Wednesday, January 03, 2018

PERJUANGAN UMNO KERANA LILLAHI TA'ALA, MAHATHIR HANYA MAMPU MENYINDIR?


Maka apabila Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa mengajak orang ramai melaungkan “lillahi taala” selepas beliau melaungkan “UMNO”, yang hanya mampu Top Dog Pakatan Harapan lakukan hanyalah sekadar mampu menyindir di dalam blognya.Walaubagaimanapun, oleh kerana kini telah berada dalam pakatan pembangkang yang diketuai DAP, beliau sengaja melupakan yang perjuangan UMNO adalah untuk agama iaitu Islam, bangsanya Melayu dan negaranya Malaysia.

Klip video ringkas itu menunjukkan Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa berucap kepada sekumpulan ahli Umno di Ketereh, di mana beliau merupakan ketua bahagian UMNO dan juga ahli Parlimen, sambil berkata Umno adalah parti untuk “lillahi taala”. Di dalam blognya, Dr Mahathir sengaja mengenepikan perjuangan UMNO yang sejak ditubuhkan telah berjuang menegakkan ugama Islam. Bukankah ini kerana Allah?

Jika Dr Mahathir ingin mensabitkan pemimpin yang melakukan kesalahan justeru melabelkan UMNO terlibat dalam kecurian di samping melakukan penipuan dan rasuah untuk memenangi pilihan raya, adakah itu ajaran UMNO atau pemimpin itu sendiri yang korup? Di mana dalam perlembagaan UMNO yang menyeru agar ahli dan pemimpinnya melakukan kesalahan?

Begitu juga dalam ajaran Islam yang berpandukan Al Quran, apakah apabila seseorang itu enggan membenarkan isterinya menutup aurat, adakah Al Quran dan Islam itu persalahkan?

Apakah apabila pemimpin UMNO seperti Tan Sri Annuar memberi penerangan yang perjuangan politik ahli-ahli UMNO mestilah dalam kerangka ibadah, maka apakah itu juga salah di mata Dr Mahathir? Sedangkan dalam solat pun seseorang itu melafazkan iktikad solat, hidup dan mati demi Allah, apakah ini juga sukar untuk di fahami Dr Mahathir?

Jika ditanya kepada mana-mana ahli UMNO di zaman Dr Mahathir, parti Melayu ini hanyalah satu parti politik nasionalis sehinggakan pada pandangan bukan Melayu, parti ini sangat rasis memandangkan ia hanya berahlikan Melayu dan Bumiputra. Tiada siapa di zaman Dr Mahathir yang berani ke hadapan seperti Tan Sri Annuar Musa memberi penerangan bahawa perjuangan UMNO bukan sekadar untuk mengekalkan kuasa malahan paling utama mempertahankan agama Islam sebagai agama persekutuan di samping mengembangkan lagi syiar Islam dan pemahamannya bahawa agama suci ini mengajar untuk berlaku adil kepada semua. Apakah ini menjadi satu ejekan kepada Dr Mahathir?

Janganlah kerana telah bersama-sama parti yang jelas anti-Islam maka segala yang diperjuangkan UMNO hari ini diperlekehkan. Di manakah suara Dr Mahathir ketika DAP mempertikai, mempersenda dan mempermainkan agama Islam?

Jika pada zaman Dr Mahathir, UMNO bertuankan projek dan wang ringgit untuk berebut jawatan, jangan pula ingin disamakan perjuangan UMNO di zaman Presiden Najib Razak. Jika Dr Mahathir tidak lagi mampu berhujah dan sekadar mampu menyindir pemimpin-pemimpin UMNO, adalah lebih baik beliau tidak terus merendahkan dirinya dan cerminkan dirinya terlebih dahulu. Terus bermuhasabah diri sebelum ajal menjemput diri.
 

No comments: