Saturday, January 27, 2018

PRIHATIN KERAJAAN TERENGGANU, RAKYAT MENIKMATI TAMBANG MYBAS YANG RENDAH


Skim Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST) telah pun berjaya di beberapa lokasi seperti di Kangar-Perlis, Ipoh-Perak dan Seremban-Negeri Sembilan. Berteraskan pemerintahan kerajaan negeri yang prihatin nasib rakyatnya, Terengganu adalah destinasi seterusnya di mana tujuan skim SBST ini adalah untuk menghubungkan kawasan luar bandar dengan lebih berkesan yang pasti jadualnya menepati waktu supaya dapat membantu penduduk setempat berulang-alik ke tempat kerja, sekolah dan destinasi lain.

Pihak SPAD telah pun menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) kontrak Pengendali Perkhidmatan dengan MARA Liner Sdn Bhd di mana melibatkan 30 buah bas dan sebagai permulaan sebanyak 11 bas akan disediakan. Lebih menarik lagi Terengganu sangat bertuah apabila 11 buah ni adalah bas elektrik pertama di Malaysia dalam kempen kerajaan menurunkan kadar pelepasan karbon ke alam sekitar hingga 45 peratus pada 2030, dengan inisiatif penggunaan kenderaan cekap tenaga.


 
Apabila MyBas mula beroperasi di Kuala Terengganu pada bulan April nanti, yang pasti, rakyat setempat akan dapat menikmati kadar tambang serendah 90 sen hingga RM2.50 dalam keadaan perkhidmatan bas yang selesa, mempunyai ciri-ciri moden serta mesra alam. Bagi pelajar, diskaun sebanyak 50% akan diberi selain daripada orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas.

Laluan MyBas di sekitar Kuala Terengganu ini akan melalui jumlah keseluruhan jarak 235.9 kilometer dan berikut adalah 3 fasa yang telah ditetapkan pihak SPAD;

Fasa 1 : 3 laluan utama dan 1 laluan perantara manakala
Fasa 2 dan 3 : 4 perkhidmatan tambahan seperti berikut;


Pihak SPAD yakin dalam tempuh 3 bulan, perkhidmatan myBas ini akan menjadi popular dan mampu dimanfaatkan penduduk di Kuala Terengganu berdasarkan kepada perkhidmatannya yang menepati waktu, selesa, selamat dan juga tambang yang sangat berpatutan. Setakat ini, kerajaaan telah pun melabur sebanyak RM100 juta untuk program MyBas ini. Pihak SPAD sebagai pihak yang dipertanggungjawabkan kerajaan akan memantau perkhidmatan dan keselamatan setiap bas.

Program SBST ini juga telah berjaya bukan saja menawarkan perkhidmatan yang baik malahan telah berjaya selamatkan industri bas henti-henti di kawasan laluan yang kurang mendapat penumpang. Perkhidmatan myBAS telah beroperasi di Kangar, Seremban dan Ipoh, setakat ini telah mencapai sasaran penumpangnya yang berjumlah 9.3 juta orang (atau 400,000 penumpang sebulan), beroperasi sepanjang 51 laluan dengan jarak gabungan 1,434km.

 

Thursday, January 25, 2018

POLITIK LOMPAT, PEMBANGKANG BOLEH MENANG ANUGERAH


‘Politik Lompat Perdaya Rakyat’, satu tajuk yang sememangnya perlu dibincangkan dan Penerangan UMNO telah membuat pilihan terbaik dalam forum "Anda Tanya Kita Jawab" baru-baru ini.

Selama ini kita dipersembahkan dengan pemimpin-pemimpin politik yang melompat dari satu parti ke satu parti lain tetapi ramai yang tidak sedar budaya politik lompat ini amat gemar diamalkan pembangkang. Setiap kali pilihanraya umum diadakan pula, tanpa segan silu, mereka akan bertanding dari satu kawasan ke kawasan lain. Apakah ia satu budaya demokrasi yang sihat dan apakah mereka bertanding untuk berkhidmat kepada rakyat?

Paling ketara setelah menang di kawasan yang ditandingi, bukan khidmat bakti yang dicurahkan kepada pengundi yang telah memilih mereka sebaliknya lebih terarah sebagai politikus yang tidak matang dan hanya gemar mencari populariti selain sekadar gemar merampas kawasan tertentu.

Tugas wakil rakyat yang utama adalah membawa suara rakyat ke parlimen dan perbandingan politik matang antara BN dengan pembangkang jauh berbeza yang mana pembangkang sekadar lebih kepada kosmetik. Pembangkang akan berpindah ke kawasan lain apabila mendapati rekodnya tercalar kerana gagal berkhidmat kepada penduduk setempat yang telah mengundi mereka.

Penyakit suka melompat dari satu parlimen ke satu parlimen ini hanya ada pada pemimpin-pemimpin yang suka mungkir janji. Mereka akan tabur pelbagai janji kepada pengundi di kawasan itu dan setelah menang, segala janji-janji itu dilupakan begitu sahaja dan di pilihanraya lain, mereka berpindah ke kawasan yang lain pula.

Selain dari itu, pemimpin pembangkang ini tidak berkeinginan langsung untuk berkhidmat kepada pengundinya dan di penghujung tempoh penggal mereka, akhirnya rakyat sedar yang calon mereka pilih tidak pernah kelihatan di kawasan mereka. Maka, mengetahui popularitinya semakin merosot dan jika mereka kekal bertanding di kawasan yang sama, peluangnya adalah tipis untuk menang, mereka akan mencari kawasan lain untuk bertanding.

Contoh paling klasik di blok pembangkang adalah Lim Kit Siang di mana beliau telah berpindah kawasan sebanyak enam kali. Bermula di Kota Melaka kemudian terus ke Petaling Jaya, balik semula Kota Melaka, Tanjung, seterusnya ke Ipoh Timur dan di PRU13, beliau ke Gelang Patah pula. Di antara lain, Dr Hatta Ramli yang dahulu bertanding atas tiket PAS, tiba-tiba muncul di Kuala Krai dan Salahuddin Ayub pula teringin kembali ke Johor dan bertanding di Pulai yang merupakan tempat kelahirannya, namun beliau dikalahkan.

Pemimpin pembangkang yang berpindah kawasan ini merupakan pemimpin yang tidak mempunyai akar umbi dan mereka hanya sekadar memainkan emosi rakyat demi kepentingan politik dan akhirnya tidak tahu untuk mentadbir secara baik sekaligus menyebabkan rakyat dan penduduk setempat yang menjadi mangsa.

Namun dengan adanya media sosial hari ini, di hujung jari saja rakyat akan tahu samada janji lepas yang ditaburkan kepada masyarakat akan dapat dilihat kembali samada telah ditunaikan atau sekadar janji kosong. Justeru kalau diulang lagi tentunya rakyat tidak akan percaya. Mereka yang gemarmelompat dari satu parlimen ke satu parlimen lain adalah mereka yang pasti akan mungkir janji dan tidak melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil
rakyat.

Janganlah kita sesekali percaya dan undi mereka yang hanya mampu beri harapan palsu dan lihatlah kepada track record perkhidmatan mereka. Yang pasti, orang seperti Lim Kit Siang hanya ingin menang atas kepentingan peribadi dan kuasa sahaja. Namun untuk membela nasib rakyat di kawasannya, tidak sekali-kali malahan parti yang tidak menang iaitu Barisan Nasional tetap meneruskan membela rakyat sepertimana yang kini berlaku di Selangor, Pulau Pinang dan juga Kelantan.

Oleh yang demikian, tanyalah diri sendiri, berapa kali kita ingin ditipu pembangkang terutamanya yang datang dari kelompok Pakatan Harapan?
 

Wednesday, January 24, 2018

MCA : MAHATHIRISMA, APAKAH DAP SEKALI LAGI AKAN MENIPU MASYARAKAT CINA?


Sekali air bah, pantai pun berubah tapi bagi DAP, selama 22 tahun air bah baru kini mereka berubah dari menjadikan Mahathir sebagai subjek utama untuk mengkritik segala bentuk korupsi, penipuan, salah guna kuasa, kerajaan yang tidak efisen, penindasan dan semua yang negatif. Bukan itu saja, selama 22 tahun itu juga Mahathir diberi pelbagai gelaran dan pelbagai bentuk ejekan samada di pentas ceramah ataupun di dalam penulisan dan sidang media mereka.

Tetapi hari ini setelah Mahathir bekerjasama, di mulut pemimpin DAP, segala cemuhan dan tuduhan selama 22 tahun telah dimaafkan dan kini Mahathir adalah pemimpin yang suci yang ingin selamatkan Malaysia.

Bagi MCA, apakah ini tidak sama seperti ketika DAP sedang bekerjasama dengan PAS? DAP berkempen agar pengundi Cina menyokong hukum hudud PAS dan menerima ekstrimisma PAS yang satu ketika dulu sangat anti-MCA sehinggakan ahli-ahli dan pemimpin UMNO juga dipanggil kafir. Di dalam Pakatan Rakyat, bukan DAP tidak tahu PAS akan melaksanakan hukum hudud mereka di Kelantan, tetapi demi mendapatkan undi, masyarakat Cina dibohong yang hudud PAS hanya melibatkan orang Melayu.

Selepas berjaya menipu masyarakat Cina dengan hudud PAS, DAP telah mendapat satu lagi idea untuk perdaya masyarakat Cina. Kali ini DAP bekerjasama dengan musuh utama mereka, Dr Mahathir aka MahaFiraun, MahaZalim dan MahaKorup dan orang yang menyebabkan punca utama Malaysia ini rosak. PRU14, DAP inginkan masyarakat Cina terima Mahathir sebagai seorang malaikat atau bayi tua yang suci.

Dahulu, DAP salahkan Mahathir kerana telah campurtangan dalam sistem perundangan negara yang sepatutnya bebas dari pengaruh politik, DAP kritik Mahathir yang zalim kerana pecat Anwar, mendedahkan kepada semua tentang kerugian Forex, Perwaja Steel, MAS, Proton dan pelbagai kerugian dalam ideologi penswastaan Mahathir sehingga timbulnya perkataan dari 'privatisation' ditukar ke 'piratisation' yang menguntungkan kroni-kroni Mahathir.

DAP bukan saja bekerjasama dengan Mahathir dalam kempen 'Save Malaysia' tetapi mereka juga yang bertanggungjawab melantik beliau sebagai 'Top Dog' Pakatan Harapan. Kini, DAP bersetuju memilih Mahathir sebagai Perdana Menteri PH dan sekali lagi masyarakat Cina akan cuba ditipu. Bukankah dahulu DAP yang bersungguh-sungguh ingin Mahathir melepaskan jawatan Perdana Menteri dengan alasan beliau telah terlalu lama berkuasa? Apabila Mahathir enggan, DAP pun menggelarnya 'DIKTATOR'.

Kononnya DAP tidak suka MCA dan UMNO kerana kedua-dua parti ini rasis yang hanya ada satu kaum saja. Tetapi DAP tidak lagi mahu bercakap mengenainya lagi apabila PPBM berkeras untuk mengekalkan parti mereka kepada bangsa Melayu sahaja. Bukankah jelas, Mahathir masih kekal dengan ultra-Melayunya dan bukankah perkara ini sangat-sangat dikutuk DAP? Bagaimana Kit Siang dan DAP mampu kekalkan 'Malaysian Malaysia' mereka apabila Mahathir sendiri enggan menerimanya?

Masyarakat Cina telah membuktikan yang mereka telah menolak Mahathirisma apabila pada PRU11, ramai yang mengundi untuk BN dan setelah Mahathir meletak jawatan. BN memperolehi 198 kerusi parlimen daripada 220 yang dipertandingkan. Tetapi pada PRU12 dan PRU13 lalu, DAP berjaya mempengaruhi mereka dengan janji 'Ubah' yang mereka yakin dapat menakluk Putrajaya dan DAP kekal menyerang Mahathir.

Masyarakat Cina memilih untuk mempercayai DAP yang akhirnya hampir 80% telah beri kemenangan kepada mereka walaupun gagal menakluk Putrajaya. Kini, setelah DAP puas beri janji palsu kepada masyarakat Cina dengan kembalikan Mahathirisma, apakah mereka akan terus ditipu untuk kali ketiga di  PRU14 nanti? Ubah yang dijanjikan rupanya DAP sendiri telah khianati!

Tuesday, January 23, 2018

JANGAN CUBA SOGOK PENGUATKUASA SPAD

Pemandu yang cuba sogok SPAD seperti dilapor Harian Metro
Mungkin masih ada sesetengah rakyat Malaysia menganggap undang-undang boleh dikompromi dengan sogok atau rasuah kepada penguatkuasa di negara ini. 

Namun, mereka tidak mengetahui yang pihak-pihak penguatkuasa hari ini sangat akur dengan apa yang pernah mereka ikrarkan bersama Suruhanjaya Pencegah Rasuah dan ini termasuklah penguatkuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Ini terbukti dalam satu laporan Harian Metro pada 20 Januari, seorang pemandu teksi yang didapati tidak mempunyai kad pemandu dan juga beliau telah gagal menunjukkan salinan permit perkhidmatan ketika beliau diperiksa penguatkuasa SPAD. 

Ketika penguatkuasa SPAD menjalankan pemeriksaan di pintu lapan, aras lima Balai Pelepasan KLIA, pemandu tersebut didapati sedang menunggu penumpang.

Apabila teksinya akan disita, pemandu yang bersalah ini telah mengeluarkan sejumlah wang sebanyak RM300 dan cuba memberikan kepada pegawai penguatkuasa SPAD beberapa kali tetapi telah ditolak secara berhemah. 

Lantas, pemandu tersebut dinasihatkan supaya mengikut peraturan betul seperti yang telah ditetapkan pihak SPAD.

Pemandu teksi ini bersalah di bawah Seksyen 22 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan dibawa ke pejabat SPAD KLIA untuk diambil keterangan dan tindakan selanjutnya. 

Manakala teksinya telah disita ke depoh sitaan SPAD di Bandar Enstek, Negeri Sembilan untuk siasatan. Satu laporan polis juga telah dibuat mengenai penyitaan tersebut.

Ini merupakan satu insiden klasik yang berlaku dan beberapa cubaan untuk memberi sogokan kepada penguatkuasa SPAD juga pernah dilaporkan. 

Diharap kita semua menyedari yang perkara ini tidak dilakukan dan lebih penting, penguatkuasa SPAD tidak mudah untuk disogok dan menerima apa bentuk rasuah.

Tindakan dan ketegasan penguatkuasa SPAD ini perlu mendapat pujian dan menjadi contoh yang kerajaan sangat komited dan serius dalam memerangi rasuah.

Friday, January 19, 2018

YONG PENG HIGH SCHOOL : JAWAPAN TEPAT DARI MCA UNTUK GUAN ENG


Kononnya apabila Timbalan Presiden MCA Datuk Wee Ka Siong yang juga adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Ayer Hitam telah mendedahkan yang Guan Eng dan Kerajaan DAP Pulau Pinang telah secara diam-diam membenarkan menukar saham syarikat pembinaan dari negara China ke syarikat fesyen tempatan, sesuatu perlu dilakukan agar dapat mengalihkan perhatian rakyat dengan menimbulkan isu lain terhadap Datuk Wee.

Oleh itu, bagi pihak MCA Johor, Setiausaha Kerjanya Saudara Ling Tian Soon telah memberi nasihat agar lebih baik jika Guan Eng berikan tumpuan penuh kepada masalah-masalahnya di Pulau Pinang. Lebih jelek apabila Guan Eng selaku seorang Ketua Negeri membuat kenyataan salah dan tidak berasas yang sengaja dibuat dalam sidang media.

Ia telah menjadi taktik Guan Eng yang selalu dilakukannya, cubaan mengalihkan perhatian rakyat sedangkan kini beliau berhadapan dengan kemarahan rakyat yang sering dilanda banjir kilat dan ditambah dengan kes dakwaan salah guna kuasa dan rasuah banglonya dan terkini, terbongkar muslihat di sebalik projek mega berbilion terowong laut Pulau Pinang.

Dikatakan Guan Eng terperanjat besar apabila Yong Peng High School telah meminta derma darinya dengan alasan ini adalah sekolah yang terletak di kawasan parlimen Ayer Hitam di mana Ahli Parlimennya adalah Timbalan Presiden MCA dan juga seorang menteri.

MCA Johor juga ada pertanyaan, jika ada di antara persatuan Cina, sekolah mahupun tokong dari Pulau Pinang datang meminta derma dan peruntukan dari MCA, apakah ini juga bermakna yang Guan Eng sebagai Ketua Menteri dan DAP sebagai parti memerintah, gagal membantu mereka jika itu adalah logik yang digunakan Guan Eng ke atas Datuk Wee.

Untuk pengetahuan umum, di kawasan Parlimen Ayer Hitam saja terdapat lebih dari 40 sekolah dari pelbagai latarbelakang samada ia adalah sekolah bantuan penuh kerajaan ataupun swasta. Pada tahun 2017 saja, Yong Peng High School tidak ketinggalan mendapat peruntukan kerajaan dan jumlahnya adalah sama seperti sekolah-sekolah lain.

Pada tahun lalu, Datuk Wee sendiri telah memperuntukkan sebanyak RM75,000 untuk Yong Peng High School dan ini tidak termasuk subsidi yang lain yang telah diberikan untuk pelbagai aktitivi lain. Dalam pada itu, Datuk Wee adalah penyumbang yang terlalu sering menghulurkan sumbangan kepada Persatuan Alumni Yong Peng High School dan Persatuan Pelajar Taiwan Yong Peng. Sumbangan-sumbangan ini diberi agar mereka dapat mengadakan dan mempromosi pelbagai program dalam menampung kewangan Yong Peng High School.

Telah dimaklumkan yang Guan Eng sememangnya ada menyumbang kepada Yong Peng High School apabila pada tahun 2014, beliau telah memberi RM1,000 tetapi selepas itu, tiada. Bagi MCA Johor, mereka amat berterima kasih ke atas prihatin RM1,000 itu dan sekiranya Guan Eng benar-benar simpati atau mendapati usaha MCA dan Datuk Wee tidak mencukupi, amatlah berbesar hati jika dahulu RM1,000 tetapi kini boleh ditingkatkan kepada 7 angka pula.

Apakah ia akan berlaku? Jika ikhlas menegur Datuk Wee dan MCA dan ingin membantu Yong Peng High School, seharusnya Guan Eng berbuat demikian dan bukan sekadar ingin merendah-rendahkan usaha dan sumbangan orang lain untuk mencari publisiti murah. Jika tidak, jawapan yang tepat dari MCA Johor kepada Guan Eng... jangan malukan diri sendiri jika tak tahu tetapi lebih baik ambil tahu masalah besar yang sedang melanda Pulau Pinang sekarang.