Monday, December 30, 2013

ORANG AWAM AMBIL ALIH CATATAN TERTINGGI RASUAH

 
 
Laporan ini diterima dalam inbox saya dan sesuatu yang mengejutkan!
 
1. Warga asing terdiri dari orang awam  yang paling ramai 
    memberi rasuah kepada penguatkuasa.

2.  Nilai rasuah terendah yang cuba diberi ialah RM5

3. Nilai rasuah tertinggi pula ialah RM700,000

4. Warganegara Indonesia dan Singapura yang paling ramai 
    cuba merasuah.

5. Johor dan Selangor paling banyak tangkapan.
 
Warga Asing Lakukan Kesalahan Di Negara Ini Turut  Tawar Rasuah Kepada Penguatkuasa

Melaka, 19 Disember - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ingin menjelaskan berhubung kes-kes melibatkan Seksyen 17(b)  Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 iaitu melibatkan kes penawaran dan pemberian suapan.

Suruhanjaya ini memandang serius berhubung tingginya jumlah tangkapan terhadap orang awam, ini termasuklah tangkapan terhadap warga asing bagi kes-kes penawaran dan
pemberian rasuah pada tahun-tahun kebelakangan ini.

Pada tahun 2013 sahaja, SPRM mencatatkan sebanyak 481 tangkapan atas kesalahan rasuah, dan 68% (326) adalah melibatkan tangkapan terhadap orang awam dan selebihnya 32% (155) terdiri dari penjawat awam.

Dalam pada itu, sejumlah 157 daripada 481 tangkapan orang awam ini adalah atas kesalahan seksyen 17(b) ini. Daripada jumlah tersebut, 61 tangkapan bersamaan 39% terdiri daripada individu warganegara asing yang melakukan pelbagai kesalahan di negara ini dan kemudian menawarkan rasuah kepada penjawat awam bagi melepaskan diri dari tindakan undang-undang.

Bagi keseluruhan tangkapan kes seksyen 17(b) ini,  nilai terendah yang ditawarkan adalah RM5 (pengadu membenarkan OKT memasuki kawasan tapak pembinaan yang dilarang masuk) dan tertinggi RM700,000, melibatkan kes memperakukan bayaran bagi pembekalan ubat yang sebenarnya tidak dilaksanakan.

Pada tahun ini, warganegara asing Indonesia dan Singapura mencatat angka tertinggi iaitu 23 warga Indonesia dan 11 warga Singapura yang ditangkap selepas memberi rasuah kepada pegawai penguatkuasa di negara ini, selepas melakukan pelbagai kesalahan antaranya kesalahan lalulintas di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987  dan di bawah Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat 2010.

Sementara itu, lapan tangkapan adalah warganegara Myanmar dan tujuh daripada Bangladesh, empat daripada Vietnam, tiga daripada Pakistan, dua India dan satu daripada Jepun.
Kecenderungan warganegara asing khususnya warga daripada negara jiran ini agak membimbangkan kerana sikap berkenaan tidak ditonjolkan di negara mereka sebaliknya apabila memasuki negara ini, mereka menganggap penguatkuasa di negara ini boleh dirasuah.

Negeri Johor dan Selangor mencatat tangkapan terhadap warga asing tertinggi hasil kerjasama melaksanakan operasi antara Suruhanjaya ini bersama agensi penguatkuasaan di negeri terbabit.
Daripada jumlah tersebut, 63 individu telah dituduh di mahkamah dan pada tahun ini seramai 53 individu juga telah disabitkan bersalah atas pertuduhan memberi/menawarkan rasuah. Jika disabit, mereka boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau sepuluh ribu ringgit mana-mana yang lebih tinggi.

SPRM menyeru agar kesalahan ke atas individu yang memberi dan menawarkan rasuah ini dihukum dengan hukuman yang setimpal agar memberi pengajaran kepada mereka yang lain.

Datuk Hj Mustafar Ali
Pengarah Bahagian Siasatan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Putrajaya
19 Disember 2013

Tanya kepada diri kita, siapa sebenar penyumbang yang menaikkan index rasuah di negara kita?



No comments: