjadi peneroka dan hari ini ini kita dapat lihat ada di antara peneroka yang telah menjadi majikan sehingga mampu untuk menggaji pekerja yang bekerja di ladang-ladang mereka. Inilah kejayaan Felda dan kita tidak boleh nafi hakikat ini.

Justeru itu, rakyat Malaysia, khususnya warga Felda boleh berbangga serta bersyukur dengan perkembangan dan kejayaan yang dikecapi oleh Felda hari ini.


Maka bertepatanlah tema sambutan Hari Peneroka FELDA Peringkat Kebangsaan 2015 - MENSYUKURI NIKMAT, bakal diraikan pada 30 Ogos 2015 di Kuala Nerus, Kuala Terengganu nanti.

Setiap tahun peneroka Felda diraikan dengan tema yang menepati sasaran perancangannya di mana kita akan dapat menyaksikan perubahan demi perubahan menuju setiap kejayaan dari mula ia ditubuhkan.

Kita ikuti intipati mesej-mesej Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sejak beliau menerajui tampuk kepimpinan;


2014
Pada tahun 2014, tema sambutan Hari Peneroka Kebangsaan ke-58 adalah "GENERASI BAHARU BERWAWASAN, MEMACU TRANSFORMASI" telah diraikan pada 24hb Ogos di Stadium Jasin, Melaka. Mesej yang telah disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar strategi di fasa kedua mampu membawa Felda sebagai badan ekonomi gagah perkasa atau 'economic powerhouse'.


2013
Hari Peneroka Kebangsaan 2013 pula menyaksikan pelancaran Pelan Integriti Felda yang telah diadakan di Felda Sungai Tiang, Pendang, Kedah dengan bertemakan - Bersama Merealisasikan Transformasi. Perdana Menteri telah mengajak peneroka melihat transformasi Felda ke satu peringkat menjangkau dari hanya soal pembangunan fizikal tetapi ke tahap yang lebih baik bagi mencipta masadepan yang lebih cemerlang. Di tahun inilah, Felda disenaraikan di IPO.


2012
Sambutan Hari Peneroka 2012 pula disambut pada 7 Julai dan sekaligus merasmikan Menara Felda. Majlis yang buat pertama kali diadakan di ibu kota dan pada waktu malam itu dihadiri lebih 20,000 para peneroka dan ahli keluarga mereka dari seluruh negara. Perdana Menteri telah menegaskan bahawa Felda hari ini bukan sembarangan organisasi tetapi telah sampai ke persada antarabangsa.

Simboliknya Menara Felda setinggi 50 tingkat telah diilhamkan daripada bentuk biji sawit, yang terletak di Platinum Park, pusat perniagaan Segi Tiga Emas di ibu kota.

 
2011
Sambutan Hari Peneroka Peringkat Kebangsaan pada 7 Julai 2011 yang bertemakan - Melestarai Kesejahteraan Peneroka. Ia sangat bermakna kepada masyarakat peneroka Felda kerana lokasi sambutan diadakan di Bandar Tun Abdul Razak, Jengka iaitu sebuah bandar bumiputera terulung di negara ini. Perdana Menteri telah mengumumkan peruntukkan untuk pembinaan 500 unit rumah kos rendah untuk golongan muda generasi felda.

Lagi satu perkhabaran gembira apabila PM mengumumkan pasukan Felda United FC akan menjadikan Bandar Tun Razak Jengka sebagai tuan rumah mereka dan peruntukkan untuk pembinaan sebuah Stadium Felda United sendiri disini. 


2010
Pada 2010, sambutan Hari Peneroka Peringkat Kebangsaan telah berlangsung di perkarangan Maktab Rendah Sains Mara (Felda) , Felda Trolak Jaya, Sungkai, Perak. Majlis telah dirasmikan oleh YAB. Dato' Seri Najib Tun Hj. Abd Razak, Perdana Menteri Malaysia dengan tema - Meneroka Inovasi Negara.

Pada majlis yang sama juga, Anugerah Keceriaan Kampung Felda (AKKF) telah disampaikan kepada FELDA Keledang, Kota Tinggi dengan hadiah wang tunai sebanyak RM1 juta. Anugerah ini merupakan anugerah tahun ke-3 ia diberikan kepada perkampungan Felda terceria peringkat kebangsaan.


2009
Hari Peneroka 2009 telah disambut di Felda Maokil dan Perdana Menteri menyeru kepada generasi Felda ketika di dalam memasuki fasa kedua pembangunannya, impian menjadi Gedung Makanan Negara dapat direalisasikan memandangkan ia merupakan satu misi dalam konsep Felda moden. Pada fasa pertama, Felda membuka tanah untuk dijadikan ladang dan bagi fasa kedua pula, Felda perlu membuka minda kepada segala kejayaan yang tidak pernah difikirkan.

Hari Sambutan Peneroka setiap tahun adalah hari yang ditunggu-tunggu oleh setiap peneroka Felda kerana pada lazimnya di setiap majlis tahunan ini, pasti diumumkan imbuhan samada duit raya mahupun peruntukan-peruntukan tertentu dan ditambah dengan pengumuman dividen saham FGV.

Seharusnya peneroka Felda hari ini berbangga dengan kejayaan Felda yang merupakan ciptaan sistemnya sendiri dan tiba masanya sama-sama 'Mensyukuri Nikmat'  di sepanjang perjalanan transformasi Felda selama 59 tahun dengan jayanya.

No comments: