Friday, March 28, 2014

#MH370 : KERAJAAN SEMBUNYI MAKLUMAT... APA LOGIKNYA?

Seperti yang kita tahu, terdapat 26 negara semuanya yang terlibat dalam pencarian MH370.   Biarpun Malaysia yang ‘menerajui’ misi pencarian namun setiap tindakan yang diambil pula berdasarkan nasihat dan pandangan pakar antarabangsa, terutamanya Amerika, Britain, Perancis dan Australia.    Ini kerana Malaysia tidak punya kepakaran, jauh sekali pengalaman atau aset yang diperlukan untuk misi sehebat ini.  

Dengan hakikat ini, tentulah mustahil bagi Malaysia untuk menyembunyikan apa-apa maklumat.

Dalam sejarah kemalangan udara, tidak pernah kita lihat bagaimana maklumat teknikal dibentangkan kepada umum secara terperinci sepertimana yang berlaku dalam MH370. Selalunya, hanya maklumat yang perlu diketahui awam sahaja yang akan didedahkan. Maklumat teknikal lain dikira sebagai tidak sesuai kerana melangkaui pemahaman orang ramai, kecuali yang berlatarbelakangkan bidang yang berkenaan.

Kerajaan Malaysia, bagaimanapun, mengambil langkah berkongsi setiap maklumat ini termasuk cara-cara penemuan disahkan oleh pihak penyiasat antarabangsa. Rajah-rajah teknikal disertakan di dalam media bagi memudahkan pemahaman orang ramai.  Malah, sebelum ini juga kebolehan aset yang digunakan untuk misi pencarian turut dikongsi bersama dengan seluruh dunia.

Walaubagaimanapun, segala ketelusan kerajaan ini tidak dihargai oleh sesetengah pihak. Mereka masih lagi menuduh kerajaan menyembunyikan maklumat.   Apabila dijelaskan bahawa tiada apa yang disembunyikan dan kesukaran yang dihadapi dalam kes kehilangan MH370, mereka tetap juga bertegas bahawa kerajaan Malaysia menyembunyikan maklumat.

Kedegilan mereka untuk mempercayai bahawa kerajaan menyembunyikan maklumat mula membuatkan kita musykil akan kemungkinan mereka sebenarnya mengetahui sesuatu dan mengharapkan kerajaan mendedahkannya.  

Namun, logiknya, kerajaan tidak akan mampu menyembunyikan apa-apa dengan 26 negara bekerjasama dan kepakaran pula bukanlah dimiliki oleh Malaysia. 

Panduan Pembangkang!
 
Tanpa mencerna fakta ini, laungan ‘kerajaan menyembunyikan maklumat’ terus membingitkan telinga kita.  Yakin benar mereka bahawa ada sesuatu yang tidak didedahkan.

Persoalannya, bagaimana mereka begitu yakin bahawa ada sesuatu yang belum didedahkan jika mereka tidak mengetahui apakah ‘sesuatu’ itu?  Bagaimana kita boleh menuduh orang berahsia jika beliau merahsiakannya?

Kecualilah kita sememangnya telah tahu rahsia itu barulah kita boleh menuduh dengan yakin bahawa orang itu telah sengaja merahsiakan pengetahuannya dari kita, bukan begitu?

Justeru, hari ini mereka yang menuduh kerajaan menyembunyikan sesuatu ini sebenarnya mempunyai maklumat yang lebih lagi dari para penyiasat, tetapi telah sengaja menyembunyikan sekadar untuk menekan kerajaan.

Kerajaan tidak harus berdiam diri dengan membiarkan mereka terus menuduh, memfitnah dan memberi tekanan.  Sebaliknya, kerajaan wajar mengambil tindakan, memaksa mereka mendedahkan apa sebenarnya yang mereka tahu yang kerajaan sendiri tidak tahu.  

Tanyakan kepada mereka, kenapa mereka begitu yakin adanya rahsia, sedangkan kerajaan tidak merahsiakan apa-apa? 

Jika mereka enggan mendedahkan apakah rahsia itu, dakwa saja mereka kerana memfitnah, menghasut atau menghalang siasatan dengan enggan mendedahkan maklumat kepada kerajaan.

No comments: