Monday, January 16, 2017

MCA KEPADA DAP DAN MISS KOK : JANGAN PURA-PURA LUPA


Dari sejak DAP ditubuhkan sehinggalah mereka telah bersekongkol dengan Dr Mahathir, nampaknya keseluruhan kepimpinan DAP telah mengalami sindrom penyakit yang gemar dikatakan rakan barunya iaitu - MUDAH LUPA!

Baru-baru ini, salah seorang kepimpinan tertinggi DAP dan juga ahli parlimen Seputeh Teresa Kok telah menganggap yang MCA adalah parti konservatif dan tidak inginkan perubahan. Kenyataan Miss Kok ini timbul setelah mereka terpaksa menerima persahabatan yang dianggap jelek untuk menerima Dr Mahathir dan Muhyiddin sebagai rakan politik mereka.

Miss Kok tanpa segan silu mengaku yang DAP saja yang sentiasa menerima perubahan sedangkan mereka tidak sedar yang prinsip parti mereka yang sentiasa  berubah-ubah. Segala pertukaran prinsip mereka dilakukan DAP hanyalah semata-mata untuk kepentingan politik rakus mengikut kesesuaian keadaan dan ini juga menunjukkan betapa terdesaknya DAP.

Senator Dato Chai Kim Sen yang juga Pengerusi Biro Publisiti MCA ingin mengingatkan Miss Kok tentang 3 perkara yang tidak mungkin akan dilupakan rakyat jelata sehingga bila-bila walaupun beliau bersusah-payah cuba untuk memadamkannya.

Pertama sekali , MCA bukan saja menjadi bahan kritikan DAP malahan Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim juga adalah bahan utama kritikan DAP ketika kedua-dua mereka berada di dalam kerajaan. Pentadbiran PAS di Kelantan dan Kedah juga pernah dijadikan bahan cemuhan dan kritikan DAP.

Apa yang tidak pernah DAP gelarkan Dr Mahathir dan yang paling terkenal adalah gelaran sebagai seorang pemimpin kuku besi, perasuah dan salah guna kuasa. Tetapi setelah Kit Siang membawa masuk Dr Mahathir ke dalam kumpulan pembangkang, segalanya bagai telah terlupa dan malahan Dr Mahathir telah disucikan dari segala tuduhan dan kecaman DAP yang lalu sehingga beliau kini diangkat sebagai hero.

Begitu juga dengan Anwar ketika di zaman Menteri Pendidikannya, beliau dikecam DAP sebagai seorang rasis yang ekstrim apabila cuba menggugat perkembangan pendidikan kebangsaan China. Setelah Anwar dipecat, DAP sanjung beliau sebagai hero dan penyelamat negara. PAS juga tidak terkecuali dan selepas Barisan Alternatif kemudian Pakatan Rakyat, DAP terus sanjung PAS sebagai parti yang sama-sama liberal. Apakah Miss Kok sudah lupa?

Miss Kok tuduh kononnya MCA takut untuk berubah seperti DAP. Di dalam konteks ini, MCA bukan saja tidak mahu berubah malahan pasti tewas dengan DAP dalam perlakuan mereka yang selalu berubah-ubah seperti pendirian MCA yang tidak akan berganjak menentang hukum hudud yang dibawa PAS.

Ketika sedang bertungkus-lumus membersihkan salahlaku Dr Mahathir dan Anwar, DAP juga tidak akan teragak-agak untuk membuat hubungan dengan PAS.

MCA yakin jika PAS terima pinangan mereka untuk sekian kalinya, parti yang pernah mereka cemuh dan kritik, akan disucikan dan segala tindakan saman akan pasti lenyap dan terpadam.

Oleh itu, MCA ingin mengingatkan DAP agar janganlah terlalu bersusah-payah untuk menjadi 'mudah lupa' kerana walaupun mereka terus mencuba, namun ia mudah dibuktikan dengan segala kenyataan lampau yang sedia terbentang dan dibuka semula oleh rakyat untuk dijadikan bukti betapa DAP adalah satu parti yang sebenarnya tidak berprinsip.

Friday, January 13, 2017

SPAD JAWAB ISU CAJ RM800 TEKSI KE ATAS PELANCONG


Adalah tidak adil jika setiap kali terdapat laporan salahlaku pemandu teksi, masyarakat akan terus melemparkan pelbagai tuduhan tanpa mendapat pengesahan daripada pihak-pihak berkuasa.

Justeru, setelah pihak media melaporkan insiden di mana seorang pelancong telah dikenakan tambang yang sememangnya tidak masuk akal sehingga RM800 dari KLCC ke Masjid Negara, pihak SPAD telah pun menjalankan siasatan segera dan pasti terperinci.

Kini terjawab yang pemandu teksi yang ternyata menyalahi etika dan undang-undang Pengangkutan Awam Darat bukanlah seorang pemandu teksi dan kenderaan yang dipandu juga bukan miliknya.

Perkara ini telah disahkan pihak SPAD seperti kenyataan rasmi berikut;


Oleh kerana terlalu banyak tohmahan negatif terhadap pemandu-pemandu teksi, Pengerusi PERS1M juga telah membuat kenyataan ke atas pihak-pihak tertentu yang gemar mencemarkan imej teksi negara. Kenyataanya seperti berikut;

Kenyataan rasmi yang di keluarkan SPAD hari ini (11/01/2017) jelas membuktikan perlaku yang mengenakan Caj RM800 dari KLCC ke Masjid Negara tempoh hari bukan dilakukan oleh seorang pemandu teksi.

Sebaliknya perbuatan tersebut telah dilakukan oleh seseorang yang masih belum di kenal pasti identitinya, tetapi yang jelasnya, dia bukan seorang pemandu teksi.

Mengikut kenyataan rasmi #SPAD, kenderaan teksi yang tidak lagi beroperasi, telah diguna pakai oleh pihak ketiga untuk melakukan aktiviti yang tidak bertanggungjawab, dan sekaligus memberi imej buruk kepada teksi Negara.

Kenyataan rasmi SPAD ini juga secara tidak langsung memberi tamparan hebat kepada kenyataan Menteri Perlancongan, yang sebelum ini mendakwa kononnya Uber dan Grabcar terpaksa diluluskan kerana pemandu teksi sering menipu pelancong.

Saya berpendapat adalah tidak mustahil, jika saya katakan perkara ini sengaja diadakan oleh pihak-pihak tertentu bagi memburuk-burukkan lagi imej TEKSI.

KamalPERS1M

Walaupun kerajaan menggalakkan wujudnya perkhidmatan atas talian seperti GrabCar dan Uber, ini bukan bermakna segala kesalahan datangnya dari industri teksi yang juga mendapat sokongan dan prihatin kerajaan.

Kepada mereka yang ingin bersaing di dalam indsutri teksi, diharapkan mereka melakukannya secara sihat dan bukan dengan cara keji untuk mensabotaj periuk nasi orang lain.

Semoga kejadian ini menjadi pengajaran kepada semua pihak yang telah terlibat dan juga mereka-mereka yang ingin mencuba-cuba melibatkan diri mereka di kancah untuk mencabar undang-undang negara kerana SPAD tidak akan berdiam diri malahan jika tertangkap dan didapati bersalah, yang pasti mereka akan didenda dengan hukuman yang paling maksima.

Tiada jalan pintas untuk mencari kesenangan dengan penipuan, malahan ia bukan saja memburukkan diri tetapi mencemarkan segala usaha baik kerajaan dan memburukkan lagi imej industri teksi negara.

Monday, January 09, 2017

MCA, NEGARA CHINA DAN PELABURAN BERBILION



Tatkala negara berjaya mendapatkan puluhan bilion pelaburan dari hasil lawatan PM Najib ke negara China, kita tertanya-tanya apakah hanya disebabkan beliau seorang anak bekas Perdana Menteri yang pertama menjalin hubungan diplomatik dengan China, maka mereka berterusan meletakkan kepercayaan?

Di samping perbezaan pertuturan bahasa, perbezaan budaya, pegangan ugama dan juga sistem pemerintahan yang berbeza, kesemua kepimpinan tertinggi negara China meyakini kita dan apakah rahsia sebenarnya?

Kepimpinan MCA yang diterajui Datuk Liow dengan Timbalannya Datuk Wee adalah hero-hero negara yang tidak didendangkan tetapi telah mendapat kepercayaan penuh kempimpinan Repulik ini dari Presiden Xi Jinping dan Perdana Menterinya Li Keqiang. 

Kekuatan dan kredibiliti kedua-dua pemimpin tertinggi MCA ini juga mendapat keyakinan PM Najib untuk mereka menerajui inisiatif pembangunan rangkaian ekonomi Republik China atau lebih dikenali sebagai OBOR atau One Belt One Road ke negara kita.

Walaupun hubungan diplomatik di antara Republik China dan Malaysia telah terjalin sejak sekian lama, namun hubungan ini telah diperkembangkan kepada hubungan perdagangan dua hala yang berjaya sehingga Malaysia diiktiraf sebagai rakan perdagangan utama di rantau ASEAN. 

Kepercayaan kerajaan Republik China terhadap MCA juga telah terserlah apabila pada suatu ketika negara dilanda banjir besar pada tahun 2014, sebahagian derma yang terbesar diterima MCA adalah dari Kedutaan Republik China.

Pentingnya peranan MCA di dalam menerajui pelaburan dari Republik China ini telah diperakui oleh Dr Heng Pek Koon seorang ahli akademi Washington di dalam satu forum bertajuk “The Malaysian Chinese Association: Past, Present and Future” di Wisma MCA anjuran MCA School of Political Studies. MCA bukan saja dijadikan orang tengah malahan rakan berunding untuk pihak usahawan Republik China.

Kesempatan ini perlu diambil sepenuhnya oleh kesemua lapisan pemimpin dan ahli-ahli MCA memperkukuhkan parti mereka serta kembalikan keyakinan masyarakat Cina yang telah ditipu DAP selama ini. 

Selain daripada kekuatan kepimpinan tertinggi MCA, Datuk Seri Ong Ka Chuan juga adalah Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang mampu membantu usahawan di kalangan masyarakat Cina di negara kita.

Dr Heng juga sarankan MCA terus kekal bersama parti-parti komponen lain di dalam BN walaupun berhadapan dengan cabaran ditolak masyarakat Cina. Namun yang lebih penting, MCA perlu terus berkhidmat kepada rakyat, fokus ke atas pendidikan sekolah kebangsaan Cina dan lebih utama memulihkan cawangan-cawangan MCA di serata negara.

Dengan peluang dan amanah yang telah diberikan kepada MCA oleh Perdana Menteri serta kepimpinan tertinggi Republik China, MCA mampu melakukan apa yang DAP tidak dapat lakukan dan buktikan yang MCA adalah satu-satunya parti politik yang benar-benar dapat membela nasib masyarakat Cina khususnya dan rakyat jelata amnya.

 

Thursday, January 05, 2017

MAKMAL BAS, BUKTI KERAJAAN SERIUS TANGANI SEGALA BENTUK KEMALANGAN


Tiga aspek utama yang sentiasa dititikberatkan dalam industri bas oleh pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) adalah meningkatkan mutu perkhidmatan, keselamatan dan kemampanan operasinya. Maka dalam usaha memastikan ia berjalan lancar maka kerajaan bakal menubuhkan Makmal Basbulan hadapan.

Kenyataan ini telah dijelaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri di mana secara terperincinya ia akan merangkumi model perniagaan, cara-cara menangani kekurangan pemandu dan usul-usul bagi memperbaiki kebajikan pemandu. Di samping itu, makmal ini juga akan beri penekanan ke atas pendekatan teknologi, polisi, syarat-syarat pelesenan serta peningkatan mutu terminal dan infrastruktur.

Pihak kerajaan sangan memandang serius ke atas kesemua skala kemalangan samada kecil mahupun besar. Justeru Makmal Bas ini akan melibatkan semua pihak yang berkepentingan di dalam industri ini termasuklah orang awam.

Di samping itu, makmal ini tidak terlepas pandang membincangkan mengenai kadar tambang yang ketika ini dikawal kerajaan.

Di antara cadangan yang akan dibincangkan adalah had umur pemandu bas ekspres yang perlu dikaji semula di mana ramai pemandu terdiri daripada mereka yang pencen dan berumur. Malahan inilah salah satu faktor utama menjadi punca sesuatu kemalangan terutama yang melibatkan perjalanan jauh.

Salah satu komitmen kerajaan untuk mengatasi isu usia pemandu ini adalah mempertimbang kadar lesen memandu bas kerana ketika ini agak terlalu mahal dan berkemungkinan dipertimbangkan untuk menyalurkan bantuan kepada golongan muda agar lebih ramai yang mampu memperolehinya.

Akhirnya kesemua maklumat yang terkumpul akan dibawa ke kabinet bagi membolehkan kerajaan mengenal pasti langkah terbaik kepada semua pihak dan terutamanya memastikan keselamatan penumpang.

Pada masa yang sama, menjelang cuti perayaan Tahun Baru Cina akan datang, pihak kerajaan telah mengarahkan SPAD untuk menggandakan audit berasaskan risiko ke atas pengendali-pengendali bas ekspres bagi memastikan pematuhan ke atas Kod Amalan Industri SPAD-Keselamatan (ICOP) demi keselamatan penumpang.

Monday, January 02, 2017

PRESIDEN MCA : 2017 ADALAH TAHUN RAKYAT MENENTANG ELEMEN NEGATIF


Setelah berjaya mengharungi rintangan dan dugaan selama 12 bulan lalu, kini rakyat Malaysia diajak untuk menentang segala elemen negatif yang sengaja diada-adakan pembangkang dan menjelang 2017, semua rakyat Malaysia perlu bangkit untuk menentangnya. Itu adalah intipati ucapan tahun baru Presiden MCA, YB Dato' Sri Liow Tiong Lai yang juga merangkap Menteri Pengangkutan Malaysia.

MCA mengajak mengimbau kembali bagaimana kebijaksanaan kepimpinan YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia telah menangani kemelut ekonomi yang bukan saja melanda negara malahan di seluruh dunia juga. Namun terbukti langkah-langkah yang tepat dan pro-aktif kerajaan yang diterajui Barisan Nasional telah mampu serta berjaya membawa masuk pelaburan langsung asing terutamanya dari negara-negara gergasi seperti Cina dan juga Jepun.

Kejayaan seperti inilah yang sangat ditakuti pembangkang apabila negara masih mempamerkan daya ketahanan dan seterusnya mengatasi apa jua cubaan sehingga menimbulkan keyakinan negara-negara gergasi membuat pelaburan yang bernilai berbilion ringgit. Malahan tuduhan negara bankrap yang sering dikatakan pembangkang telah ternyata meleset apabila kerajaan BN telah sempurnakan Fasa 1 MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang.

Malahan kesinambungannya pula, rakyat bakal menikmati kemudahan akses dengan pengumuman projek landasan kereta api di antara bandar seperti Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT) dan Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) serta projek antarabangsa seperti Projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) Malaysia - Singapura. Kesemua projek ini adalah agar rakyat dapat menikmati kemudahan akses dan secara tidak langsung dapat meningkatkan kualiti hidup mereka melalui peluang perkembangan untukk perniagaan tempatan.

Di samping itu, Datuk Liow selaku Menteri Pengangkutan juga telah memaklumkan yang Fasa 1 untuk Pelan Logistik dan Perdagangn telah berjaya dilaksanakan yang merangkumi pelarasan pangkalan data logistik nasional dan penambahbaikan produktiviti pengangkutan fret. Kejayaan ini merupakan satu petanda yang sangat memberangsangkan untuk transformasi negara sebagai hab logistik yang berdaya saing di rantau ASEAN.

Perpaduan dan kekuatan politik di antara parti-parti komponen Barisan Nasional juga memainkan peranan penting di dalam meyakinkan pelaburan berbilion ringgit ini. Segala perancangan kerajaan BN tidak akan tercapai jika rakyat akan terikut-ikut dan termakan hasutan pembangkang yang sering memupuk sikap perpecahan dan permusuhan.

Hanya dengan sebuah parti politik seperti BN saja yang mampu membawa negara dan rakyat ke tahap yang lebih baik dan tiba masanya rakyat menentang segala elemen negatif yang dibawa pembangkang dan seterusnya menyemai semangat kesederhanaan dan kesatuan yang telah diterapkan oleh bapa-bapa pembangun negara dan ia adalah sangat penting demi kemajuan Malaysia.