Tuesday, November 25, 2014

DR MASHITAH BERHARAP DAPAT CETUSKAN SATU SEMANGAT BARU DI PAU 2014

Pesanan Datuk Dr Mashitah, wakil Wanita UMNO Kedah... wakil ilmuan agama... wakil pendakwah... dan juga wakil tokok-tokoh pondok, berpesan untuk ahli-ahli UMNO dan umat Islam di Perhimpunan Agong UMNO 2014;


Kini bermulalah terserlahnya seorang ilmuan agama wanita dalam UMNO apabila buat pertama kalinya Datuk Dr Mashitah Ibrahim akan membahaskan usul agama dan pendidikan. Antara isu yang akan dibahas ialah mengenai serangan terhadap akidah dan mencetuskan kekeliruan di kalangan rakyat beragama Islam. Perbahasannya juga akan menyentuh mengenai fahaman pluralisma, liberalisma dan syiah yang sedang menular secara perlahan-lahan di kalangan rakyat Malaysia kebelakangan ini.

Terbaca laporan temuramah di Agenda Daily, mantra rasa teruja untuk berkongsi beberapa petikan dan di antaranya;

Aktiviti di luar politik ...
"Diam-diam ubi berisi. Dalam diam banyak perkara saya buat. Terutama bagaimana nak hidupkan Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) yang diasaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. Saya jumpa TPM baru-baru ini sebab berbincang mengenai yayasan. PM sudah beri
amanah kepada TPM untuk memantau YPPM."

"Jadi selepas Pilihanraya Umum (PRU-13) keutamaan saya ialah memberi perhatian kepada YPPM, antaranya, melawat sekolah-sekolah pondok di seluruh negara untuk mengetahui masalah mereka yang boleh dibawa ke pengetahuan TPM,"

Selain jadi penerbit dan hos program-program agama di televisyen beliau menganjurkan ceramah-ceramah di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan swasta (IPTS) di dalam dan luar negara serta kerja-kerja amal berkaitan agama.
Mesej kepada perwakilan di PAU 2014...
"Saya juga mungkin juga nak menekankan tentang penggunaan dan pemahaman tentang perkataan "jihadist" yang merupakan istilah baru yang diperkenalkan oleh Barat...

"Dalam Islam disebut, kebatilan yang tersusun akan mengalahkan kebenaran yang tidak terancang,"

"Saya rasa inilah masanya sebagai seorang pendakwah, saya harus memberi kesedaran dan insyaalah saya berharap apa yang akan saya utarakam nanti akan dibawa oleh perwakilan untuk dibincang oleh bahagian masing-masing."

Mashitah berharap apa yang bakal diucapkannya semasa PAU nanti dapat mencetuskan satu semangat baharu kepada orang lain untuk bangkit memperkatakan sesuatu mengenai serangan terhadap akidah umat Islam di negara ini.

Pesanan kepada umat Islam di Malaysia...
"Saya tahu ada silent majority di luar sana. Ramai tak bersetuju dengan beberapa perkara tetapi mereka berdiam diri. Kenapa diam? Kita kena bercakap untuk pertahankan agama kita."

"Ini sebenarnya adalah satu agenda terancang dan kita tidak boleh membiarkan ia berterusan kerana ia akan membawa kepada satu pengakhiran yang sangat merbahaya keranda agenda ini tersusun.
Sebenarnya, ramai telah mengetahui kemunculan semula Datuk Dr Mashitah ke pentas PAU 2014 terutama di media sosial dan ini adalah di antara respon dari pejuang-pejuang siber;



Rasanya telah tiba masanya lebih ramai ilmuan agama di kalangan wanita UMNO ditonjolkan dan diberi peluang bukan sekadar berbahas tetapi diberi ruang berkongsi ilmu. Kesanggupan Dr Mashitah perjuangkan pengajian pondok perlu diberi sokongan seperti yang telah disarankan di atas.

Semoga, hasrat Dr Mashitah untuk memberi semangat baru kepada perwakilan PAU 2014 dapat dimanfaat dan diteruskan di bahagian-bahagian masing-masing... Aminnn. InsyaAllah

Monday, November 24, 2014

KATEGORI KESELAMATAN DAN KESELESAAN ADALAH KEUTAMAAN ANUGERAH SPAD


Setiap tahun SPAD akan menghargai pengusaha-pengusaha pengangkutan awam darat. Ia bukanlah sekadar satu anugerah sahaja malahan pilihan SPAD terhadap syarikat-syarikat pengusaha ini berdasarkan kepada kriteria-kriteria yang perlu dicontohi atau sebagai 'benchmark' ke arah meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam darat.

Di antara kriteria yang dititikberat SPAD adalah di dalam aspek keselamatan, displin mematuhi waktu, keselesaan penumpang dan juga pengurusan kenderaan.

Buat kali ketiganya, SPAD mengadakan majlis anugerah ini sempena Simposium LPT 2014 dan di antara pemenangnya adalah;


PENGUSAHA TERBAIK

1) Kategori pengangkutan antara-bandar dan rel bandar telah dimenangi Express Rail Link Sdn Bhd (ERLSB) kerana jumlah penumpangnya, ketepatan waktu dan keyakinan penumpang. KLIA Ekspres dan KLIA Transit adalah di antara keretapi laju yang dikendalikan ERLSB sejak 30 tahun lalu.

2) Kategori Bas Express pula telah dimenangi Sani Express Sdn Bhd kerana pengurusan sistem OSH yang lebih berstruktur. Di Sani Express telah menitikberatkan latihan keselamatan dan kecemasan di mana kesemua latihan ini dikendalikan oleh syarikat ini sendiri.

Di samping itu,  hanya di Sani Express memantau dan mengadakan kategori bagi jangka hayat kenderaan di antara 7 - 8 tahun, 8 - 9 tahun dan 9 - 10 tahun sebelum bas-bas tersebut diganti. Syarikat ini juga mempunyai kumpulan juruteranya sendiri bagi menjalankan kerja-kerja membaikpulih dan penyelenggaraan. Bas-bas ekspres milik Sani Express dilengkapi dengan pusat pemantaun GPS sepanjang 24 jam dan mengadakan kereta peronda sendiri.

3) Sin Kung Logistics Sdn Bhd pula memenangi kategori Freight Lesen Kelas A kerana kesanggupan serta kesungguhan mereka menyediakan perkhidmatan pelanggan di tahap tertinggi di mana  syarikat ini telah menyediakan trak yang dilengkapi dengan sistem 'air-ride' bagi barangan yang agak sensitif. Langkah-langkah keselamatan juga diutamakan di mana jangka hayat sesebuah trak dihadkan hanya 15 tahun untuk diganti baru. Di antara lain yang memberi kemenangan kepada Sin Kung Logistics Sdn Bhd termasuk setiap trak dilengkapi dengan alat GPS, pemandunya dilatih dan menjalani pemeriksaan, menyediakan video dan buku panduan untuk pemandu, kumpulan pengiring dan pengawal bersenjata serta kenderaan ganti. Syarikat ini juga telah menerima sijil ISO semenjak tahun 2001. Rekod bersih tanpa saman kerana muatan lebih ataupun kesalahan jalanraya juga antara faktor kemenangan syarikat Sin Kung Logistics Sdn Bhd.

4) Bagi Syarikat Century Total Logistics Sdn Bhd pula, telah memenangi kategori Freight Lesen Kelas KA kerana mengutamakan keselamatan awam di jalanraya, kebersihan persekitaran dan menjamin keselamatan barangan. Di samping telah memperolehi sijil OSHAS (ISO 18001:2007) dan Sijil Sistem Pengangkutan (ISO 39001:2012), syarikat ini juga mengambil berat mengenai persekitaran dan di antaranya dengan mengukur pelepasan CO2. Untuk mempastikan keselamatan, Century Total Logistics telah melengkapkan pemandu-pemandunya dengan kelengkapan perlindungan persendirian di mana semua trak ada alat pemadam api, 'wheel chokers', 'reverse beepers' dan kon keselamatan. Disamping itu, semua pemandu syarikat ini menjalani latihan bela diri.


INOVASI TERBAIK

1. Sekali lagi untuk tiga kali berturut-turut, Konsortium Transnasional Bhd (KTB) telah memenangi kategori Inovasi Terbaik. KTB adalah syarikat terbesar di Malaysia yang mengendali pengangkutan bas di mana bas syarikat ini melalui perjalanan utama di seluruh Semenanjung Malaysia termasuk Singapura.

KTB memenangi anugerah inovasi terbaik berdasarkan ciri-ciri keselamatannya di mana setiap kenderaan mengguna alat ganti yang tulen dengan dokumentasi SOPnya. Pertolongan kecemasan 24 jam juga disediakan oleh pihak pembekal chassis dan jenama terkenal yang digunakan adalah seperti Scania, Nissan Diesel dan MAN. Penyelenggaraan roda bas secara berkala juga dipastikan bagi menitikberat keselamatan ketika berada di jalanraya.

Keselesaan untuk bas kelas PERDANA menyediakan tablet 9 inci LED Android untuk hiburan setiap penumpang, kerusi urut Ogawa dan kawasan bersantai untuk minum dengan kelengkapan berurusniga juga didapati bagi bas ke Singapura/Penang/KL.

Ciri-ciri bas dilengkapi dengan talipinggang penumpang bagi bas antara bandar, kawasan lantai dan kawasan atas untuk bagasi bagi penumpang yang menaiki bas ke Lapangan Terbang. Terdapat juga tangga di tengah bas yang diletakkan selari dengan bahagian penyimpanan barang.

Program 'Loyalty' diperkenalkan bagi bas ekspres kelas ekonomi dengan memberi diskaun untuk laluan tertentu. Kad-kad 'Loyalty' bagi kelas eksekutif akan mendapat pelepasan khas ke Nice Lounge, diberi 'redeembale points' dan harga konsesi sehingga 42% diberi untuk kumpulan tertentu seperti pelajar, kanak-kanak, OKU dan warga emas. Kad pra-bayar untuk penumpang CityLiner yang memberi nilai tambahan top-up.

Didalam kepelbagaian perkhidmatan, KTB juga menitikberatkan perkhidmatan yang menghubungi kawasan luar bandar ke hab Transit Kota. Perkhidmatan Transit Kota menghubungkan di antara penumpang ke kawasan bandar dan KTB telah menyediakan bas pertama yang mempunyai 65 tempat duduk. Manakala, perkhidmatan Rentas Desa menghubungkan penumpang di antara bandar-bandar tertentu pula.

2. Satu lagi perkhidmatan pengangkutan awam bagi kategori Inovasi Terbaik di bawah Freight Lesen Kelas A adalah Pos Malaysia Berhad (PosMB).  Kemenangan mereka adalah kerana keunikan mobiliti yang disediakan PosMB dalam berhubung dan memberi kemudahan kepada pelanggan-pelanggannya. Mereka juga dapat memberi khidmat dan meliputi kawasan yang lebih menyeluruh dan seterusnya mengembangkan rangkaian perkhidmatan mereka. Keunikan PosMB juga adalah kerana mereka mampu ke beberapa lokasi di dalam satu hari sehingga ke kawasan-kawasan terpencil dan luarbandar terutamanya di Sabah dan Sarawak.


ANUGERAH MERIT ISTIMEWA

1. Syarikat Pengangkutan Maju Sdn Bhd telah memenangi anugerah ini bagi pengusaha bas henti-henti. Di antara faktor kemenangannya adalah pengurusan kenderaannya di mana kenderaan akan diganti dengan jangka hayat purata 4 tahun. Di dalam laporan audit pada bulan Mei 2014, syarikat ini telah memperolehi keputusan sebanyak 89%. Di antara program-program syarikat ini termasuk Program Keselamatan untuk Murid-murid sekolah. Pemantauan
GPS juga diguna untuk semua bas.

Bas yang diguna syarikat ini dibersihkan selalu. Laluan bas henti-henti ini meliputi kawasan bandar Johor Bahru, Iskandar Malaysia dan perkhidmatan bersama IRDA. Perkhidmatan BeXtra pula melalui Iskandar Malaysia termasuk beberapa hentian bagi mengurangkan waktu perjalanan.

2. Anugerah Merit Istimewa bagi kategori Inovasi telah dimenangi LC Forwarders Sdn Bhd (LCF) bagi Freight Lesen Kelas KA kerana trak yang digunakan dilengkapi dengan sistem penyejukan yang mempunyai unit Genset sendiri. Syarikat ini juga didapati berjaya mengurangkan kos, pengendalian yang efisien untuk pengangkutan 'reefer' dan memastikan setiap pergerakan kenderaan adalah selamat dan tepat ke destinasi.

Jika kita meneliti semula, setiap kemenangan menitikberat aspek keselamatan di samping keselesaan bagi setiap kenderaan. Nampaknya, SPAD tidak akan kompromi aspek keselamatan kerana walaupun kelebihan perkhidmatan keselesaan diberi pengusaha-pengusaha ini, mereka perlu meyakinkan SPAD, aspek keselamatan diberi keutamaan.

Sunday, November 23, 2014

'GAME CHANGER' SUASANA SOSIAL ANAK-ANAK MUDA... APA IDE DATUK DR MASHITAH?



Pengajian pondok telah lama wujud tetapi siapa yang beri perhatian supaya pengajian ini terus hidup dan masalah mereka dibawa ke pengetahuan kerajaan?

Sebelum ini, kami telah berkongsi ide Perdana Menteri agar pengajian pondok diberi perhatian dan dilihat sangat relevan... DI SINI.

Amanah dan tanggungjawab telah dipikul Datuk Dr Mashitah agar ide Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM), bukan sekadar untuk dihidupkan namun perhatian dan mengetahui masalah mereka dibawa ke pengetahuan terus kepada Perdana Menteri.

Dengan tema Bajet 2015 yang memberi perhatian kepada kepentingan rakyat telah dilengkapkan apabila Datuk Dr Mashitah telah berjaya meyakinkan Perdana Menteri untuk meluluskan peruntukan sebanyak RM25 juta, setelah satu setengah tahun YPPM diwujudkan dan sebelum ini tidak pernah
diperolehi.

Dana yang diperolehi ini disalurkan melalui Kementerian Pendidikan dan satu jawatankuasa akan dibentuk bukan sahaja untuk pemantauan dana tetapi platform untuk YPPM memberi input dibuat kajian terperinci mengenai sekolah-sekolah pondok.

Walaupun pengajian sekolah pondok tidak terdapat di dalam Pelan Pendidikan Nasional, namun melalui Kementerian Pendidikan, perkara-perkara seperti statistik sekolah pondok di peringkat negeri, berapa ramai guru terlatih dan modul pembelajaran akan dikaji dan dipantau. Satu klasifikasi sekolah-sekolah pondok ini akan dicadang oleh YPPM agar bantuan dapat disalurkan terus kepada sekolah-sekolah yang layak menerimanya.

YPPM menyedari senario serta masalah yang dihadapi graduan-graduan pengajian pondok di mana mereka tiada tempat setelah tamat pengajian. Sistem korikulum sekolah pondok yang tidak mengikuti dasar Pendidikan Nasional di mana pelajar-pelajarnya tidak perlum mengambil SPM, menghadapi masalah mengisi jawatan-jawatan kosong seperti imam walaupun mereka mempunyai pengetahuan agama dan boleh hafal quran.

Dengan itu, YPPM diberi tanggungjawab agar graduan pondok ini mampu mendapat tempat dalam arus perdana. Pertamanya, pelajar-pelajar sekolah pondok ini diminta menduduki peperiksaan SPM. Walaubagaimanapun, YPPM telah memohon kepada Kementerian Pendidikan agar pelajar-pelajar yang telah belajar beberapa tahun dikecualikan kerana ilmu yang telah mereka perolehi dapat melayakkan mereka sebagai seorang imam.

Di samping itu, mereka juga diberi peluang memperoleh kemahiran-kemahiran tertentu seperti peluang membaiki kereta, agar mereka bukan sekadar layak ditempatkan di majlis-majlis agama tetapi mampu peroleh pendapatan yang lebih.

YPPM akan menjalankan kempen supaya sekolah-sekolah pondok berdaftar dengan Kementerian Pendidikan di seluruh negara dan dengan ini rakyat akan dapat mengetahui kewujudan mereka dan keperluan sekolah-sekolah ini juga dapat diberi perhatian. Pendaftaran mereka juga akan menimbulkan keyakinan masyarakat ketika sebarang bantuan dan derma ingin disalurkan kepada mereka.

Adalah menjadi tanggungjawab semua umat Islam membangunkan sekolah-sekolah pondok ini dan ia boleh dianggap sebagai fisabilillah dan mereka juga layak untuk menerima asnaf zakat.

Ketika ini, YPPM beropearasi di sebuah rumah di Bukit Persekutaun di Jalan Traves. Kepada yang ingin mendaftar, boleh berkunjung ke;
No. 2598/3, Jalan Johor Selatan
Bukit Persekutuan
50480 Kuala Lumpur
MALAYSIA.

TEL/ FAX : +603-2201 6711


atau laman web YPPM

Mereka tidak perlu menjadi ahli YPPM. Mereka adalah NGO yang akan membawa masalah mereka ke peringkat atasan untuk dipertimbangkan dan YPPM akan menghantar pegawai-pegawainya sendiri ke tempat mereka untuk membuat kunjungan selanjutnya.

Rupa-rupanya, Datuk Dr Mashitah adalah seorang anak pondok. Justeru itu, beliau berasa bertanggungjawab untuk perjuangkan warga pondok agar mendapat pengiktirafan sewajarnya. Menjadi hasrat Datuk Dr Mashitah sebagai 'game changer' suasana sosial anak-anak muda yang sihat di mana mereka akan melihat anak-anak muda duduk di bawah pokok sambil mengaji quran atau adanya nanti anak-anak muda yang mendendangkan ayat-ayat suci al-quran dengan dihadiri pendengar di kalangan anak muda juga.

Memandangkan umat islam hari ini berhadapan dengan ancaman akidah dan ancaman pemikiran, kita tercari-cari para ilmuan dan para golongan agama sebagai rujukan. Oleh itu, adalah menjadi matlamat YPPM juga untuk membawa tok-tok guru dari pengajian pondok sebagai tumpuan rujukan. Seandainya mereka tidak diketengahkan, maka menjadi satu kebimbangan mereka yang tidak layak pula yang memberi pandangan tentang agama sehingga kadangkala fatwa yang dikeluarkan nanti mampu mengelirukan umat Islam.

Tiba masanya, graduan-graduan sekolah pondok ini ditempatkan di arus perdana kerana mereka lebih layak dijadikan contoh dan ikon remaja.

Friday, November 21, 2014

TAN SRI SYED HAMID : MALAYSIA PENERAJU PENGANGKUTAN AWAM UNTUK MASA HADAPAN BANDARAYA ASEAN


Apakah mungkin Semenanjung Malaysia dibandarayakan pada satu hari nanti? Apakah ia mustahil dan jika ada di dalam perancangan kerajaan, maka apakah faktor yang membolehkan impian ini berlaku?

Penduduk dunia hari ini telah meningkat sehingga 7 bilion dan lebih dari setengahnya kini memilih untuk hidup di bandar-bandar. Di Asia saja, lebih daripada satu bilion diramalkan akan berhijrah ke bandar-bandar walaupun struktur sediadanya yang sesak. Dijangka pada 2050, hampir tiga suku dariapa penduduk dunia akan berada di bandar-bandar.

Bandar-bandar yang telah wujud dibentuk oleh manusia manakala bandar-bandar yang bakal diwujud pada masa hadapan perlu gandingan idea inovasi dan kepintaran. Oleh itu, bagi menstruktur semula bandar-bandar yang sediada ini, memerlukan kepintaran dan inovasi perancangan.

Apakah jenis bandar yang bakal kita tinggal pada masa akan datang? Apakah pengangkutan awam memainkan penting dalam membentuk nilai bandar-bandar di masa hadapan dan adakah ia mampu menghasilkan kemampanan pembangunan yang seimbang untuk rakyat?

SPAD di dalam Simposium Antarabangsa LPT ke 3 yang bertemakan "The Future of our Cities: Thinking Ahead Building Together", baru-baru ini telah menerajui dalam menentukan inisiatif pemikiran eksekutif yang terdiri daripada wakil dari kerajaan, sektor swasta, diplomatik, ahli akademik, pelajar dan juga rakyat bagi meneroka ide-ide baru ke arah menempuh cabaran-cabaran serta persedian mewujudkan bandar-bandar baru dengan penyelesaian yang mampan.

Di dalam pembentangan kertaskerja Tan Sri Syed Hamid bertajuk "THE FUTURE OF ASEAN CITIES", beliau berpendapat kejayaan Asean bergantung kepada kestabilan politik dan integrasi sosio-budayanya. Sekiranya ASEAN adalah sebuah negara, ia mampu menjadi kuasa ekonomi ke tujuh terbesar di dunia. 

Pada tahun 2013 sahaja, GDP gabungannya adalah sebanyak US2.4 trilion iaitu melebihi 25% dari ekonomi negara India. Penduduknya yang melebihi dari 600 juta adalah lebih besar berbanding EU atau Amerika Utara. ASEAN mempunyai tenaga kerja ke 3 paling ramai di dunia selepas China dan India. Perdagangan ASEAN dengan EU dan US jatuh di antara 30% ke 17% dan perdaganangan dengan China, Jepun dan Korea Selatan telah meningkat 30%, di mana ASEAN telah bijak memilih perdagangannya sekitar negara-negara Asia lain untuk mengekalkan prestasi ekonominya.

Pemacu utama pertumbuhan ekonomi ASEAN samada sekarang ataupun pada masa hadapan bergantung kepada perkembangan bandar-bandarnya. Malah tidak ada negara yang pernah naik daripada negara berpendapatan rendah kepada status berpendapatan sederhana tanpa anjakan penduduk yang ketara ke bandar-bandar.

Di Malaysia, KDNK per kapitanya telah meningkat 3.4% setiap tahun di mana dipengaruhi sebahagiannya dengan peningkatan penduduk bandar-bandar daripada 50% kepada 72%.

Tan Sri Syed Hamid juga berkongsi pandangan bahawa bandar-bandar ASEAN perlu memberi fokus utama di dalam pelaburan infrastruktur dengan memberi keutamaan kepada pelaburan pengangkutan awam dan mengubah dari membina jalan-jalan baru yang hanya tertumpu kepada penggunaan kenderaan persendirian kepada bentuk penggunaan yang lebih merangkumi kepadatan penduduk yang meningkat.

Bagi merealisasikan kejayaan AEC, Tan Sri Syed Hamid berpendapat kualiti sesebuah bandar di setiap negara ASEAN perlu dilengkapkan dengan pengangkutan awam yang baik di mana tidak ada kota di dunia ini yang maju tanpa sistem pengangkutan awamnya ditingkatkan. Pengangkutan awam darat merupakan intipati kepada indeks kehidupan pada masa akan datang sesebuah bandar raya dan apabila ia mampu direalisasikan, maka barulah rakyat ASEAN akan dapat merasakan mempunyai kepentingan dalam kejayaan ASEAN.

Monday, November 17, 2014

YAYASAN PONDOK - IDEA MURNI PERDANA MENTERI DIREALISASIKAN

Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia

Ugama Islam hari ini tidak lagi berhadapan dengan cabaran penyebarannya. Dengan maklumat di hujung jari, ilmu agama kini dengan mudah diperolehi malahan kita kadangkala merasa tereperanjat apabila pihak-pihak yang kita ketahui merupakan musuh-musuh Islam mengetahui lebih dari apa diketahui penganut ugama Islam sendiri.

Hari ini pengetahun ugama Islam tidak lagi eksklusif hanya untuk penganutnya sahaja, malahan orientalis Barat dan musuh-musuh Islam telah membaca dan mengkaji segala jenis penulisan dalam bentuk kitab, transkrip, makalah dan sehingga karya besar daripada teks pondok juga dibaca dan diambil untuk tujuan pelbagai serangan ilmiah.

Trend pasca-modenisme yang sedang berlaku serta menghadapi isu kebebasan mutlak, rasionalisme tanpa had, sekularisme, liberalisme dan pluralisme agama, sebenarnya hujah daripada teks pondok adalah lebih mantap.

Sebenarnya, itulah di antara pesanan YAB DS Najib, Perdana Menteri kepada kita. Justeru itu, beliau menyeru para ulama dan intelek Islam agar berdiri dalam satu saf bagi melahirkan pemikiran Islam yang kukuh dan penghujahan yang mantap serta meyakinkan bagi menghadapi musuh-musuh Islam.

Di dalam usaha mempertahankan identiti Melayu-Islam di rantau ini di mana institusi pondok dilihat kekal relevan pada masa kini dan ide mewujudkan Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) oleh DS Najib telah didaftarkan sebagai sebuah badan kerajaan pada 1 Ogos 2012.

Apabila kita menyelamai matlamat penubuhan YPPM, jelas sekali ia tidak lain memberi pengiktirafan kepada institusi pengajian pondok dan warga pondok yang telah melahirkan ramai tokoh ilmuwan agama dalam menyumbang kepada pembangunan dan perkembangan pendidikan Islam. Di sini juga jasa dan bakti para ulama, tok guru dan tok mudir diiktiraf kerajaan kerana berjaya melahirkan generasi ilmuwan agama dan pengajian Al Quran.

Bagi memastikan imej sistem pengajian pondok tidak mundur dan terpinggir serta bebas dari golongan taksub, Yayasan bekerjasama dengan agensi kerajaan, swasta serta NGO meneruskan kelangsungannya. YPPM akan memainkan peranan penting meningkatkan keupayaan dan kejayaan institusi pondok bagi melahirkan generasi yang berilmu dan berwasatiyah.

Seharusnya kita rasa bersyukur kerana usaha pemimpin negara memartabatkan institusi pondok dan telah pun dizahirkan komitmennya bagi bagi memelihara akidah umat Islam berteraskan Sunnah Wal-Jamaah dan hal agama tidak dipermainkan oleh mana-mana pihak.

Kepada yang berminat mengetahui program-program serta maklumat mengenai Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) .... boleh layari DI SINI