Thursday, January 25, 2018

POLITIK LOMPAT, PEMBANGKANG BOLEH MENANG ANUGERAH


‘Politik Lompat Perdaya Rakyat’, satu tajuk yang sememangnya perlu dibincangkan dan Penerangan UMNO telah membuat pilihan terbaik dalam forum "Anda Tanya Kita Jawab" baru-baru ini.

Selama ini kita dipersembahkan dengan pemimpin-pemimpin politik yang melompat dari satu parti ke satu parti lain tetapi ramai yang tidak sedar budaya politik lompat ini amat gemar diamalkan pembangkang. Setiap kali pilihanraya umum diadakan pula, tanpa segan silu, mereka akan bertanding dari satu kawasan ke kawasan lain. Apakah ia satu budaya demokrasi yang sihat dan apakah mereka bertanding untuk berkhidmat kepada rakyat?

Paling ketara setelah menang di kawasan yang ditandingi, bukan khidmat bakti yang dicurahkan kepada pengundi yang telah memilih mereka sebaliknya lebih terarah sebagai politikus yang tidak matang dan hanya gemar mencari populariti selain sekadar gemar merampas kawasan tertentu.

Tugas wakil rakyat yang utama adalah membawa suara rakyat ke parlimen dan perbandingan politik matang antara BN dengan pembangkang jauh berbeza yang mana pembangkang sekadar lebih kepada kosmetik. Pembangkang akan berpindah ke kawasan lain apabila mendapati rekodnya tercalar kerana gagal berkhidmat kepada penduduk setempat yang telah mengundi mereka.

Penyakit suka melompat dari satu parlimen ke satu parlimen ini hanya ada pada pemimpin-pemimpin yang suka mungkir janji. Mereka akan tabur pelbagai janji kepada pengundi di kawasan itu dan setelah menang, segala janji-janji itu dilupakan begitu sahaja dan di pilihanraya lain, mereka berpindah ke kawasan yang lain pula.

Selain dari itu, pemimpin pembangkang ini tidak berkeinginan langsung untuk berkhidmat kepada pengundinya dan di penghujung tempoh penggal mereka, akhirnya rakyat sedar yang calon mereka pilih tidak pernah kelihatan di kawasan mereka. Maka, mengetahui popularitinya semakin merosot dan jika mereka kekal bertanding di kawasan yang sama, peluangnya adalah tipis untuk menang, mereka akan mencari kawasan lain untuk bertanding.

Contoh paling klasik di blok pembangkang adalah Lim Kit Siang di mana beliau telah berpindah kawasan sebanyak enam kali. Bermula di Kota Melaka kemudian terus ke Petaling Jaya, balik semula Kota Melaka, Tanjung, seterusnya ke Ipoh Timur dan di PRU13, beliau ke Gelang Patah pula. Di antara lain, Dr Hatta Ramli yang dahulu bertanding atas tiket PAS, tiba-tiba muncul di Kuala Krai dan Salahuddin Ayub pula teringin kembali ke Johor dan bertanding di Pulai yang merupakan tempat kelahirannya, namun beliau dikalahkan.

Pemimpin pembangkang yang berpindah kawasan ini merupakan pemimpin yang tidak mempunyai akar umbi dan mereka hanya sekadar memainkan emosi rakyat demi kepentingan politik dan akhirnya tidak tahu untuk mentadbir secara baik sekaligus menyebabkan rakyat dan penduduk setempat yang menjadi mangsa.

Namun dengan adanya media sosial hari ini, di hujung jari saja rakyat akan tahu samada janji lepas yang ditaburkan kepada masyarakat akan dapat dilihat kembali samada telah ditunaikan atau sekadar janji kosong. Justeru kalau diulang lagi tentunya rakyat tidak akan percaya. Mereka yang gemarmelompat dari satu parlimen ke satu parlimen lain adalah mereka yang pasti akan mungkir janji dan tidak melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil
rakyat.

Janganlah kita sesekali percaya dan undi mereka yang hanya mampu beri harapan palsu dan lihatlah kepada track record perkhidmatan mereka. Yang pasti, orang seperti Lim Kit Siang hanya ingin menang atas kepentingan peribadi dan kuasa sahaja. Namun untuk membela nasib rakyat di kawasannya, tidak sekali-kali malahan parti yang tidak menang iaitu Barisan Nasional tetap meneruskan membela rakyat sepertimana yang kini berlaku di Selangor, Pulau Pinang dan juga Kelantan.

Oleh yang demikian, tanyalah diri sendiri, berapa kali kita ingin ditipu pembangkang terutamanya yang datang dari kelompok Pakatan Harapan?
 

No comments: