Showing posts with label Wanita UMNO. Show all posts
Showing posts with label Wanita UMNO. Show all posts

Wednesday, November 26, 2014

PAU 2014 : TAN SRI MUHYIDDIN - MEREKAYASA PERUBAHAN MENDEPANI ZAMAN


TEKS UCAPAN

YAB TAN SRI DATO HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
TIMBALAN PRESIDEN UMNO

DI MAJLIS PERASMIAN PERSIDANGAN WANITA, PEMUDA
DAN PUTERI UMNO 2014

“MEREKAYASA PERUBAHAN MENDEPANI ZAMAN”


Bismillahirrahmanirrahim.


اللَّهُمَّ صَلِّ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدِ، الْفَاتِحِ لِمَا أُغْلِقَ وَالْخَاتِمِ لِمَا سَبَقَ، نَاصِرِ الْحَقِّ بِالْحَقِّ، وَالْهَادِي إِلَى صِرَاطِكَ الْمُسْتَقِيْمِ وَعَلىَ آلِهِ حَقَّ قَدْرِهِ وَمِقْدَارِهِ العَظِيْمِ .

Assalamu’alaikum warahmatullahi wa barakatuh, salam sejahtera dan salam 1Malaysia.

YB Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil
Ketua Pergerakan Wanita

YB Sdr. Khairy Jamaluddin
Ketua Pergerakan Pemuda

YB Sdri. Mas Ermieyati Samsudin
Ketua Pergerakan Puteri

YB Naib-Naib Presiden UMNO

YB Setiausaha Agung UMNO

Ahli-ahli Majlis Tertinggi

Barisan Exco Wanita, Pemuda dan Puteri

Saudara-saudari sidang perwakilan, dif-dif jemputan dan para pemerhati sekalian

1.    Alhamdulillah, puji dan syukur ke hadrat Allah s.w.t. serta selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w., malam ini saya dan saudara-saudari semua yang mewakili Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO dari seluruh pelusuk negara, dapat sekali lagi berhimpun di Dewan Merdeka ini untuk mempertegaskan matlamat perjuangan parti kita, memperkukuhkan perpaduan dan merencana masa depan bangsa Melayu. Saya mengucapkan terima kasih kepada wanita, pemuda dan puteri UMNO kerana terus istiqamah berada dalam saf perjuangan parti kita.

Hebatnya Hang Tuah sehingga kini,
Kisahnya menjadi bualan zaman,
Jiwa pejuang takkan terhenti,
Selagi nyawa di kandung badan.

SEJARAH PERJUANGAN UMNO

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

2.    Parti kita UMNO telah mencapai usia 68 tahun. Telah banyak ranjau yang kita lalui dalam pelbagai keadaan, pelbagai cabaran dan pelbagai zaman. Kita telah melalui pasang surut asakan terhadap perjuangan kita. Alhamdulillah, walaupun kita diasak dan diterjah dengan pelbagai dugaan, Allah masih memberikan kemenangan kepada UMNO. Allah masih mentakdirkan UMNO memikul amanah kuasa pemerintahan ini. Namun, jangan kita lupa, jangan kita alpa. Allah juga menggilirkan kemenangan antara sesama manusia sebagai pengajaran kepada kita semua. Sebagaimana firman-Nya dalam surah Ali-Imran Ayat 140:

إِن يَمۡسَسۡكُمۡ قَرۡحٌ۬ فَقَدۡ مَسَّ ٱلۡقَوۡمَ قَرۡحٌ۬ مِّثۡلُهُ ۥ‌ۚ وَتِلۡكَ ٱلۡأَيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيۡنَ ٱلنَّاسِ وَلِيَعۡلَمَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَيَتَّخِذَ مِنكُمۡ شُہَدَآءَ‌ۗ وَٱللَّهُ لَا يُحِبُّ ٱلظَّـٰلِمِينَ
Yang bermaksud:

Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera), maka sesungguhnya kaum (musyrik yang mencerobohi kamu) itu telah (tercedera juga dan) mendapat luka yang sama (dalam peperangan Badar) dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), Kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.

3.    Inilah sunnatullah. Allah s.w.t. menggilirkan kemenangan dan kekalahan sesama manusia. Hatta antara kaum muslimin dan musyrikin pun, Allah menggilirkan kemenangan dan kekalahan sebagai peringatan kepada orang-orang yang beriman. Maka, dalam konteks UMNO, kemenangan yang kita perolehi dalam mana-mana pilihanraya tidak boleh menjadikan kita angkuh, sombong dan selesa. Cabaran terhadap perjuangan kita masih hebat, jalan yang perlu kita lalui masih berliku, ranjau di hadapan kita masih berduri. Maka, dalam perhimpunan kali ini, saya ingin mengajak saudara dan saudari supaya ikhlas dan jujur dengan diri kita sendiri. Kaji adakah parti kita berada dalam keadaan yang selamat? Adakah parti kita disenangi oleh sebahagian besar rakyat? Adakah parti kita bakal beroleh kemenangan dalam pilihanraya akan datang?

4.    Saudara-saudari, jika kita imbau kembali sejarah penubuhan UMNO dalam konteks dunia pada waktu itu, UMNO berada di tengah-tengah kancah pertembungan antara fahaman nasionalis, fahaman komunis dan fahaman sosialis. Namun, UMNO berjaya membina identiti perjuangannya sendiri di atas semangat kebangsaan Melayu yang berteraskan Islam. Pada ketika itu juga, nasionalisme merupakan ideologi utama yang menggerakkan parti-parti politik di negara-negara tanah jajahan bangkit menentang penjajah. Alhamdulillah, berkat perjuangan UMNO, negara kita  berjaya mencapai kemerdekaan.

5.    Pada masa yang sama, sebagai sebuah parti yang toleran dan sederhana, UMNO berjaya merintis kerjasama dengan parti-parti yang mewakili kaum-kaum lain di negara kita untuk membina sebuah negara bangsa. Sebagai kerajaan pula, parti kita UMNO menerusi Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional telah berjaya mengekalkan kestabilan politik dan memacu kemajuan ekonomi dengan cara kita sendiri. Sehingga beberapa dekad yang lalu, UMNO adalah sinonim dengan sebuah ceritera kejayaan; ceritera sebuah negara yang aman dan stabil  di sebalik kepelbagaian kaum dan agama. Hasil perjuangan UMNO, negara kita telah berganjak daripada sebuah negara miskin sewaktu merdeka kepada negara industri yang insya-Allah akan menjadi negara maju dalam beberapa tahun lagi di bawah gagasan besar Wawasan  2020.

CABARAN PERUBAHAN ZAMAN

6.    Namun, suasana politik hari ini sudah banyak berubah. Di seluruh dunia, nasionalisme bukan lagi ideologi utama. Malah, banyak parti nasionalis yang memperjuangkan kemerdekaan negara masing-masing telah berkubur. Selepas era perang dingin, liberalisme telah muncul sebagai ideologi yang dominan di seluruh dunia. Di bawah lembayung ideologi baharu ini, idea-idea Barat mengenai demokrasi, kebebasan dan kesamarataan tersebar secara meluas, termasuk di negara-negara Asia. Sama ada kita sedar atau tidak, kebangkitan gerakan demokrasi liberal dan masyarakat sivil yang memperjuangkan kebebasan dan kesamarataan mengikut neraca Barat telah memberi kesan yang besar kepada perjuangan UMNO.

Memperteguh Kedudukan Istimewa Melayu dan Bumiputera

7.    Hari ini, banyak pertubuhan dan individu yang sama ada secara langsung atau tidak langsung mempersoalkan hak keistimewaan Melayu, kedudukan istimewa agama Islam, kedudukan Raja-Raja Melayu, bahasa Melayu dan lain-lain lagi yang merupakan teras perjuangan UMNO. Apabila UMNO bersuara membela kepentingan Melayu, mereka kata UMNO rasis. Tetapi apabila kaum-kaum lain bangkit memperjuangkan hak kaum masing-masing, itu dikatakan hak kumpulan minoriti dalam sebuah negara demokrasi. Sama juga, apabila UMNO bangkit mempertahankan kedudukan Islam, UMNO dikatakan ekstrem, walhal Islam adalah Agama Persekutuan. Tetapi apabila kepentingan kumpulan agama lain diperjuangkan, itu dikatakan hak kebebasan beragama. Hari ini, perkara-perkara penting yang termaktub di dalam perlembagaan yang melindungi hak semua kaum secara saksama semakin dipersoalkan.

8.    Suara kumpulan penentang ini semakin lantang sehingga kedengaran di forum-forum antarabangsa. Mereka menuduh UMNO mengamalkan diskriminasi dan zalim terhadap rakyat. Ini amat pelik bagi saya. UMNO yang dahulunya berjuang bermati-matian untuk membebaskan rakyat daripada cengkaman penjajah; UMNO yang memperjuangkan keadilan sosial; UMNO yang mempelopori politik kesederhanaan; hari ini, dalam zaman kebebasan ini, UMNO dituduh sebagai parti yang zalim, parti yang menindas, parti yang menjajah rakyat. Pendek kata, segala yang buruk dan keji itu adalah UMNO. Seolah-olah tiada setitik pun jasa UMNO kepada negara. Kebaikan yang ditabur ditutupi oleh debu-debu pembohongan, fitnah dan propaganda jahat. Demikianlah zaman telah berubah, pola fikir masyarakat telah berubah, cabaran kepada UMNO juga berubah.


Agenda Ekonomi Bumiputera dan Merapatkan Jurang Ketidaksaksamaan Adalah Agenda Nasional

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

9.    Perubahan juga berlaku dalam bidang ekonomi. Dahulu, pembangunan negara kita digembeleng oleh kerajaan. Kuasa kerajaan membolehkan kita melaksanakan program penstrukturan semula masyarakat menerusi Dasar Ekonomi Baru. Melalui dasar ini juga kita telah berjaya mengeluarkan masyarakat daripada belenggu kemiskinan dan menangani penguasaan ekuiti asing dalam ekonomi negara. Kita juga menetapkan sasaran pemilikan ekuiti Bumiputera sebanyak 30 peratus sekurang-kurangnya, dan penyertaan Bumiputera digalakkan dalam setiap sektor ekonomi. Dasar ini dibentuk agar ekonomi berkembang dan pengagihan berlaku secara adil dan saksama. Atas sifat bertimbang rasa dan semangat supaya kek ekonomi dapat dirasai oleh semua rakyat Malaysia, orang Melayu dan UMNO pada waktu itu tidak bersifat keterlaluan untuk meminta lebih daripada 30 peratus.

10.     Walaupun sasaran pemilikan ekuiti Bumiputera tidak tercapai, namun Alhamdulillah, DEB telah berjaya mengagihkan kekayaan negara kita secara lebih saksama serta meningkatkan pendapatan kaum Bumiputera dan bukan Bumiputera. Tuduhan bahawa DEB kononnya satu dasar keterbelakang, menyekat pelaburan, menyebabkan brain drain dan hanya menguntungkan segelintir pihak yang ada kabel politik adalah tidak benar. Bagi saya, tuduhan meleset ini hanya dicipta oleh mereka yang sarat dengan kebencian. Banyak kajian ilmiah yang menunjukkan bahawa semua kaum mendapat manfaat daripada pelaksanaan DEB. Ini termasuk kajian mutakhir Dr Muhammed Abdul Khalid yang diterbitkan di dalam bukunya the Color of Inequality yang membuktikan bahawa DEB telah memberi manfaat kepada semua kaum dari segi pembasmian kemiskinan, peningkatan pendapatan, peluang pekerjaan, pemilikan ekuiti dan lain-lain. DEB telah mencapai sebahagian matlamat pengagihan ekonomi dan menyamaratakan peluang. Namun, masalah ketirisan memberikan kesan negatif kepada pencapaian matlamat asal DEB yang disasarkan oleh kepimpinan UMNO terdahulu.

11.     Namun begitu, 24 tahun selepas pelaksanaan DEB berakhir, kita kembali mendengar keluh kesah dan gundah-gulana masyarakat Melayu. Dalam era pasca DEB, data terbaharu Jabatan Perangkaan Malaysia untuk tahun 2013 menunjukkan bahawa jurang ekonomi antara kaum masih wujud. Misalnya, median pendapatan bulanan isi rumah Bumiputera sebanyak RM3,282 masih rendah berbanding kaum Cina, iaitu RM4,643 dan kaum India sebanyak RM3,676. Dalam kumpulan isi rumah berpendapatan 40% terendah, 75.5% adalah Bumiputera. Pemilikan hartanah dalam kalangan Bumiputera juga masih jauh lebih rendah berbanding kaum-kaum lain. Hanya 36.3% transaksi bangunan hartanah kediaman melibatkan Bumiputera. Pemilikan hartanah bangunan industri dan perdagangan Bumiputera juga rendah iaitu 2.37% bagi hartanah industri dan 7.85% bagi hartanah perdagangan.

12.     Begitu juga, satu kebenaran yang pahit untuk kita akui ialah kaum Bumiputera masih menerima layanan yang tidak saksama dalam sektor swasta. Kajian yang dilakukan oleh Dr Lee Hwok Aun dan Dr. Muhammed Abdul Khalid pada tahun 2012 mendapati bahawa bagi setiap seorang graduan Melayu yang dipanggil temu duga dalam sektor swasta, secara puratanya 5.3 graduan Cina ditemu duga, walaupun mereka mempunyai kelulusan yang sama. Data rasmi juga menunjukkan kadar pengangguran adalah tertinggi dalam kalangan tenaga kerja Bumiputera iaitu 70.3%, termasuk graduan menganggur sebanyak 66.9%. Kita juga sering mendengar keluhan pekerja Bumiputera yang menerima gaji lebih rendah berbanding kaum-kaum lain dalam sektor swasta. Pakar ekonomi Just Faaland, J.R Parkinson dan Rais Saniman membuktikan dalam buku mereka Growth and Ethnic Inequality: Malaysia’s New Economic Policy, bahawa pekerja Bumiputera menerima gaji 20 hingga 40 peratus lebih rendah berbanding bukan Bumiputera.

13.     Secara umumnya, kedudukan ekonomi orang Melayu hari ini masih meruncing. Ketidaksaksamaan dalam masyarakat agak menggerunkan kita. Pada masa yang sama, kita berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam meneruskan agenda ekonomi Melayu. Kita bersaing dalam ekonomi yang lebih terbuka. Kita berhadapan dengan fahaman kesamarataan yang menentang sebarang pelaksanaan agenda Melayu. Menerusi pelbagai instrumen perjanjian perdagangan bebas antarabangsa, negara kita didesak supaya jangan lagi mengamalkan dasar untuk melindungi kepentingan kaum Bumiputera. Kononnya, dasar seperti ini merupakan penghalang kepada pembangunan ekonomi dan merencatkan pasaran. Padahal, dasar ini pernah digunakan oleh negara maju lebih setengah abad sebelum mereka mencapai tahap negara maju.

14.    Kita sebenarnya sedang menongkah arus kapitalisme global dan ideologi pasaran bebas yang semakin melebarkan jurang ketidaksaksamaan. Seperti yang diakui oleh pemenang hadiah nobel ekonomi Joseph Stiglitz dalam bukunya The Price of Inequality, dasar ekonomi yang berasaskan teori dan ideologi yang salah telah memburukkan keadaan ketidaksaksamaan dalam masyarakat di seluruh dunia, termasuk di Eropah dan Amerika Syarikat.

14.     Saya fikir sudah sampai masanya kita menilai kembali model ekonomi negara kita. Ya, benar pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 6.3% adalah antara yang tertinggi di Asia; nilai pelaburan langsung asing sebanyak RM216.5 bilion pada tahun 2013 adalah antara yang terbaik dalam sejarah; kedudukan Malaysia dalam Laporan Dayasaing Global 2014 meningkat daripada nombor 24 ke nombor 20 daripada 148 buah negara. Semua ini menunjukkan bahawa pencapaian ekonomi negara kita amat memberangsangkan dan kita berada pada landasan yang betul untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi pada tahun 2020.

15.     Tetapi di sebalik semua pencapaian ini, Yang Amat Berhormat Presiden dan saya selaku Timbalan sering memikirkan adakah kita boleh memejamkan mata dan memekakkan telinga dengan tidak berbuat apa-apa jika kaum Bumiputera yang merupakan 67.4% daripada rakyat negara kita masih berada dalam kumpulan berpendapatan rendah; jika 4 juta daripada 6.5 juta pekerja yang mencarum dalam KWSP di negara kita berpendapatan kurang RM2,000 sebulan; jika jurang ketidaksaksamaan di negara kita antara yang tertinggi di rantau ini; jika rakyat masih tidak mampu memiliki rumah sendiri.

16.    Mengenai isu perumahan, ada ahli UMNO di akar umbi yang mengatakan kepada saya, rumah-rumah yang dibina dengan harga RM400,000 sebenarnya bukan rumah mampu milik, tetapi rumah mampu tengok sahaja. Pandangan ini ada juga kebenarannya. Menurut Kajian Khazanah Research Institute, harga rumah mampu milik yang sewajarnya adalah 3 kali median pendapatan isi rumah, iaitu bagi kumpulan pendapatan isirumah 40% terbawah dengan harga RM70,000 dan kumpulan berpendapatan sederhana pada harga RM160,000 atau pada purata harga RM130,000. Rumah-rumah yang dibina dengan harga yang terlalu mahal, terutamanya di kawasan-kawasan bandar dan pinggir bandar, sudah tentulah tidak mampu dibeli oleh rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.

16.     Saudara-saudari, persoalannya nanti, ketika negara kita mencapai sasaran Pelan Transformasi Ekonomi dengan nilai GNI RM1.7 trillion, dengan pendapatan perkapita RM48,000, dengan penambahan 3.3 juta pekerja berkemahiran dan RM1.4 trillion pelaburan daripada sektor swasta dan kerajaan, berapakah daripada jumlah sasaran ini akan turun mengalir menjadi milik kaum Bumiputera? Dalam keghairahan kita meletakkan sasaran besar untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi, kita juga harus menetapkan sasaran yang jelas untuk kaum Bumiputera dan memastikan kekayaan negara kita dapat diagihkan kepada semua rakyat baik di kota mahupun di desa, di semenanjung mahupun di Sabah dan Sarawak, baik kumpulan berpendapatan tinggi mahupun kumpulan pertengahan dan 40% terbawah, semuanya – kulluhum ajma’in - perlu dipastikan mendapat peluang yang adil dan saksama.

17.     Saudara-saudari, kita sebenarnya amat memerlukan satu model ekonomi yang benar-benar dapat memastikan pertumbuhan disertai dengan pengagihan yang saksama. Kita tidak boleh membiarkan majoriti rakyat negara kita terpinggir dan tersisih daripada arus kemajuan ekonomi negara. Apatah lagi, ketidaksaksamaan dalam masyarakat kita hari ini bukan lagi merupakan masalah kaum semata-mata, tetapi juga masalah kelas. Kita sedang menghadapi masalah jurang yang besar antara golongan kaya dan golongan miskin, jurang antara etnik dan intra etnik,jurang antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak, jurang antara masyarakat bandar dan luar bandar, jurang antara CEO, pengurusan kanan syarikat dan pekerja bawahan. Semua ini jika dibiarkan berterusan akhirnya akan menjejaskan pencapaian ekonomi negara kita secara keseluruhan.

18.     Sebagai mewakili suara orang Melayu dan Bumiputera, saya ingin tegaskan supaya pendekatan, dasar dan strategi yang lebih berkesan untuk merapatkan jurang kaum dan kelas dilaksanakan segera. Kita perlu memberikan tumpuan dan keutamaan kepada program latihan peningkatan kemahiran pekerja Bumiputera, memperbaiki mekanisme subsidi, menangani diskriminasi dalam sektor pekerjaan, memperkemaskan perundangan, pengawalan dan penguatkuasaan terhadap pekerja asing, memperkenalkan dasar mengenai peningkatan dan pengawalan pendapatan pekerja, menambah mekanisme percukaian yang lebih berstruktur (targeted), meningkatkan insentif bagi membantu keluarga menambah kekayaan, menyediakan ekosistem kondusif kepada pelajar luar bandar dan miskin bandar, menekankan semula pembangunan luar bandar, memperluaskan jaringan keselamatan sosial, dan menyasarkan tindakan afirmatif berdasarkan keperluan (need-based) khusus untuk kumpulan isi rumah 40% terbawah tanpa mengira kaum. Jangan ada mana-mana pihak yang cuba mempersoalkan tindakan pembetulan ini sebagai agenda perkauman. Ini adalah agenda negara.

19.     Oleh itu, kita perlu menjadikan Agenda Bumiputera sebagai Agenda Nasional, bukan agenda kaum. Majlis Ekonomi Bumiputera yang dipengerusikan oleh YAB Presiden mempunyai peranan penting untuk mengkaji secara terperinci kedudukan ekonomi Bumiputera, merencana hala tuju masa depan ekonomi Bumiputera, termasuk memperkukuhkan instrumen dasar, institusi dan inisiatif memajukan ekonomi Bumiputera.

 Saya mencadangkan supaya Agenda Bumiputera serta dasar dan strategi merapatkan jurang ekonomi dijadikan teras utama Rancangan Malaysia Ke-11 yang merupakan lonjakan terakhir Malaysia untuk menjadi negara maju. 

Agenda Bumiputera sebagai Agenda Nasional tidak boleh dilaksanakan secara picisan atau terpisah daripada kerangka besar ekonomi negara. Ia mesti dilaksanakan secara inklusif, komprehensif dan merentasi semua sektor ekonomi. Saya juga mencadangkan satu Dasar Ekonomi Nasional yang baharu dirangka untuk memacu inisiatif kesaksamaan ke hadapan. Apatah lagi, tanggungjawab merapatkan jurang kaya dan miskin adalah perintah Allah s.w.t. kepada kita sepertimana firman-Nya dalam Surah Al-Nahl, Ayat 71:

وَٱللَّهُ فَضَّلَ بَعۡضَكُمۡ عَلَىٰ بَعۡضٍ۬ فِى ٱلرِّزۡقِ‌ۚ فَمَا ٱلَّذِينَ فُضِّلُواْ بِرَآدِّى رِزۡقِهِمۡ عَلَىٰ مَا مَلَڪَتۡ أَيۡمَـٰنُہُمۡ فَهُمۡ فِيهِ سَوَآءٌ‌ۚ أَفَبِنِعۡمَةِ ٱللَّهِ يَجۡحَدُونَ

Yang bermaksud:

“Dan Allah telah melebihkan sebahagian daripada kamu atas sebahagian yang lain pada rezeki yang dikurniakan-Nya dalam pada itu, orang-orang yang diberi kelebihan itu tidak mahu memberikan sebahagian daripada kelebihan hartanya kepada hamba-hamba mereka, supaya orang-orang itu dapat sama mempunyai harta. Maka mengapa mereka tergamak mengingkari nikmat Allah itu dengan perbuatan syirik?”

Memperkukuhkan Manhaj Wasatiyyah Dalam Menangani Cabaran dan Ancaman Terhadap Islam

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

20.    Kita juga sedang menghadapi pelbagai cabaran baharu dalam soal agama. Saban hari saya mendengar keluh kesah orang Melayu yang bimbang dengan kesan faham liberalisme dan sekularisme ke atas aqidah umat Islam. Hari ini kita banyak mendengar kes-kes pelanggaran syariat yang dilakukan atas nama kebebasan dan hak asasi. Penghinaan ke atas umat Islam juga dilakukan secara terbuka. Selain itu, umat Islam juga sedang berhadapan dengan ancaman ekstremisme dan militanisme yang sekiranya tidak dibendung segera akan memberi kesan buruk kepada negara.

21.    Apa yang lebih membimbangkan ialah wujudnya trend sekularisasi dalam agama, iaitu agama dilihat dalam neraca ideologi sekular liberal Barat yang tercabut daripada akar Syariat. Trend ini sedang berkembang di seluruh dunia. Misalnya, majalah Economist keluaran bulan Oktober yang lalu memberikan gambaran yang agak mengejutkan mengenai amalan perkahwinan sejenis yang dilarang oleh syariat Islam dan juga oleh agama-agama lain. Menurut majalah ini, dalam tahun 1950-an, perkahwinan sejenis tidak diterima di hampir semua negara di dunia. Namun, dalam tempoh hanya enam dekad, yang disebut sebagai “the leap forward”, hari ini 113 negara atau 63% daripada keseluruhan negara di dunia telah mengiktiraf perkahwinan sejenis atas nama menghormati hak asasi dan kesamarataan.

22.    Keadaan ini menimbulkan keresahan dalam kalangan orang Melayu dan umat Islam. Mereka bimbang sekiranya gejala sekularisasi agama ini tidak segera dibendung, maka benteng aqidah dan syariat yang sekian lama dipertahankan oleh umat Islam akan runtuh dirempuh arus liberalisme. Dalam konteks perjuangan UMNO, semua ini merupakan cabaran baharu yang tidak pernah kita lalui sebelum ini. Kalau dahulu kita cuma berhadapan dengan asakan PAS yang cuba membuktikan siapa lebih Islam. Tetapi hari ini kita berada di luar kancah perlumbaan ini. Kita sedang berada dalam dunia pasca-moden yang menganggap agama sebagai penghalang kepada kebebasan manusia. Dalam realiti hari ini, semakin ramai pula pihak yang cuba membuktikan siapa lebih liberal, bukan siapa lebih Islam.

23.    Saudara-saudari, UMNO sebagai parti tunjang Melayu-Islam tidak pernah dan tidak akan sesekali meminggirkan agenda memartabatkan Islam daripada dasar perjuangan kita. 

Ia sudah lama termateri dalam Perlembagaan UMNO sebagaimana peruntukan Fasal 3.3 yang menjelaskan bahawa asas dan tujuan UMNO adalah untuk menegak, mempertahankan dan mengembangkan Islam. Malah sejak 57 tahun kita merdeka, UMNO-lah yang telah banyak membangunkan Islam di negara ini dalam segenap sektor sama ada pendidikan agama, ekonomi dan kewangan Islam, pembangunan sosial, pentadbiran mahupun perundangan Syariah.

24.     Pendekatan UMNO sejak dahulu, kini bahkan selamanya berpaksikan kepada orientasi atau manhaj Wasatiyyah. Yang dimaksudkan dengan Wasatiyyah bukanlah pendekatan yang bersifat ‘al-ghuluw wa ttatarruf fiddīn’ iaitu bersifat melampau dan keras dalam pendekatan beragama hingga terjerumus kepada perlakuan yang kaku dan beku, dan terbawa-bawa kepada perlakuan militan yang merosakkan agama. Wasatiyyah juga tidak bersifat ‘al-tasāhul fiddīn’ iaitu memperlonggar dan mempermudahkan agama hingga ke peringkat liberal yang menyesatkan.

25.     Sebaliknya pendekatan wasatiyyah yang diamalkan UMNO adalah konsep kecemerlangan dan kesederhanaan umat yang berpaksikan Syariat Islam. Sememangnya maksud wasatiyyah di dalam Islam adalah berlegar sekitar konsep keadilan, kecemerlangan, pilihan terbaik dan perimbangan dalam segala perkara. Boleh dikatakan perkataan-perkataan ini adalah kata kunci dalam memahami konsep wasatiyyah dalam Islam. Pendekatan ini jelas diisyaratkan di dalam Al-Quran, surah Al-Baqarah, Ayat 143:

وَكَذَٲلِكَ جَعَلۡنَـٰكُمۡ أُمَّةً۬ وَسَطً۬ا لِّتَڪُونُواْ شُہَدَآءَ عَلَى ٱلنَّاسِ وَيَكُونَ ٱلرَّسُولُ عَلَيۡكُمۡ شَهِيدً۬ا‌ۗ

Yang bermaksud:

“Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang terpilih lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberikan keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah)".

26.     Sebab itulah saudara-saudari sekalian, sebagai pendokong perjuangan suci ini, kita sebagai pejuang UMNO bermanhaj wasatiyyah harus tegas menentang gejala esktremisme dan militanisme yang ketika ini begitu cepat mempengaruhi anak-anak muda yang mahukan jalan pintas ke syurga. Kita juga tidak akan berkompromi dengan mereka yang cuba memesongkan makna wasatiyyah yang cukup sinonim dengan prinsip kesederhanaan Islam atau moderation dengan membawa ideologi songsang seperti liberalisme dan sekularisme.

27.     Kita juga tidak boleh lagi berada dalam khutub khanah lama untuk mencari penyelesaian baharu kepada kemelut yang dihadapi oleh umat Islam hari ini. Kita perlu meneroka ilmu dan kemahiran terkini untuk menangani cabaran semasa. Bagi saya, di sinilah letaknya peri penting tradisi keilmuan di dalam UMNO. Seluruh ahli UMNO perlu menambah khazanah ilmu di dada bagi mendepani cabaran masa kini.

28.    Saya fikir budaya membuat laporan polis dan mengangkat sepanduk dalam menghadapi asakan terhadap akidah dan syariat Islam bukan lagi jawapan yang tuntas kepada kemelut yang dihadapi oleh ummah. Kita perlu memperbanyak perbincangan, penerbitan dan wacana mengenai kebebasan dan hak asasi manusia menurut persepektif Islam dan juga bagaimana Islam menghadapi tantangan sekularisme. Kita perlu menangani trend sekularisasi dalam agama ini dengan keteguhan akidah dan ketajaman minda, bukannya diselubungi oleh ketegaran emosi. Di samping itu, institusi-institusi Islam perlu diperkasa, penguatkuasaan undang-undang Islam perlu dipertegas dan kerjasama UMNO dengan NGO-NGO Islam perlu diperkukuh.

Bunga kesidang si bunga tanjung,
Tumbuh di laman mekar berkembang,
Agama dijulang Bangsa dijunjung,
Begitulah UMNO terus berjuang.

Pendidikan Sebagai Wahana Kemajuan dan Perpaduan Nasional

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

29.    Kita juga menghadapi cabaran baharu dalam bidang pendidikan. Peranan pendidikan sebagai wahana untuk bangsa Melayu meningkatkan taraf sosio ekonomi menjadi lebih penting. Jika dahulu fokus kita dalam bidang pendidikan ialah untuk meningkatkan kadar enrolmen dan membasmi buta huruf. Hari ini, sasaran dalam bidang pendidikan telah berganjak kepada melahirkan tenaga manusia yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi. Dalam dunia yang semakin kompetitif hari ini, memiliki kelayakan di peringkat menengah sahaja tidak memadai.

30.    Sebagai parti yang memperjuangkan nasib Bumiputera, UMNO perlu memberi perhatian secara lebih serius kepada usaha meningkatkan kemahiran tenaga kerja Bumiputera. Data terkini menunjukkan 64.3% tenaga buruh Bumiputera mempunyai sijil SPM dan ke bawah. Hanya 27.8% berpendidikan tinggi. Keadaan ini tidak memberikan kelebihan kepada kaum Bumiputera untuk bersaing dalam pasaran kerja yang semakin kompetitif. Oleh itu, kita perlu berani berganjak untuk melihat pendidikan sebagai komponen penting dalam meningkatkan pencapaian Bumiputera. Di samping memberikan fokus kepada pencapaian di peringkat pengajian tinggi, kita juga perlu memberi tumpuan kepada bidang latihan teknikal dan vokasional untuk meningkatkan kemahiran dan daya saing pekerja Bumiputera.

31.    Di samping itu, kita jangan lupa peranan pendidikan sebagai wahana perpaduan dan wahana untuk membina identiti nasional. Kerana itu saya sering menegaskan kepentingan kita memperkasakan sekolah kebangsaan sebagai sekolah perpaduan. Jika murid daripada semua kaum dapat belajar di bawah satu bumbung dengan meningkatkan penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan, maka saya yakin perpaduan di negara kita akan menjadi lebih kukuh. Hari ini, polarisasi kaum masih wujud sebahagiannya kerana politik kebencian yang dimainkan oleh sesetengah pihak. Sensitiviti kaum tidak dipedulikan, institusi Raja dimomokkan, malah wujud cabar mencabar antara agama. Saya percaya, kita boleh mengembalikan kepercayaan antara kaum melalui satu sistem pendidikan kebangsaan yang memberi keutamaan kepada perpaduan nasional.

32.    Matlamat ini boleh kita capai jika kita meletakkan asas-asas yang kukuh untuk perpaduan dalam sistem pendidikan kita. Ini termasuklah memperkasa Bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan dan menjadikan perpaduan nasional sebagai agenda utama semua aliran persekolahan di negara kita, termasuk di sekolah jenis kebangsaan, sekolah agama rakyat, sekolah swasta dan lain-lain. Jangan lagi ada kisah murid yang tidak tahu berbahasa Melayu, sedangkan bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan negara kita. Jangan lagi ada insiden kenyataan berbaur perkauman dikeluarkan oleh guru atau murid di sekolah. Jangan lagi ada perasaan prejudis kaum dan agama yang tebal dalam kalangan rakyat negara kita. Saya fikir, tempoh 57 tahun merdeka sudah cukup untuk kita hapuskan segala rasa prejudis dan syak wasangka antara kaum. Tinggal lagi, kita semua, baik parti politik, pertubuhan bukan kerajaan, gerakan pendidikan Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain, perlulah ada keikhlasan, ada kejujuran, dan ada kesungguhan untuk memupuk perpaduan. Jangan kita bercakap mengenai perpaduan, tetapi pada masa yang sama bertindak menebalkan tembok pemisahan kaum.

33.    Pada hemat saya juga, dalam semangat untuk mengikis sikap prejudis sesama rakyat, adalah wajar kerajaan mengambil tindakan tegas dalam membendung kenyataan-kenyataan yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama daripada memercikkan api perbalahan. Adalah lebih baik kita mencegah daripada nantinya terpaksa merawat luka permusuhan yang parah. Kerana itu saya telah menyatakan pendirian saya mengenai Akta Hasutan. Bagi saya, Akta ini wajar dikekalkan dengan beberapa penambahbaikan. Peruntukan khusus perlu dimasukkan untuk melarang mana-mana pihak daripada mempersoalkan jaminan perlembagaan mengenai kedudukan agama Islam sebagai Agama Persekutuan. Akta ini juga perlu menghalang mana-mana pihak daripada mempersoalkan hak penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan agama masing-masing. Begitu juga dengan kedudukan tanah rezab Melayu dan Regimen Askar Melayu DiRaja yang merupakan sebahagian daripada wasiat Raja-Raja Melayu perlu dilindungi daripada perbuatan menghasut. Apa yang penting ialah kita perlu melihat Akta Hasutan bukan sebagai akta yang hanya melindungi kepentingan orang Melayu, tetapi akta yang memelihara perpaduan dan keharmonian nasional.

PERSEPSI ORANG MUDA TERHADAP UMNO

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

34.    Hari ini, parti kita sedang menyongsong perubahan. Sebagai parti yang memperjuangkan kemerdekaan, UMNO telah banyak berjasa kepada orang Melayu dan rakyat Malaysia.Tiada siapa yang boleh menafikan sumbangan UMNO kepada agama, bangsa dan tanah air. Tetapi, survival parti kita pada masa hadapan tidak boleh bergantung semata-mata kepada rekod sumbangan kita pada masa lalu. Rakyat, khususnya orang Melayu, ingin melihat apa sumbangan UMNO kepada mereka dalam mengharungi cabaran masa hadapan yang lebih getir. Untuk itu, 

kita perlu mempersiapkan UMNO untuk menjadi parti masa hadapan, parti harapan umat Melayu, parti idaman generasi muda Melayu dan parti yang sesuai dengan dinamika politik nasional.

35.    Terus terang saya katakan saya agak bimbang melihat perkembangan hari ini. UMNO masih bertahan di kampung-kampung, tetapi semakin hilang sokongan masyarakat bandar yang lebih terbuka, lebih terdedah kepada pelbagai maklumat dan lebih sofistikated dari segi pemikiran, nilai dan cara hidup. Dalam pilihanraya umum yang lalu, UMNO kalah di kebanyakan kawasan bandar majoriti Melayu. Kita kalah di Shah Alam, Ampang, Lembah Pantai, Bangi, Kuantan, Kuala Terengganu, Kota Bharu dan banyak kawasan lain yang suatu ketika dahulu merupakan kubu kuat UMNO. Kita juga kalah teruk di Selangor yang merupakan negeri termaju di Malaysia.

36.    Dalam rangka menyediakan ucapan saya pada malam ini, saya mendapatkan pandangan pemuda dan pemudi Melayu mengenai UMNO. Mereka terdiri daripada graduan muda, golongan profesional, aktivis masyarakat, usahawan dan ahli akademik. Bagi saya, pandangan orang muda terhadap UMNO adalah penting dalam menentukan survival UMNO. Orang muda merupakan pewaris perjuangan parti kita, dan pandangan mereka tentang UMNO akan menentukan jatuh bangunnya UMNO pada masa hadapan.

37.    Saya bertanya kepada mereka apa persepsi mereka terhadap UMNO? Apa aspirasi mereka? Apa harapan mereka? Apa kebimbangan mereka? Apa perkara penting yang hendak disampaikan kepada UMNO? Saya minta supaya mereka bercakap secara jujur, ikhlas dan terbuka. Saya ingin tahu apa yang perlu UMNO lakukan supaya anak-anak muda di luar sana ghairah untuk berada bersama-sama kita dalam saf perjuangan UMNO.

38.    Izinkan saya berkongsi pandangan mereka dengan saudara dan saudari pada malam ini. Pertama, mereka kata UMNO sedang mengalami trust deficit atau defisit kepercayaan; kedua, UMNO ini parti feudal; ketiga, dalam UMNO ada budaya play safe dan budaya pak turut; keempat, UMNO dikuasai oleh warlord; dan kelima, UMNO diancam oleh budaya ugut dan budaya tabur. Ini kata mereka.

39.    Mereka menjelaskan satu persatu kepada saya apa yang mereka maksudkan dengan kelima-lima perkara ini. Mengenai defisit kepercayaan, mereka beritahu saya mereka sebenarnya sokong perjuangan UMNO. Mereka sayang kepada UMNO. Bagi mereka tidak ada parti lain yang boleh diharapkan untuk mempertahankan agama, bangsa dan tanah air melainkan UMNO. Cumanya, mereka ingin melihat pemimpin UMNO di setiap peringkat lebih berintegriti, lebih amanah, lebih jujur, lebih telus, tidak terpalit dengan gejala rasuah, tidak menonjolkan kemewahan yang berlebihan, tidak bergaduh sesama sendiri dan sebagainya. Jika ini boleh dilakukan, maka orang muda akan percaya semula kepada UMNO.   

40.    Mereka juga tidak mahu UMNO terlalu terikat dengan hirerki hingga mewujudkan gambaran parti kita menjadi parti feudal sehingga orang bawah tidak boleh bersuara selagi orang atas tidak bersuara. Sehinggakan hendak beri pandangan pun kena tengok apa orang atas kata. Kalau orang atas kata A, maka yang di bawah mesti kata A. Kalau orang atas kata B, yang di bawah pun mesti kata B.

41.    Menurut mereka lagi, orang muda dalam UMNO mempunyai idea-idea yang bernas tetapi merasakan lebih baik diam daripada bercanggah pandangan dengan orang atas. Ada yang kata kalau bercakap lebih sedikit nanti dianggap hendak memandai. Ada pula yang beri nasihat orang muda mesti berhati-hati dalam politik. Jangan terlalu menonjol. Jangan terlalu laju. Nanti kena sekat, nanti kena cantas, kena kerat, kena sabo, kena cah keting, kena terajang dan lain-lain lagi. Jadi, lama-kelamaan mereka fikir lebih baik diam daripada bercakap, atau lebih selamat jadi pak turut saja. Seolahnya ada satu budaya play safe, atau budaya pilih jalan selamat dalam UMNO.

42.    Akibatnya, dalam UMNO, lebih ramai orang memilih untuk berdiam diri daripada bercakap. Ini mewujudkan persepsi bahawa parti kita sedang dilanda budaya kelesuan. Akhirnya, orang Melayu dan rakyat tertanya-tanya di mana suara keramat UMNO? Di mana taring  Pemuda? Di mana ketegasan Wanita? Di mana kelantangan Puteri?  Kesannya, kita seolahnya ketandusan pemimpin untuk menjuarai kepentingan orang Melayu. Sehinggakan timbul cakap-cakap di luar sana yang mengatakan NGO Melayu lebih lantang daripada UMNO dalam memperjuangkan hak dan kepentingan Melayu.

43.    Bagi saya, kita perlu membuktikan bahawa UMNO bukannya sebuah parti yang lesu. UMNO bukannya parti yang mempunyai budaya pak turut, budaya nyanyi, budaya puji, budaya lambung, budaya ampu sana ampu sini. UMNO adalah parti yang berwibawa, parti yang ada idealisme, parti yang ada masa depan, parti pilihan anak-anak muda. Ingatlah, orang muda hari ini tidak suka jadi pak turut. Mereka naik geli dengan budaya ampu. Mereka benci budaya sabo. Mereka tolak budaya cah keting. Jika kita boleh buang semua budaya negatif ini jauh-jauh, saya yakin UMNO akan menjadi parti pilihan orang muda.

44.    Satu lagi ialah budaya warlord. Ramai yang beritahu saya dalam UMNO ada banyak warlord. Mereka ini amat berkuasa kerana mempunyai ramai pengikut setia yang sanggup melakukan apa sahaja untuk mereka. Dengan sokongan pengikut, warlord akan mengugut pemimpin atasan parti untuk berikan apa sahaja yang mereka minta. Jika tak diberi, mereka akan sabo parti dalam pilihan raya.

45.    Kita perlu buktikan bahawa warlord bukan sebahagian daripada budaya UMNO. Kita menolak sikap sekalangan yang cuba untuk kekal berkuasa dengan menabur kemewahan kepada pengikut. Sehinggakan ada yang kata tak payah buat kerja dalam UMNO. Yang perlu dibuat ialah kumpul kekayaan untuk tabur kemewahan kepada pengikut supaya mereka sentiasa setia. Keadaan ini menyebabkan kos politik menjadi semakin mahal. Yang tiada wang tidak boleh masuk politik. Walaupun ada bakat, ada kelulusan, ada kebolehan, mereka tak mampu untuk bergerak aktif dalam parti jika tiada wang. 

Saya bimbang, akhirnya nanti yang naik dalam hirerki parti adalah orang yang ada wang, bukan orang yang ada kebolehan. Orang kata money is everything in politics. No money, no talk. Seolahnya, wang adalah kuasa, wang adalah segala-galanya.

46.    Saya kadang kala terfikir adakah sudah tidak ada keikhlasan dan kejujuran dalam perjuangan? Adakah sudah tidak ada nilai pengorbanan dalam politik? Adakah pengikut menilai pemimpin semata-mata berdasarkan kemampuan mereka untuk tabur kemewahan? Adakah pemimpin mengukur kesetiaan pengikut berdasarkan harga yang mereka bayar? Bagi saya, budaya ugut dan tabur ini amat bahaya kepada parti kita. Budaya ini akan menyebabkan politik wang berleluasa di dalam parti. Pengikut yang terima wang akan suka. Mereka puji pemimpin yang boleh beri sesuatu kepada mereka. Tetapi jangan kita lupa. 

Rakyat di luar sana tak suka politik wang. 

Mereka curiga bila lihat orang politik hidup mewah. Tak setimpal dengan pendapatan. Apatah lagi jika ada yang suka menunjuk-nunjuk kemewahan. Rakyat akan mula menuduh bermacam perkara yang tidak baik terhadap parti kita. Inilah punca masalah trust deficit atau defisit kepercayaan terhadap UMNO. Jadi, ingatlah. Apa guna kita naik dalam hirerki parti, tetapi rakyat menolak parti kita kerana mereka tidak suka dengan imej dan sikap kita.

47.    Apa yang saya sebutkan ini adalah persepsi dan kritikan orang muda terhadap UMNO. Barangkali ada yang betul, ada juga yang kurang tepat. Tetapi mengambil yang baik daripada kritikan ini adalah lebih afdal. Ini membuktikan bahawa UMNO adalah parti yang terbuka dan kita sentiasa bermuhasabah. Sepertimana firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Zumar Ayat 18:

ٱلَّذِينَ يَسۡتَمِعُونَ ٱلۡقَوۡلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحۡسَنَهُ ۥۤ‌ۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ ٱلَّذِينَ هَدَٮٰهُمُ ٱللَّهُ‌ۖ وَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمۡ أُوْلُواْ ٱلۡأَلۡبَـٰبِ
Yang bermaksud:

Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum agama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayat petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna.


HARAPAN ORANG MUDA TERHADAP UMNO

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

48.    Sebenarnya, orang muda dan umat Melayu seluruhnya menaruh harapan yang tinggi kepada UMNO. Mereka tidak menolak perjuangan UMNO. Mereka mahu supaya pemimpin UMNO tegas memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam, tetapi pada masa yang sama tidak dilihat terlalu ekstrem perkauman atau terlalu liberal. Mereka percaya bahawa dalam sebuah masyarakat pelbagai kaum, UMNO perlu bersikap adil terhadap kaum-kaum lain, tetapi tidaklah sampai menggadaikan asas dan prinsip perjuangan UMNO. Pendek kata, orang muda mahu UMNO terus menjadi parti yang sederhana, parti yang berjaya mengekalkan keseimbangan dalam hubungan kaum dan agama. Apa yang penting ialah pemimpin UMNO mesti dilihat lebih ikhlas, lebih jujur, lebih telus, lebih adil dan lebih berwibawa dalam menggalas perjuangan parti.

49.    Saya fikir orang muda mempunyai pemikiran yang agak kritis. Apabila ada perkara yang dilihat tidak cocok dengan idealisme mereka, maka mereka akan mengkritik.Tetapi itulah lumrah orang muda. Itulah juga kekuatan orang muda. Mereka yakin dengan idealisme mereka dan berani memperkatakan apa yang mereka fikir benar. Mereka ada courage – iaitu keberanian - dan ada conviction - yakni keyakinan yang teguh dengan apa yang mereka fikirkan benar. Kedua-dua sifat inilah yang menjadikan orang muda ada kewibawaan, ada ketokohan, ada keupayaan untuk memimpin.

50.    Jadi, dalam proses untuk melengkapkan perubahan dan peremajaan UMNO, untuk menjadikan UMNO sebagai parti harapan orang muda, parti idaman, parti masa depan, saya mencadangkan 

7 langkah pembaharuan yang perlu kita laksanakan segera:

Pertama, UMNO perlu melahirkan pemimpin muda yang berwibawa dan menjadi peneraju pemikiran (opinion leader) di dalam masyarakat. Garap idealisme orang muda. Galakkan budaya berfikir dan bersuara dalam UMNO. Pemimpin muda yang ada idealisme, ada wibawa dan berani bersuara perlu diketengahkan untuk menjuarai isu-isu rakyat, menjadi jurucakap parti, bukan diketepikan oleh parti;

Kedua, UMNO perlu melakukan pencarian bakat. Kita perlu menyediakan platform untuk orang muda daripada golongan profesional, intelektual, agamawan, aktivis sosial dan lain-lain yang diterima oleh masyarakat untuk bergerak aktif  dalam UMNO. Paltform ini perlu diwujudkan di peringkat pusat, negeri dan bahagian. Contohnya, mereka yang berbakat boleh dilantik ke unit-unit tertentu di dalam parti dan diberi peranan untuk menyumbang kepada parti. Kita juga perlu ketengahkan mereka yang berbakat dan berkaliber untuk menjadi calon dalam pilihanraya. Mereka ini tidak semestinya berjawatan tinggi dalam parti. Pengalaman kita dalam pilihanraya kecil Pengkalan Kubor dan Kuala Besut menunjukkan calon yang tidak berjawatan tinggi di peringkat bahagian boleh menang kerana mereka diterima oleh rakyat;

Ketiga, wujudkan modul pengkaderan dan pentarbiyahan yang tersusun untuk melahirkan lebih ramai pemimpin muda UMNO yang bijak, petah dan tangkas berhujjah serta teguh daya rohaninya. Kita perlu membentuk UMNO dengan kalangan ahlinya yang punya kekentalan semangat serta menghayati prinsip dan matlamat perjuangan parti yang sebenar. Beri mereka kekuatan untuk mengolah perjuangan UMNO yang lebih segar dalam konteks cabaran semasa. Jadikan mereka kumpulan pemikir muda di dalam UMNO.

Keempat, semarakkan semangat kesukarelawanan melalui program-program bersama rakyat. Pecahkan tembok pemisah antara parti dan rakyat menerusi kerja-kerja sukarela. Dekati rakyat, dengar rintihan mereka, fahami masalah mereka. Tanya diri kita, berapa ramai daripada kita yang sentiasa mendekati rakyat dan disayangi oleh rakyat. Manfaatkan sepenuhnya teknologi maklumat, khususnya media sosial, untuk sentiasa mendekati dan memenangi hati golongan muda;

Kelima, wujudkan institusi naziran di dalam UMNO untuk memantau setiap Bahagian dan Cawangan. Satu Jabatan Naziran perlu diwujudkan di dalam UMNO untuk pastikan semua pemimpin di peringkat Majlis Tertinggi, sayap, negeri, bahagian dan akar umbi buat kerja. Bahagian ini bertanggungjawab untuk melaporkan kepada Jawatankuasa Pengurusan UMNO dan Majlis Tertinggi mengenai keberkesanan program-program yang dilaksanakan oleh parti;

Keenam, gerakkan revolusi mental yang baharu dalam UMNO dan bangsa Melayu seperti yang pernah digarap oleh Allahyarham Datuk Senu Abdul Rahman. Mungkin kita boleh namakan Revolusi Mental 2.0. Cerna idea, pemikiran dan kaedah baharu untuk menangani cabaran perubahan zaman dalam bidang ekonomi, politik, agama, hubungan kaum, teknologi dan lain-lain. Sepertimana yang diungkapkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak dalam pendahuluan buku Revolusi Mental, antara sebab kemunduran bangsa Melayu ialah pemikiran yang terkebelakang yang disebabkan oleh kekurangan ilmu dan cara hidup yang lama. Justeru, UMNO perlu berani menerajui perubahan pemikiran, budaya dan sikap bangsa Melayu untuk menempa kemajuan. Pada masa yang sama, hadapi dengan bijaksana kemunculan pelbagai tantangan yang cuba menggoyahkan prinsip perjuangan UMNO untuk bangsa Melayu sebagai bangsa teras di Malaysia. Yang penting, jadikan prinsip perjuangan UMNO relevan sepanjang masa; dan

Ketujuh, bangkitkan gerakan kesedaran nilai undi dalam kalangan masyarakat Melayu. Gerakan pendaftaran pengundi baharu mesti dibuat dengan lebih bersungguh-sungguh. Jangan buat sambil lewa. Jangan buat sekadar melepas batuk di tangga kata orang. Jangan sampai kegagalan kita menambah bilangan pengundi Melayu menyebabkan kaum Melayu yang merupakan kaum majoriti menjadi golongan minoriti dalam pilihanraya. Sasaran gerakan ini wajib dimulai dengan memastikan semua ahli UMNO yang layak mengundi didaftarkan sebagai pengundi.

MEREKAYASA PERUBAHAN

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

51.    Bagi saya, UMNO mesti melakukan perubahan yang drastik jika ingin kekal relevan dengan peredaran masa. Pendekatan dan gerak kerja UMNO hari ini sedang dipintas oleh gerakan yang lebih canggih dan sesuai dengan selera masa kini. Lebih-lebih lagi, jika UMNO ingin menjadi parti masa hadapan, maka citra UMNO mestilah cocok dengan jiwa anak-anak muda Melayu, golongan profesional Melayu dan tidak lupa seluruh generasi muda yang berada di desa mahupun di kota. Mereka adalah pewaris perjuangan parti kita.     

52.    Untuk itu, UMNO memerlukan suntikan tenaga muda sama ada di kalangan wanita dan lelaki, yang berkebolehan dan berkelayakan untuk memimpin parti. Orang lama mesti beri laluan kepada orang muda. Lebih-lebih lagi jika kita menjadi liabiliti kepada parti, kita harus segera berundur secara terhormat. Kita telah lama bercakap mengenai peremajaan UMNO, tetapi tanyalah diri kita apakah proses ini benar-benar berlaku di dalam parti.

53.    Kita tidak ada banyak masa untuk menunggu perubahan berlaku. Kita perlu merekayasa perubahan. 

If change does not happen, we have to engineer the change. 

Justeru pada hemat saya, wajar untuk kita pertimbangkan pemilihan parti dilaksanakan mengikut kehendak Perlembagaan UMNO dan tidak ditangguhkan selepas pilihanraya umum seperti yang pernah dibuat sebelum ini. Saya juga mencadangkan pindaan Perlembagaan UMNO diadakan tahun hadapan dengan memperuntukkan pindaan yang sesuai untuk membolehkan barisan pelapis muda menyumbang peranan dan khidmat bakti yang lebih besar kepada UMNO. Saya percaya UMNO tidak akan berpecah sekiranya pemilihan diadakan. Pemimpin UMNO tentunya cukup matang untuk menghadapinya. Saya sendiri akan sentiasa berdiri bersama-sama YAB Presiden untuk merealisasikan perubahan dan peremajaan parti kita.

54.    Ini adalah seruan terakhir untuk UMNO. Do or be dead! 

Jangan letak kepentingan diri melebihi kepentingan parti. Saya ingin mengingatkan diri saya sendiri dan pemimpin UMNO di semua peringkat, jika kita menjadi batu penghalang kepada peremajaan parti, maka kita mesti berundur secara terhormat. Parti kita mesti kekal relevan supaya bangsa Melayu terus terbela. Diri kita tidak penting. Yang penting ialah bangsa Melayu dan UMNO. Ingatlah, Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri mengubah apa yang ada dalam dirinya. Sepertimana firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Ra’du Ayat 11:

إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِہِمۡ‌ۗ

55.    Jangan kita lupa akan seruan YAB Presiden. Di Dewan Merdeka ini jugalah semasa merasmikan Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO tahun 2008, Presiden dengan jelas menuntut agar kita berubah untuk kepentingan rakyat. Saya petik kata-kata Presiden. “Berubah dari sikap-sikap mazmumah kepada sikap-sikap mahmudah. Berubah daripada kurang mesra kepada mesra, daripada mementingkan diri kepada mementingkan rakyat, daripada malas kepada rajin kerja, berubah daripada kurang berkhidmat kepada suka berkhidmat. Berubahlah, jika tidak, kita rebah”. Soalnya, apakah kita mengambil serius gesaan YAB Presiden ini? Atau, adakah ia ibarat masuk telinga kanan keluar telinga kiri?

56.    Saudara-saudari, kita mesti memperbetulkan segera segala kesilapan kita dan melakukan perubahan demi kelangsungan agama dan bangsa kita. Amatilah betul-betul peringatan Allah s.w.t. sebagaimana firmanNya dalam surah Al-An’am Ayat 6:

أَلَمْ يَرَوْا كَمْ أَهْلَكْنَا مِنْ قَبْلِهِمْ مِنْ قَرْنٍ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ مَا لَمْ نُمَكِّنْ لَكُمْ وَأَرْسَلْنَا السَّمَاءَ عَلَيْهِمْ مِدْرَارًا وَجَعَلْنَا الْأَنْهَارَ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهِمْ فَأَهْلَكْنَاهُمْ بِذُنُوبِهِمْ وَأَنْشَأْنَا مِنْ بَعْدِهِمْ قَرْنًا آخَرِينَ

Tidakkah mereka memerhati dan memikirkan berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal (umat-umat itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi (dengan kekuasaan dan kemewahan) yang tidak Kami berikan kepada kamu dan Kami turunkan hujan atas mereka dengan lebatnya dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka dengan sebab dosa mereka dan Kami ciptakan sesudah mereka, umat yang lain?

PENUTUP

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

57.    Zaman untuk dipuja dan dipuji dalam kelompok sendiri sudah berlalu. Ini adalah zaman untuk kita bersama-sama masyarakat, merasai keresahan mereka, berusaha mencari penyelesaian kepada permasalahan yang mereka alami. Ini zaman untuk kita meraih keyakinan rakyat, zaman untuk kita memimpin bangsa mengharungi cabaran yang semakin hebat. Hormat rakyat bukan sesuatu yang boleh dipaksa. Berusaha, berkhidmatlah kepada rakyat bagi mendapatkan hormat mereka kepada kita. UMNO adalah parti massa yang lahir daripada kebangkitan rakyat yang mempunyai matlamat dan arah tuju yang jelas.

 UMNO terbina demi masa depan umat Melayu dan negara.
  
UMNO bukan parti yang lahir daripada rasa benci, tetapi penuh dengan rasa kasih dan sayang demi kesejahteraan rakyat. UMNO adalah parti yang sarat dengan harapan untuk masa depan bangsa dan negara. Binalah keyakinan, tunjukkanlah keazaman, hamparkanlah harapan kepada bangsa Melayu dan rakyat Malaysia seluruhnya bahawa parti ini adalah pilihan terbaik buat mereka.

59.    Kepada umat Melayu dan Bumiputera yang sedang menekuni ucapan saya ini samada yang berada di Semenanjung, Sabah dan Sarawak bersatulah kita atas nama kewatanan dan kecintaan kepada negara. Kita sudah tiada masa untuk bertelingkah atau berbenci antara satu sama lain. Kepada seluruh rakyat tanpa batas kaum dan fahaman, marilah kita menolak gerakan meracuni dan membenci sesama kita. Jangan kita biarkan negara ini runtuh hanya kerana umpan-umpan yang dilontarkan kepada kita oleh pihak luar.

60.    Buat Wanita, bangunlah dengan istiqamah perjuangan. Hulurkan salam jemputan buat wanita Melayu dari segenap ceruk rantau dan latar belakang--guru wanita, ustazah, peguam, doktor, pegawai profesional hatta  NGO wanita dan ibu-ibu tunggal-- marilah bersama-sama sebaris dengan kita dalam perjuangan ini. 

Buat Pemuda, bangkitlah dengan bara perjuangan. Beranikan diri berada di mana sahaja bila panggilan untuk berkorban masa dan tenaga. Bawalah golongan muda yang dahagakan kebersamaan dan interaksi. Berikan mereka harapan.  

Buat Puteri, bangkitlah dengan semangat baharu yang segar membawa pemudi dan wirawati negara meyakini perjuangan kita. Tanamkan benih kasih kepada mereka, nescaya mekarlah nanti dengan rimbunan pendokong.

61.    Harapan saya kepada seluruh bangsa Melayu, renunglah nasib masa depan bangsa kita. Hargai sejarah perjuangan bangsa di masa lalu, perjuangan yang meletakkan kita di sini hari ini. Bangkitlah bersama-sama UMNO untuk merencana masa depan bangsa kita agar tidak hilang ditelan zaman, agar terus tegar mendepani cabaran. Saya percaya, dengan kekuatan tekad dan keazaman kita semua, dengan limpahan rahmat dan inayah Allah s.w.t, UMNO akan beroleh kekuatan dan keyakinan untuk melakukan perubahan dan pembaharuan, dan seterusnya mara membela agama, bangsa dan negara kita.


Gagahnya pahlawan dahulukala,
Menjadi tauladan sepanjang zaman,
Kalian tinggalkan warisan bangsa,
Untuk kita teruskan perjuangan.

Hidup Melayu! Hidup Melayu! Hidup Melayu!

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim saya dengan sukacitanya merasmikan Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2014.


Tuesday, November 25, 2014

DR MASHITAH BERHARAP DAPAT CETUSKAN SATU SEMANGAT BARU DI PAU 2014

Pesanan Datuk Dr Mashitah, wakil Wanita UMNO Kedah... wakil ilmuan agama... wakil pendakwah... dan juga wakil tokok-tokoh pondok, berpesan untuk ahli-ahli UMNO dan umat Islam di Perhimpunan Agong UMNO 2014;


Kini bermulalah terserlahnya seorang ilmuan agama wanita dalam UMNO apabila buat pertama kalinya Datuk Dr Mashitah Ibrahim akan membahaskan usul agama dan pendidikan. Antara isu yang akan dibahas ialah mengenai serangan terhadap akidah dan mencetuskan kekeliruan di kalangan rakyat beragama Islam. Perbahasannya juga akan menyentuh mengenai fahaman pluralisma, liberalisma dan syiah yang sedang menular secara perlahan-lahan di kalangan rakyat Malaysia kebelakangan ini.

Terbaca laporan temuramah di Agenda Daily, mantra rasa teruja untuk berkongsi beberapa petikan dan di antaranya;

Aktiviti di luar politik ...
"Diam-diam ubi berisi. Dalam diam banyak perkara saya buat. Terutama bagaimana nak hidupkan Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) yang diasaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. Saya jumpa TPM baru-baru ini sebab berbincang mengenai yayasan. PM sudah beri
amanah kepada TPM untuk memantau YPPM."

"Jadi selepas Pilihanraya Umum (PRU-13) keutamaan saya ialah memberi perhatian kepada YPPM, antaranya, melawat sekolah-sekolah pondok di seluruh negara untuk mengetahui masalah mereka yang boleh dibawa ke pengetahuan TPM,"

Selain jadi penerbit dan hos program-program agama di televisyen beliau menganjurkan ceramah-ceramah di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan swasta (IPTS) di dalam dan luar negara serta kerja-kerja amal berkaitan agama.
Mesej kepada perwakilan di PAU 2014...
"Saya juga mungkin juga nak menekankan tentang penggunaan dan pemahaman tentang perkataan "jihadist" yang merupakan istilah baru yang diperkenalkan oleh Barat...

"Dalam Islam disebut, kebatilan yang tersusun akan mengalahkan kebenaran yang tidak terancang,"

"Saya rasa inilah masanya sebagai seorang pendakwah, saya harus memberi kesedaran dan insyaalah saya berharap apa yang akan saya utarakam nanti akan dibawa oleh perwakilan untuk dibincang oleh bahagian masing-masing."

Mashitah berharap apa yang bakal diucapkannya semasa PAU nanti dapat mencetuskan satu semangat baharu kepada orang lain untuk bangkit memperkatakan sesuatu mengenai serangan terhadap akidah umat Islam di negara ini.

Pesanan kepada umat Islam di Malaysia...
"Saya tahu ada silent majority di luar sana. Ramai tak bersetuju dengan beberapa perkara tetapi mereka berdiam diri. Kenapa diam? Kita kena bercakap untuk pertahankan agama kita."

"Ini sebenarnya adalah satu agenda terancang dan kita tidak boleh membiarkan ia berterusan kerana ia akan membawa kepada satu pengakhiran yang sangat merbahaya keranda agenda ini tersusun.
Sebenarnya, ramai telah mengetahui kemunculan semula Datuk Dr Mashitah ke pentas PAU 2014 terutama di media sosial dan ini adalah di antara respon dari pejuang-pejuang siber;



Rasanya telah tiba masanya lebih ramai ilmuan agama di kalangan wanita UMNO ditonjolkan dan diberi peluang bukan sekadar berbahas tetapi diberi ruang berkongsi ilmu. Kesanggupan Dr Mashitah perjuangkan pengajian pondok perlu diberi sokongan seperti yang telah disarankan di atas.

Semoga, hasrat Dr Mashitah untuk memberi semangat baru kepada perwakilan PAU 2014 dapat dimanfaat dan diteruskan di bahagian-bahagian masing-masing... Aminnn. InsyaAllah

Wednesday, December 04, 2013

TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN : MENYAMBUNG RISALAH PERJUANGAN SUCI

YAB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
TIMBALAN PRESIDEN UMNO

DI MAJLIS PERASMIAN PERHIMPUNAN PERGERAKAN WANITA, PEMUDA DAN PUTERI UMNO 2013

“MENYAMBUNG RISALAH PERJUANGAN SUCI”

Bismillahirrahmanirrahim.
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدِ، الْفَاتِحِ لِمَا أُغْلِقَ وَالْخَاتِمِ لِمَا سَبَقَ، نَاصِرِ الْحَقِّ بِالْحَقِّ، وَالْهَادِي إِلَى صِرَاطِكَ الْمُسْتَقِيْمِ وَعَلىَ آلِهِ 
حَقَّ قَدْرِهِ وَمِقْدَارِهِ العَظِيْمِ

Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.
YB Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil
Ketua Pergerakan Wanita
YB Sdr. Khairy Jamaluddin
Ketua Pergerakan Pemuda
YB Mas Ermieyati Samsudin
Ketua Pergerakan Puteri
YB Naib-Naib Presiden UMNO
YB Setiausaha Agung UMNO
Ahli-ahli Majlis Tertinggi
Barisan Exco Wanita, Pemuda dan Puteri

Saudara-saudari sidang perwakilan, dif-dif jemputan dan para pemerhati sekalian

1.​Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah s.w.t. kerana pada malam ini kita dapat berhimpun untuk menyempurnakan Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2013. Untuk kesekian kalinya, kita pewaris perjuangan bangsa Melayu sejak turun temurun meneruskan tradisi menghadiri perhimpunan terbesar umat Melayu demi menyambung risalah perjuangan memartabatkan agama, bangsa dan tanah air kita.

2.​Setinggi-tinggi kesyukuran juga kita panjatkan ke hadrat Allah s.w.t. kerana kita menjadi insan yang terpilih untuk berada di dalam saf perjuangan UMNO. Melalui wadah UMNO, para pejuang bangsa kita yang terdahulu telah berjaya menyatukan hati umat Melayu untuk memerdekakan tanahair dan seterusnya menggembeleng usaha mengangkat martabat agama dan bangsa kita.Semua pejuang UMNO yang berada di sini pada malam ini, dan di seluruh pelusuk negara, merupakan penyambung risalah perjuangan suci ini.Dalam mengemudi haluan perjuangan parti kita, yang kita harapkan hanyalah pertolongan dan redha Allah jua. Sepertimana firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Ankabut, Ayat 69:
وَٱلَّذِينَ جَـٰهَدُواْ فِينَا لَنَہۡدِيَنَّہُمۡ سُبُلَنَا‌ۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلۡمُحۡسِنِينَ
Yang bermaksud:
Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.
3.​Terlebih dahulu, di awal ucapan ini saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada barisan kepimpinan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO yang telah dipilih untuk menerajui ketiga-tiga sayap parti dalam pemilihan baru-baru ini. Saya ucapkan tahniah kepada Datuk Seri Shahrizat, Khairy dan Mas Ermiyati.Marilah kita berikan tepukan gemuruh kepada mereka.Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada seluruh barisan exco Pemuda, Wanita dan Puteri serta kepimpinan ketiga-tiga pergerakan di peringkat bahagian dan cawangan.

4.​Kita bersyukur kerana proses pemilihan parti kita telah berjalan lancar tanpa sebarang musibah. Saya yakin, pemilihan UMNO yang melibatkan ratusan ribu perwakilan di seluruh negara membuktikan bahawa proses transformasi UMNO menjadi parti yang lebih demokratik, telus dan terbuka semakin berhasil. Menerusi pemilihan yang lalu, kita semua dapat saksikan bahawa amalan demokrasi di dalam parti kita terus subur, malah jauh lebih baik berbanding parti pembangkang.

5.​Ada sebuah parti di negara kita yang sering menuduh kononnya UMNO tidak demokratik, tidak telus dan menipu semasa pilihan raya. Parti ini gemar mendabik dada dialah juara demokrasi, akauntabiliti, ketelusan, kecekapan dan bermacam-macam lagi.Kononnya dialah parti yang terbaik di negara ini.Tetapi Allah Maha Berkuasa. Baru-baru ini ditunjukkan tembelang sebenar parti ini yang terpaksa mengadakan semula pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat kerana didakwa oleh ahli mereka sendiri terdapat penipuan dalam proses pengundian. Lebih teruk lagi, pemilihan kali kedua pun masih dipertikaikan. Bak kata pepatah:
Paku dulang paku serpih
Mengata orang dia yang lebih

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

6.​Perhimpunan tahun ini amat istimewa kerana diadakan selepas kita mencapai kemenangan dalam Pilihanraya Umum ke-13. Setahun yang lalu di dewan inilah kita bulatkan tekad, jitukan semangat dan panjatkan doa kepada Allah untuk memenangi pilihanraya umum yang dikatakan amat mencabar bagi kita. Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah s.w.t. kerana doa kita telah dikabulkan olehNya dan ikhtiar kita telah mendatangkan kejayaan yang amat bermakna buat kita semua.

7.​Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada seluruh jentera Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO yang telah berusaha dengan gigih untuk memastikan kemenangan UMNO dan Barisan Nasional. Kita berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang terus memberikan mandat kepada Barisan Nasional untuk mentadbir negara. Kepada orang Melayu dan Bumiputera khususnya, kita amat berterima kasih kerana dengan sokongan padu mereka kepada UMNO, parti kita telah berjaya menambah kerusi di Parlimen daripada 79 kepada 88 kerusi kesemuanya. Dengan kemenangan ini, UMNO adalah parti yang memenangi jumlah kerusi terbanyak dalam pilihanraya. Alhamdulillah, berkat sokongan padu orang Melayu dan Bumiputera kepada UMNO, parti kita kekal menjadi tonggak kekuatan Barisan Nasional.

8.​Tidak kita nafikan bahawa PRU-13 merupakan suatu pentas jihad untuk memastikan kelangsungan perjuangan UMNO demi agama, bangsa dan negara kita. Alhamdulillah, kita telah berjaya menjulang panji kemenangan di medan jihad ini. Walaupun berhadapan dengan pelbagai tohmahan dan pembohongan yang dilemparkan oleh pembangkang, termasuk oleh konco-konco mereka dari dalam dan luar negara, UMNO dan Barisan Nasional terus berdiri megah sebagai parti yang mendapat mandat rakyat untuk memerintah.

9.​Kita sedar dalam pilihanraya yang lalu, UMNO bukan sahaja berhadapan dengan serangan parti pembangkang, malah belasahan gerombolan kuasa jahat yang mahu melihat parti keramat orang Melayu dan umat Islam ini berkubur di tanah air sendiri. Namun, berpantang maut sebelum ajal, dengan rahmat dan inayah Allah s.w.t. kita berjaya mempertahankan kelangsungan UMNO.

10.​Di sebalik kejayaan memenangi PRU-13, jangan kita lalai dan leka. Kemenangan UMNO dan Barisan Nasional adalah kemenangan bersyarat. UMNO berjaya menambah bilangan kerusi di Parlimen, tetapi Barisan Nasional mengalami kekurangan sokongan terutamanya dalam kalangan pengundi muda dan pengundi bandar. Kita berjaya memenangi semula negeri Kedah dan mengekalkan pentadbiran negeri Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Perlis dan Sabah, tetapi kita gagal memenangi Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan. Bilangan kerusi kita di negeri-negeri kubu kuat UMNO seperti Johor dan Melaka juga berkurangan.

11.​UMNO perlu memahami mesej jelas yang cuba dihantar oleh para pengundi. Kita perlu bermuhasabah secara jujur dan ikhlas untuk mengetahui sebab-musabab mengapa sokongan pengundi bandar dan golongan muda terhadap parti kita tidak seperti yang diharapkan. Apakah selama ini sentuhan UMNO tidak begitu dirasai oleh mereka? Mungkinkah terdapat kelemahan-kelemahan yang perlu kita perbaiki? Apakah bentuk penambahbaikan yang perlu kita laksanakan? Setidak-tidaknya, para pengundi telah menghantar mesej jelas kepada UMNO bahawa transformasi UMNO sebagai parti yang benar-benar merasai denyut nadi rakyat dan berupaya menggalas harapan rakyat mesti diteruskan.

12.​Bagi orang Melayu dan Bumiputera pula, mereka telah buktikan bahawa sokongan padu merekalah yang menjadi sumber kekuatan UMNO dan Barisan Nasional. Harapan mereka kepada UMNO semakin tinggi dan mereka mahu sokongan kepada UMNO tidak disia-siakan. Mereka ingin melihat UMNO terus menjadi penyelamat Melayu dan perisai Islam yang sejati. Bagi orang Melayu dan Bumiputera, UMNO lah tempat mereka bernaung. Bak kata pepatah:
Uratnya tempat bersila
Batangnya tempat bersandar
Daunnya tempat berteduh

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

13.​Persoalan yang sedang berlegar di minda orang Melayu selepas PRU-13 ialah kemanakah halatuju UMNO? Apakah UMNO akan terus berusaha untuk meningkatkan taraf ekonomi orang Melayu dan Bumiputera? Apakah UMNO akan terus berikhtiar menyediakan peluang-peluang pendidikan, latihan dan biasiswa kepada orang Melayu dan Bumiputera? Apakah UMNO akan terus berjuang menyediakan peluang-peluang ekonomi dan pekerjaan kepada anak-anak orang Melayu dan Bumiputera? Bagaimanakah UMNO berhadapan dengan cabaran liberalisasi ekonomi dan pasaran bebas? Masih adakah iltizam politik UMNO untuk membantu orang Melayu dan Bumiputera bersaing dalam kancah ekonomi global? Masih adakah kekuatan pada UMNO untuk memastikan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan membantu syarikat-syarikat Bumiputera? Apakah orang Melayu masih boleh bergantung harap kepada UMNO untuk menjadi penyelamat Melayu dan perisai Islam?

14.​Di pentas ini, saya ingin memberi jaminan kepada orang Melayu dan Bumiputera. UMNO akan terus membela anda semua. Selama ini pun, berkat perjuangan UMNO, taraf ekonomi orang Melayu dan Bumiputera telah berjaya kita tingkatkan. Kadar kemiskinan Bumiputera menurun daripada 64.8% pada tahun 1970 kepada 2.2% pada tahun 2012. Insiden kemiskinan tegar Bumiputera juga telah menurun daripada 9.9% pada tahun 1970 kepada 0.3% pada tahun 2012. Dalam tempoh yang sama, purata pendapatan kasar bulanan isirumah Bumiputera telah meningkat daripada RM172 kepada RM4,457, dan pemilikan ekuiti Bumiputera telah bertambah daripada 2.4% kepada 23.5%.

15.​Risalah perjuangan UMNO untuk meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam bidang ekonomi terus diperhebatkan dengan pelaksanaan Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri baru-baru ini. Melalui program terbaru ini, kerajaan akan memberi tumpuan kepada usaha mendaya modal insan Bumiputera, memantapkan pemilikan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat, memperkukuhkan pemilikan aset bukan kewangan Bumiputera, memperhebatkan keusahawanan dan perniagaan Bumiputera, dan memantapkan ekosistem penyampaian perkhidmatan untuk membantu golongan Bumiputera.

16.​Kita mengucapkan syabas kepada YAB Presiden selaku Perdana Menteri atas komitmen dan usaha beliau untuk memperkasa ekonomi Bumiputera. Ketegasan YAB Perdana Menteri memperkasa ekonomi Bumiputera menambah keyakinan orang Melayu dan Bumiputera kepada UMNO. Melangkah ke hadapan, kita perlu menjadikan agenda memperkasa ekonomi Bumiputera sebagai satu agenda besar yang bertujuan meningkatkan ekonomi Bumiputera dalam pelbagai bidang. Selain memberi tumpuan kepada pemilikan ekuiti dalam sektor korporat, pembangunan modal insan dan keusahawanan, dan pemilikan hartanah Bumiputera, kita perlu terus berikhtiar memajukan sektor-sektor ekonomi yang mempunyai impak besar kepada orang Melayu dan Bumiputera. Ini termasuk memperkasa sektor pertanian, perikanan dan ekonomi luar bandar yang mempunyai kesan langsung kepada orang Melayu dan Bumiputera.

17.​ Di samping meneruskan usaha-usaha membasmi kemiskinan di luar bandar, program-program kesejahteraan bandar juga perlu berfokus kepada usaha meningkatkan kualiti hidup golongan Bumiputera kelas pertengahan dan mudah miskin. Mereka ini semakin hari semakin dihimpit oleh kos sara hidup yang kian meningkat. Kita mahu peningkatan taraf ekonomi dan kesejahteraan orang Melayu dan Bumiputera bukan sahaja diukur dari segi peningkatan angka-angka pemilikan ekuiti dan pendapatan perkapita, tetapi benar-benar dirasai dalam kehidupan seharian mereka.

18.​Secara khusus, 7 inisiatif utama hendaklah dilaksanakan segera untuk menyokong pelaksanaan Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera:
 
Pertama, selaras dengan KPI yang telah ditetapkan, Ketua-Ketua Eksekutif Syarikat-Syarikat Berkaitan Kerajaan hendaklah menyediakan pelan lengkap bagaimana untuk membantu syarikat-syarikat Bumiputera. Senaraikan peluang-peluang yang boleh direbut oleh syarikat-syarikat Bumiputera dan kemukakan laporan prestasi secara berkala kepada Majlis Ekonomi Bumiputera.
Kedua, anak-anak Bumiputera mesti segera merebut peluang menyertai pelbagai latihan peningkatan kemahiran yang disediakan oleh kerajaan. Ini termasuk pendidikan vokasional yang merupakan salah satu teras di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang menjadi asas pembentukan modal insan berkemahiran. Menerusi transformasi pendidikan vokasional, bilangan kolej-kolej vokasional akan ditambah untuk melahirkan lebih ramai tenaga kerja Bumiputera yang berkemahiran, memenuhi kehendak pasaran dan berpendapatan tinggi. Penambahan kolej-kolej vokasional harus disegerakan bagi memenuhi permintaan yang semakin tinggi dalam kalangan pelajar-pelajar Bumiputera untuk mengikuti latihan vokasional.
Ketiga, kerajaan hendaklah mempergiatkan usaha meningkatkan peratusan golongan profesional Melayu dan Bumiputera dalam pelbagai bidang. Sehingga kini kerajaan telah berjaya meningkatkan jumlah tenaga profesional Melayu dan Bumiputra menerusi skim latihan dan pendidikan tinggi sehingga peratusan mereka telah menjangkau 40-50% dalam pekerjaan profesional seperti doktor perubatan, doktor gigi, doktor veterinar, jurutera dan juruukur. Usaha ini hendaklah diteruskan dalam semua bidang profesional sehingga peratusan Melayu dan Bumiputra mencerminkan peratusan mereka dalam jumlah penduduk Negara.
Keempat, peniaga dan pengusaha Melayu dan Bumiputera mesti meningkatkan daya saing serta bersedia menghadapi persekitaran perniagaan yang mesra-pasaran. Oleh itu, orang Melayu dan Bumiputera mesti menerima prinsip ketelusan dan persaingan untuk menikmati bantuan kerajaan dan merebut pelbagai peluang yang tersedia. Ini bertujuan supaya peniaga dan pengusaha Melayu lebih bersedia untuk menangani cabaran globalisasi dan pembukaan pasaran yang semakin mendesak ketika ini. Di samping itu, isu ketirisan dan pembaziran juga perlu diatasi untuk meningkatkan keberkesanan usaha membantu golongan Bumiputera.
Kelima, bagi mengukuhkan lagi kemajuan ekonomi orang Melayu dan Bumiputera kerajaan mestilah meneruskan usaha membantu dan memajukan aset-aset kaum Melayu dan Bumiputra seperti tanah dan tabungan untuk melengkapkan usaha lain yang selama ini telah dilaksanakan. Usaha ini memerlukan sokongan yang padu dari kaum Melayu dan Bumiputera agar pihak Kerajaan dapat mengadakan program yang lebih mantap dan sesuai sebagai inisiatif baru di masa hadapan.
Keenam, kerajaan harus meneruskan usaha memenuhi tuntutan kebajikan dan kesejahteraan masyarakat Melayu dan Bumiputera, baik di kota mahupun di desa. Bagi meningkatkan kesejahteraan masyarakat Bumiputera di kota, skim perumahan mampu milik perlu diperluaskan dengan segera di samping memperkenalkan skim rumah mampu sewa.
Ketujuh, bagi mengatasi masalah peningkatan kos hidup, lebih banyak program menjana pendapatan mesti dilaksanakan, terutamanya di kawasan luar Bandar dan kawasan miskin Bandar. Kerajaan mesti memperluaskan industri berasaskan pertanian dengan pelbagai bentuk sokongan dan bantuan seperti pinjaman modal dan latihan, memperkasa industri kecil dan sederhana, serta membantu peniaga-peniaga kecil, petani dan nelayan. Agensi-agensi yang menyediakan kemudahan pembiayaan, hendaklah mempermudahkan pemberian pembiayaan kepada usahawan dan peniaga Bumiputera yang layak. Selain itu, pihak-pihak berkuasa tempatan hendaklah mempermudahkan pemberian lesen kepada peniaga-peniaga kecil. Saya menyarankan agar Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri, khususnya Biro Ekonomi, bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan untuk mempelopori usaha membantu usahawan dan peniaga Bumiputera meningkatkan pendapatan.
19.​Kesemua inisiatif ini disediakan oleh kerajaan yang diterajui oleh UMNO untuk membantu golongan Bumiputera. Oleh itu, UMNO mesti mengambil peranan yang lebih penting untuk menggalakkan lebih ramai Bumiputera merebut peluang-peluang yang disediakan oleh kerajaan. Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri wajib melaksanakan pelbagai inisiatif tambahan untuk menyokong usaha kerajaan memacu ekonomi Bumiputera. Kita telah meletakkan sasaran Malaysia menjadi negara maju menjelang tahun 2020. Kita hanya tinggal 6 tahun sahaja lagi. Masa amat mencemburui kita. Apa makna kita menjadi negara maju jika orang Melayu dan Bumiputera tidak mendapat bahagian yang adil dan setimpal dalam kek ekonomi negara.

Nenek moyang kaya raya
Tergadai seluruh harta benda
Akibat sengketa sesamalah kita
Cinta lenyap di arus zaman
Indahnya bumi kita ini
Warisan berkurun lamanya
Hasil mengalir ke tangan yang lain
Pribumi merintih sendiri
Kini kita cuma tinggal kuasa
Yang akan menentukan bangsa
Bersatulah hati bersama berbakti
Pulih kembali harga diri

PENEGASAN UMNO
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

20.​Perjuangan membela nasib Melayu dan Bumiputera masih belum selesai. UMNO tidak akan mengabaikan kepentingan ekonomi orang Melayu dan Bumiputera. UMNO akan terus mendukung tugas besar ini selagi UMNO wujud dan mendapat sokongan rakyat. Kesemua ini adalah bukti komitmen UMNO untuk terus membela orang Melayu dan Bumiputera.Justeru, kepada mereka yang meragui ketegasan UMNO mempertahankan agenda Bumiputera, katakan kepada mereka UMNO bukan parti picisan yang mudah tenggelam dalam arus perubahan. UMNO sebagai parti terbesar umat Melayu akan terus menggalas agenda memperkasa bangsa Melayu dan Bumiputera tanpa rasa takut atau gentar. UMNO juga bukan parti jumud yang kekal di takuk lama.Kita sentiasa mengharungi arus perubahan sambil menggalas agenda perjuangan.

21.​Melihat ke hadapan, menggalas harapan umat Melayu kepada UMNO bukanlah satu tugas yang mudah. Lebih-lebih lagi ketika umat Islam sedang menghadapi pelbagai cabaran. Di pentas dunia, negara-negara Islam adalah antara negara yang paling banyak dilanda pergolakan dan pertumpahan darah. Ketika krisis di Palestin belum selesai, kita dikejutkan pula dengan tragedi di Syria, Mesir, Tunisia, Libya dan negara-negara Islam yang lain. Bunuh-membunuh sesama umat Islam disebabkan perbalahan kabilah, perbezaan mazhab dan perebutan kuasa politik menjadi semakin lumrah.

22.​Alhamdulillah, kita di Malaysia tidak mengalami krisis seperti ini. Negara kita terus stabil. Rakyat hidup dalam keadaan yang aman dan tenteram. Namun, jika bibit-bibit perpecahan dalam kalangan umat Islam samada yang disebabkan oleh perseteruan politik atau perbezaan mazhab tidak segera dibendung, tidak mustahil kita juga akan ditimpa nasib yang sama. Kita berdoa kepada Allah s.w.t. mudah-mudahan kita semua dijauhi daripada musibah ini.

PERPADUAN UMMAH

23.​Justeru, tugas utama UMNO adalah untuk memastikan perpaduan ummah sentiasa terpelihara. Untuk itu, UMNO akan terus berganding bahu dengan pertubuhan-pertubuhan Melayu dan Islam untuk mempelopori usaha penyatuan ummah dalam ertikata yang sebenar. Pintu UMNO sentiasa terbuka luas untuk menyahut seruan perpaduan dan kerjasama dengan semua pertubuhan Melayu dan Islam.Inilah yang menjadi harapan umat Melayu dan Islam di negara kita. Mereka mahu melihat perpaduan ummah yang lebih jitu terbina kerana dengan perpaduanlah kepentingan umat Islam akan sentiasa dapat dibela.

24.​Maka, sebagai parti yang memperjuangkan Islam, saya merasakan tidak sepatutnya ada tembok pemisah antara UMNO dan pertubuhan-pertubuhan Islam yang lain untuk membentuk kerjasama dan membina perpaduan yang lebih jitu berasaskan semangat persaudaraan di dalam Islam demi memastikan kepentingan Islam sentiasa terbela. Saya yakin, jika ditanya setiap seorang yang ada di dalam dewan ini pada malam ini, pastinya kita semua bersetuju bahawa tiada yang paling utama bagi kita umat Islam yang berpegang dengan ajaran ahli sunnah wal jamaah melainkan perpaduan di atas jalan Allah yang lurus. 

Sepertimana firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-An’am ayat 153:
وَأَنَّ هَـٰذَا صِرَٲطِى مُسۡتَقِيمً۬ا فَٱتَّبِعُوهُ‌ۖ وَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمۡ عَن سَبِيلِهِۦ‌ۚ ذَٲلِكُمۡ وَصَّٮٰكُم بِهِۦ لَعَلَّڪُمۡ تَتَّقُونَ
Yang bermaksud:
Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertakwa.

CABARAN TERHADAP UMAT ISLAM
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

25.​Perpaduan ummah menjadi lebih penting ketika umat Islam di seluruh dunia sedang menghadapi pelbagai cabaran. Umat Islam bukan sahaja dilanda krisis dan pertumpahan darah, malah diasak dengan pelbagai serangan minda dan jiwa. Kononnya atas nama globalisasi, hak asasi dan demokrasi, umat Islam dipaksa menerima konsep kebebasan individu tanpa batas, mengiktiraf perkahwinan sejenis, perkahwinan berlainan agama, hak untuk murtad, amalan ajaran sesat, gaya hidup gay dan lesbian serta pelbagai budaya songsang yang lain. Malah, dalam dunia hari ini, prinsip kebebasan individu yang tidak berteraskan nilai agama dan budaya dijadikan penandaaras moral di peringkat global.

26.​Jika dipenuhi kesemua tuntutan hak asasi tanpa batas ini, kesucian institusi keluarga sudah tidak dapat dipertahankan lagi. Malah, keruntuhan institusi keluarga dan akhlak insan pasti terjadi. Ini amat berbeza sekali dengan pandangan Islam mengenai hak asasi manusia. Deklarasi Cairo Mengenai Hak Asas Manusia Dalam Islam yang diisytiharkan semasa Persidangan Menteri-Menteri Luar OIC pada tahun 1990 mengiktiraf institusi keluarga sebagai tiang seri masyarakat dan perkahwinan yang sah sebagai asas pembentukannya. Keselamatan akidah umat Islam juga dipelihara dengan tidak mengiktiraf kesalahan murtad sebagai suatu hak. Kandungan Deklarasi Cairo ini perlu dijadikan panduan oleh negara-negara Islam dalam menghadapi kumpulan hak asasi manusia yang mendesak supaya umat Islam mengiktiraf hak-hak yang bercanggah dengan prinsip Islam.

27.​Malangnya, ada sesetengah pihak di negara kita yang mengatakan bahawa orang Melayu yang beragama Islam wajar diberikan hak untuk murtad sepertimana orang bukan Islam boleh menukar agama. Mereka persoalkan mengapa perlu dibezakan hak orang Islam dengan hak orang bukan Islam. Kalau orang bukan Islam boleh, mengapa orang Islam tidak boleh? Mengapa kita mendiskriminasi orang Islam? Mereka menuduh kononnya kita tidak mengamalkan prinsip kesamarataan atau equality yang menjadi perkara asas dalam sebuah masyarakat yang demokratik.

28.​Begitu juga dengan amalan gay dan lesbian. Mereka berkata kalau di Barat boleh, mengapa di Malaysia tidak boleh? Apa istimewanya Malaysia sehinggakan perkara yang diamalkan di Barat tidak boleh diamalkan di sini? Apabila mereka hendak menganjurkan festival gay di negara kita, kerajaan tidak benarkan kerana kita hendak menjaga masyarakat kita daripada keruntuhan moral dan akhlak.

29.​Kita juga tidak membenarkan penularan ajaran sesat di kalangan umat Islam. Kita hendak pastikan umat Islam di negara kita tidak terpesong daripada ajaran Islam yang sebenar.Kita hendak menjaga akidah umat Islam. Tetapi mereka berkata atas prinsip kebebasan beragama sepatutnya kita biarkan orang Islam menganut apa sahaja fahaman atau ajaran. Kalau ada orang yang mengajar kononnya umat Islam boleh sembahyang dengan niat sahaja, tidak perlu mengerjakan solat seperti yang diajar oleh Rasulullah s.a.w., biarkan.Kerajaan tidak boleh menghalang. Kalau ada pihak yang menyebarkan ajaran kononnya orang Islam boleh mengerjakan haji dengan niat sahaja, tanpa perlu pergi ke Mekah, pun biarkan. Tiada siapa boleh menghalang.Kemudian, kalau ada pihak yang mengatakan orang Islam boleh berkahwin secara kontrak hatta untuk tempoh yang singkat sekali pun, tiada siapa boleh menegah. Kononnya agama adalah hak individu. Jika kita menghalang, mereka menuduh kita melanggar hak individu, tidak bersikap terbuka, tidak inklusif, tidak progresif dan sebagainya. Bagi mereka, atas nama kebebasan dan hak asasi, manusia boleh berbuat apa sahaja walaupun perbuatan itu jelas bercanggah dengan ajaran agama.

30.​Baru-baru ini satu pertubuhan bernama Coalition of Malaysian NGOs (COMANGO) telah menyediakan satu laporan mengenai pelbagai isu hak asasi manusia di Malaysia untuk diteliti dalam Proses Semakan Berkala Sejagat Majlis Hak Asasi Manusia di Geneva, Switzerland. Kumpulan ini telah melobi negara-negara asing supaya mendesak Malaysia mematuhi prinsip hak asasi tanpa batas. Antaranya, menandatangani International Covenant on Civil & Political Rights (ICCPR) yang mengiktiraf hak individu termasuk orang Islam untuk menukar agama.Malaysia juga digesa supaya mengiktiraf hak-hak bagi golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), selain memansuhkan undang-undang yang menjadikan hubungan seks luar tabi’i seperti liwat sebagai satu kesalahan jenayah. Mereka juga mendesak supaya enakmen-enakmen mengenai kesalahan jenayah syariah seperti khalwat, meminum arak, berjudi, mengamalkan ajaran sesat dipinda atau dimansuhkan atas alasan mengganggu hak peribadi orang Islam.

31.​Saya lihat desakan-desakan ini adalah contoh jelas kewujudan gerakan menyebarkan dakyah songsang atas nama kebebasan tanpa batas di negara kita. Kumpulan ini nampaknya mempunyai dana yang cukup besar sehingga mampu menghantar wakil-wakil mereka ke luar negara untuk melobi negara-negara asing supaya memberi tekanan kepada Malaysia. Saya nak tanya saudara-saudari yang ada di dalam dewan ini. Adakah kita rela pihak asing memaksa kita menerima konsep kebebasan yang bercanggah dengan agama kita? Adakah kita rela kebebasan tanpa batas yang sebegini rupa diamalkan di negara kita? Adakah kita mahu akidah umat Islam dipesongkan oleh mereka? Tentu sekali tidak.

32.​Saya dapat merasakan umat Islam amat resah apabila pelbagai dakyah songsang yang bertentangan dengan ajaran Islam disebarkan di negara kita. Mereka khuatir ini akan merosakkan aqidah dan perpaduan umat Islam. Kerana itu, akhir-akhir ini banyak NGO Melayu dan Islam bangkit mempertahankan aqidah umat Islam. Pertubuhan-pertubuhan seperti PEMBELA, PERKASA, Majlis Perunding Melayu, JATI, MUAFAKAT, Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Persatuan Pengguna Islam Malaysia, para ulama’, guru-guru pondok, pendakwah bebas dan pertubuhan-pertubuhan yang seangkatan bangkit memperjuangkan keselamatan aqidah umat Islam. Mereka bangkit kerana merasakan nilai-nilai murni yang diamalkan selama ini diancam oleh satu bentuk penjajahan baru. Penjajahan dalam erti kata memaksa umat Islam menerima nilai-nilai yang bercanggah dengan ajaran Islam.
33.​Di sini, di pentas ini, di depan saudara dan saudari sekalian, saya memberi jaminan UMNO tidak akan berkompromi dengan sebarang cubaan untuk mengancam aqidah umat Islam. Kita tahu bahawa sekarang ini terdapat satu bentuk cubaan yang tersusun untuk merungkai institusi dan asas-asas Islam di negara kita. Kerana itu, UMNO sebagai benteng Islam mengambil pendirian tegas menolak sekeras-kerasnya segala tuntutan yang bertentangan dengan hukum Islam.

34.​UMNO tidak akan sekali-kali menghalalkan sebarang perbuatan dosa besar kononnya atas dasar menghormati hak peribadi. Yang haram di sisi Islam tetaplah haram. Tidak ada sesiapa yang boleh mengubah hukum Allah atas apa jua alasan sekalipun. Kerana itu, UMNO mengalu-alukan pertubuhan-pertubuhan Melayu dan Islam yang lain untuk berganding bahu bersama-sama kita mempertahankan akhlak, moral dan aqidah umat Islam. Saya yakin gandingan dalam perkara yang ma’ruf ini akan memperkukuhkan lagi perjuangan menegakkan agama. 

Sepertimana firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Maaidah ayat 2:
وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰ‌ۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٲنِ‌ۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ‌ۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ
Yang bermaksud:
Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).

PENDIDIKAN ISLAM SEPANJANG HAYAT

35.​Saya percaya benteng aqidah Islam akan lebih kukuh sekiranya umat Islam mendapat pendidikan agama yang sempurna. Umat Islam di negara kita mestilah dididik dengan aqidah Islam yang sebenar berpandukan ajaran ahli sunnah wal-jamaah. Untuk itu, gerakan dakwah dan tarbiyah mesti diperhebatkan. Institusi-instiusi agama Islam mesti diperkukuhkan. Peluang untuk umat Islam mendapat pendidikan agama tidak harus terhenti di peringkat sekolah atau universiti sahaja, sebaliknya perlu diteruskan sepanjang hayat.Kerana itu saya ingin mencadangkan agar Pendidikan Islam Sepanjang Hayat dijadikan dasar utama negara kita. Menerusi dasar ini, kita boleh menubuhkan pusat-pusat pengajian Islam di peringkat komuniti yang memberi peluang kepada masyarakat Islam mendalami ilmu-ilmu agama dengan sempurna. Pakar-pakar yang terlatih dan bertauliah dalam bidang agama Islam boleh ditempatkan di pusat-pusat ini untuk mengajar pelbagai bidang keilmuan Islam seperti ilmu tafsir, qur’an, hadith, fekah, tauhid, mu’amalat, akhlaq, mantiq, balaghah, falsafah dan lain-lain. Program persijilan boleh ditawarkan kepada individu-individu yang berminat untuk mendalami ilmu Islam tanpa mengira peringkat umur. 

Sebagaimana hadis Nabi s.a.w:
“Utlubul ilma minal mahdi ila lahdi”
Yang bermaksud:
Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad

36.​Untuk melaksanakan dasar pengajian Islam sepanjang hayat ini, saya mencadangkan Kerajaan Pusat dan Majlis-Majlis Agama Islam Negeri berbincang untuk menjayakan inisiatif ini sebagai usaha bersama. Dengan adanya kerjasama antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri, saya berharap inisiatif ini akan menjadi satu inisiatif nasional yang penting dan lestari. Buat permulaan, kelas-kelas pengajian yang dianjurkan oleh institusi-institusi pondok, maahad tahfiz dan masjid di seluruh negara boleh dinaiktaraf untuk dijadikan Kolej Komuniti Islam yang menawarkan kursus pengajian Islam kepada masyarakat Islam setempat.

37.​Sehubungan ini juga, saya ingin menjemput pertubuhan-pertubuhan Islam untuk turut sama terlibat menjayakan inisiatif ini sebagai salah satu usaha ta’awanu ‘ala al-birri wal taqwa seperti yang disebut di dalam al-Qur’an. Saya berharap agar dasar ini boleh kita laksanakan dengan segera untuk memberikan pencerahan kepada umat Islam mengenai ajaran Islam yang sebenar, dan sekaligus membentengi mereka daripada pelbagai dakyah songsang yang menjejaskan aqidah umat Islam. Selain itu, bagi memastikan ajaran ahli sunnah wal jama’ah sentiasa terpelihara, saya mencadangkan agar satu jaminan terhadap aliran ahli sunnah wal jama’ah sebagai pegangan umat Islam di negara kita dimasukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

38.​Menyentuh mengenai kedudukan Islam di negara kita, saya menegaskan bahawa kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan mesti kita pertahankan. Ini penting bukan sahaja untuk mempertahankan kesucian Islam, tetapi menjamin keseimbangan dalam hubungan antara kaum dan agama. Di dalam Perlembagan Persekutuan, terdapat banyak prinsip keseimbangan yang perlu kita pertahankan. Misalnya, kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan diseimbangkan dengan hak semua individu untuk mengamalkan agama masing-masing dalam keadaan aman dan harmoni. Kedudukan istimewa kaum Melayu dan Bumiputera diseimbangkan dengan hak kerakyatan kaum-kaum lain serta jaminan menjaga kepentingan semua kaum. Kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan diseimbangkan dengan hak semua kaum untuk mempelajari bahasa ibunda masing-masing. Prinsip-prinsip keseimbangan yang terkandung di dalam Perlembagaan ini tidak semuanya selari dengan idea kebebasan Barat. Tetapi kita tidak perlu bersikap apologetik kerana prinsip-prinsip ini penting untuk menjamin keharmonian dalam hubungan antara kaum dan agama di negara kita.

39.​Kita tidak akan sekali-kali tunduk kepada tuntutan-tuntutan yang bercanggah dengan Perlembagaan seperti menghapuskan hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera, menghina agama Islam, menghina institusi Raja, tidak menghormati bahasa Melayu dan lain-lain. Jika kecenderungan merungkai asas-asas perlembagaan ini diteruskan, apa lagi dengan menuntut perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti masyarakat pelbagai kaum, nescaya akan wujud suara-suara yang lebih ekstrem menuntut bermacam-macam perkara yang boleh menyebabkan hubungan kaum di negara kita menjadi lebih tegang. Trend ini amat tidak baik untuk negara kita yang berbilang kaum dan agama. Keadaan tidak akan menjadi aman dan segala usaha kita mempertahankan kestabilan dan keharmonian negara akan menjadi sia-sia. Bak kata pepatah:
Tuba binasa
Ikan tak dapat

PEMUJAAN DEMOKRASI LIBERAL BARAT
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

40.​Cabaran nilai dan budaya yang dihadapi oleh umat Islam hari ini bukanlah sesuatu yang terpencil. Ia adalah sebahagian daripada perkembangan sejagat yang menganggap demokrasi liberal Barat sebagai satu-satunya sistem politik dan kerajaan untuk umat manusia. Bukan itu sahaja, nilai-nilai yang dibawa oleh pemikiran liberal barat juga dianggap sebagai nilai mutlak yang perlu dianuti oleh seluruh umat manusia. Seperti yang disebut oleh Francis Fukuyama di dalam bukunya “The End of History and the Last Man”, tidak ada ideologi lain yang layak menggantikan demokrasi liberal sebagai sistem politik dan kerajaan dalam evolusi sejarah manusia.

41.​Dakwaan ini nampak macam betul. Kerana menurut Laporan Freedom House 2013, sebanyak 118 daripada 195 negara di seluruh dunia sudah pun mengamalkan sistem demokrasi. Negara yang tidak mengamalkan demokrasi adalah minoriti. Namun, di dalam laporan Freedom House ini, Malaysia tidak disenaraikan sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi. Sebaliknya, negara seperti Bhutan, Georgia dan Libya pula dikatakan telah mengamalkan demokrasi, manakala Lesotho, Senegal, Sierra Leone dan Tonga telah menjadi negara bebas. Menurut laporan ini lagi, Malaysia berada sebaris dengan Rwanda, Nicaragua dan Korea Utara yang bukan merupakan negara demokrasi. Suara-suara sumbang seumpama ini boleh didapati dalam laporan-laporan mengenai hak asasi manusia yang diterbitkan oleh pertubuhan tertentu di negara kita dan juga di dalam akhbar-akhbar parti pembangkang.

42.​Tuduhan Malaysia bukan sebuah negara demokrasi bunyinya agak pelik bagi kita. Kalau boleh saya katakan pelik bin ajaib kerana negara-negara yang baru sahaja bebas daripada cengkaman diktator pun telah diberikan status negara demokrasi, sedangkan Malaysia yang sudah merdeka lebih lima dekad dan mengadakan berpuluh kali pilihan raya, termasuk pilihanraya-pilihanraya kecil, belum boleh dikatakan sebuah negara demokrasi. Apatah lagi, dengan mengambil kira program transformasi politik yang telah dimulakan oleh YAB Presiden kita selaku Perdana Menteri, ruang demokrasi di negara kita menjadi lebih luas, dengan kerajaan mengambil sikap yang lebih responsif dan terbuka dalam memenuhi kehendak rakyat.

43.​Jadi, apakah sebenarnya muslihat mereka menuduh kita tidak demokratik? Adakah terdapat udang di sebalik batu? Adakah dengan mengatakan Malaysia bukan sebuah negara demokrasi, mereka berharap kita akan mengambil tindakan tertentu untuk kononnya menjadi lebih demokratik, termasuk mengapuskan hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera, membenarkan kebebasan beragama tanpa batas diamalkan di negara kita, menghapuskan institusi raja-raja Melayu untuk menjadi negara republik sepenuhnya, dan lain-lain lagi. Sebenarnya, niat mereka ialah untuk membentuk persepsi bahawa perjuangan menegakkan agama, bangsa dan tanah air seperti yang digalas oleh UMNO sebagai satu perjuangan yang tidak releven dan sia-sia. Inilah yang cuba dibuat oleh mereka. 

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

44.​Mengapa saya bercakap agak panjang lebar mengenai soal agama dan kedudukan orang Melayu dan Bumiputera kerana inilah teras perjuangan UMNO. Umat Melayu dan Islam hari ini dilanda pelbagai ancaman secara halus yang boleh menyebabkan perbalahan, perpecahan dan penyelewengan akidah. Bagi memperkukuhkan perjuangan ini, mesti ada kesedaran, keinsafan dan kesepaduan di kalangan kita semua untuk menjadi benteng perjuangan parti kita. Jika kita gagal mengurus cabaran ini dengan betul, kita akan menerima padah perpecahan ummah yang parah.

45.​Sedarlah, UMNO adalah perisai Melayu dan benteng Islam yang sebenar. Walaupun ada sebuah parti di negara kita yang nampaknya berjuang untuk Islam, tetapi mereka seringkali terpaksa berkompromi dalam perkara-perkara asas mengenai Islam. Ini kerana parti ini bergantung kepada pihak lain untuk meraih kuasa. Oleh sebab itu, umat Islam tidak menaruh harapan yang tinggi kepada parti ini untuk memperjuangkan Islam. Sebaliknya, harapan umat Islam adalah kepada UMNO. Sebagai parti terbesar umat Melayu, parti kita tidak perlu berkompromi dalam hal agama semata-mata untuk meraih populariti dan kuasa politik.

PESANAN KEPADA WANITA, PEMUDA DAN PUTERI
Saudara-saudari yang saya hormati sekalian,

46.​Pergerakan Wanita adalah pembawa obor perjuangan UMNO. Dalam setiap medan pertempuran UMNO menghadapi pilihanraya, pergerakan Wanita setia berada di barisan paling hadapan membawa mesej parti kepada para pengundi. Pergerakan wanita sentiasa bersemangat waja merayu undi tak kira panas, hujan, ribut, taufan, mereka tetap setia berada di medan perjuangan. Wanita tidak pernah berundur walau selangkah.Orang kata, di sebalik kejayaan seorang lelaki di belakangnya adalah wanita. Maka dalam konteks parti kita, di sebalik kejayaan UMNO di belakangnya adalah pergerakan wanita kita.Selaku Timbalan Presiden parti, saya wajib memberikan pengiktirafan kepada sumbangan Wanita yang sebenarnyalah tulang belakang UMNO. Tahniah wanita!

47.​Pergerakan Pemuda dan Puteri adalah pewaris perjuangan UMNO. Masa depan perjuangan UMNO bergantung kepada citra generasi pelapis UMNO yang berada di dalam Pergerakan Pemuda dan Puteri hari ini. Jika Pemuda dan Puteri hari ini kental daya juangnya, hebat pemikirannya, kukuh imannya, kuat jatidiri Melayunya, mulia akhlaknya, saya percaya obor perjuangan UMNO akan terus menyala, dan rakyat akan terus memberikan keyakinan kepada UMNO sebagai parti tempat mereka bernaung. Inilah ciri generasi UMNO yang ingin kita lahirkan.

48.​Yang penting, kita mesti kembali memahami idealisme dan matlamat perjuangan UMNO. Kita berjuang di dalam UMNO bukan untuk UMNO, tetapi untuk orang Melayu dan Bumiputera. Apabila kita diangkat menjadi pemimpin di dalam UMNO bukan bermakna kita hanya berkhidmat untuk orang UMNO, tetapi berkhidmat untuk orang Melayu dan Bumiputera.Kita mesti ingat harapan orang Melayu dan Bumiputera yang amat tinggi kepada UMNO. Seperti yang saya sebut di awal ucapan saya, orang Melayu dan Bumiputera telah memberikan sokongan padu kepada UMNO dan mereka amat berharap kita dapat membela nasib mereka. Bila kita diberi mandat, kita melakukan yang terbaik untuk membela nasib orang Melayu dan Bumiputera, serta menjamin kaum-kaum lain juga mendapat pembelaan yang adil.

49.​Saya percaya, pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO yang merupakan tonggak kekuatan parti kita memiliki kekuatan masing-masing untuk menggalas harapan orang Melayu dan Bumiputera kepada UMNO. Tugas kita menggalas amanah besar ini insyaAllah akan menjadi lebih mudah jika kita bersatu hati, saling bantu-membantu, jujur dan ikhlas di dalam perjuangan, dan menggembeleng seluruh kekuatan kita secara bersama. Bak kata pepatah:
Yang kuat pembawa beban
Yang berani pelawan musuh
Yang cerdik pelawan perkara

50.​Saya percaya, watak-watak yang disebut di dalam peribahasa Melayu ini semuanya ada di dalam ketiga-tiga pergerakan UMNO. Yang kuat menyumbang tenaga kepada parti. Yang berani mara ke barisan paling hadapan di medan-medan pertempuran. Yang cerdik bijak berbahas, berdebat, bersyarah, berforum untuk mematahkan hujah-hujah parti lawan.

51.​Medan pertempuran kita yang seterusnya adalah PRU-14 yang pastinya lebih mencabar. Kita mesti ingat tempoh 4 tahun sebelum PRU-14 bukanlah satu jangkamasa yang panjang. Kita mesti telah pun bersedia bukan hari ini, tetapi dari semalam. Kerjasama, perpaduan dan komitmen kita semua penting untuk memastikan kemenangan UMNO dan Barisan Nasional. Jangan kita ulangi kesalahan, kesilapan dan kelemahan lampau. Bina kekuatan baru. Yang hampa biar terbang, yang bernas biar tinggal.

52.​Kita mesti lebih lantang, berani dan yakin supaya kehadiran kita lebih dirasai oleh masyarakat. Selesaikan sebarang masalah dengan segera supaya Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO benar-benar wujud sebagai pergerakan yang dihormati. Terjemahkan konsep transformasi politik sebagai hijrah minda dan sikap kepada yang lebih baik. Generasi lama di dalam UMNO telah menyumbang, yang penting ialah sumbangan generasi hari ini sebagai penyambung risalah perjuangan parti demi agama, bangsa dan tanah air kita.

53.​Orang muda lebih mengetahui kehendak generasi muda. Dekatilah mereka, bercakaplah dengan mereka, bersantailah dengan mereka. Ajaklah mereka menyertai perjuangan kita. Kita sedar bahawa UMNO yang diwujudkan enam dekad yang lalu kini berhadapan dengan pelbagai cabaran baru. Untuk terus releven, UMNO perlu sentiasa mencari pendekatan baru. Kempen membenci UMNO perlu ditangani dengan segera. Pemuda perlu berinteraksi dengan generasi muda termasuk di kampus dan kampung. Wanita perlu terus cekal dan kental dengan tradisi menawan hati dan budi wanita-wanita termasuk golongan profesional dan agamawan wanita. Puteri perlu lebih persiapan untuk menjadi rakan dan taulan buat remaja perempuan yang begitu ramai di luar sana.

54.​Saya percaya dengan kehebatan Sdr Khairy berdebat, Datuk Seri Shahrizat yang mesra, Ermi yang rajin, pasti akan membawa perubahan buat parti kita. Prinsipnya jangan undur ke belakang, jangan bergerak berseorangan, jangan teragak-agak dan jangan gentar untuk berada di barisan hadapan untuk menjulang obor perjuangan parti dan mewujudkan keterujaan baru kepada UMNO.

55.​Saya ingin mengingatkan saudara-saudari bahawa anda semua memikul tugas yang amat besar dalam menyambung risalah perjuangan suci parti. InsyaAllah, saya dan Presiden akan membantu saudara-saudari. Kalau wanita hendak menjadi tulang belakang UMNO, teruskanlah semangat itu. Yang penting wanita mampu menyahut apa jua cabaran.

56.​Pemuda dan Puteri pula wajib menjadi jurubicara umat mewakili suara orang muda. Lantanglah bersuara, beranilah membuat pendirian, muncullah di semua pentas menjuarai isu rakyat. Biarlah kehadiran Pemuda dan Puteri benar-benar dirasai dan dihargai oleh rakyat. Berusahalah dengan gigih tanpa mengenal jerit perih dalam menggalas harapan rakyat.

57.​Ingatlah, berjaya atau gagal perjuangan kita sebahagian besarnya terletak di atas bahu saudara-saudari semua. Maka seharusnya saudara-saudari sudah lebih daripada bersedia untuk menyahut cabaran besar ini. Akhirnya, berdoa dan bertawakkallah kepada Allah. Mudah-mudahan, Allah s.w.t memberkati perjuangan kita dan memberikan kita kemenangan.

Kita sudah tiada masa
Majulah dengan gagah perkasa
Janganlah terlalai teruskan usaha
Melayukan gagah di Nusantara

Faiza azamta fa tawakkal ala Allah
Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Perhimpunan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2013.
Hidup UMNO! Hidup UMNO! Hidup UMNO!
Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar! Walillahilhamd.

Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamu’alaikum warahmatullahi wa barakatuh.

HAYATI DAN LAKASANAKANNYA!!!