Showing posts with label #Perjuangan4All. Show all posts
Showing posts with label #Perjuangan4All. Show all posts

Wednesday, February 21, 2018

#PERJUANGAN4ALL - MAHATHIR GURU TERBAIK DATUK NAZRI AZIZ


Di antara Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang paling lantang dan berani mengkritik politik Dr Mahathir hari ini adalah Datuk Seri Nazri Aziz di samping pemimpin-pemimpin lain seperti Tan Sri Annuar Musa, Datuk Rahman Dahlan, Datuk Salleh Syed Keruak, Datuk Puad Zarkashi dan beberapa pemimpin yang lain.

Ada kalanya beliau nampak terlalu berani dan terlalu kasar apabila mengkritik mantan Presiden UMNO ini dan mengapa ia berlaku?

Satu pengakuan yang tidak ramai tahu. Di dalam program diskusi Perjuangan 4All yang diadakan secara langsung dari Dewan Kesedar Kuala Krai, Datuk Nazri mengaku yang adakalanya beliau terlebih kurang sopan dalam melontarkan kritikannya dan kesemua itu diajar oleh bekas bosnya, Dr Mahathir.

“Sebab itu, saya boleh serang dia kerana dia tahu, saya tahu. Banyak benda yang Dr Mahathir buat sekarang, kalau zaman dia jadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO dulu, dia akan pancung kita, kalau kita buat apa yang beliau buat sekarang ini,” katanya.

Sepanjang berkhidmat di bawah Dr Mahathir, beliau sering menasihatkan betapa penting dan perlunya perjuangan UMNO untuk bangsa Melayu khususnya dan di masa yang sama bangsa-bangsa lain jangan dipinggir dan dianiaya. Kesemuanya itu adalah sepertimana slogan UMNO untuk agama, bangsa dan negara.

Tetapi kesemua itu rupa-rupanya hanya satu pembohongan Dr Mahathir apabila telah bersatu dengan parti yang anti-Melayu dan anti-Islam untuk menentang UMNO. Apakah pendekatan yang terlalu berterus-terang ini perlu dipertikai dan ditegur?

Seperkara lagi, Datuk Nazri juga mengaku yang Dr Mahathirlah yang mengajarnya menjadi kurang ajar kerana baginya guru yang mengajarnya berbuat perkara yang baik tetapi hari ini dia sendiri mengkhianati kata-katanya sendiri. Jika Datuk Nazri mengamuk, ia adalah kerana beliau telah ditipu oleh gurunya Dr Mahathir. Lantas, beliau tidak boleh berdiam diri.

Mengapa pula Dr Mahathir marahkan PM Najib Razak?

Mungkin ramai telah mengetahuinya dan kini disahkan lagi oleh Datuk Nazri. Kesemuanya adalah kerana bagi Dr Mahathir, PM Najib tidak langsung memberi muka kepada anaknya, Mukhriz. Mukhriz kalah di tangan KJ dalam pertandingan Ketua Pemuda, kalah di dalam merebut jawatan Naib Presiden dan paling tidak boleh diterima, apabila Mukhriz digugurkan dari jawatan Menteri Besar Kedah.

Kesemua itu telah membantutkan rancangan Mahathir untuk melihat pewarisnya di tampuk kepimpinan tertinggi parti dan negara.

Apabila PM Najib menghapuskan sistem kouta dalam pemilihan UMNO, Dr Mahathir tidak senang hati kerana politik wang tidak dapat lagi digunakan untuk membeli undi perwakilan saja kerana lebih banyak wang yang perlu ditaburkan kepada bahagian dan cawangan untuk pengaruh undi.

KJ yang dilantik sebagai Menteri juga mendapat tentangan Dr Mahathir dan bukan kerana KJ tiada kredibiliti tetapi takut pengaruh KJ akan lebih luas di akar umbi bagi mengekalkan kedudukannya sebagai Ketua Pemuda. Manakala pertandingan Naib Presiden UMNO, Hishamuddin telah menang tipis dan walaupun diadakan kiraan semula, Mukhriz tetap kalah.

Keputusan PM Najib menggugurkan Mukhriz dari jawatan Menteri Besar Kedah, bukanlah keputusan beliau seorang. Dr Mahathir perlu ingat, ini adalah kehendak hampir kesemua pemimpin UMNO di negeri Kedah. Mukhriz didapati gagal melaksanakan tugasnya sebagai Ketua UMNO Kedah yang mampu melemahkan Barisan Nasional.

Ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO pula telah sebulat suara bersetuju menggugurkan keahlian Mukhriz kerana mencabar institusi Presiden. Apa yang berlaku ke atas anaknya, bukanlah keputusan mutlak PM Najib seorang sepertimana yang sering dilakukan Dr Mahathir ketika beliau adalah Presiden UMNO. PM Najib mementingkan suara majoriti pemimpin UMNO dan ini tidak disenangi Dr Mahathir.

Oleh itu, jika guru yang pernah mengajar anak muridnya supaya kencing berdiri tetapi beliau juga sudah mula kencing berlari, apakah perbuatan guru itu perlu didiamkan? Jika ada yang ingin mengikuti langkah guru itu, beliau janganlah marah tetapi terpaksa terima padah dari ajaran songsangnya.

Friday, November 10, 2017

Annuar Musa : SERANG! SERANG! SERANG!


Beza ketara di antara politik pembangkang terutamanya Pakatan Harapan (PH) yang dikawal rapi DAP dengan Barisan Nasional (BN) yang ditunjang UMNO adalah PH gemar menimbulkan kebencian tetapi BN lebih pentingkan hakikat kejayaan negara yang dipimpin PM Najib Razak. Namun sekiranya segala kejayaan dan kegemilangan negara tidak disambut baik oleh ahli UMNO sendiri, siapa lagi?

Hari ini, senario politik tanahair terutamanya di Selangor adalah sangat berbeza memandangkan negeri terkaya di Malaysia ini sekarang di bawah pentadbiran pembangkang sejak dua PRU lalu. Perlu diingatkan, pembangkang menang bukan kerana mereka terlalu kuat tetapi mereka berjaya menabur persepsi negatif terhadap BN dan terutamanya UMNO dengan segala tohmahan, fitnah dan berita palsu.

Di ketika itu, apabila PM Najib Razak baru mengambil tampuk kepimpinan di mana negara sedang bergelut berhadapan krisis ekonomi global, tempiasnya Malaysia juga terkesan akibat daripada kejatuhan harga minyak dunia di paras yang rendah dan juga nilai ringgit yang goyang. Kemudian timbul pula isu 1MDB yang digagalkan penyenaraiannya di IPO yang menimbulkan pelbagai spekulasi dan persepsi negatif bukan saja di dalam tanahair malahan segala yang berkenaan 1MDB mendapat liputan negatif di media antarabangsa.

Kemudian, UMNO sekali lagi berhadapan dengan pergolakan kepimpinan apabila Dr Mahathir menggerakan serangan ke atas kepimpinan PM Najib Razak sehingga Muhyiddin, Shafie dan Mukhriz terpaksa dipecat demi kembalikan keutuhan parti terbesar Melayu ini.

Namun, dengan barisan kepimpinan negara yang diketuai PM Najib Razak, segala krisis dan isu ekonomi serta 1MDB telah berjaya ditangani satu persatu dengan penuh kejayaan dan megahnya.

Kedudukan ekonomi semakin mantap dan segala pembangunan yang dirancang mampu diteruskan malah projek mega seperti MRT telah disiapkan lebih awal mengikut jadual dan berjaya menjimatkan RM20 juta dengan kendalian anak tempatan sendiri. GST yang kononnya menghimpit kehidupan rakyat, kini ternyata mampu menjadi sumber pendapatan negara apabila tercatat kutipannya lebih dari RM40 bilion pada akhir tahun 2016.

Isu 1MDB diselesaikan dengan siasatan PAC, PDRM, Bank Negara dan SPRM. Akhirnya terbukti yang PM Najib Razak terbukti tidak terlibat dalam segala kelemahan pengurusan kewangan 1MDB sebagaimana yang dimuktahirkan Timbalan Pengerusi PAC dari DAP, Dr Tan Seng Giaw. Malahan apabila 1MDB telah berjaya membayar hutangnya melebihi 80% dengan rancangan rasionalisasinya yang kini diletakkan di bawah Kementerian Kewangan.

Kononnya negara dibawah kepimpinan PM Najib RAzak sedang berhadapan dengan persepsi negatif global. Tetapi, kita telah menyaksikan beratus bilion pelaburan dari negara-negara ekonomi dunia seperti China, India, Amerika dan Arab Saudi. Apakah benar imej negara dan imej PM Najib Razak terus-terusan sedang tercemar dengan kedatangan Presiden Obama sebanyak 2 kali, Presiden Xi Jinping dan Perdana Menteri Li Keqiang yang berbalas kunjungan dan kedatangan yang tidak pernah berlaku di zaman Dr Mahathir oleh mana-mana Raja Arab Saudi kini Raja Salman telah sudi ke negara kita.

Terkini, Presiden baru Amerika Donald Trump telah menjemput PM Najib secara peribadi ke White House. Kesemua hubungan langsung di antara PM Najib dan mereka telah membuahkan hasil pelaburan beratus bilion ringgit. Apakah kesemua itu bukan kejayaan kepimpinan PM Najib? Apakah kesemua itu malu untuk diceritakan ahli UMNO?

Sebagaimana yang ditegaskan Ketua Perhubungan UMNO Tan Sri Annuar Musa, jentera parti kini terlalu banyak peluru untuk menentang fitnah pembangkang. Justeru, mengapa perlu malu untuk ceritakan kejayaan demi kejayaan kepimpian parti malahan segala kemelut parti juga telah berjaya diatasi dengan penuh megah sehingga mampu memantapkan keutuhan UMNO.

Terbukti, segala penceritaan negatif pembangkang hanyalah satu rekaan yang sengaja dibuat dan diulang-ulang. Oleh itu, tidak ada sebab mengapa jentera UMNO ketandusan maklumat malahan lambakan berita kejayaan kini sentiasa berada di mana-mana terutamanya di hujung jari kita. Malahan dengan kepantasan dan kecekapan menteri dan kepimpinan parti menjawab setiap tuduhan pembangkang perlu disambut dan diperluaskan ke akar umbi.

Seharusnya kedatangan PRU14 ini dimuatkan dan dipenuhi dengan ... SERANG! SERANG! SERANG! dan tiada lagi sebab untuk menjadi defensif.

Monday, October 16, 2017

Perjuangan4All : DAP DAN ISLAM, BERPISAH ITU ADALAH SEMESTINYA


Tidak ada sebab mengapa DAP perlu melenting jika dikatakan mereka dari sejak penubuhan parti itu sehingga kini, tidak akan meneruskan segala agenda Islam dan Melayu. Malahan, selagi ideologi Malaysian Malaysia kekal dalam perjuangan mereka, Kit Siang dan siapa juga yang menerajui DAP kekal anti-Islam dan anti-Melayu.

Oleh itu, jika Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Tan Sri Annuar Musa menegaskan kepada rakyat Malaysia khususnya ahli-ahli UMNO yang mereka hanya ada 2 pilihan, samada memilih BN yang diterajui UMNO atau memilih PH yang dikuasai DAP sebagai kerajaan yang memerintah pada PRU14 akan datang. Ini adalah sangat mustahak!

Kita akan sering mendapati kepimpinan DAP menafikan dakwaan yang mereka menguasai Pakatan Harapan, tetapi sejarah telah membuktikan kepada kita, apabila Pakatan Rakyat dibubarkan dan PAS dinyahkan dari pakatan itu, Anwar dan Wan Azizah yang kononnya adalah Ketua mereka, namun keputusan itu telah diumumkan terlebih dahulu sebelum ketuanya Wan Azizah.

