Wednesday, October 11, 2017

5 SOALAN DARI KIT SIANG, RAKYAT BOLEH JAWAB BAGI PIHAK ANNUAR MUSA


Di dalam artikel terkininya yang diterbitkan portal MalaysiaKini bertajuk 'What did Annuar Musa have to do to remain Umno info chief?', jelas sekali Kit Siang sangat terkesan dan gabra dengan kenyataan Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa. Beliau bertanya apakah benar Dr Mahathir telah terhasut dan termakan dengan dengan janji-janji manisnya?

Namun, bila dibaca lebih lanjut, tajuknya membawa persepi lain daripada isi kandungan yang keseluruhannya ingin memberi prasangka kepada Tan Sri Annuar dengan isu rasuah ketika beliau adalah Pengerusi MARA dan KAFA. 5 soalan diajukan agar Tan Sri Annuar menjawab. Nampaknya, Tan Sri boleh tersenyum kerana 30 juta rakyat Malaysia boleh menjawab untuk beliau termasuklah 10 juta lebih ahli-ahli Barisan Nasional.

Apabila Kit Siang menyentuh soal salah guna kuasa dan rasuah dan cuba mengaitkan dengan sesiapa saja pemimpin lain di Malaysia ini, pasti ramai yang akan gelakkan beliau. Anak sendiri kaki rasuah, Setiausaha Agong parti sendiri terpalit dengan rasuah, Kit Siang masih ingin kaitkan rasuah dengan orang lain?

Beza ketara yang berlaku di antara isu rasuah Tan Sri Annuar dan Guan Eng, TSAM hanya disiasat. Malahan beliau sendiri telah pergi ke SPRM dengan rela hati membantu dalam siasatan. Sedangkan semua rakyat Malaysia tahu, Guan Eng telah didakwa dan menunggu perbicaraan di mahkamah. Guan Eng juga sedang berusaha untuk melengah-lengahkan kes dakwaan SPRM dan rakyat juga tertanya-tanya, jika tidak bersalah, mengapa perlu dilengahkan?

TSAM digantung dari tugas ketika siasatan SPRM berlangsung dan itu adalah keputusan pentadbiran MARA. Begitu juga berlaku kepada FGV di mana CEOnya digantung tugas ketika SPRM dan Audit dalam sedang menyiasat. Ia adalah adil kepada kedua-dua belah pihak untuk memastikan tiada percanggahan sehingga siasatan selesai.

Bagaimana pula dengan Guan Eng? Tony Pua dan beberapa pemimpin DAP lain pernah membuat saranan agar pemimpin yang telah didakwa SPRM di mahkamah perlu meletakkan jawatannya. Di mana Guan Eng hari ini? Mengapa Kit Siang tidak beri 5 soalan kepada Guan Eng? Guan Eng juga masih memegang jawatan Setiausah Agong DAP dan mengapa Kit Siang tidak berani mendesak Guan Eng melepaskan jawatannya kerana telah didakwa?

Jika asyik gemar berkokok tetapi terlupa ekor yang sedang sarat dengan najis. Itulah wajah sebenar Kit Siang yang walaupun ekor berada di belakang namun bau dan rupa najis itu tetap dibawa ke mana-mana walaupun beliau cuba tersenyum.

Tan Sri Annuar Musa adalah seorang pemidato terkenal yang pernah berkhidmat di dalam kabinet menteri zaman Dr Mahathir dan juga ketika beliau adalah Presiden UMNO. Beliau juga pernah mendapat kepercayaan Dr Mahathir dilantik sebagai menteri walaupun telah kalah dalam pilihanraya umum. Apa maksudnya?

Bukankah jelas, Tan Sri adalah seorang yang berkaliber dan berintegriti di mata Dr Mahathir yang Kit Siang baru ingin berjinak-jinak? 

Musuh dalam politik boleh bertukar-ganti tetapi syaitan tetap syaitan walaupun wajah bertukar setelah lebih 30 tahun. Itu yang terjadi di antara Dr Mahathir dan Kit Siang. Tuduh menuduh boleh lenyap kerana lidah tidak bertulang tetapi prinsip dan jati diri mereka sedang dinilai rakyat setelah masing-masing cuba menukar wajah yang bertopengkan syaitan di sebaliknya.

Dalam apa suasana yang sedang dialami UMNO terutamanya di saat-saat genting dari dahulu lagi, Tan Sri Annuar kekal berada di dalam UMNO di mana Kit Siang serta DAP tetap musuh utama UMNO, agama Islam, bangsa Melayu, Barisan Nasional dan rakan-rakannya. 

Apakah najis yang dilemparkan kepada Dr Mahathir selama lebih 30 tahun kini menjadi makanan rugi mereka? Oleh itu, Kit Siang perlu cermin dirinya dahulu sebelum ingin soal integriti dan jati diri TSAM. 5 soalan untuk TSAM itu adalah lebih tepat jika rakyat Malaysia ajukan saja kepada Kit Siang dan DAP.

Monday, October 09, 2017

CADANGAN DARI SPAD UNTUK BAS RAPID TRANSIT (BRT) JOHOR MENGHAMPIRI KENYATAAN


Bagi memastikan perkhidmatan bas awam negeri Johor dapat menyediakan liputan menyeluruh bagi penumpang di bandar dan luar bandar, pihak SPAD telah mengemukakan cadangan mengenai penambahbaikan perkhidmatan bas kepada Majlis Ekonomi Negara. Beberapa hari lalu saja, projek pembangunan pengangkutan awam Bas Rapid Transit (BRT) telah dilancarkan PM Najib Razak bersempena merasmikan Ekspo Johor Berkemajuan 2017 di Kota Iskandar, di Iskandar Puteri.

Projek ini akan menelan belanja sebanyak RM2.56 bilion dengan RM1 bilion daripadanya dibiayai kerajaan pusat manakala baki ditanggung menerusi kerjasama swasta dan awam di mana ia berkonsepkan keterangkuman serta kemampanan yang akan dibangunkan kerajaan pusat melalui Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar dan kerajaan negeri Johor.

BRT dijadikan tulang belakang infrastruktur pengangkutan awam di Wilayah Iskandar Malaysia adalah sistem transit berasaskan bas yang berkualiti tinggi, selesa dan mampu menjimatkan kos penumpang mempunyai ciri-ciri yang serupa dengan Transit Aliran Ringan atau metro yang lebih cepat jika dibandingkan dengan perkhidmatan bas biasa.

Dijangka perkhidmatan BRT Johor ini akan beroperasi pada 2021 meliputi 90 peratus kawasan Iskandar Malaysia dengan laluan sepanjang 51 kilometer dan mempunyai 39 stesen. Sistem rangkain BRT ini juga akan memastikan sambungan yang lancar dengan Sistem Transit Rapid (RTS), Rel Berkelajuan Tinggi, KTM komuter serta terminal bas antara bandar.

Projek BRT Johor yang dijangka dapat dimulakan pada hujung tahun ini atau pada awal tahun hadapan, dijadual siap pada tahun 2020 nanti. BRT merupakan satu daripada empat inisiatif kerajaan negeri yang dilancarkan bersama-sama tiga lagi termasuk Pelan Induk Kemahiran Johor, Program Perumahan Rakyat dan Dasar Kelestarian Negara.

Sebagaimana sistem BRT telah mendapat sambutan di Lembah Kelang, Selatan Johor yang merupakan kawasan yang sangat pesat pembangunannya, juga memerlukan satu sistem perkhidmatan pengangkutan awam yang cekap rantaiannya dan selesa serta dengan kadar kos tambang yang menjimatkan. Dalam kajian SPAD, sistem BRT Lembah Kelang juga mampu menjimatkan masa penumpang di mana kebiasaan perjalanan dari Kelang ke Kuala Lumpur memakan masa hampir 70 minit tetapi dengan sistem BRT, mereka boleh tiba ke destinasi dalam masa 40 minit sahaja.

Dengan komitmen berterusan kerajaan persekutuan kepada Johor, bukan saja rakyat akan menikmati sistem pengangkutan yang lebih cekap, jimat dan pantas, dengan ini sekali gus dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan.

Friday, October 06, 2017

DATUK WEE KA SIONG ANGGAP SYED SADDIQ MASIH MENTAH DALAM MENCARI PUBLISITI


Syed Saddiq buat pengakuan secara terbuka yang beliau telah cuba disogok dengan sejumlah duit oleh seseorang yang rapat dengan PM Najib Razak agar berhenti menyerang dan meninggalkan negara serta keluarganya turut dimalukan. Walaubagaimanapun, setelah didesak wartawan untuk mendedahkan dokumen dakwaannya, beliau mengelak.

Segala perlakuan Ketua Pemuda Armada ini bagi Timbalan Presiden MCA Datuk Wee Ka Siong sekadar satu gimik politik menjelang pilihanraya sahaja. Hakikatnya jika benar Syed Saddiq ada bukti, seharusnya beliau membuat laporan kepada pihak berkuasa tanpa berlengah lagi dan bukan sekadar membuat pendedahan yang ternyata bermotifkan politik.

Bagi seorang ahli politik yang berpengalaman seperti Datuk Wee, tindakan Syed Saddiq yang baru berjinak-jinak dengan dunia politik ini perlu dianggap sebagai satu sandiwara yang sekadar menghiburkan arena politik negara dan jelas beliau tidak memahamai undang-undang negara.

Pada masa yang sama, satu pendedahan telah didapati dari website Oxford's Master of Public Policy, jumlah yuran tahunan hanyalah £39,992 (RM224,095) untuk kemasukan 2017-2018 dan tidak sepertimana yang diperakui Syed Saddiq yang beliau telah diberi biasiswa sebanyak RM400,000 untuk melanjutkan pelajarannya.

Walaupun cuba menjelaskan tawaran biasiswa RM400,000 merangkumi kos tiket penerbangan, visa dan tanggungan perbelanjaan di Oxford, namun wakil dari Oxford telah mendedahkan yang Syed Saddiq hanya diberi sebahagian biasiswa sahaja. Dan apabila wartawan meminta agar Syed Saddiq mendedahkan siapa penajanya, beliau sekadar menjawab yang segala maklumat berada di Oxford University.

Maka apakah setelah mengetahui yang beliau tidak diberi biasiswa penuh, maka Syed Saddiq telah merekacipta yang beliau telah disogok dengan RM5 juta untuk meninggalkan negara? Apakah Syed Saddiq terlalu terdesak untuk mencari penaja dan apabila gagal, beliau pun membuat keputusan menangguhkan pengajiannya di Oxford.

Bukan sukar untuk mengetahui sandiwara Syed Saddiq. Tuduhannya mengaitkan pegawai PM Najib Razak adalah satu tuduhan serius dan seharusnya mengikut undang-undang, Syed Saddiq membuat laporan polis dan SPRM dan bukan sekadar membuat pendedahan dengan memanggil wartawan untuk membuat pendedahan.

Sememangnya tepat telahan Datuk Wee, Syed Saddiq sekadar mencari publisiti dan tiada yang serius mahupun benar dalam dakwaannya.

Wednesday, October 04, 2017

#PERJUANGAN4ALL, BALIK PULAU, PULAU PINANG - KENALI WAJAH SEBENAR DAP


Salah satu sebab utama mengapa DAP sentiasa anti-UMNO adalah kerana sejarahnya sendiri. UMNO yang wujud 20 tahun lebih awal dari DAP telah bergabung tenaga dengan wakil bangsa Cina melalui MCA dan wakil bangsa India dari MIC, berjuang menuntut kemerdekaan sehingga berjaya. Ketika itu DAP belum lagi wujud dan gabungan parti-parti dalam Perikatan telah bersama-sama berkongsi kuasa tanpa ada politik perkauman.

Malangnya setelah wujud DAP 20 tahun kemudian, dalam beberapa tahun saja, sejarah telah membuktikan tercetusnya tragedi rusuhan kaum di antara bangsa Melayu dan Cina pada Mei 1969. Belum lagi kita sentuh serangan komunis yang telah menyerang negara secara berterusan walaupun setelah mencapai kemerdekaan. Kemudian Singapura pula dihalau dari Malaya kerana mendesak memperjuangkan "Malaysian Malaysia" yang diterajui Lee Kuan Yew yang tidak bersetuju dengan penguasaan UMNO dan Melayu.

Walaupun C. V. Devan Nair adalah pengasas DAP, bila dilihat dari sejarah dan matlamat penubuhannya, parti itu ditubuh hanya 2 bulan selepas Singapura  berpisah dari Malaysia. Oleh kerana PAP telah dibubarkan di Malaysia, agenda China perlu diteruskan, maka Lee Kuan Yew telah mengarahkan Kit Siang kembali ke Malaysia untuk memastikan "Malaysian Malaysia" dapat dilakukan melalui DAP. DAP telah diambilalih oleh Kit Siang dengan memegang jawatan paling berpengaruh iaitu sebagai Setiausaha Agong parti dan Pengarang lidah rasmi mereka, the Rocket.

Sejarah Kit Siang, DAP dan PAP bukan tidak ada yang mengetahuinya tetapi apa yang berlaku hari ini telah membuktikan pendedahan UMNO adalah benar. Dua pilihanraya umum lalu telah memberi kemenangan besar kepada DAP sehingga 80% pengundi cina telah beralih arah kepada kerana dakyah dan doktrin kempen mereka. Akhirnya DAP dapat menguasai Pulau Pinang secara mutlak dan mempunyai pengaruh cukup besar di Kedah, Perak dan Selangor.

Setelah menguasai Pulau Pinang, apa yang disifatkan Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa sebagai nasib rakyat Pulau Pinang hari ini terpaksa memakan buah dan bunga yang busuk kerana sebelum ini terpengaruh dengan buah yang ranum dan bunga yang cantik yang telah dibawa DAP sebenarnya beracun dan busuk, akhirnya mereka tersilap percaturan.

Lihat saja apa yang terjadi kepada rakyat Pulau Pinang yang saban hari terpaksa menanggungnya sehinggakan prestasi ekonomi negeri bertambah merudum, rasuah berleluasa di kalangan pemimpin negeri, malapetaka banjir semakin merosakkan pulau itu dan lebih ketara apabila rakyat tempatan tidak mendapat pembelaan tetapi pelabur dari Singapura dan dari luar negara diberi perhatian.

Permasalahan ini bagi Tan Sri Annuar telah berlaku kerana rakyat tidak memahami asas dan asal kepada sesebuah perjuangan parti sehingga mereka telah terpedaya dengan permainan DAP yang mengamalkan politik kebencian yang memastikan bangsa Cina membenci Melayu, Islam, UMNO, Barisan Nasional dan juga rakan-rakan parti komponen Barisan Nasional yang bukan Melayu.

Jika disingkap sejarah perjuangan UMNO pula, Tan Sri Annuar mendedahkan yang perhimpunan UMNO yang pertama juga turut membincangkan kerakyatan bangsa Cina dan India. Ini jelas menunjukkan UMNO dari awal penubuhannya telah memikirkan kepentingan bangsa lain dan akhirnya berjaya menggabungkan mereka untuk berkongsi kuasa.

Sememangnya nyata, apabila tidak mengetahui asas berpolitik, makan akan jadilah caca marba ibarat terputus dari akar tetapi sekadar nampak daun, bunga dan buah sedangkan benih pokok tidak diambil peduli asal usulnya. Oleh itu, lihatlah DAP dengan wajah sebenar mereka yang bertopeng di sebalik nama parti yang mendakwa mereka adalah sebuah parti demokratik.