Tepat setahun lalu, satu pakatan sulit yang bernilai RM1 bilion di antara Lim Kit Siang dan Dr Mahathir telah didedahkan oleh bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim mengenai siapa yang bakal menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri jika pakatan pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti, hampir menepati percaturannya.
Malahan, kenyataan Zaid Ibrahim agar Dr Mahathir sekali lagi dilantik sebagai PM di negara ini juga telah direalisasikan dan bukan satu omongan kosong apabila secara sebulat suara di konvensyen Pakatan Harapan baru-baru ini, pemimpin-pemimpin tertinggi PH membuat pengumumannya.
Oleh kerana pemimpin-pemimpin UMNO telah mendedahkan betapa DAP mendominasi setiap keputusan dan strategi PH, percaturan awal di antara Kit Siang dan Dr Mahathir untuk memastikan Mukhriz sebagai calon PM PH dan Kit Siang pula adalah Timbalannya, terpaksa diubahsuaikan kepada situasi politik yang hampir menuju ke garisan penamat PRU14 nanti.
Pada dua pilihanraya umum lalu, DAP telah mendapat kerusi terbanyak di antara blok pembangkang dan sengat mereka terserlah apabila dengan sendirinya telah memutuskan hubungan politik dengan PAS yang akhirnya Pakatan Rakyat terbubar, PAN diwujudkan dan ditaja, Pakatan Harapan pula timbul. DAP jugalah yang memutuskan untuk membawa Dr Mahathir dan PPBM diterima dalam pakatan baru mereka.
Tujuan tersembunyi DAP sebenarnya jelas. Walaupun telah berjaya mendominasi pengundi Cina, namun mereka tetap gagal menawan Putrajaya kerana terpaksa menerima hakikat yang pengundi Melayu adalah penentu kepada siapa yang berhak menjadi parti pemerintah dan Perdana Menterinya. PKR dan PAS telah gagal untuk kali ke dua apabila mereka tidak berjaya mendominasi pengundi Melayu walaupun mendakwa pengundi Melayu di bandar telah memihak kepada mereka.
Untuk kali ketiga di PRU14 nanti, DAP berharap tidak akan sekadar menggigit jari dan hanya menikmati kulitnya saja manakala terpaksa membiarkan Barisan Nasional terutamanya musuh ketat mereka UMNO menikmati manisan isi buahnya kerana menerajui kepimpinan negara. Justeru, DAP terpaksa mengubah percaturan politik mereka dan terpaksa menerima Dr Mahathir yang kononnya mampu menjadikan PPBM sebagai parti alternatif kepada UMNO.
Faktor-faktor yang telah digariskan UMNO sepertimana yang sering diingatkan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa bahawa DAP bukan sekadar mendominasi Pakatan Harapan malahan segala keputusan percaturan politik dalam dan luar ahli-ahli Pakatan Harapan juga ditentukan DAP terutamanya Lim Kit Siang dan DAP, tepaksa mengubah cadangan awal menjadikan Mukhriz sebagai PM dan Kit Siang timbalannya.
Walau apa saja yang dicuba DAP, namun masyarakat Melayu tetap menganggap DAP adalah parti cauvinis yang anti-Melayu dan anti-Islam apabila mengekalkan ideologi 'Malaysian Malaysia' mereka. Oleh itu, kononnya Dr Mahathir mampu 'neutralkan' keadaan dan membawa pengaruh besar pengundi Melayu lantas beliau dilantik sebagai Pengerusi PH dan kini adalah calon Perdan Menteri Pakatan Harapan.
Strategi politik UMNO yang pada PRU14 nanti adalah menentang kerajaan pembangkang yang diketuai Kit Siang dan DAP, benar-benar membawa kesan kepada Pakatan Harapan. Akhirnya mereka terpaksa memilih Dr Mahathir sebagai calon PM mereka dan menyorokkan nama Kit Siang dan DAP agar pengundi Melayu kembali yakin kepada mereka dan perjanjian rahsia Kit Siang-Mahathir tidak timbul lagi.
Malang bagi Pakatan Harapan, segala tipu muslihat melantik Dr Mahathir sebagai Pengerusi dan calon Perdana Menteri dengan mengenepikan Anwar Ibrahim, telah dapat dihidu rakyat Malaysia. Apa pun keputusan Pakatan Harapan, ia tetap adalah keputusan muktahir dari DAP dan Dr Mahathir hanyalah PM sementara untuk Mukhriz. Perjanjian sulit Kit Siang-Mahathir kekal berjalan lancar.
No comments:
Post a Comment