Showing posts with label LRT. Show all posts
Showing posts with label LRT. Show all posts

Saturday, September 10, 2016

PERMOHONAN MAAF GANGGUAN PERKHIDMATAN LRT MENDAPAT RESPON PELBAGAI

Di dalam usaha pro-aktif kerajaan menggalakkan rakyat memilih pelbagai pengangkutan awam darat sebagai mod pilihan perjalanan mereka, rel adalah di antara kenderaan yang mendapat sambutan terutama di kalangan masyarakat bandar. Selain daripada mampu mengelak kesesakan jalanraya di dalam bandar, tambangnya adalah murah dan masa perjalanan dapat disingkatkan.

Salah satu rel yang telah beroperasi sejak 10 tahun yang lalu ialah LRT yang diusahakan pihak Prasarana dan sejak kebelakangan ini, gangguan perkhidmatan sering terjadi terutama ketika cuaca hujan lebat.

2 kejadian gangguan terbaru telah berlaku di dalam tempoh 3 hari telah menyebabkan rasa tidak puas hati penumpang memuncak dan ramai di antara mereka yang terjejas disebabkan mengganggu waktu mereka untuk sampai ke tempat kerja. 

Kejadian pertama telah berlaku pada 6 September apabila terdapat gangguan kuasa elektrik di landasan LRT Kelaja Jaya yang mengakibatkan beribu-ribu penumpang terkandas kerana sistem komunikasi mereka juga turut terganggu. 

Kemudian semalam berlaku sekali lagi apabila dua buah tren dari Gombak menghala ke Putra Heights telah terhenti berhampiran Stesen Sri Rampai dan Stesen Damai akibat gangguan kepada sistem bekalan kuasa.

Pihak Prasarana yang mengendalikan tren Rapid KL LRT telah memohon maaf. Yang menjadi pemerhatian penumpang LRT, gangguan yang sering berlaku adalah di kala waktu hujan yang berpunca dari bekalan elektrik. 



Permohonan maaf pihak Prasarana dan tawaran tambang percuma selama 3 hari telah menjadi bualan hangat di media-media sosial, ramai yang masih tidak menyambut baik permohonan maaf Prasarana walaupun diberi tawaran perkhidmatan percuma namun pada yang sama diimbangi dengan ucapan terima kasih dan memahami kedudukan keadaan.

Gangguan perkhidmatan LRT telah dijadikan perumpamaan di kalangan rakyat Malaysia seperti, sekarang perkhidmatan LRT sama juga dengan Astro, bila hujan ia akan beri isyarat - TIADA PERKHIDMATAN atau bila hujan saja, pasti LRT akan hancur. Ada juga yang perli walaupun setelah 10 tahun beroperasi, masalah yang sama tetap berulang dan seolah-olah ia seperti satu kemestian.
 
Ada juga ucapan terima kasih dari netizen yang memuji pihak Prasarana kerana memohon maaf dan mengaku kesilapan pihak mereka. Malahan tawaran tambang percuma untuk 3 hari yang diberi dianggap sebagai satu ucapan terima kasih kepada penumpang setia mereka sebagai cara terbaik untuk menebus kesilapan. Ada di antara mereka yang cuba memujuk hati dengan berhajat mengambil peluang menaiki tren LRT ketika tawaran tambang percuma untuk menaiki dari stesen awal hingga ke stesen akhir.
 
Ragam rakyat Malaysia adalah pelbagai dan kreativiti rakyat Malaysia juga agak terserlah sehinggakan kejadian semalam telah dijadikan tajuk filem seram yang serupa dengan filem Korea dari "Train to Busan" kepada....



Lebih malang lagi apabila pihak kerajaan serta agensi yang dipertanggungjawabkan di mana sektor pengangkutan awam darat adalah di bawah bidangkuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat atau SPAD, akan sentiasa dipersalahkan dan seterusnya dikecam. Oleh itu, adalah wajar jika Prasarana juga bertindak pro-aktif dan responsif terhadap setiap gangguan perjalanan penumpang serta teguran yang dilakukan rakyat.
 
Berkemungkinan tiba masanya pihak kerajaan mengambil tindakan tegas seperti mengenakan denda yang tinggi setiap kali gangguan perjalanan penumpang terjadi. Apa kata jika mereka dikenakan denda sepertimana yang dikuatkuasakan pihak BSKL terhadap syarikat-syarikat yang tersenarai kerana gagal mengemukakan salinan laporan tahunan dan denda yang dikenakan berdasarkan pada beberapa ribu untuk setiap hari.
 
Permohonan maaf mampu diterima tetapi kesilapan berterusan dengan alasan yang sama setiap kali berlaku gangguan perlu diatasi segera dan tidak berulang sehingga menjejaskan niat murni kerajaan membantu rakyatnya.

Thursday, August 25, 2016

PENUMPANG MONOREL DAN LRT NIKMATI 50% DISKAUN DI AWAL PAGI


Bandaraya Kuala Lumpur bukan saja mengalami waktu puncak trafik jalanraya tetapi penumpang Monorel dan LRT juga ada waktu puncaknya. Bagi mengatasi kedua-dua kesesakan ini, maka pihak Prasarana telah mengumumkan untuk memberi diskaun harga tambang sebanyak 50%. Ia adalah untuk penumpang-penumpang yang memulakan perjalanan di awal pagi dari 6 hingga 7 pagi bermula 16 September nanti.

Inilah salah satu cara rakyat dapat memaksimakan penjimatan perbelanjaan harian mereka dan juga galakan menggunakan pengangkutan awam darat. Di samping itu, ini adalah di antara usaha untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas ketika waktu puncaknya di antara jam 8 hingga 10 pagi.

Pengumuman diskaun 50% untuk monorel dan lrt telah mendapat sambutan yang sangat baik daripada rakyat apabila telah dikongsikan sebanyak lebih daripada 1,000 dalam waktu singkat di laman sosial Facebook rasmi SPAD.

Walaupun terdapat beberapa respon negatif di mana kebanyakannya kerana keliru namun respon positif mengatasinya di mana mereka melihat perbelanjaan harian mereka mampu dijimatkan dan keselesaan ketika menaiki monorel dan lrt apabila tidak lagi perlu mengharungi kesesakan di antara 8 hingga 9 pagi.

Berita baik kepada semua pengguna laluan Monorel dan LRT yang memulakan perjalanan dari jam 6 pagi ke 7 pagi! Bermula 16 September 2016, diskaun harga tambang sebanyak 50% akan diberikan kepada anda.

Pada awal tahun 2016, pihak KTMB juga telah mengumumkan beberapa langkah penjimatan perjalanan rakyat di sekitar Greater KL dan Lembah Klang dan juga termasuk di seluruh Semenanjung. Di antara langkah kos efektifk perjalanan adalah 50% diskaun untuk perjalanan sehala untuk kanak-kanak, pelajar, warga emas dan OKU.

Manakala penumpang-penumpang yang menaiki bas antara bandar (dari Rawang, Seremban dan Klang ke Kuala Lumpur) telah pun menikmati diskaun sebanyak 30% untuk pas bulanan mereka.

Pengangkutan awam darat samada melalui rel mahupun bas adalah cara yang lebih mudah dan kos efektif bagi perjalanan terutama di sekitar bandaraya Kuala Lumpur dan Lembah Klang. Ia bukan saja mampu mengatasi kesesakan jalanraya malahan suasana persekitaran bandaraya akan lebih bersih apabila pencemaran udara hasil dari pengeluaran karbon monoksid dari asap kenderaan mampu dikurangkan juga.

Semoga segala nikmat ini disambut baik oleh rakyat dan pengangkutan awam darat akan sentiasa menjadi pilihan utama.

Friday, June 17, 2016

#SPAD : KERAJAAN PULAU PINANG TIDAK PERLU BUAT SPEKULASI


Sejurus selepas kerajaan Pulau Pinang menghantar kertas cadangan mereka mengenai projek sistem Transit Aliran Ringan (LRT) Bayan Lepas kepada pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk dinilai dan dibuat kajiselidik, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir Pulau Pinang, Chow Kon Yeow telah mengadakan sidang akhbar untuk umumkan seolah-olah pihak SPAD telah bersetuju dan pasti akan beri kelulusan cadangan mereka.

Chow Kon Yeow
Kenyataan dari Chow Kon Yeow berbau politik apabila beliau telah mengeluarkan kata-kata yang perbincangan bersama pihak SPAD memihak kepada kerajaan negeri. Kenyataan ini juga dibuat selepas majlis taklimat PTMP kepada wakil syarikat-syarikat Jepun yang sedang membida projek ini. Chow juga telah memberi gambaran pihak SPAD telah bersetuju dengan perbincangan yang telah diadakan untuk meneruskan rancangan kerajaan negeri membuat penilitian dan maklum balas awam yang dijangka bermula Ogos nanti.

Oleh itu ini respon ke atas ketatapan dari pihak SPAD pada 16 Jun lalu adalah, pihak SPAD telah mengesahkan menerima permohonan rasmi projek LRT Bayan Lepas Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 29 Mac dan perbincangan lanjut telah diadakan pada 10 June. 

Bagi menjawab kenyataan Chow, cadangan projek ini masih melalui penilaian yang merangkumi semakan dan kajian yang lebih komprehensif bagi menentukan sebelum cadangan projek tersebut mendapat sokongan dari pihak Suruhanjaya.

Pada masa yang sama, pihak SPAD akan memohon maklumat tambahan dari pihak kerajaan Pulau Pinang dari semasa jika diperlukan sebelum keputusan ditetapkan. Maka, adalah terlalu awal pada ketika ini untuk membuat spekulasi mengenai keputusan permohonan.

Diharapkan kenyataan rasmi SPAD ini jelas kepada mereka dan jangan pula apabila terdapat kesilapan mahupun kekurangan maklumat dan SPAD pula tidak bersetuju maka kerajaan Pualau Pinang yang diterajui DAP akan sewenang-wenangnya mengguna taktik melontar kebencian kepada Suruhanjaya pula. Sedangkan yang jelas, belum ada apa2 keputusan pun diambil dan masih dibuat kajian.


 

Saturday, April 23, 2016

PERJALANAN LEBIH JAUH DENGAN SAMBUNGAN LRT KELANA JAYA YANG BERMULA AKHIR JUN


Setelah kesemua persiapan berjalan lancar kini laluan sambungan LRT Kelana Jaya yang ditunggu-tunggu akan beroperasi sepenuhnya pada akhir bulan Jun nanti. Apa relevannya kepada warga kota?

Penyambungan laluan LRT Kelana Jaya (seperti rajah di atas), bermula dari stesen Kelana Jaya dan melalui 12 stesen baru termasuk Ara Damansara, Subang Jaya dan USJ sebelum berakhir di Putra Heights yang menjadi stesen sambungan ke laluan Ampang. LRT Kelana Jaya juga akan melalui stesen Lembah Subang, Ara Damansara, Glenmarie, Subang Jaya, SS 15, SS 18, USJ 7, Taipan, Wawasan, USJ 21 dan Alam Megah.

Yang penting, laluan sambungan Kelana Jaya ini menghubungi stesen Komuter KTM Subang Jaya dan laluan BRT (Bus Rapid Transit – Laluan Sunway) di stesen USJ7 agar perjalanan lebih lancar.

Apabila laluan LRT Kelana Jaya diperluaskan, maka perjalanan penduduk dari sekita Kelana Jaya akan bertambah mudah untuk pergi sehingga Petaling Jaya, Bangsar, Gombak, Taman Melati, Setiawangsa dan sekitar kawasan pusat perniagaan di Kuala Lumpur.

Sementara itu, LRT Ampang telahpun memulakan fasa pertama perkhidmatan dengan pembukaan empat stesen dan fasa kedua dan baki stesen telah pun dibuka pada 31 Mac lalu.

Dengan usaha kerajaan dalam mentransformasikan Lembah Klang sebagai sebuah bandar pilihan dunia untuk didiami, melalui "Greater Kuala Lumpur dan Perancangan Lembah Klang", projek ini bakal meningkatkan kemudahan jarak perjalanan bagi perkhidmatan pengangkutan awam darat.

Justeru tahap keselesaan serta keselamatan yang tinggi kepada pengguna telah diberi perhatian utama apabila tren generasi baharu yang lebih aerodinamik diperkenalkan telah ditempah daripada Bombardier Transportation dari Kanada.

Ciri-ciri seperti saiz yang lebih luas untuk keselesaan dan meningkatkan kapasiti penumpang, aspek keselamatan serta sistem maklumat penumpang elektronik diutamakan dan tren ini dilengkapi sistem pelincir roda untuk mengurangkan kesan bunyi.

Sebelum ini, pihak syarikat operasi telah menjalankan latihan ERP (Emergency Response Plan) atau Plan Tindakan Kecemasan bersama-sama S.P.A.D (Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat) sebagai satu syarat wajib di stesen Subang Alam sebelum dibenarkan untuk beroperasi. Latihan ini meliputi ujian kesediaan pasukan operasi dan kesediaan sistem serta kemudahannya.


Ambillah peluang ini untuk menikmati kelancaran perjalanan kita dengan pengangkutan awam yang mampu menjimatkan perbelanjaan serta masa dan kita tidak lagi perlu berasa stress setiap kali ingin ke bandaraya atau ke destinasi yang jauh di mana kesesakan lalulintas tidak akan mampu dielakkan.

Tuesday, September 30, 2014

KEKURANGAN PAKAR DARI MALAYSIA ADALAH CABARAN SEBENAR KERETAPI KELAJUAN TINGGI


Masih ada yang mengatakan projek mega Keretapi Kelajuan Tinggi yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Singapura tidak akan mendapat keuntungan dan kelebihan kepada Malaysia dengan alasan projek ini telah mendapat bantahan dari era 2 mantan Perdana Menteri terdahulu. Ia juga dikatakan bakal menjejaskan kepentingan strtaegik negara dan membabitkan kos yang tinggi.

Yang paling melucukan apabila projek mega ini dikaitkan dengan Tan Sri Syed Hamid Albar, Pengerusi SPAD, seolah-olah beliau merupakan pelobi utama projek ini. Apa kena mengena dengan kepentingan SPAD sedangkan ia terkandung di dalam MANIFESTO BN KETIKA PRU 13 lalu yang dilaungkan sendiri oleh DS Najib.

Kejayaan atau kegagalan projek keretapi kelajuan tinggi ini TIDAK hanya bergantung kepada penyelidikian terdahulu, TIDAK bergantung kepada penilaian di era dahulu dan TIDAK bergantung kepada persepsi persaingan di antara Kuala Lumpur dan Singapura.

Ia bergantung dan sangat kritikal kepada modal insan profesional di bidang keretapi kelajuan tinggi dari negara kita. Inilah cabaran sebenar yang sedang dihadapi dan dikemukakan oleh Pengarah Rail Personnel, Paul Spencer ketika ditemui pada persidangan Rail Business Asia (RBA) 2014 yang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) baru-baru ini. Rail Personnel yang merekrut jurutera serta tenaga profesional daripada semua bidang industri kereta api ditubuhkan di Malaysia lebih setahun lepas. Menurutnya;
 
"Bagaimanapun, (jika masalah ini tidak diatasi segera) mereka akan menghadapi masalah lebih serius untuk mencari jurutera dan pekerja mahir untuk projek MRT2 dan
HSR.

...buat masa sekarang pengendali kereta api terpaksa bertahan dengan modal pekerja mahir yang terhad dengan mengambil tenaga pekerja profesional dari luar negara sebagai langkah sementara."

Beliau memberikan dua sebab berlaku kekurangan tenaga pekerja itu dan yang pertama kerana tiada kursus atau latihan ditawarkan dalam pengajian kereta api di universiti
tempatan. Keduanya, rakyat Malaysia yang dilatih dan mempunyai pengalaman (dalam teknologi kereta api) bekerja di luar negara kerana gaji yang lebih tinggi.
  
Apabila kekurangan pekerja mahir tempatan, akibatnya projek ini akan tergendala dan berlaku kelewatan dalam mengikut jadual dan kos projek pasti akan meningkat apabila keperluan mengambil tenaga pekerja mahir asing yang pasti gaji mereka akan lebih tinggi.

Bagi mengatasi masalah kritikal ini, kerajaan telah menubuhkan Institusi Jurutera Semboyan Keretapi (Institution of Railway Signal Engineers - IRSE) bagi memenuhi keperluan dalam bidang semboyan dan telekomunikasi. Matlamat utamanya adalah untuk membangunkan tenaga profesional industri berkenaan dan menggred kemampuan mereka.

Semboyan kereta api adalah satu daripada unit dalam industri kereta api yang memainkan peranan penting dalam menjamin keselamatan penumpang dan untuk mengelakkan kemalangan keretapi. Unit ini juga dianggap sebagai nadi kepada mana-mana infrastruktur kereta api kerana ia menggerakkan keseluruhan sistem.
  
Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar bersetuju dengan penubuhan Institusi Jurutera Semboyan Keretapi memandangkan industri keretapi Malaysia mempunyai potensi yang besar untuk pertumbuhan. Projek MRT dan keretapi berkelajuan tinggi (HSR) bukanlah projek terakhir keretapi di negara ini. Malahan, terdapat perancangan masa depan seperti LRT 3, MRT 2 dan Trans-Asian railway.

Apabila projek keretapi berkelajuan tinggi ini siap yang dijangkakan pada tahun 2020, perjalanan di antara KL - Singapura hanya memakan masa selama 90 minit berbanding dengan perjalanan dengan kereta selama 300 minit, bas selama 360 minit, KTM selama 420 minit dan penerbangan selama 240 minit (termasuk perjalan pergi dan balik ke lapangan terbang).
 
Bayangkan peluang pekerjaan yang mampu diwujudkan dan peluang perniagaan yang akan dibangunkan untuk rakyat Malaysia di samping kemudahan perjalanan yang mampu dipercepatkan. Sebelum lebuhraya diwujudkan, perkara membazir dan negara tidak mampu membina kerana kos terlalu tinggi adalah di antara pandangan negatif oleh sesetengah pihak.

