Wednesday, July 17, 2013

@PDRM : SALAH LAKU RAKAN JANGAN DISOROK

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menggesa pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya melaporkan sebarang salah laku rakan sekerja mereka dan tidak berdiam diri mengenai perkara itu.

Beliau berkata, sama ada salah laku dalam bentuk rasuah atau disiplin, laporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Bahagian Tatatertib Polis bagi menjamin tahap integriti dalam pasukan itu.

"Kita dapati adanya "wall of silence" iaitu rakan sekerja tidak mahu beri keterangan mengenai rakannya yang melakukan kesalahan di dalam pasukan," katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) Datuk Heliliah Mohd Yusof di Bukit Aman di sini, hari ini.

Sehubungan itu, katanya PDRM akan menjalankan kempen kesedaran di kalangan pegawai dan anggotanya bagi meningkatkan lagi kesederan mengenai perlunya melaporkan sebarang salah laku agar integriti pasukan itu dapat ditingkatkan.

Khalid turut memberi jaminan bahawa setiap pegawai dan anggota yang melaporkan perkara itu akan dilindungi mengikut Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

Mengenai kunjungan Heliliah dan delegasi SIAP, beliau berkata polis menyerahkan kepada suruhanjaya itu untuk menilai dan meneliti prosedur operasi standard tahanan lokap dan menerima sebarang keputusan secara terbuka bagi memperbaiki prosedur itu.

"Kita tidak mahu lagi kes kematian tahanan dalam lokap berulang," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut meminta kerajaan supaya mempercepatkan kelulusan cadangan Akta Pencegahan Jenayah yang baharu bagi menggantikan Ordinan Darurat (EO).

"Ini kerana, ramai saksi yang enggan memberi keterangan secara terbuka di mahkamah terhadap penjenayah disebabkan perasaan takut menjadi mangsa jenayah keganasan," katanya dalam reaksi terhadap kekerapan insiden tembakan yang berlaku di seluruh negara, baru-baru ini.

Pada 4 Julai lalu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kementeriannya dalam proses merangka draf undang undang baharu bagi menggantikan EO yang dimansuhkan pada 2011, ekoran peningkatan kadar jenayah berat selepas lebih 2,600 tahanan di bawah ordinan itu dibebaskan.- BERNAMA

No comments: