Saturday, April 23, 2016

PERJALANAN LEBIH JAUH DENGAN SAMBUNGAN LRT KELANA JAYA YANG BERMULA AKHIR JUN


Setelah kesemua persiapan berjalan lancar kini laluan sambungan LRT Kelana Jaya yang ditunggu-tunggu akan beroperasi sepenuhnya pada akhir bulan Jun nanti. Apa relevannya kepada warga kota?

Penyambungan laluan LRT Kelana Jaya (seperti rajah di atas), bermula dari stesen Kelana Jaya dan melalui 12 stesen baru termasuk Ara Damansara, Subang Jaya dan USJ sebelum berakhir di Putra Heights yang menjadi stesen sambungan ke laluan Ampang. LRT Kelana Jaya juga akan melalui stesen Lembah Subang, Ara Damansara, Glenmarie, Subang Jaya, SS 15, SS 18, USJ 7, Taipan, Wawasan, USJ 21 dan Alam Megah.

Yang penting, laluan sambungan Kelana Jaya ini menghubungi stesen Komuter KTM Subang Jaya dan laluan BRT (Bus Rapid Transit – Laluan Sunway) di stesen USJ7 agar perjalanan lebih lancar.

Apabila laluan LRT Kelana Jaya diperluaskan, maka perjalanan penduduk dari sekita Kelana Jaya akan bertambah mudah untuk pergi sehingga Petaling Jaya, Bangsar, Gombak, Taman Melati, Setiawangsa dan sekitar kawasan pusat perniagaan di Kuala Lumpur.

Sementara itu, LRT Ampang telahpun memulakan fasa pertama perkhidmatan dengan pembukaan empat stesen dan fasa kedua dan baki stesen telah pun dibuka pada 31 Mac lalu.

Dengan usaha kerajaan dalam mentransformasikan Lembah Klang sebagai sebuah bandar pilihan dunia untuk didiami, melalui "Greater Kuala Lumpur dan Perancangan Lembah Klang", projek ini bakal meningkatkan kemudahan jarak perjalanan bagi perkhidmatan pengangkutan awam darat.

Justeru tahap keselesaan serta keselamatan yang tinggi kepada pengguna telah diberi perhatian utama apabila tren generasi baharu yang lebih aerodinamik diperkenalkan telah ditempah daripada Bombardier Transportation dari Kanada.

Ciri-ciri seperti saiz yang lebih luas untuk keselesaan dan meningkatkan kapasiti penumpang, aspek keselamatan serta sistem maklumat penumpang elektronik diutamakan dan tren ini dilengkapi sistem pelincir roda untuk mengurangkan kesan bunyi.

Sebelum ini, pihak syarikat operasi telah menjalankan latihan ERP (Emergency Response Plan) atau Plan Tindakan Kecemasan bersama-sama S.P.A.D (Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat) sebagai satu syarat wajib di stesen Subang Alam sebelum dibenarkan untuk beroperasi. Latihan ini meliputi ujian kesediaan pasukan operasi dan kesediaan sistem serta kemudahannya.


Ambillah peluang ini untuk menikmati kelancaran perjalanan kita dengan pengangkutan awam yang mampu menjimatkan perbelanjaan serta masa dan kita tidak lagi perlu berasa stress setiap kali ingin ke bandaraya atau ke destinasi yang jauh di mana kesesakan lalulintas tidak akan mampu dielakkan.

No comments: