Monday, July 13, 2015

ULANG TAHUN #MH17 : LIOW AKAN PASTIKAN KEBENARAN DITEGAKKAN


Majlis memperingati ulang tahun tragedi MH17 telah berlangsung di Kompleks Bunga Raya KLIA pada 11 Julai lalu dan dihadiri waris serta anggota keluarga mangsa. Ulang tahun bagi tanda penghormatan kepada mangsa yang terkorban ini juga telah dihadiri para menteri yang diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Penerbangan MH17 telah ditembak jatuh ketika melalui ruang udara Ukraine pada 17 Julai tahun lepas yang telah mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapalnya di mana di antaranya adalah 43 rakyat Malaysia.

Di dalam kenyataan Datuk Seri Liow Tiong Lai selaku Menteri Pengangkutan bertekad bahawa kerajaan Malaysia akan terus menggesa masyarakat antarabangsa bertindak tegas mencari dan membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan bagi menegakkan kebenaran. Oleh itu, Datuk Liow menyeru agar semua negara mematuhi protokol di dalam proses membuat laporan dan tidak wujud halangan di dalam mencari kebenaran.

Kerajaan Malaysia tetap komited untuk mencari jawapan kebenaran kepada para waris mangsa tragedi tersebut walaupun mengetahui ia bukanlah sesuatu yang mudah dan Datuk Liow memaklumkan yang mereka tidak pernah keseorangan di dalam mencari jawapan tersebut.

Di antara perkembangan yang menggalakkan adalah draf laporan akhir siasatan diberikan kepada semua negara terlibat oleh Lembaga Keselamatan Belanda (DSB) di mana merekalah yang mengetuai kumpulan penyiasatan teknikal. Laporan rasmi dijangka akan dikeluarkan pada bulan Oktober tahun ini.

Bagi pihak Malaysia pula, satu pasukan telah ditubuhkan untuk menyemak laporan tersebut dan para waris mangsa akan dimaklumkan tentang perkembangan dan hasil siasatan itu pada waktu yang sesuai.

Malaysia adalah sebahagian daripada majlis 15 anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC), juga telah mendesak agar satu tribunal antarabangsa ditubuhkan dan pihak negara telah mengemukakan satu draf resolusi di mana telah mendapat sokongan penuh dari negara Belanda, Australia, Belgium dan Ukraine. Draf resolusi berkenaan akan diedarkan awal minggu ini dan kita berada di landasan betul mengambil langkah ini.

Samada negara Rusia akan menggunakan kuasa veto mereka untuk menyekat resolusi itu di UNSC, Datuk Liow berpandangan agar resolusi tersebut dibentangkan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang penghakiman kerana laporan teknikal ini adalah terperinci dan mampu mengesan siapakah pelakunya dan penjenayah tersebut semestinya dibawa ke muka pengadilan.

Saturday, July 11, 2015

DATO' LIOW : NYAWA DIHARGAI, SELAMAT KE DESTINASI, KEMERIAHAN DIRASAI


Setiap tahun samada mereka yang akan balik kampung meraikan Hari Raya Aidil Fitri atau mereka yang mengambil kesempatan untuk bercuti panjang, keselamatan di jalan raya amatlah dihargai. Saban tahun juga, pihak kerajaan akan melancarkan kempen keselamatan jalanraya bukan sekadar memberi peringatan tetapi berkongsi maklumat agar destinasi yang dituju pasti sampati.

Bersempena menyambut hari lebaran, Kementerian Pengangkutan telah melancarkan kempen keselamatan jalan raya dan Ops Bersepadu peringkat kebangsaan 2015 di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) pada 9 Julai 2015 dengan bertemakan “Nyawa Dihargai, Selamat Ke Destinasi, Kemeriahan Dirasai”

Berikut adalah ringkasan teks ucapan Menteri Pengangkutan, YB Dato' Sri Liow Tiong Lai;

1. Pihak kerajaan memandang serius isu keselamatan jalan raya terutama di musim perayaan.

2. Langkah JKJR dengan penyertaan dan sokongan pelbagai agensi kerajaan dan NGO adalah untuk mengurangkan kadar kemalangan dan kematian serta mengawal selia pergerakan trafik terutama di lebuh raya.

3. Usaha pihak kerajaan dengan kerjasama pihak swasta dan NGO telah berjaya mengurangkan kes kemalangan dan kematian setiap tahun.

4. Kementerian Pengangkutan bekerjasama dan bergerak sebagai satu pasukan dan yang terlibat adalah Kementerian Komunikasi dan Multimedia(KKMM), Kementerian Kerja Raya (KKR) serta agensi-agensi seperti JKR, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam, JKJR dan JPJ, PDRM, SPAD dan Skuad Muda 1 JPJ.

5. Ops Hari Raya Aidilfitri (Ops HRA) 2015 telah dimulakan sehingga 25 Julai 2015 dengan konsep merakyatkan penguatkuasaan.

6. Larangan ke atas kenderaan barangan  juga akan dikuatkuasakan oleh JPJ dan PDRM pada 15 dan 16 Julai  2015  serta pada 24 dan 25 Julai 2015.

7. Kementerian Kerja Raya (KKR) akan mewartakan penurunan had laju sebanyak 10 km/j bagi Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri mulai 10 hingga 25 Julai 2015 dan had laju bagi Jalan Persekutuan akan diturunkan kepada 80 km/j manakala bagi Jalan Negeri akan diturunkan kepada 70 km/j.

8. Penglibatan pihak swasta dan korporat akan menjadi sumber inspirasi bagi mengadaptasi keselamatan jalan raya sebagai program Tanggungjawab Sosial Korporat atau Corporate Social Responsibility (CSR).

Berikut adalah teks ucapan penuh dari Dato' Sri Liow;
Terima kasih Saudara dan Saudari Pengacara Majlis.

Ketua-ketua Setiausaha Kementerian.

Ketua-ketua Pengarah Jabatan.

Rakan-rakan media.

Para hadirin yang saya hormati sekalian.

Selamat Pagi, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.



PENDAHULUAN

1.    Setiap tahun Kerajaan melalui Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) akan melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Kebangsaan menjelang musim perayaan. Ini membuktikan betapa pihak kerajaan memandang serius isu keselamatan jalan raya terutamanya di musim perayaan.

2.    Langkah yang diambil oleh JKJR dengan sokongan pelbagai Kementerian, Jabatan, agensi kerajaan dan agensi swasta serta badan bukan kerajaan (NGO) ini adalah amat bertepatan dalam usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya dan kematian sempena Musim Perayaan  Hari Raya Aidilfitri 2015.


Tuan-tuan dan puan-puan,

3.    Tinggal beberapa hari sahaja lagi umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Sebagaimana lazimnya, orang ramai akan pulang ke kampung halaman bagi menyambut perayaan ini bersama keluarga, ibu bapa dan sanak saudara yang tercinta.

4.    Sudah menjadi kelaziman rakyat kita apabila tiba musim perayaan dan cuti yang panjang, jumlah pengguna lebuh raya akan meningkat dan jalan raya di serata negara akan bertambah sesak. Ini secara tidak langsung akan meningkatkan risiko berlakunya kemalangan.

5.    Saban tahun kita dikhabarkan dengan berita yang cukup menyayat hati. Suasana Hari Raya yang seharusnya disambut dengan penuh kemeriahan bertukar nestapa dengan insiden sebegini.

6.    Pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak berkuasa untuk mengurangkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya, namun apabila terjadinya sesuatu kemalangan, banyak pihak menunding jari antara satu sama lain mecari pihak yang bersalah.

7.    Belakangan ini, banyak insiden kemalangan jalan raya yang tragis dan menyayatkan hati dilaporkan. Misalnya, kemalangan di lebuhraya Duke baru-baru ini amat menyentuh hati kita semua. 

8.    Bayangkan betapa luluh hati seorang anak kecil yang menjadi yatim piatu dalam sekelip mata. Pihak kerajaan dan saya sendiri secara peribadi amat sedih dan kesal dengan berlakunya kemalangan tragik seperti ini.

9.    Kemalangan sebigini tidak akan beraku sekiranya pengguna jalan raya mengamalkan sikap bertimbang rasa dan bertanggungjawab di atas jalan
raya. Sikap mementingkan diri sendiri serta melanggar peraturan keselamatan jalan raya lebih-lebih lagi berlumba di jalan raya perlu dikikis. 


KEMPEN KESELAMATAN JALAN RAYA

Tuan-tuan dan puan-puan,

10.    Pendedahan mengenai keselamatan jalan raya telah ada sejak di peringkat sekolah lagi. Pelbagai kempen dan advokasi telah dijalankan samada secara terus mahupun melalui media sosial.

11.    Malangnya, mengikut statistik Polis Di Raja Malaysia (PDRM) secara puratanya 19 kematian direkod akibat kemalangan jalan raya setiap hari. Ini adalah satu jumlah yang amat besar  dan perlu ditangani dengan serius oleh semua pihak.

12.    Bermacam cara telah dilakukan bagi mengurangkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya. Namun, tanpa kerjasama semua pihak, perkara ini tidak dapat dilakukan dengan jayanya.

13.    Makanya, kempen yang diadakan ini bertujuan untuk meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya pada musim perayaan selain mengawal selia pergerakan lalu lintas.

14.    Dengan tema “Nyawa Dihargai, Selamat Ke Destinasi, Kemeriahan Dirasai”, kempen ini menekankan kepada keselamatan semasa berada di jalan raya supaya pengguna selamat sampai ke destinasi untuk menyambut Hari Raya bersama kaum keluarga dan rakan taulan.


OPS HARI RAYA AIDILFITRI 2015

Pada hadirin yang saya hormati

15.    Jumlah kemalangan yang direkodkan oleh statistik PDRM pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri Tahun  2014 telah mecatatkan penurunan kepada 217 kes berbanding 258 kes pads musim perayaan Hari Raya Aidilfitri Tahun 2013. Ini memembuktikan bahawa usaha-usaha pihak Kerajaan dengan pihak swasta dan NGO telah berhasil dalam mengurangkan kemalangan maut.

16.    Bagi musim perayaan tahun ini, kerajaan telah merencana lebih banyak program yang berteraskan advokasi dan penguatkuasaan. Dalam hal ini, Kementerian Pengangkutan akan bekerjasama dan bergerak sebagai satu pasukan dengan pelbagai kementerian misalnya Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Kementerian Kerja Raya (KKR) serta agensi-agensi seperti JKR, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam, JKJR dan JPJ.

17.    Dengan kerjasama bersepadu ini, adalah diharapkan agar program-program berkaitan kempen keselamatan jalan raya dapat diperhebat dan hasilnya akan lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya.

18.    Saya juga di kesempatan ini ingin menzahirkan rasa gembira dengan pendekatan yang diambil dalam operasi penguatkuasaan pada masa ini di mana badan-badan penguatkuasaan seperti JPJ, PDRM dan SPAD bekerjasama sebagai satu pasukan.

19.    Ini amat bertepatan dengan strategi Laut Biru Kebangsaan (NBOS) bagi meningkatkan mutu perkhidmatan. Malah ia turut diperkuat dengan kempen dan advokasi yang dijalankan oleh JKJR dan Skuad Muda 1 JPJ yang turut melibatkan orang awam dalam menjalankan advokasi dan nasihat dari aspek keselamatan jalan raya.
 
Hadirin sekalian

20.    Seperti tahun-tahun lalu, JPJ telah melancarkan Ops Hari Raya Aidilfitri (Ops HRA) 2015 bermula pada hari ini sehingga 25 Julai 2015. Selain
daripada itu, pelbagai program telah dirancang untuk dilaksanakan sepanjang operasi ini berlangsung.

21.    Strategi pelaksanaan Ops Hari Raya Aidilfitri 2015 adalah berteraskan kepada konsep merakyatkan penguatkuasaan. Seramai 1,800 anggota JPJ akan ditempatkan di lokasi statik bagi melaksanakan operasi penguatkuasaan. Manakala seramai 1,000 orang ahli Skuad Muda 1JPJ juga ditempatkan di kawasan-kawasan tertentu bagi menjalankan aktiviti advokasi.

22.    Seperti tahun-tahun lepas juga, Bahagian penguatkuasan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) juga akan bersama-sama dalam menjalankan pemantauan terutama yang melibatkan pengangkutan awam.



Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

23.    Larangan ke atas kenderaan barangan  juga akan dikuatkuasakan oleh JPJ dan PDRM pada 15 dan 16 Julai  2015  serta pada 24 dan 25 Julai 2015. Ini bertujuan untuk mengelakkan risiko berlakunya kemalangan akibat percampuran trafik antara kenderaan berat dengan kenderaan ringan selain daripada mengelakkan kesesakan lalu lintas.

24.    Tambahan lagi, Kementerian Kerja Raya (KKR) juga akan mewartakan penurunan had laju sebanyak 10 km/j bagi Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri mulai 10 hingga 25 Julai 2015. Sehubungan itu, had laju bagi Jalan Persekutuan akan diturunkan kepada 80 km/j manakala bagi Jalan Negeri akan diturunkan kepada 70 km/j.


Tuan-tuan dan Puan-puan, para hadirin sekalian,

25.    Umum mengetahui bahawa Kementerian Pengangkutan telah melancarkan Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2014-2020 berteraskan 5 tonggak strategik. Pelan ini dirangka agar aspirasi kementerian untuk mengurangkan kadar kemalangan dan kematian akibat kemalangan jalan raya dapat direalisasikan.

26.    Ini terbukti dengan penurunan indeks kematian bagi setiap 10 ribu kenderaan berdaftar di Malaysia kepada 2.90 kematian pada tahun 2013
berbanding 4.51 kematian pada tahun 2004.

27.    Saya percaya, indeks ini akan mencatatkan penurunan saban tahun sekiranya kita berganding bahu dan menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan usaha dan kerjasama yang utuh.


Tuan-tuan dan Puan-puan.

28.    Saya gembira melihat penglibatan pihak swasta dalam program advokasi kempen keselamatan jalan raya pada kali ini. Saya merakamkan penghargaan yang tidak terhingga kepada semua syarikat yang terlibat.

29.    Saya yakin dengan penglibatan pihak swasta dan korporat seperti ini akan menjadi sumber inspirasi kepada pihak lain bagi mengadaptasi keselamatan jalan raya sebagai salah satu program Tanggungjawab Sosial Korporat atau Corporate Social Responsibility (CSR).

30.    Kerajaan sentiasa menggalakkan dan menyokong inisiatif dan langkah positif yang dijalankan oleh sektor swasta dan NGO dalam bersama-sama menghidupkan kempen keselamatan jalan raya. Syabas dan tahniah saya ucapkan dan diharap ianya dapat diteruskan lagi di masa akan datang.
 


PENUTUP

Tuan-tuan dan Puan-puan,
 

31.    Setiap tahun Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Hari Raya Aidilfitri bukan sahaja diadakan di peringkat Kebangsaan malah turut dilaksanakan di peringkat negeri.

32.    Ucapan terima kasih tidak terhingga saya kepada semua YAB Menteri Besar, Ketua Menteri, Pengerusi-pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Ray
(MKJR) Negeri yang bersama-sama dalam menjayakan program ini.

33.    Sebelum saya mengakhiri ucapan saya pada pagi ini, sekali lagi saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah bekerjasama untuk menjayakan kempen keselamatan jalan raya ini.

34.    Akhirnya, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua umat Islam di Malaysia.  Maka dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan “Kempen Keselamatan Jalan Raya Dan Ops Bersepadu Peringkat Kebangsaan Sempena Hari Raya Aidilfitri Tahun  2015”.

Keselamatan jalan raya tanggungjawab kita bersama. Pandu cermat jiwa selamat. Ingatlah orang yang tersayang.

Sekian, Terima kasih.

YB Dato’ Sri Liow Tiong Lai
Menteri Pengangkutan Malaysia

Thursday, July 09, 2015

SPAD BAKAL PERKENAL CARA BARU MEMANTAU PEMANDU TEKSI

Sebagai sebuah negara yang terkenal dengan penduduknya yang ramah mesra, kita pasti akan terkilan apabila satu kaji selidik ke atas perkhidmatan teksi 10 bandaraya dan Kuala Lumpur berada di kedudukan terakhir. Kaji selidik yang dilakukan oleh LondonCabs.co.uk mendapati keadaan kenderaan yang buruk dan pemandu yang tidak jujur.

Di antara rungutan yang masih kedengaran adalah keengganan pemandu mengguna meter, pemandu memilih jarak jalan yang lebih jauh dan mengenakan kadar tambang yang lebih tinggi.

Kini, bagi meningkat dan memperbaiki perkhidmatan teksi , pihak SPAD akan memperkenalkan satu program sistem perintis pada akhir tahun iaitu Sistem Perkhidmatan Teksi Berpusat (CTSS) di mana ia satu inisiatif untuk kemudahan penumpang memperoleh maklumat perkhidmatan teksi.

Menurut Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar, ini adalah merupakan salah satu inisiatif utama SPAD untuk meningkatkan mutu perkhidmatan teksi di negara. CTSS akan menyalurkan maklumat data kepada SPAD bagi menyelaraskan di antara permintaan dan bekalan teksi.

Teksi-teksi ini juga akan dilengkapkan dengan teknologi GPS (Global Positioning System). SPAD beserta pihak penguatkuasa yang berkenaan akan mampu memantau pergerakan pemandu-pemandu teksi kerana kenderaan yang dipandu akan dihubungkan dengan CTSS. Pihak SPAD juga boleh mengesan lokasi teksi dan bertindak sebagai pusat perhubungan bagi mengarah mereka ke destinasi penumpang.

Di samping itu, CTSS juga mampu memantau kesalahan yang sering dilakukan pemandu teksi seperti enggan mengguna meter, pemandu yang cuai dan membawa teksi tanpa lesen yang sah.

Aplikasi MeterOn yang telah diperkenalkan SPAD telah banyak membantu penumpang teksi dalam melaporkan pemandu yang enggan mengguna meter dan mereka yang mengenakan tambang berlebihan. Sejak kadar tambang teksi baru diluluskan kerajaan pada 19 Mac lalu, jumlah pemandu yang enggan mengguna meter telah menurun dari 614 ke 414.

Maka diharap agar inisiatif baru bagi memperkenal CCTS ini mampu memperbaiki perkhidmatan teksi terutama di bandaraya Kuala Lumpur dan sekali gus mampu memperbaiki kedudukan prestasi perkhidmatan teksi di dalam kaji selidik LondonCabs dan juga di mata dunia.

Wednesday, July 08, 2015

DIVIDEN FGV DAN DUIT RAYA UNTUK PERSIAPAN AIDIL FITRI WARGA FELDA


Di dalam membuat persiapan menyambut ketibaan Syawal, warga peneroka Felda telah dianugerah dengan pengumuman pembayaran dividen dan duit raya oleh Perdana Menteri ketika menghadiri majlis berbuka puasa mereka di Program Ihya Ramadhan 2015/1436H.

Turut hadir meraikan program ini terdiri daripada Pengarah Besar FELDA, Ahli-ahli Lembaga Pengarah Kumpulan FELDA, Pengurusan Kumpulan FELDA, 5,000 warga peneroka, dan penduduk-penduduk kampung tradisional berdekatan.

Pembayaran dividen yang berjumlah RM59,212,800 adalah dari Felda Global Ventures Holdings (FGV) melalui pegangan Felda dalam syarikat tersebut dan ini adalah merupakan dividen awal sebanyak 6 sen sesaham dan dividen akhir sebanyak 4 sen sesaham.

Seramai 98,688 peneroka Felda akan menerima dividen sebanyak RM600 dan RM300 duit raya dan pembayaran akan mula diterima mulai 13 Julai nanti.

Manakala seramai 13,947 peneroka di dalam kategori yang tidak bersama Felda kerana tidak menanam semula atau tidak menghantar hasil ladang ke Felda, berurusniaga tanah tanpa kebenaran Felda dan turut serta menyaman Felda, adalah tidak layak mendapat dividen dan duit raya.

Walaubagaimanapun, DS Najib menyeru agar mereka yang tidak bersama Felda untuk kembali semula bagi bersama-sama memaju dan memakmurkan lagi tanah rancangan.

Semoga dengan pemberian dividen dan duit raya ini dapat meringankan beban kewangan para peneroka dalam membuat persiapan menyambut Syawal nanti.

Friday, July 03, 2015

KENDERAAN UBER DAN GRABCAR TIDAK IKUT UNDANG-UNDANG



Perniagaan perkhidmatan teksi yang dijalankan Uber dan GrabCar adalah sah kerana mereka berdaftar tetapi operasi perkhidmatan teksi mereka yang melanggar undang-undang.

Untuk sekian kalinya, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah memberi penjelasan bahawa kenderaan yang digunakan Uber dan GrabCar adalah tidak mempunyai lesen untuk membawa penumpang berbayar.

Oleh itu, pihak SPAD tidak boleh mengambil tindakan undang-undang ke atas syarikat-syarikat ini kerana mereka berdaftar dan dibenarkan menjalankan perniagaan samada mereka adalah dari syarikat tempatan mahupun dari luar negara. Namun, penguatkuasaan mampu membentras kenderaan dan pemandu yang tidak mempunyai lesen yang sah dari SPAD.

Penjelasan dari SPAD juga telah diberi kepada persatuan-persatuan teksi dan pihak kerajaan tiada masalah untuk apa sahaja sistem baru yang ingin diperkenalkan bagi penambahbaikan perniagaan syarikat. Ini juga berlaku kepada pengusaha-pengusaha kenderaan awam darat lain untuk menaik mutu perkhidmatan dan juga syarikat mereka.

Ketika melancarkan perkhidmatan kenderaan melalui telefon bimbit pintar baru di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Tan Sri Syed Hamid menjelaskan bahawa Uber telah cuba mengambil alih perkhidmatan teksi-teksi berlesen yang beroperasi mengikut undang-undang. Ini juga telah menyekat pendapatan pemandu-pemandu teksi yang lain. Perkhidmatan haram seperti Uber juga telah menjejaskan di negara-negara dan oleh kerana itu maka Uber dan GrabCar berhadapan dengan masalah.

Inilah yang menyebabkan beberapa kenderaan peribadi yang memberi perkhidmatan di bawah Uber dan GrabCar telah disita oleh penguatkuasa SPAD. Penumpang-penumpang berbayar tidak dilindungi insuran jika mereka menaiki kenderaan peribadi ini dan seandainya berlaku kemalangan, pemandu yang akan dipertanggungjawabkan.

Pada masa yang sama, Tan Sri Syed Hamid bagi pihak SPAD berasa sangat puashati dengan kenderaan yang mengguna perkhidmatan aplikasi baru SPAD di mana ia dilengkapi dengan 'work station', perakam video kenderaan, perakam CCTV, kamera untuk penglihatan malam, internet dan sentiasa diawasi penguatkuasa.

2 unit van ditempatkan di sekitar Lembah Klang untuk membuat siasatan dan memantau aduan dari dalam dan luar kenderaan.