Apabila telah wujud lebuhraya di sepanjang Semenanjung, dan pertambahan kenderaan di jalanraya sehingga di lebuhraya juga kita mengalami kesesakan, maka ini adalah salah satu perancangan kerajaan di dalam industri rel bagi mengurangkan kesesakan jalanraya dan lebuhraya. Malahan, ini juga merupakan salah satu tindakan kerajaan mengurangkan kehilangan nyawa samada di jalanraya mahupun lebuhraya.

Oleh itu, pandangan di zaman lebuhraya baru wujud tidak sesuai pada hari ini dan sepatutnya apabila kerajaan telah ke hadapan, rakyat pun seharusnya seiringan dan cabaran sebenar di dalam industri rel ini adalah pekerja mahir dan profesional dari anak tempatan yang perlu diberi perhatian serius.


Wednesday, December 25, 2013

SPAD : SATU LAGI PROJEK REL UNTUK KEMUDAHAN RAKYAT SEKITAR SUBANG

Satu lagi projek rel yang didalam perancangan bagi menyediakan pengangkutan awam kepada pengguna Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah serta penduduk sekitar untuk ke pusat bandar Kuala Lumpur dan seturusnya ke KLIA Sepang. 

 

Perkhidmatan rel yang mesra alam dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas sediada serta menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dengan jaringan integrasi dengan sistem pengangkutan rel LRT serta MRT.

 


RINGKASAN PROJEK

Projek Landasan Berkembar Elektrik dari Subang Jaya ke Terminal Skypark Subang merupakan satu projek di bawah Kementerian Pengangkutan.

Pembinaan Landasan Berkembar Elektrik akan menggunapakai sistem sediada di Lembah Klang yang menyediakan perkhidmatan tren komuter KTMB.

Landasan berkembar tersebut bermula dari Km17.37 Seksyen Subang Jaya – Batu Tiga sepanjang 8.157km dan berakhir di Stesen Terminal Skypark yang terletak di hadapan Terminal 3 Lapangan Terbang SAAS.

Pembinaan landasan berkembar turut melibatkan Sistem Elektrifikasi 25kV, Sistem Persemboyanan dan Komunikasi serta kawalan terus dari Pusat Kawalan Tren di KL Sentral. Perkhidmatan Komuter KTMB dari KL Sentral ke Terminal Skypark secara ulang-alik akan disediakan apabila projek tersebut siap sepenuhnya kelak.

Dalam masa yang sama, integrasi sistem perkhidmatan KTMB Komuter dengan sistem perkhidmatan LRT dapat dilaksanakan di Stesen Subang Jaya apabila kedua-dua projek tersebut siap spenuhnya.

Projek landasan berkembar tersebut dibahagikan kepada dua (2) seksyen iaitu Seksyen ‘at grade’ sepanjang 4.09km dan Seksyen landasan bertingkat sepanjang 4.067km yang akan dibina disepanjang jajaran Sungai Damansara.

Projek di atas melibatkan pembinaan satu stesen iaitu Stesen Terminal Skypark di Ch 8.000 yang melibatkan pembinaan platform di sepanjang landasan sepanjang 150m.

TARIKH PROJEK BERMULA : 21 FEBRUARY 2013
TARIKH TAMAT PROJEK : 20 FEBRUARY 2016

Laporan sepenuhnya boleh di dapati DI SINI...

Satu penerangan ringkas akan diadakan berhubung perlaksanaan Projek Landasan Berkembar Elektrik dari Subang Jaya ke Terminal Skypark Subang serta mengumpul maklum balas dari orang awam berhubung projek tersebut.

TEMPAT
  1. Majlis Bandaraya Shah Alam
  2. Majlis Bandaraya Petaling Jaya
  3. Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor
  4. Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat
  5. KL Sentral

TARIKH PEMERIKSAAN AWAM BERMULA DAN TAMAT : 
2 Disember 2013 sehingga 28 Februari 2014.

UNTUK PERTANYAAN LANJUT
Sila hubungi

KERETAPI TANAH MELAYU BERHAD
En. Ismail Said
Tel. No. : 03-2263 1270
Email: ismailsa@ktmb.com.my


KONSORTIUM SKYPARK LINK – LION PACIFIC
Puan Syarwani Bt. Abd Kadir @ Jaafar
Tel. No. : 03-7832 6635
Email: syarwani@skyparklink.com


KL CONSULT ASSOCIATES SDN. BHD.
En. Arshad B. Puasa
Tel. No. : 03-7832 6635
Email: skyparkrail@klconsult.com