Friday, November 21, 2014

TAN SRI SYED HAMID : MALAYSIA PENERAJU PENGANGKUTAN AWAM UNTUK MASA HADAPAN BANDARAYA ASEAN


Apakah mungkin Semenanjung Malaysia dibandarayakan pada satu hari nanti? Apakah ia mustahil dan jika ada di dalam perancangan kerajaan, maka apakah faktor yang membolehkan impian ini berlaku?

Penduduk dunia hari ini telah meningkat sehingga 7 bilion dan lebih dari setengahnya kini memilih untuk hidup di bandar-bandar. Di Asia saja, lebih daripada satu bilion diramalkan akan berhijrah ke bandar-bandar walaupun struktur sediadanya yang sesak. Dijangka pada 2050, hampir tiga suku dariapa penduduk dunia akan berada di bandar-bandar.

Bandar-bandar yang telah wujud dibentuk oleh manusia manakala bandar-bandar yang bakal diwujud pada masa hadapan perlu gandingan idea inovasi dan kepintaran. Oleh itu, bagi menstruktur semula bandar-bandar yang sediada ini, memerlukan kepintaran dan inovasi perancangan.

Apakah jenis bandar yang bakal kita tinggal pada masa akan datang? Apakah pengangkutan awam memainkan penting dalam membentuk nilai bandar-bandar di masa hadapan dan adakah ia mampu menghasilkan kemampanan pembangunan yang seimbang untuk rakyat?

SPAD di dalam Simposium Antarabangsa LPT ke 3 yang bertemakan "The Future of our Cities: Thinking Ahead Building Together", baru-baru ini telah menerajui dalam menentukan inisiatif pemikiran eksekutif yang terdiri daripada wakil dari kerajaan, sektor swasta, diplomatik, ahli akademik, pelajar dan juga rakyat bagi meneroka ide-ide baru ke arah menempuh cabaran-cabaran serta persedian mewujudkan bandar-bandar baru dengan penyelesaian yang mampan.

Di dalam pembentangan kertaskerja Tan Sri Syed Hamid bertajuk "THE FUTURE OF ASEAN CITIES", beliau berpendapat kejayaan Asean bergantung kepada kestabilan politik dan integrasi sosio-budayanya. Sekiranya ASEAN adalah sebuah negara, ia mampu menjadi kuasa ekonomi ke tujuh terbesar di dunia. 

Pada tahun 2013 sahaja, GDP gabungannya adalah sebanyak US2.4 trilion iaitu melebihi 25% dari ekonomi negara India. Penduduknya yang melebihi dari 600 juta adalah lebih besar berbanding EU atau Amerika Utara. ASEAN mempunyai tenaga kerja ke 3 paling ramai di dunia selepas China dan India. Perdagangan ASEAN dengan EU dan US jatuh di antara 30% ke 17% dan perdaganangan dengan China, Jepun dan Korea Selatan telah meningkat 30%, di mana ASEAN telah bijak memilih perdagangannya sekitar negara-negara Asia lain untuk mengekalkan prestasi ekonominya.

Pemacu utama pertumbuhan ekonomi ASEAN samada sekarang ataupun pada masa hadapan bergantung kepada perkembangan bandar-bandarnya. Malah tidak ada negara yang pernah naik daripada negara berpendapatan rendah kepada status berpendapatan sederhana tanpa anjakan penduduk yang ketara ke bandar-bandar.

Di Malaysia, KDNK per kapitanya telah meningkat 3.4% setiap tahun di mana dipengaruhi sebahagiannya dengan peningkatan penduduk bandar-bandar daripada 50% kepada 72%.

Tan Sri Syed Hamid juga berkongsi pandangan bahawa bandar-bandar ASEAN perlu memberi fokus utama di dalam pelaburan infrastruktur dengan memberi keutamaan kepada pelaburan pengangkutan awam dan mengubah dari membina jalan-jalan baru yang hanya tertumpu kepada penggunaan kenderaan persendirian kepada bentuk penggunaan yang lebih merangkumi kepadatan penduduk yang meningkat.

Bagi merealisasikan kejayaan AEC, Tan Sri Syed Hamid berpendapat kualiti sesebuah bandar di setiap negara ASEAN perlu dilengkapkan dengan pengangkutan awam yang baik di mana tidak ada kota di dunia ini yang maju tanpa sistem pengangkutan awamnya ditingkatkan. Pengangkutan awam darat merupakan intipati kepada indeks kehidupan pada masa akan datang sesebuah bandar raya dan apabila ia mampu direalisasikan, maka barulah rakyat ASEAN akan dapat merasakan mempunyai kepentingan dalam kejayaan ASEAN.

1 comment:

Anonymous said...

Jangan berbudi baik dengan orang seberang laut dan lupa jiran kita sebab manusia biasanya bolih jumpa lalat diseberang sungai tetapi kerbau depan mata kita nampak macam dinding.