Saturday, January 06, 2018

MCA : APABILA 'TOP DOG' PEMBANGKANG KATA MALAYSIA AKAN BANKRAP, MOTIFNYA?


Mengatakan Malaysia bakal bankrap bukan sesuatu yang baru. Bagi MCA, dakwaan seperti ini telah berlaku sejak tahun 80an dan sering digembar-gembur  pembangkang terutamanya DAP dan ketika skandal forex BNM di mana rezab BNM hampir pupus di zaman Dr Mahathir adalah ketua pentadbir negara. Kini, apabila beliau adalah 'Top Dog' pakatan pembangkang, MCA melihat yang beliau sedang senada dengan DAP dan kini, pilihanraya umum ke 14 pula sedang menghampiri.

Maka dalam satu forum, Dr Mahathir yang sekadar menjalankan tugasnya sebagai ketua Pakatan Harapan telah mengeluarkan kenyataan yang negara sedang menuju ke arah bankrapsi jika tidak melunaskan hutang yang kononnya sangat besar. Beliau membuat persamaan dengan negara Greece kerana negara kini sedang berhadapan dengan hutang jangkapanjang dan pendek berjumlah US$900 billion.

Apakah kita boleh mempercayai dakwaan Dr Mahathir yang kini berada sebaris DAP dan mengetuai pakatan pembangkang? Bagi MCA, rakyat biasa pun mampu membuat penilaian mereka jika analisa ini boleh dijelaskan seperti berikut;

Jika kita ingin membuat pinjaman dengan bank samada untuk pinjaman peribadi atau perniagaan, di antara perkara pokok yang ditentukan adalah kekuatan keupayaan kita membayar semula. Oleh itu, bank ingin memastikan duit mereka dikembalikan dalam tempoh yang ditetapkan. Pinjaman dari bank ini juga boleh diibaratkan sebagai satu pelaburan jangkapanjang kepada perniagaan seseorang.

Begitu juga dengan penjelasan PM Najib Razak di dalam blognya, jika hutang negara adalah di tahap yang sangat kritikal sepertimana didakwa Dr Mahathir, apakah negara-negara gergasi ekonomi dunia yakin untuk mencurahkan duit mereka untuk membuat pelaburan kepada kita? Apakah negara gergasi seperti Republik China ingin melantik Malaysia sebagai mewakili ASEAN dalam insentif 'One Road One Belt' mereka?

Dalam setiap prinsip pelaburan, paling utama adalah, setiap wang yang dilaburkan, mesti ada pulangannya. Tetapi apakah jaminan yang perlu diambil apabila membuat perhitungan risiko? Ia perlu disokong dari laporan juruaudit dan laporan kajian. Begitu juga dengan Malaysia, negara-negara gergasi ekonomi dunia pasti akan menjadi sangat berhati-hati dan memerlukan laporan sokongan dan analisis yang kukuh dari badan-badan ekonomi dunia seperti Agensi Penarafan.

Jika benar hutang negara sehingga US$900bil (RM3.3 trillion) dan jika prestasi ekonomi negara yang lazimnya dinilai daripada KDNK (Keluaran Dalaman Negeri Kasar) menguncup atau berkurangan dengan teruknya, maka sememangnya Malaysia sedang parah dan sedang menuju ke arah bankrap. Tetapi, di mana silap yang disengajakan Mahathir?

Malaysia tidak mempunyai hutang yang besar sepertimana yang digambarkan Mahathir. Nisbah hutang berbanding KDNK kini berada di 50.7%, yang mana ia jauh lebih rendah daripada 92 negara lain di dunia termasuk Singapura, Jerman, Amerika Syarikat, UK dan semua negara maju. Jika menurut pengiraan Dr Mahathir, negara-negara ini terlebih dahulu perlu menjadi bankrap. Malah, pada 50.7%, ia adalah berkali ganda kurang daripada tahap 103.4% pada tahun 1986 semasa 5 tahun pertama Dr Mahathir memegang jawatan Perdana Menteri.

Mungkin Dr Mahathir sedang mengimbau semula kegawatan ekonomi di zamannya sehingga beliau terpaksa meminjam dengan negara Jepun dan Singapura untuk selamatkan Malaysia dan beberapa syarikat kroni serta anaknya. Apakah pinjaman sebegini dijadikan ukuran?

MCA kecewa dengan sikap Mahathir yang sepatutnya sebagai seorang negarawan, beliau tidak memberi gambaran yang salah kepada rakyat. Kerajaan BN telah berkali-kali katakan yang walaupun negara memerlukan kritikan dari pihak pembangkang, namun ia perlu berasas dan berfakta. Hanya kerana ingin menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional yang dipimpin oleh seorang yang tidak ingin tunduk kepada kehendaknya, maka perlukah beliau terus-terusan sabotaj negara dan rakyatnya?

No comments: