TIMBALAN PRESIDEN UMNO
DI MAJLIS PERASMIAN PERHIMPUNAN PERGERAKAN WANITA, PEMUDA DAN PUTERI UMNO 2013
“MENYAMBUNG RISALAH PERJUANGAN SUCI”
Bismillahirrahmanirrahim.
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدِ، الْفَاتِحِ لِمَا
أُغْلِقَ وَالْخَاتِمِ لِمَا سَبَقَ، نَاصِرِ الْحَقِّ بِالْحَقِّ،
وَالْهَادِي إِلَى صِرَاطِكَ الْمُسْتَقِيْمِ وَعَلىَ آلِهِ
حَقَّ قَدْرِهِ
وَمِقْدَارِهِ العَظِيْمِ
Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.
YB Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil
Ketua Pergerakan Wanita
Ketua Pergerakan Wanita
YB Sdr. Khairy Jamaluddin
Ketua Pergerakan Pemuda
Ketua Pergerakan Pemuda
YB Mas Ermieyati Samsudin
Ketua Pergerakan Puteri
Ketua Pergerakan Puteri
YB Naib-Naib Presiden UMNO
YB Setiausaha Agung UMNO
Ahli-ahli Majlis Tertinggi
Barisan Exco Wanita, Pemuda dan Puteri
Saudara-saudari sidang perwakilan, dif-dif jemputan dan para pemerhati sekalian
1.Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah s.w.t. kerana pada
malam ini kita dapat berhimpun untuk menyempurnakan Majlis Perasmian
Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2013. Untuk
kesekian kalinya, kita pewaris perjuangan bangsa Melayu sejak turun
temurun meneruskan tradisi menghadiri perhimpunan terbesar umat Melayu
demi menyambung risalah perjuangan memartabatkan agama, bangsa dan tanah
air kita.
2.Setinggi-tinggi kesyukuran juga kita panjatkan ke hadrat Allah
s.w.t. kerana kita menjadi insan yang terpilih untuk berada di dalam saf
perjuangan UMNO. Melalui wadah UMNO, para pejuang bangsa kita yang
terdahulu telah berjaya menyatukan hati umat Melayu untuk memerdekakan
tanahair dan seterusnya menggembeleng usaha mengangkat martabat agama
dan bangsa kita.Semua pejuang UMNO yang berada di sini pada malam ini,
dan di seluruh pelusuk negara, merupakan penyambung risalah perjuangan
suci ini.Dalam mengemudi haluan perjuangan parti kita, yang kita
harapkan hanyalah pertolongan dan redha Allah jua. Sepertimana firman
Allah s.w.t. dalam Surah Al-Ankabut, Ayat 69:
وَٱلَّذِينَ جَـٰهَدُواْ فِينَا لَنَہۡدِيَنَّہُمۡ سُبُلَنَاۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلۡمُحۡسِنِينَ
Yang bermaksud:
Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana
memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke
jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh
keredaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah
berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.
3.Terlebih dahulu, di awal ucapan ini saya ingin mengambil
kesempatan untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada barisan
kepimpinan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO yang telah dipilih untuk
menerajui ketiga-tiga sayap parti dalam pemilihan baru-baru ini. Saya
ucapkan tahniah kepada Datuk Seri Shahrizat, Khairy dan Mas
Ermiyati.Marilah kita berikan tepukan gemuruh kepada mereka.Saya juga
ingin mengucapkan tahniah kepada seluruh barisan exco Pemuda, Wanita dan
Puteri serta kepimpinan ketiga-tiga pergerakan di peringkat bahagian
dan cawangan.
4.Kita bersyukur kerana proses pemilihan parti kita telah berjalan
lancar tanpa sebarang musibah. Saya yakin, pemilihan UMNO yang
melibatkan ratusan ribu perwakilan di seluruh negara membuktikan bahawa
proses transformasi UMNO menjadi parti yang lebih demokratik, telus dan
terbuka semakin berhasil. Menerusi pemilihan yang lalu, kita semua dapat
saksikan bahawa amalan demokrasi di dalam parti kita terus subur, malah
jauh lebih baik berbanding parti pembangkang.
5.Ada sebuah parti di negara kita yang sering menuduh kononnya UMNO
tidak demokratik, tidak telus dan menipu semasa pilihan raya. Parti ini
gemar mendabik dada dialah juara demokrasi, akauntabiliti, ketelusan,
kecekapan dan bermacam-macam lagi.Kononnya dialah parti yang terbaik di
negara ini.Tetapi Allah Maha Berkuasa. Baru-baru ini ditunjukkan
tembelang sebenar parti ini yang terpaksa mengadakan semula pemilihan
Jawatankuasa Eksekutif Pusat kerana didakwa oleh ahli mereka sendiri
terdapat penipuan dalam proses pengundian. Lebih teruk lagi, pemilihan
kali kedua pun masih dipertikaikan. Bak kata pepatah:
Paku dulang paku serpih
Mengata orang dia yang lebih
Mengata orang dia yang lebih
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
6.Perhimpunan tahun ini amat istimewa kerana diadakan selepas kita
mencapai kemenangan dalam Pilihanraya Umum ke-13. Setahun yang lalu di
dewan inilah kita bulatkan tekad, jitukan semangat dan panjatkan doa
kepada Allah untuk memenangi pilihanraya umum yang dikatakan amat
mencabar bagi kita. Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah s.w.t.
kerana doa kita telah dikabulkan olehNya dan ikhtiar kita telah
mendatangkan kejayaan yang amat bermakna buat kita semua.
7.Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih dan
tahniah kepada seluruh jentera Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO yang telah
berusaha dengan gigih untuk memastikan kemenangan UMNO dan Barisan
Nasional. Kita berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang terus
memberikan mandat kepada Barisan Nasional untuk mentadbir negara. Kepada
orang Melayu dan Bumiputera khususnya, kita amat berterima kasih kerana
dengan sokongan padu mereka kepada UMNO, parti kita telah berjaya
menambah kerusi di Parlimen daripada 79 kepada 88 kerusi kesemuanya.
Dengan kemenangan ini, UMNO adalah parti yang memenangi jumlah kerusi
terbanyak dalam pilihanraya. Alhamdulillah, berkat sokongan padu orang
Melayu dan Bumiputera kepada UMNO, parti kita kekal menjadi tonggak
kekuatan Barisan Nasional.
8.Tidak kita nafikan bahawa PRU-13 merupakan suatu pentas jihad
untuk memastikan kelangsungan perjuangan UMNO demi agama, bangsa dan
negara kita. Alhamdulillah, kita telah berjaya menjulang panji
kemenangan di medan jihad ini. Walaupun berhadapan dengan pelbagai
tohmahan dan pembohongan yang dilemparkan oleh pembangkang, termasuk
oleh konco-konco mereka dari dalam dan luar negara, UMNO dan Barisan
Nasional terus berdiri megah sebagai parti yang mendapat mandat rakyat
untuk memerintah.
9.Kita sedar dalam pilihanraya yang lalu, UMNO bukan sahaja
berhadapan dengan serangan parti pembangkang, malah belasahan gerombolan
kuasa jahat yang mahu melihat parti keramat orang Melayu dan umat Islam
ini berkubur di tanah air sendiri. Namun, berpantang maut sebelum ajal,
dengan rahmat dan inayah Allah s.w.t. kita berjaya mempertahankan
kelangsungan UMNO.
10.Di sebalik kejayaan memenangi PRU-13, jangan kita lalai dan leka.
Kemenangan UMNO dan Barisan Nasional adalah kemenangan bersyarat. UMNO
berjaya menambah bilangan kerusi di Parlimen, tetapi Barisan Nasional
mengalami kekurangan sokongan terutamanya dalam kalangan pengundi muda
dan pengundi bandar. Kita berjaya memenangi semula negeri Kedah dan
mengekalkan pentadbiran negeri Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor,
Pahang, Terengganu, Perlis dan Sabah, tetapi kita gagal memenangi Pulau
Pinang, Selangor dan Kelantan. Bilangan kerusi kita di negeri-negeri
kubu kuat UMNO seperti Johor dan Melaka juga berkurangan.
11.UMNO perlu memahami mesej jelas yang cuba dihantar oleh para
pengundi. Kita perlu bermuhasabah secara jujur dan ikhlas untuk
mengetahui sebab-musabab mengapa sokongan pengundi bandar dan golongan
muda terhadap parti kita tidak seperti yang diharapkan. Apakah selama
ini sentuhan UMNO tidak begitu dirasai oleh mereka? Mungkinkah terdapat
kelemahan-kelemahan yang perlu kita perbaiki? Apakah bentuk
penambahbaikan yang perlu kita laksanakan? Setidak-tidaknya, para
pengundi telah menghantar mesej jelas kepada UMNO bahawa transformasi
UMNO sebagai parti yang benar-benar merasai denyut nadi rakyat dan
berupaya menggalas harapan rakyat mesti diteruskan.
12.Bagi orang Melayu dan Bumiputera pula, mereka telah buktikan
bahawa sokongan padu merekalah yang menjadi sumber kekuatan UMNO dan
Barisan Nasional. Harapan mereka kepada UMNO semakin tinggi dan mereka
mahu sokongan kepada UMNO tidak disia-siakan. Mereka ingin melihat UMNO
terus menjadi penyelamat Melayu dan perisai Islam yang sejati. Bagi
orang Melayu dan Bumiputera, UMNO lah tempat mereka bernaung. Bak kata
pepatah:
Uratnya tempat bersila
Batangnya tempat bersandar
Daunnya tempat berteduh
Batangnya tempat bersandar
Daunnya tempat berteduh
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
13.Persoalan yang sedang berlegar di minda orang Melayu selepas
PRU-13 ialah kemanakah halatuju UMNO? Apakah UMNO akan terus berusaha
untuk meningkatkan taraf ekonomi orang Melayu dan Bumiputera? Apakah
UMNO akan terus berikhtiar menyediakan peluang-peluang pendidikan,
latihan dan biasiswa kepada orang Melayu dan Bumiputera? Apakah UMNO
akan terus berjuang menyediakan peluang-peluang ekonomi dan pekerjaan
kepada anak-anak orang Melayu dan Bumiputera? Bagaimanakah UMNO
berhadapan dengan cabaran liberalisasi ekonomi dan pasaran bebas? Masih
adakah iltizam politik UMNO untuk membantu orang Melayu dan Bumiputera
bersaing dalam kancah ekonomi global? Masih adakah kekuatan pada UMNO
untuk memastikan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan membantu
syarikat-syarikat Bumiputera? Apakah orang Melayu masih boleh bergantung
harap kepada UMNO untuk menjadi penyelamat Melayu dan perisai Islam?
14.Di pentas ini, saya ingin memberi jaminan kepada orang Melayu dan
Bumiputera. UMNO akan terus membela anda semua. Selama ini pun, berkat
perjuangan UMNO, taraf ekonomi orang Melayu dan Bumiputera telah berjaya
kita tingkatkan. Kadar kemiskinan Bumiputera menurun daripada 64.8%
pada tahun 1970 kepada 2.2% pada tahun 2012. Insiden kemiskinan tegar
Bumiputera juga telah menurun daripada 9.9% pada tahun 1970 kepada 0.3%
pada tahun 2012. Dalam tempoh yang sama, purata pendapatan kasar bulanan
isirumah Bumiputera telah meningkat daripada RM172 kepada RM4,457, dan
pemilikan ekuiti Bumiputera telah bertambah daripada 2.4% kepada 23.5%.
15.Risalah perjuangan UMNO untuk meningkatkan penyertaan Bumiputera
dalam bidang ekonomi terus diperhebatkan dengan pelaksanaan Agenda
Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang telah dilancarkan oleh YAB Perdana
Menteri baru-baru ini. Melalui program terbaru ini, kerajaan akan
memberi tumpuan kepada usaha mendaya modal insan Bumiputera, memantapkan
pemilikan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat, memperkukuhkan
pemilikan aset bukan kewangan Bumiputera, memperhebatkan keusahawanan
dan perniagaan Bumiputera, dan memantapkan ekosistem penyampaian
perkhidmatan untuk membantu golongan Bumiputera.
16.Kita mengucapkan syabas kepada YAB Presiden selaku Perdana
Menteri atas komitmen dan usaha beliau untuk memperkasa ekonomi
Bumiputera. Ketegasan YAB Perdana Menteri memperkasa ekonomi Bumiputera
menambah keyakinan orang Melayu dan Bumiputera kepada UMNO. Melangkah ke
hadapan, kita perlu menjadikan agenda memperkasa ekonomi Bumiputera
sebagai satu agenda besar yang bertujuan meningkatkan ekonomi Bumiputera
dalam pelbagai bidang. Selain memberi tumpuan kepada pemilikan ekuiti
dalam sektor korporat, pembangunan modal insan dan keusahawanan, dan
pemilikan hartanah Bumiputera, kita perlu terus berikhtiar memajukan
sektor-sektor ekonomi yang mempunyai impak besar kepada orang Melayu dan
Bumiputera. Ini termasuk memperkasa sektor pertanian, perikanan dan
ekonomi luar bandar yang mempunyai kesan langsung kepada orang Melayu
dan Bumiputera.
17. Di samping meneruskan usaha-usaha membasmi kemiskinan di luar
bandar, program-program kesejahteraan bandar juga perlu berfokus kepada
usaha meningkatkan kualiti hidup golongan Bumiputera kelas pertengahan
dan mudah miskin. Mereka ini semakin hari semakin dihimpit oleh kos sara
hidup yang kian meningkat. Kita mahu peningkatan taraf ekonomi dan
kesejahteraan orang Melayu dan Bumiputera bukan sahaja diukur dari segi
peningkatan angka-angka pemilikan ekuiti dan pendapatan perkapita,
tetapi benar-benar dirasai dalam kehidupan seharian mereka.
18.Secara khusus, 7 inisiatif utama hendaklah dilaksanakan segera
untuk menyokong pelaksanaan Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera:
Pertama, selaras dengan KPI yang telah ditetapkan, Ketua-Ketua Eksekutif Syarikat-Syarikat Berkaitan Kerajaan hendaklah menyediakan pelan lengkap bagaimana untuk membantu syarikat-syarikat Bumiputera. Senaraikan peluang-peluang yang boleh direbut oleh syarikat-syarikat Bumiputera dan kemukakan laporan prestasi secara berkala kepada Majlis Ekonomi Bumiputera.
Kedua, anak-anak Bumiputera mesti segera merebut peluang menyertai pelbagai latihan peningkatan kemahiran yang disediakan oleh kerajaan. Ini termasuk pendidikan vokasional yang merupakan salah satu teras di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang menjadi asas pembentukan modal insan berkemahiran. Menerusi transformasi pendidikan vokasional, bilangan kolej-kolej vokasional akan ditambah untuk melahirkan lebih ramai tenaga kerja Bumiputera yang berkemahiran, memenuhi kehendak pasaran dan berpendapatan tinggi. Penambahan kolej-kolej vokasional harus disegerakan bagi memenuhi permintaan yang semakin tinggi dalam kalangan pelajar-pelajar Bumiputera untuk mengikuti latihan vokasional.
Ketiga, kerajaan hendaklah mempergiatkan usaha meningkatkan peratusan golongan profesional Melayu dan Bumiputera dalam pelbagai bidang. Sehingga kini kerajaan telah berjaya meningkatkan jumlah tenaga profesional Melayu dan Bumiputra menerusi skim latihan dan pendidikan tinggi sehingga peratusan mereka telah menjangkau 40-50% dalam pekerjaan profesional seperti doktor perubatan, doktor gigi, doktor veterinar, jurutera dan juruukur. Usaha ini hendaklah diteruskan dalam semua bidang profesional sehingga peratusan Melayu dan Bumiputra mencerminkan peratusan mereka dalam jumlah penduduk Negara.
Keempat, peniaga dan pengusaha Melayu dan Bumiputera mesti meningkatkan daya saing serta bersedia menghadapi persekitaran perniagaan yang mesra-pasaran. Oleh itu, orang Melayu dan Bumiputera mesti menerima prinsip ketelusan dan persaingan untuk menikmati bantuan kerajaan dan merebut pelbagai peluang yang tersedia. Ini bertujuan supaya peniaga dan pengusaha Melayu lebih bersedia untuk menangani cabaran globalisasi dan pembukaan pasaran yang semakin mendesak ketika ini. Di samping itu, isu ketirisan dan pembaziran juga perlu diatasi untuk meningkatkan keberkesanan usaha membantu golongan Bumiputera.
Kelima, bagi mengukuhkan lagi kemajuan ekonomi orang Melayu dan Bumiputera kerajaan mestilah meneruskan usaha membantu dan memajukan aset-aset kaum Melayu dan Bumiputra seperti tanah dan tabungan untuk melengkapkan usaha lain yang selama ini telah dilaksanakan. Usaha ini memerlukan sokongan yang padu dari kaum Melayu dan Bumiputera agar pihak Kerajaan dapat mengadakan program yang lebih mantap dan sesuai sebagai inisiatif baru di masa hadapan.
Keenam, kerajaan harus meneruskan usaha memenuhi tuntutan kebajikan dan kesejahteraan masyarakat Melayu dan Bumiputera, baik di kota mahupun di desa. Bagi meningkatkan kesejahteraan masyarakat Bumiputera di kota, skim perumahan mampu milik perlu diperluaskan dengan segera di samping memperkenalkan skim rumah mampu sewa.
Ketujuh, bagi mengatasi masalah peningkatan kos hidup, lebih banyak program menjana pendapatan mesti dilaksanakan, terutamanya di kawasan luar Bandar dan kawasan miskin Bandar. Kerajaan mesti memperluaskan industri berasaskan pertanian dengan pelbagai bentuk sokongan dan bantuan seperti pinjaman modal dan latihan, memperkasa industri kecil dan sederhana, serta membantu peniaga-peniaga kecil, petani dan nelayan. Agensi-agensi yang menyediakan kemudahan pembiayaan, hendaklah mempermudahkan pemberian pembiayaan kepada usahawan dan peniaga Bumiputera yang layak. Selain itu, pihak-pihak berkuasa tempatan hendaklah mempermudahkan pemberian lesen kepada peniaga-peniaga kecil. Saya menyarankan agar Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri, khususnya Biro Ekonomi, bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan untuk mempelopori usaha membantu usahawan dan peniaga Bumiputera meningkatkan pendapatan.
19.Kesemua inisiatif ini disediakan oleh kerajaan yang diterajui
oleh UMNO untuk membantu golongan Bumiputera. Oleh itu, UMNO mesti
mengambil peranan yang lebih penting untuk menggalakkan lebih ramai
Bumiputera merebut peluang-peluang yang disediakan oleh kerajaan.
Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri wajib melaksanakan pelbagai
inisiatif tambahan untuk menyokong usaha kerajaan memacu ekonomi
Bumiputera. Kita telah meletakkan sasaran Malaysia menjadi negara maju
menjelang tahun 2020. Kita hanya tinggal 6 tahun sahaja lagi. Masa amat
mencemburui kita. Apa makna kita menjadi negara maju jika orang Melayu
dan Bumiputera tidak mendapat bahagian yang adil dan setimpal dalam kek
ekonomi negara.
Nenek moyang kaya raya
Tergadai seluruh harta benda
Akibat sengketa sesamalah kita
Cinta lenyap di arus zaman
Tergadai seluruh harta benda
Akibat sengketa sesamalah kita
Cinta lenyap di arus zaman
Indahnya bumi kita ini
Warisan berkurun lamanya
Hasil mengalir ke tangan yang lain
Pribumi merintih sendiri
Warisan berkurun lamanya
Hasil mengalir ke tangan yang lain
Pribumi merintih sendiri
Kini kita cuma tinggal kuasa
Yang akan menentukan bangsa
Bersatulah hati bersama berbakti
Pulih kembali harga diri
Yang akan menentukan bangsa
Bersatulah hati bersama berbakti
Pulih kembali harga diri
PENEGASAN UMNO
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
20.Perjuangan membela nasib Melayu dan Bumiputera masih belum
selesai. UMNO tidak akan mengabaikan kepentingan ekonomi orang Melayu
dan Bumiputera. UMNO akan terus mendukung tugas besar ini selagi UMNO
wujud dan mendapat sokongan rakyat. Kesemua ini adalah bukti komitmen
UMNO untuk terus membela orang Melayu dan Bumiputera.Justeru, kepada
mereka yang meragui ketegasan UMNO mempertahankan agenda Bumiputera,
katakan kepada mereka UMNO bukan parti picisan yang mudah tenggelam
dalam arus perubahan. UMNO sebagai parti terbesar umat Melayu akan terus
menggalas agenda memperkasa bangsa Melayu dan Bumiputera tanpa rasa
takut atau gentar. UMNO juga bukan parti jumud yang kekal di takuk
lama.Kita sentiasa mengharungi arus perubahan sambil menggalas agenda
perjuangan.
21.Melihat ke hadapan, menggalas harapan umat Melayu kepada UMNO
bukanlah satu tugas yang mudah. Lebih-lebih lagi ketika umat Islam
sedang menghadapi pelbagai cabaran. Di pentas dunia, negara-negara Islam
adalah antara negara yang paling banyak dilanda pergolakan dan
pertumpahan darah. Ketika krisis di Palestin belum selesai, kita
dikejutkan pula dengan tragedi di Syria, Mesir, Tunisia, Libya dan
negara-negara Islam yang lain. Bunuh-membunuh sesama umat Islam
disebabkan perbalahan kabilah, perbezaan mazhab dan perebutan kuasa
politik menjadi semakin lumrah.
22.Alhamdulillah, kita di Malaysia tidak mengalami krisis seperti
ini. Negara kita terus stabil. Rakyat hidup dalam keadaan yang aman dan
tenteram. Namun, jika bibit-bibit perpecahan dalam kalangan umat Islam
samada yang disebabkan oleh perseteruan politik atau perbezaan mazhab
tidak segera dibendung, tidak mustahil kita juga akan ditimpa nasib yang
sama. Kita berdoa kepada Allah s.w.t. mudah-mudahan kita semua dijauhi
daripada musibah ini.
PERPADUAN UMMAH
23.Justeru, tugas utama UMNO adalah untuk memastikan perpaduan ummah
sentiasa terpelihara. Untuk itu, UMNO akan terus berganding bahu dengan
pertubuhan-pertubuhan Melayu dan Islam untuk mempelopori usaha
penyatuan ummah dalam ertikata yang sebenar. Pintu UMNO sentiasa terbuka
luas untuk menyahut seruan perpaduan dan kerjasama dengan semua
pertubuhan Melayu dan Islam.Inilah yang menjadi harapan umat Melayu dan
Islam di negara kita. Mereka mahu melihat perpaduan ummah yang lebih
jitu terbina kerana dengan perpaduanlah kepentingan umat Islam akan
sentiasa dapat dibela.
24.Maka, sebagai parti yang memperjuangkan Islam, saya merasakan
tidak sepatutnya ada tembok pemisah antara UMNO dan
pertubuhan-pertubuhan Islam yang lain untuk membentuk kerjasama dan
membina perpaduan yang lebih jitu berasaskan semangat persaudaraan di
dalam Islam demi memastikan kepentingan Islam sentiasa terbela. Saya
yakin, jika ditanya setiap seorang yang ada di dalam dewan ini pada
malam ini, pastinya kita semua bersetuju bahawa tiada yang paling utama
bagi kita umat Islam yang berpegang dengan ajaran ahli sunnah wal jamaah
melainkan perpaduan di atas jalan Allah yang lurus.
Sepertimana firman
Allah s.w.t. dalam Surah Al-An’am ayat 153:
وَأَنَّ هَـٰذَا صِرَٲطِى مُسۡتَقِيمً۬ا فَٱتَّبِعُوهُۖ وَلَا
تَتَّبِعُواْ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمۡ عَن سَبِيلِهِۦۚ ذَٲلِكُمۡ
وَصَّٮٰكُم بِهِۦ لَعَلَّڪُمۡ تَتَّقُونَ
Yang bermaksud:
Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (agama Islam) yang betul
lurus, maka hendaklah kamu menurutnya dan janganlah kamu menurut
jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu)
mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah
Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertakwa.
CABARAN TERHADAP UMAT ISLAM
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
25.Perpaduan ummah menjadi lebih penting ketika umat Islam di
seluruh dunia sedang menghadapi pelbagai cabaran. Umat Islam bukan
sahaja dilanda krisis dan pertumpahan darah, malah diasak dengan
pelbagai serangan minda dan jiwa. Kononnya atas nama globalisasi, hak
asasi dan demokrasi, umat Islam dipaksa menerima konsep kebebasan
individu tanpa batas, mengiktiraf perkahwinan sejenis, perkahwinan
berlainan agama, hak untuk murtad, amalan ajaran sesat, gaya hidup gay
dan lesbian serta pelbagai budaya songsang yang lain. Malah, dalam dunia
hari ini, prinsip kebebasan individu yang tidak berteraskan nilai agama
dan budaya dijadikan penandaaras moral di peringkat global.
26.Jika dipenuhi kesemua tuntutan hak asasi tanpa batas ini,
kesucian institusi keluarga sudah tidak dapat dipertahankan lagi. Malah,
keruntuhan institusi keluarga dan akhlak insan pasti terjadi. Ini amat
berbeza sekali dengan pandangan Islam mengenai hak asasi manusia.
Deklarasi Cairo Mengenai Hak Asas Manusia Dalam Islam yang diisytiharkan
semasa Persidangan Menteri-Menteri Luar OIC pada tahun 1990 mengiktiraf
institusi keluarga sebagai tiang seri masyarakat dan perkahwinan yang
sah sebagai asas pembentukannya. Keselamatan akidah umat Islam juga
dipelihara dengan tidak mengiktiraf kesalahan murtad sebagai suatu hak.
Kandungan Deklarasi Cairo ini perlu dijadikan panduan oleh negara-negara
Islam dalam menghadapi kumpulan hak asasi manusia yang mendesak supaya
umat Islam mengiktiraf hak-hak yang bercanggah dengan prinsip Islam.
27.Malangnya, ada sesetengah pihak di negara kita yang mengatakan
bahawa orang Melayu yang beragama Islam wajar diberikan hak untuk murtad
sepertimana orang bukan Islam boleh menukar agama. Mereka persoalkan
mengapa perlu dibezakan hak orang Islam dengan hak orang bukan Islam.
Kalau orang bukan Islam boleh, mengapa orang Islam tidak boleh? Mengapa
kita mendiskriminasi orang Islam? Mereka menuduh kononnya kita tidak
mengamalkan prinsip kesamarataan atau equality yang menjadi perkara asas
dalam sebuah masyarakat yang demokratik.
28.Begitu juga dengan amalan gay dan lesbian. Mereka berkata kalau
di Barat boleh, mengapa di Malaysia tidak boleh? Apa istimewanya
Malaysia sehinggakan perkara yang diamalkan di Barat tidak boleh
diamalkan di sini? Apabila mereka hendak menganjurkan festival gay di
negara kita, kerajaan tidak benarkan kerana kita hendak menjaga
masyarakat kita daripada keruntuhan moral dan akhlak.
29.Kita juga tidak membenarkan penularan ajaran sesat di kalangan
umat Islam. Kita hendak pastikan umat Islam di negara kita tidak
terpesong daripada ajaran Islam yang sebenar.Kita hendak menjaga akidah
umat Islam. Tetapi mereka berkata atas prinsip kebebasan beragama
sepatutnya kita biarkan orang Islam menganut apa sahaja fahaman atau
ajaran. Kalau ada orang yang mengajar kononnya umat Islam boleh
sembahyang dengan niat sahaja, tidak perlu mengerjakan solat seperti
yang diajar oleh Rasulullah s.a.w., biarkan.Kerajaan tidak boleh
menghalang. Kalau ada pihak yang menyebarkan ajaran kononnya orang Islam
boleh mengerjakan haji dengan niat sahaja, tanpa perlu pergi ke Mekah,
pun biarkan. Tiada siapa boleh menghalang.Kemudian, kalau ada pihak yang
mengatakan orang Islam boleh berkahwin secara kontrak hatta untuk
tempoh yang singkat sekali pun, tiada siapa boleh menegah. Kononnya
agama adalah hak individu. Jika kita menghalang, mereka menuduh kita
melanggar hak individu, tidak bersikap terbuka, tidak inklusif, tidak
progresif dan sebagainya. Bagi mereka, atas nama kebebasan dan hak
asasi, manusia boleh berbuat apa sahaja walaupun perbuatan itu jelas
bercanggah dengan ajaran agama.
30.Baru-baru ini satu pertubuhan bernama Coalition of Malaysian NGOs
(COMANGO) telah menyediakan satu laporan mengenai pelbagai isu hak
asasi manusia di Malaysia untuk diteliti dalam Proses Semakan Berkala
Sejagat Majlis Hak Asasi Manusia di Geneva, Switzerland. Kumpulan ini
telah melobi negara-negara asing supaya mendesak Malaysia mematuhi
prinsip hak asasi tanpa batas. Antaranya, menandatangani International
Covenant on Civil & Political Rights (ICCPR) yang mengiktiraf hak
individu termasuk orang Islam untuk menukar agama.Malaysia juga digesa
supaya mengiktiraf hak-hak bagi golongan lesbian, gay, biseksual dan
transgender (LGBT), selain memansuhkan undang-undang yang menjadikan
hubungan seks luar tabi’i seperti liwat sebagai satu kesalahan jenayah.
Mereka juga mendesak supaya enakmen-enakmen mengenai kesalahan jenayah
syariah seperti khalwat, meminum arak, berjudi, mengamalkan ajaran sesat
dipinda atau dimansuhkan atas alasan mengganggu hak peribadi orang
Islam.
31.Saya lihat desakan-desakan ini adalah contoh jelas kewujudan
gerakan menyebarkan dakyah songsang atas nama kebebasan tanpa batas di
negara kita. Kumpulan ini nampaknya mempunyai dana yang cukup besar
sehingga mampu menghantar wakil-wakil mereka ke luar negara untuk melobi
negara-negara asing supaya memberi tekanan kepada Malaysia. Saya nak
tanya saudara-saudari yang ada di dalam dewan ini. Adakah kita rela
pihak asing memaksa kita menerima konsep kebebasan yang bercanggah
dengan agama kita? Adakah kita rela kebebasan tanpa batas yang sebegini
rupa diamalkan di negara kita? Adakah kita mahu akidah umat Islam
dipesongkan oleh mereka? Tentu sekali tidak.
32.Saya dapat merasakan umat Islam amat resah apabila pelbagai
dakyah songsang yang bertentangan dengan ajaran Islam disebarkan di
negara kita. Mereka khuatir ini akan merosakkan aqidah dan perpaduan
umat Islam. Kerana itu, akhir-akhir ini banyak NGO Melayu dan Islam
bangkit mempertahankan aqidah umat Islam. Pertubuhan-pertubuhan seperti
PEMBELA, PERKASA, Majlis Perunding Melayu, JATI, MUAFAKAT, Persatuan
Peguam Muslim Malaysia, Persatuan Pengguna Islam Malaysia, para ulama’,
guru-guru pondok, pendakwah bebas dan pertubuhan-pertubuhan yang
seangkatan bangkit memperjuangkan keselamatan aqidah umat Islam. Mereka
bangkit kerana merasakan nilai-nilai murni yang diamalkan selama ini
diancam oleh satu bentuk penjajahan baru. Penjajahan dalam erti kata
memaksa umat Islam menerima nilai-nilai yang bercanggah dengan ajaran
Islam.
33.Di sini, di pentas ini, di depan saudara dan saudari sekalian,
saya memberi jaminan UMNO tidak akan berkompromi dengan sebarang cubaan
untuk mengancam aqidah umat Islam. Kita tahu bahawa sekarang ini
terdapat satu bentuk cubaan yang tersusun untuk merungkai institusi dan
asas-asas Islam di negara kita. Kerana itu, UMNO sebagai benteng Islam
mengambil pendirian tegas menolak sekeras-kerasnya segala tuntutan yang
bertentangan dengan hukum Islam.
34.UMNO tidak akan sekali-kali menghalalkan sebarang perbuatan dosa
besar kononnya atas dasar menghormati hak peribadi. Yang haram di sisi
Islam tetaplah haram. Tidak ada sesiapa yang boleh mengubah hukum Allah
atas apa jua alasan sekalipun. Kerana itu, UMNO mengalu-alukan
pertubuhan-pertubuhan Melayu dan Islam yang lain untuk berganding bahu
bersama-sama kita mempertahankan akhlak, moral dan aqidah umat Islam.
Saya yakin gandingan dalam perkara yang ma’ruf ini akan memperkukuhkan
lagi perjuangan menegakkan agama.
Sepertimana firman Allah s.w.t dalam
Surah Al-Maaidah ayat 2:
وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ
عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٲنِۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ
شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ
Yang bermaksud:
Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan
bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa
(maksiat) dan pencerobohan dan bertakwalah kepada Allah, kerana
sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar
perintahNya).
PENDIDIKAN ISLAM SEPANJANG HAYAT
35.Saya percaya benteng aqidah Islam akan lebih kukuh sekiranya umat
Islam mendapat pendidikan agama yang sempurna. Umat Islam di negara
kita mestilah dididik dengan aqidah Islam yang sebenar berpandukan
ajaran ahli sunnah wal-jamaah. Untuk itu, gerakan dakwah dan tarbiyah
mesti diperhebatkan. Institusi-instiusi agama Islam mesti diperkukuhkan.
Peluang untuk umat Islam mendapat pendidikan agama tidak harus terhenti
di peringkat sekolah atau universiti sahaja, sebaliknya perlu
diteruskan sepanjang hayat.Kerana itu saya ingin mencadangkan agar
Pendidikan Islam Sepanjang Hayat dijadikan dasar utama negara kita.
Menerusi dasar ini, kita boleh menubuhkan pusat-pusat pengajian Islam di
peringkat komuniti yang memberi peluang kepada masyarakat Islam
mendalami ilmu-ilmu agama dengan sempurna. Pakar-pakar yang terlatih dan
bertauliah dalam bidang agama Islam boleh ditempatkan di pusat-pusat
ini untuk mengajar pelbagai bidang keilmuan Islam seperti ilmu tafsir,
qur’an, hadith, fekah, tauhid, mu’amalat, akhlaq, mantiq, balaghah,
falsafah dan lain-lain. Program persijilan boleh ditawarkan kepada
individu-individu yang berminat untuk mendalami ilmu Islam tanpa mengira
peringkat umur.
Sebagaimana hadis Nabi s.a.w:
“Utlubul ilma minal mahdi ila lahdi”
Yang bermaksud:
Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad
36.Untuk melaksanakan dasar pengajian Islam sepanjang hayat ini,
saya mencadangkan Kerajaan Pusat dan Majlis-Majlis Agama Islam Negeri
berbincang untuk menjayakan inisiatif ini sebagai usaha bersama. Dengan
adanya kerjasama antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri, saya
berharap inisiatif ini akan menjadi satu inisiatif nasional yang penting
dan lestari. Buat permulaan, kelas-kelas pengajian yang dianjurkan oleh
institusi-institusi pondok, maahad tahfiz dan masjid di seluruh negara
boleh dinaiktaraf untuk dijadikan Kolej Komuniti Islam yang menawarkan
kursus pengajian Islam kepada masyarakat Islam setempat.
37.Sehubungan ini juga, saya ingin menjemput pertubuhan-pertubuhan
Islam untuk turut sama terlibat menjayakan inisiatif ini sebagai salah
satu usaha ta’awanu ‘ala al-birri wal taqwa seperti yang disebut di
dalam al-Qur’an. Saya berharap agar dasar ini boleh kita laksanakan
dengan segera untuk memberikan pencerahan kepada umat Islam mengenai
ajaran Islam yang sebenar, dan sekaligus membentengi mereka daripada
pelbagai dakyah songsang yang menjejaskan aqidah umat Islam. Selain itu,
bagi memastikan ajaran ahli sunnah wal jama’ah sentiasa terpelihara,
saya mencadangkan agar satu jaminan terhadap aliran ahli sunnah wal
jama’ah sebagai pegangan umat Islam di negara kita dimasukkan di dalam
Perlembagaan Persekutuan.
38.Menyentuh mengenai kedudukan Islam di negara kita, saya
menegaskan bahawa kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan mesti kita
pertahankan. Ini penting bukan sahaja untuk mempertahankan kesucian
Islam, tetapi menjamin keseimbangan dalam hubungan antara kaum dan
agama. Di dalam Perlembagan Persekutuan, terdapat banyak prinsip
keseimbangan yang perlu kita pertahankan. Misalnya, kedudukan Islam
sebagai Agama Persekutuan diseimbangkan dengan hak semua individu untuk
mengamalkan agama masing-masing dalam keadaan aman dan harmoni.
Kedudukan istimewa kaum Melayu dan Bumiputera diseimbangkan dengan hak
kerakyatan kaum-kaum lain serta jaminan menjaga kepentingan semua kaum.
Kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan diseimbangkan dengan
hak semua kaum untuk mempelajari bahasa ibunda masing-masing.
Prinsip-prinsip keseimbangan yang terkandung di dalam Perlembagaan ini
tidak semuanya selari dengan idea kebebasan Barat. Tetapi kita tidak
perlu bersikap apologetik kerana prinsip-prinsip ini penting untuk
menjamin keharmonian dalam hubungan antara kaum dan agama di negara
kita.
39.Kita tidak akan sekali-kali tunduk kepada tuntutan-tuntutan yang
bercanggah dengan Perlembagaan seperti menghapuskan hak keistimewaan
Melayu dan Bumiputera, menghina agama Islam, menghina institusi Raja,
tidak menghormati bahasa Melayu dan lain-lain. Jika kecenderungan
merungkai asas-asas perlembagaan ini diteruskan, apa lagi dengan
menuntut perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti masyarakat pelbagai
kaum, nescaya akan wujud suara-suara yang lebih ekstrem menuntut
bermacam-macam perkara yang boleh menyebabkan hubungan kaum di negara
kita menjadi lebih tegang. Trend ini amat tidak baik untuk negara kita
yang berbilang kaum dan agama. Keadaan tidak akan menjadi aman dan
segala usaha kita mempertahankan kestabilan dan keharmonian negara akan
menjadi sia-sia. Bak kata pepatah:
Tuba binasa
Ikan tak dapat
Ikan tak dapat
PEMUJAAN DEMOKRASI LIBERAL BARAT
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
40.Cabaran nilai dan budaya yang dihadapi oleh umat Islam hari ini
bukanlah sesuatu yang terpencil. Ia adalah sebahagian daripada
perkembangan sejagat yang menganggap demokrasi liberal Barat sebagai
satu-satunya sistem politik dan kerajaan untuk umat manusia. Bukan itu
sahaja, nilai-nilai yang dibawa oleh pemikiran liberal barat juga
dianggap sebagai nilai mutlak yang perlu dianuti oleh seluruh umat
manusia. Seperti yang disebut oleh Francis Fukuyama di dalam bukunya
“The End of History and the Last Man”, tidak ada ideologi lain yang
layak menggantikan demokrasi liberal sebagai sistem politik dan kerajaan
dalam evolusi sejarah manusia.
41.Dakwaan ini nampak macam betul. Kerana menurut Laporan Freedom
House 2013, sebanyak 118 daripada 195 negara di seluruh dunia sudah pun
mengamalkan sistem demokrasi. Negara yang tidak mengamalkan demokrasi
adalah minoriti. Namun, di dalam laporan Freedom House ini, Malaysia
tidak disenaraikan sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi.
Sebaliknya, negara seperti Bhutan, Georgia dan Libya pula dikatakan
telah mengamalkan demokrasi, manakala Lesotho, Senegal, Sierra Leone
dan Tonga telah menjadi negara bebas. Menurut laporan ini lagi, Malaysia
berada sebaris dengan Rwanda, Nicaragua dan Korea Utara yang bukan
merupakan negara demokrasi. Suara-suara sumbang seumpama ini boleh
didapati dalam laporan-laporan mengenai hak asasi manusia yang
diterbitkan oleh pertubuhan tertentu di negara kita dan juga di dalam
akhbar-akhbar parti pembangkang.
42.Tuduhan Malaysia bukan sebuah negara demokrasi bunyinya agak
pelik bagi kita. Kalau boleh saya katakan pelik bin ajaib kerana
negara-negara yang baru sahaja bebas daripada cengkaman diktator pun
telah diberikan status negara demokrasi, sedangkan Malaysia yang sudah
merdeka lebih lima dekad dan mengadakan berpuluh kali pilihan raya,
termasuk pilihanraya-pilihanraya kecil, belum boleh dikatakan sebuah
negara demokrasi. Apatah lagi, dengan mengambil kira program
transformasi politik yang telah dimulakan oleh YAB Presiden kita selaku
Perdana Menteri, ruang demokrasi di negara kita menjadi lebih luas,
dengan kerajaan mengambil sikap yang lebih responsif dan terbuka dalam
memenuhi kehendak rakyat.
43.Jadi, apakah sebenarnya muslihat mereka menuduh kita tidak
demokratik? Adakah terdapat udang di sebalik batu? Adakah dengan
mengatakan Malaysia bukan sebuah negara demokrasi, mereka berharap kita
akan mengambil tindakan tertentu untuk kononnya menjadi lebih
demokratik, termasuk mengapuskan hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera,
membenarkan kebebasan beragama tanpa batas diamalkan di negara kita,
menghapuskan institusi raja-raja Melayu untuk menjadi negara republik
sepenuhnya, dan lain-lain lagi. Sebenarnya, niat mereka ialah untuk
membentuk persepsi bahawa perjuangan menegakkan agama, bangsa dan tanah
air seperti yang digalas oleh UMNO sebagai satu perjuangan yang tidak
releven dan sia-sia. Inilah yang cuba dibuat oleh mereka.
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
44.Mengapa saya bercakap agak panjang lebar mengenai soal agama dan
kedudukan orang Melayu dan Bumiputera kerana inilah teras perjuangan
UMNO. Umat Melayu dan Islam hari ini dilanda pelbagai ancaman secara
halus yang boleh menyebabkan perbalahan, perpecahan dan penyelewengan
akidah. Bagi memperkukuhkan perjuangan ini, mesti ada kesedaran,
keinsafan dan kesepaduan di kalangan kita semua untuk menjadi benteng
perjuangan parti kita. Jika kita gagal mengurus cabaran ini dengan
betul, kita akan menerima padah perpecahan ummah yang parah.
45.Sedarlah, UMNO adalah perisai Melayu dan benteng Islam yang
sebenar. Walaupun ada sebuah parti di negara kita yang nampaknya
berjuang untuk Islam, tetapi mereka seringkali terpaksa berkompromi
dalam perkara-perkara asas mengenai Islam. Ini kerana parti ini
bergantung kepada pihak lain untuk meraih kuasa. Oleh sebab itu, umat
Islam tidak menaruh harapan yang tinggi kepada parti ini untuk
memperjuangkan Islam. Sebaliknya, harapan umat Islam adalah kepada UMNO.
Sebagai parti terbesar umat Melayu, parti kita tidak perlu berkompromi
dalam hal agama semata-mata untuk meraih populariti dan kuasa politik.
PESANAN KEPADA WANITA, PEMUDA DAN PUTERI
Saudara-saudari yang saya hormati sekalian,
46.Pergerakan Wanita adalah pembawa obor perjuangan UMNO. Dalam
setiap medan pertempuran UMNO menghadapi pilihanraya, pergerakan Wanita
setia berada di barisan paling hadapan membawa mesej parti kepada para
pengundi. Pergerakan wanita sentiasa bersemangat waja merayu undi tak
kira panas, hujan, ribut, taufan, mereka tetap setia berada di medan
perjuangan. Wanita tidak pernah berundur walau selangkah.Orang kata, di
sebalik kejayaan seorang lelaki di belakangnya adalah wanita. Maka dalam
konteks parti kita, di sebalik kejayaan UMNO di belakangnya adalah
pergerakan wanita kita.Selaku Timbalan Presiden parti, saya wajib
memberikan pengiktirafan kepada sumbangan Wanita yang sebenarnyalah
tulang belakang UMNO. Tahniah wanita!
47.Pergerakan Pemuda dan Puteri adalah pewaris perjuangan UMNO. Masa
depan perjuangan UMNO bergantung kepada citra generasi pelapis UMNO
yang berada di dalam Pergerakan Pemuda dan Puteri hari ini. Jika Pemuda
dan Puteri hari ini kental daya juangnya, hebat pemikirannya, kukuh
imannya, kuat jatidiri Melayunya, mulia akhlaknya, saya percaya obor
perjuangan UMNO akan terus menyala, dan rakyat akan terus memberikan
keyakinan kepada UMNO sebagai parti tempat mereka bernaung. Inilah ciri
generasi UMNO yang ingin kita lahirkan.
48.Yang penting, kita mesti kembali memahami idealisme dan matlamat
perjuangan UMNO. Kita berjuang di dalam UMNO bukan untuk UMNO, tetapi
untuk orang Melayu dan Bumiputera. Apabila kita diangkat menjadi
pemimpin di dalam UMNO bukan bermakna kita hanya berkhidmat untuk orang
UMNO, tetapi berkhidmat untuk orang Melayu dan Bumiputera.Kita mesti
ingat harapan orang Melayu dan Bumiputera yang amat tinggi kepada UMNO.
Seperti yang saya sebut di awal ucapan saya, orang Melayu dan Bumiputera
telah memberikan sokongan padu kepada UMNO dan mereka amat berharap
kita dapat membela nasib mereka. Bila kita diberi mandat, kita
melakukan yang terbaik untuk membela nasib orang Melayu dan Bumiputera,
serta menjamin kaum-kaum lain juga mendapat pembelaan yang adil.
49.Saya percaya, pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO yang
merupakan tonggak kekuatan parti kita memiliki kekuatan masing-masing
untuk menggalas harapan orang Melayu dan Bumiputera kepada UMNO. Tugas
kita menggalas amanah besar ini insyaAllah akan menjadi lebih mudah jika
kita bersatu hati, saling bantu-membantu, jujur dan ikhlas di dalam
perjuangan, dan menggembeleng seluruh kekuatan kita secara bersama. Bak
kata pepatah:
Yang kuat pembawa beban
Yang berani pelawan musuh
Yang cerdik pelawan perkara
Yang berani pelawan musuh
Yang cerdik pelawan perkara
50.Saya percaya, watak-watak yang disebut di dalam peribahasa Melayu
ini semuanya ada di dalam ketiga-tiga pergerakan UMNO. Yang kuat
menyumbang tenaga kepada parti. Yang berani mara ke barisan paling
hadapan di medan-medan pertempuran. Yang cerdik bijak berbahas,
berdebat, bersyarah, berforum untuk mematahkan hujah-hujah parti lawan.
51.Medan pertempuran kita yang seterusnya adalah PRU-14 yang
pastinya lebih mencabar. Kita mesti ingat tempoh 4 tahun sebelum PRU-14
bukanlah satu jangkamasa yang panjang. Kita mesti telah pun bersedia
bukan hari ini, tetapi dari semalam. Kerjasama, perpaduan dan komitmen
kita semua penting untuk memastikan kemenangan UMNO dan Barisan
Nasional. Jangan kita ulangi kesalahan, kesilapan dan kelemahan lampau.
Bina kekuatan baru. Yang hampa biar terbang, yang bernas biar tinggal.
52.Kita mesti lebih lantang, berani dan yakin supaya kehadiran kita
lebih dirasai oleh masyarakat. Selesaikan sebarang masalah dengan segera
supaya Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO benar-benar wujud sebagai
pergerakan yang dihormati. Terjemahkan konsep transformasi politik
sebagai hijrah minda dan sikap kepada yang lebih baik. Generasi lama di
dalam UMNO telah menyumbang, yang penting ialah sumbangan generasi hari
ini sebagai penyambung risalah perjuangan parti demi agama, bangsa dan
tanah air kita.
53.Orang muda lebih mengetahui kehendak generasi muda. Dekatilah
mereka, bercakaplah dengan mereka, bersantailah dengan mereka. Ajaklah
mereka menyertai perjuangan kita. Kita sedar bahawa UMNO yang diwujudkan
enam dekad yang lalu kini berhadapan dengan pelbagai cabaran baru.
Untuk terus releven, UMNO perlu sentiasa mencari pendekatan baru. Kempen
membenci UMNO perlu ditangani dengan segera. Pemuda perlu berinteraksi
dengan generasi muda termasuk di kampus dan kampung. Wanita perlu terus
cekal dan kental dengan tradisi menawan hati dan budi wanita-wanita
termasuk golongan profesional dan agamawan wanita. Puteri perlu lebih
persiapan untuk menjadi rakan dan taulan buat remaja perempuan yang
begitu ramai di luar sana.
54.Saya percaya dengan kehebatan Sdr Khairy berdebat, Datuk Seri
Shahrizat yang mesra, Ermi yang rajin, pasti akan membawa perubahan buat
parti kita. Prinsipnya jangan undur ke belakang, jangan bergerak
berseorangan, jangan teragak-agak dan jangan gentar untuk berada di
barisan hadapan untuk menjulang obor perjuangan parti dan mewujudkan
keterujaan baru kepada UMNO.
55.Saya ingin mengingatkan saudara-saudari bahawa anda semua memikul
tugas yang amat besar dalam menyambung risalah perjuangan suci parti.
InsyaAllah, saya dan Presiden akan membantu saudara-saudari. Kalau wanita
hendak menjadi tulang belakang UMNO, teruskanlah semangat itu. Yang
penting wanita mampu menyahut apa jua cabaran.
56.Pemuda dan Puteri pula wajib menjadi jurubicara umat mewakili
suara orang muda. Lantanglah bersuara, beranilah membuat pendirian,
muncullah di semua pentas menjuarai isu rakyat. Biarlah kehadiran Pemuda
dan Puteri benar-benar dirasai dan dihargai oleh rakyat. Berusahalah
dengan gigih tanpa mengenal jerit perih dalam menggalas harapan rakyat.
57.Ingatlah, berjaya atau gagal perjuangan kita sebahagian besarnya
terletak di atas bahu saudara-saudari semua. Maka seharusnya
saudara-saudari sudah lebih daripada bersedia untuk menyahut cabaran
besar ini. Akhirnya, berdoa dan bertawakkallah kepada Allah.
Mudah-mudahan, Allah s.w.t memberkati perjuangan kita dan memberikan
kita kemenangan.
Kita sudah tiada masa
Majulah dengan gagah perkasa
Janganlah terlalai teruskan usaha
Melayukan gagah di Nusantara
Majulah dengan gagah perkasa
Janganlah terlalai teruskan usaha
Melayukan gagah di Nusantara
Faiza azamta fa tawakkal ala Allah
Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya
merasmikan Perhimpunan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2013.
Hidup UMNO! Hidup UMNO! Hidup UMNO!
Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar! Walillahilhamd.
Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamu’alaikum warahmatullahi wa barakatuh.
HAYATI DAN LAKASANAKANNYA!!!
No comments:
Post a Comment