DAP juga tidak akan mampu dapat memadamkan sejarah di Perak apabila Pakatan Rakyat telah berjaya mengambil alih kerajaan negeri pada PRU12 lalu, apabila Menteri Besar dari PAS sekadar dijadikan 'puppet' mereka dan segala keputusan muktamad datangnya dari kehendak DAP dan bukan keputusan bersama.

Baru-baru ini, apabila RUU355 yang melibatkan agenda perundangan Islam, parti-parti rakan di dalam Pakatan Harapan yang kononnya mewakili bangsa  Melayu yang beragama Islam, mereka gagal memberi sokongan dan terpaksa mengeluarkan perbezaan pandangan yang ternyata terpaksa menjaga hati kepimpinan DAP.

Lebih ketara apabila Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor yang sekali lagi dijadikan 'puppet' PH dibawah penguasaan DAP, tidak mampu untuk bersuara tegas menolak acara pesta arak tahunan. Rakyat juga terkejut apabila diberitahu yang agenda Islam dan Melayu tidak pernah dibincangkan di dalam mesyuarat Pakatan Harapan.

Apabila TS Annuar menerangkan apa yang terkandung dalam perlembagaan DAP di mana negara sekularisma adalah perjuangan mereka dan Malaysian Malaysia adalah pegangan mereka, jelas soal agama dan pemerintahan negara diasingkan. Ini bermakna, agenda Islam akan berkubur jika Pakatan Harapan  menang dalam pilihanraya.

Malahan, di dalam kerajaan Pulau Pinang yang kini diterajui DAP, apabila ada mana-mana orang Melayu yang lantang bercakap apa saja yang mampu mencabar kedudukan Islam dan Melayu, mereka diberi kedudukan tinggi dan bergaji lumayan.

Apakah kita masih tidak nampak yang di antara DAP dan agenda Islam, berpisah itu adalah semestinya.

Inilah cabaran perjuangan UMNO apatah lagi ketika pilihanraya umum yang ke 14 berada di penghampiran garisan bagi memilih kerajaan seterusnya. Memberi penerangan seluas-luasnya kepada rakyat agar mereka faham apa yang sedang berlaku di dalam Pakatan Harapan.

Berbeza sekali dengan apa yang dipertahankan kerajaan Barisan Nasional sejak mencapai kemerdekaan di mana kontrak sosial yang telah dipersetujui akan tetap diteruskan. Formula pembentukan negara dan juga perlembagaan yang ada di Malaysia hari ini telah ternyata berjaya sehingga segala nikmat yang dikecapi rakyat berbilang kaum adalah berasaskannya.

TSAM juga mengingatkan yang UMNOlah yang telah menghantar memorandum untuk memastikan  Islam diletakkan sebagai agama Persekutuan bagi Malaysia di dalam Perlembagaan negara dan terus-terusan mempertahankan hak istimewa orang Melayu dan kedudukan Raja-Raja Melayu.

Pilihlah dengan bijak, mengekalkan Barisan Nasional yang diterajui UMNO atau membenarkan kuasa Pakatan Harapan dengan agenda anti-Islam dan  anti-Melayu DAP nanti?

Wednesday, October 04, 2017

#PERJUANGAN4ALL, BALIK PULAU, PULAU PINANG - KENALI WAJAH SEBENAR DAP


Salah satu sebab utama mengapa DAP sentiasa anti-UMNO adalah kerana sejarahnya sendiri. UMNO yang wujud 20 tahun lebih awal dari DAP telah bergabung tenaga dengan wakil bangsa Cina melalui MCA dan wakil bangsa India dari MIC, berjuang menuntut kemerdekaan sehingga berjaya. Ketika itu DAP belum lagi wujud dan gabungan parti-parti dalam Perikatan telah bersama-sama berkongsi kuasa tanpa ada politik perkauman.

Malangnya setelah wujud DAP 20 tahun kemudian, dalam beberapa tahun saja, sejarah telah membuktikan tercetusnya tragedi rusuhan kaum di antara bangsa Melayu dan Cina pada Mei 1969. Belum lagi kita sentuh serangan komunis yang telah menyerang negara secara berterusan walaupun setelah mencapai kemerdekaan. Kemudian Singapura pula dihalau dari Malaya kerana mendesak memperjuangkan "Malaysian Malaysia" yang diterajui Lee Kuan Yew yang tidak bersetuju dengan penguasaan UMNO dan Melayu.

Walaupun C. V. Devan Nair adalah pengasas DAP, bila dilihat dari sejarah dan matlamat penubuhannya, parti itu ditubuh hanya 2 bulan selepas Singapura  berpisah dari Malaysia. Oleh kerana PAP telah dibubarkan di Malaysia, agenda China perlu diteruskan, maka Lee Kuan Yew telah mengarahkan Kit Siang kembali ke Malaysia untuk memastikan "Malaysian Malaysia" dapat dilakukan melalui DAP. DAP telah diambilalih oleh Kit Siang dengan memegang jawatan paling berpengaruh iaitu sebagai Setiausaha Agong parti dan Pengarang lidah rasmi mereka, the Rocket.

Sejarah Kit Siang, DAP dan PAP bukan tidak ada yang mengetahuinya tetapi apa yang berlaku hari ini telah membuktikan pendedahan UMNO adalah benar. Dua pilihanraya umum lalu telah memberi kemenangan besar kepada DAP sehingga 80% pengundi cina telah beralih arah kepada kerana dakyah dan doktrin kempen mereka. Akhirnya DAP dapat menguasai Pulau Pinang secara mutlak dan mempunyai pengaruh cukup besar di Kedah, Perak dan Selangor.

Setelah menguasai Pulau Pinang, apa yang disifatkan Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa sebagai nasib rakyat Pulau Pinang hari ini terpaksa memakan buah dan bunga yang busuk kerana sebelum ini terpengaruh dengan buah yang ranum dan bunga yang cantik yang telah dibawa DAP sebenarnya beracun dan busuk, akhirnya mereka tersilap percaturan.

Lihat saja apa yang terjadi kepada rakyat Pulau Pinang yang saban hari terpaksa menanggungnya sehinggakan prestasi ekonomi negeri bertambah merudum, rasuah berleluasa di kalangan pemimpin negeri, malapetaka banjir semakin merosakkan pulau itu dan lebih ketara apabila rakyat tempatan tidak mendapat pembelaan tetapi pelabur dari Singapura dan dari luar negara diberi perhatian.

Permasalahan ini bagi Tan Sri Annuar telah berlaku kerana rakyat tidak memahami asas dan asal kepada sesebuah perjuangan parti sehingga mereka telah terpedaya dengan permainan DAP yang mengamalkan politik kebencian yang memastikan bangsa Cina membenci Melayu, Islam, UMNO, Barisan Nasional dan juga rakan-rakan parti komponen Barisan Nasional yang bukan Melayu.

Jika disingkap sejarah perjuangan UMNO pula, Tan Sri Annuar mendedahkan yang perhimpunan UMNO yang pertama juga turut membincangkan kerakyatan bangsa Cina dan India. Ini jelas menunjukkan UMNO dari awal penubuhannya telah memikirkan kepentingan bangsa lain dan akhirnya berjaya menggabungkan mereka untuk berkongsi kuasa.

Sememangnya nyata, apabila tidak mengetahui asas berpolitik, makan akan jadilah caca marba ibarat terputus dari akar tetapi sekadar nampak daun, bunga dan buah sedangkan benih pokok tidak diambil peduli asal usulnya. Oleh itu, lihatlah DAP dengan wajah sebenar mereka yang bertopeng di sebalik nama parti yang mendakwa mereka adalah sebuah parti demokratik.