Monday, July 25, 2016

SPAD JELASKAN KENAPA TEKS1M TIDAK GAGAL DAN LAPORAN BH PERLU ADIL


Adalah menjadi tanggungjawab pemberita dan pihak-pihak media memelihara integriti dan kesahihan berita yang mereka laporankan dan bukan sekadar ingin menjadikan tajuk berita sebagai sesuatu yang sensasi untuk melariskan jualan akhbar mereka semata-mata.

Pada 20 Julai 2016, satu laporan dari Berita Harian (BH) yang bertajuk ‘TEKS1M gagal jadi ikon negara' pasti akan dijadikan maklumat sensasi kerana BH merupakan salah satu media perdana yang dikatakan pro-kerajaan dan 'TEKS1M pula adalah projek cetusan dari ide Perdana Menteri Najib Razak sendiri yang telah diamanahkan kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Perkataan 'gagal' ada terlalu negatif untuk menghukum projek 'TEKS1M' sedangkan penjelasan di pihak yang dipertanggungjawabkan belum dan tidak diambilkira. Sebagai media arus perdana yang menyokong kerajaan, adalah lebih tepat jika tajuk beritanya lebih kepada membuat persoalan dan bukan dijadikan kenyataan.

Oleh itu, sebagai suruhanjaya yang telah dipertanggungjawabkan kerajaan di bawah kepimpinan PM Najib Razak, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) memberi penjelasan bagi menjawab setiap persoalan dan keraguan seperti maklumbalas rasmi di bawah;


Seharusnya penjelasan dari pihak SPAD didahulukan dan bukannya rencana-rencana dari pihak yang tidak berpengetahun dijadikan bahan berita. Walaupun ia mungkin dianggap sebagai strategi untuk menarik minat pembaca, namun jika berita yang ingin disampaikan adalah maklumat yang tidak tepat, pasti integriti sesebuah akhbar itu akan terjejas.

Diharap pihak editor Berita Harian tidak mengikut jejak langkah MalaysiaKini yang sering sarat dengan putar belit beritanya sehingga rakyat Malaysia telah melabelkan ia sebagai portal berita anti-kerajaan dan penyebar berita-berita palsu. Dunia hari ini, maklumat berada di hujung jari dan jika dibaca artikel yang dikeluarkan BH tanpa disiarkan penjelasan dari pihak SPAD, apakah persepsi pembaca mampu diubah agar menerima penjelasan yang betul?

Kita bernasib baik apabila SPAD pantas menjawab dan menerangkan segala kekeliruan agar kita mendapat gambaran yang jelas dan benar. Andaikata ini berlaku di zaman segalanya terpaksa bergantung kepada laporan akhbar seperti Berita Harian, yang pasti rakyat akan melihat kerajaan kepimpinan PM Najib gagal membela nasib pemandu teksi justeru seorang pemimpin yang sangat lemah.

Adalah menjadi harapan agar setiap laporan berita lebih menunjukkan integriti sebagai laporan yang benar dan tepat daripada memilih untuk menjadi popular yang sarat dengan berita-berita yang tidak adil dan tidak benar. Rakyat telah bijak menilai dan jangan sehingga kepercayaan rakyat terhapus kerana memilih berita-berita palsu. 

 

Wednesday, July 20, 2016

MCA ANGGAP DR MAHATHIR SEORANG YANG TIDAK BERETIKA BILA BERPALING TADAH


Isu yang sedang hangat diperkatakan sekarang ialah apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sedang giat membentuk pakatan pembangkang baru dan bagi MCA, ia adalah satu tindakan mantan PM ini yang tidak beretika kerana berpaling tadah terhadap parti politik yang telah meletakkan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun.

Tindakan Dr Mahathir dilihat sebagai membelot kesetiaan ahli-ahli Barisan Nasional. Kenyataan ini telah dibuat oleh Setiausaha Agung MCA Datuk Seri Ong Ka Chuan memandangkan sokongan padu yang pernah diberikan kepada Dr Mahathir selama 22 tahun dan malangnya mantan PM ini memilih untuk  menentangnya pula bersama-sama barisan pembangkang.

Walaupun keputusan Dr Mahathir untuk bekerjasama dengan pakatan pembangkang dilihat MCA sebagai tidak beretika namun memandangkan Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, ia adalah hak beliau. Namun MCA tidak akan mengabaikan pengaruh Dr Mahathir dan sentiasa memantau perkembangan yang berlaku dan terlalu awal untuk mengatakan ia bakal memberi ancaman kepada parti gabungan Barisan Nasional.

Di antara perkembangan yang perlu diperhatikan termasuklah persetujuan parti-parti pembangkang untuk bekerjasama di mana pertubuhan pakatan baru ini masih di peringkat pelancaran tanpa belum ada apa-apa pertubuhan yang rasmi. Kita juga telah menyaksikan ada di antara parti pembangkang yang menolak untuk bekerjasama seperti PAS dan PKR yang berbelah bagi pendirian pemimpin-pemimpinnya. Walaupun pada peringkat awal ini, kepimpinan tertinggi DAP seperti Lim Kit Siang sentiasa menghadirkan diri sepentas dengan Dr Mahathir, kedengaran secara lantang juga ada di antara pemimpinnya yang meragui Dr Mahathir.

Bagi Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai pula, beliau menganggap ia sebagai satu tindakan terdesak seorang lelaki dan akan berakhir sebagai usaha yang sia-sia. Pandangan Datuk Liow adalah benar kerana baginya perjuangan Dr Mahathir adalah didorong oleh kepentingan peribadi manakala pergaduhan sesama pemimpin Pakatan Harapan yang tiada akhirnya akan lebih menyulitkan.

Seperkara yang perlu diberi perhatian apabila Timbalan Menteri Dalam Negeri menjelaskan bahawa pihak kementerian masih belum menerima apa-apa permohonan rasmi dari pihak Dr Mahathir untuk menubuhkan parti baru untuk dipertimbangkan sebelum kelulusan diberi. Sememangnya bukan mudah untuk menubuh sebuah parti politik baru kerana beberapa aspek penting perlu disemak terutama sumber kewangan mereka kerana ia penting untuk mengetahui samada sumbernya datang dari luar yang berkemungkinan berniat jahat terhadap negara kita.

MCA sebagai rakan politik di dalam Barisan Nasional terlalu kecewa dengan tindakan Dr Mahathir ini memandangkan MCA sentiasa berada bersama-samanya di dalam setiap ketika terutama di saat-saat genting yang menyaksikan mantan PM ini diserang dari pelbagai pihak ketika Anwar Ibrahim disingkirkan dan populariti Dr Mahathir tercalar.

Sejarah sejak merdeka juga menyaksikan bagaimana MCA sentiasa menyokong Dr Mahathir ketika diasak dan dibuli di pentas pembangkang terutama dari pihak DAP. Maka apabila Dr Mahathir bekerjasama dengan DAP untuk menjatuhkan Barisan Nasional, ini yang dikatakan tindakan yang tidak beretika dan berpaling tadah kepada rakan seperjuangan.

APA YANG DIPERSETUJUI DI ANTARA KERAJAAN MALAYSIA DAN SINGAPURA DALAM PROJEK KERETAPI LAJU?


Saat yang dinantikan untuk merealisasi impian rakyat Malaysia melihat projek mega keretapai laju KL-Singapura telah menjadi kenyataan apabila termeterainya perjanjian di antara kedua-dua negara ini. Perjanjian telah ditandatangani oleh Datuk Abdul Rahman Dahlan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang mewakili Malaysia manakala Singapura pula telah diwakili Menteri Infrastruktur dan Pengangkutannya, En Khaw Boon Wan.

Perjanjian bersejarah ini telah disaksikan oleh kedua-dua Perdana Menteri PM Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan PM Lee Hsien Loong. Sekali gus ini menandakan komitmen tinggi kedua-dua pemimpin negara ini untuk meneruskan projek keretapi laju yang telah diumumkan buat pertama kalinya oleh kedua-dua pemimpin tertinggi ini pada February 2013.

Pasti ramai tertunggu-tunggu apakah intipati perjanjian yang telah dipersetujui di antara kedua-dua negara ini setelah perbincangan demi perbincangan telah diadakan sehingga ada yang cuba membuat beberapa spekulasi.

Berikut adalah 8 rumusan daripada intipati perjanjian yang telah dipersetujui bersama oleh kerajaan Malaysia dan Singapura;

1. Bertanggungjawab untuk membangun, membina dan menyenggara infrastruktur awam dan stesen dalam negara masing-masing di mana di Malaysia akan dilaksanakan oleh MyHSR Corporation dan The Land Transport Authority (LTA) di Singapura pula.

2. Melantik melalui tender antarabangsa sebuah syarikat aset bagi menyediakan dan menyenggarakan aset-aset HSR (High Speed Rail), khususnya gerabak keretapi serta apa saja yang berkaitan dengan sistemnya seperti  trek, janakuasa, isyarat dan telekomunikasi.

3. Melantik melalui tender antarabangsa dua syarikat keretapi. OpCo International akan mengendalikan perkhidmatan HSR antarabangsa yang merangkumi jangkamasa perjalanan keretapi selama 90 minit, perjalanan tanpa henti di antara Bandar Malaysia-Singapore Express Service dan perkhidmatan 'shuttle' Iskandar Puteri ke Singapura. Syarikat OpCo tempatan akan mengendalikan segala perkhidmatan domestik dalam Malaysia.

4. Segala kemudahan Kastam, Imigresen dan Kuarantin atau Customs, Immigration and Quarantine (CIQ) di 3 lokasi dikendalikan bersama iaitu di Singapura, Iskandar Puteri dan Kuala Lumpur. Setiap penumpang dari luar negara perlu menjalani pelepasan CIQ kedua-dua pihak berkuasa negara sewaktu masa pelepasan dan bukan ketika masa ketibaan seperti lazimnya.

5. Membentuk jawatankuasa bilateral dengan wakil-wakil daripada kedua-dua kerajaan untuk mengawal selia perkhidmatan merentas sempadan (Ekspres dan Shuttle) serta isu-isu yang mungkin memberi kesan kepada perkhidmatan ini serta perkara-perkara lain yang melibatkan kepentingan bersama.

6. Membentuk Pasukan Projek Bersama untuk mengurus hal ehwal bersama di dalam aspek perancangan projek dan kerja-kerja pembangunan sebelum operasi dimulakan.

7. Bersama-sama menawar tender antarabangsa pada bulan Ogos 2016 untuk melantik Rakan Kongsi Pembangunan Bersama bagi persediaan sokongan teknikal termasuk perkara-perkara yang melibatkan sistem komunikasi dua hala dan integrasi.

Yang paling penting adalah;

8. Bersama-sama berusaha untuk memastikan projek keretapi laju KL-Singapura dapat memulakan operasi seperti dijadualkan pada 2026.


Di antara perkara yang perlu kita ketahui adalah mengetahui siapakah pihak-pihak yang bertanggungjawab secara langsung untuk mempastikan projek mega ini berada di landasan yang betul dan segala perancangan dapat dilaksanakan secara teratur dan berjaya.

SPAD  - Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat adalah pihak diberi tanggungjawab bagi pihak kerajaan Malaysia sebagai perancang, pengawalselia dan penguatkuasa untuk semua urusan hal-hal tanah pengangkutan awam. Ditubuhkan pada 3 Jun 2010 di bawah Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat 2010, Suruhanjaya adalah di bawah bidang kuasa Perdana Menteri Malaysia secara langsung.

MyHSR Corporation - Syarikat yang dimilik penuh Pebadanan Menteri Kewangan Malaysia telah ditubuhkan pada tahun 2015 khusus untuk projek keretapi laju KL-Singapura. Syarikat ini bertanggungjawab memastikan perjalanan, perkembangan dan perlaksanaan projek ini.

LTA - Land Transport Authority adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pengangkutan Singapura. Kumpulan HSR di dalam LTA bertanggungjawab untuk aspek pembangunan rekabentuk kejuruteraan dan pelaksanaan projek yang bekerjasama rapat bersama-sama agensi-agensi berkaitan di antara kedua-dua negara Malaysia dan juga Singapura.
 

Monday, July 18, 2016

BILA KEMALANGAN BERLAKU, APA PERANAN SPAD?


Setiap kali berlaku kemalangan jalanraya yang melibatkan pengangkutan awam, tiga agensi penguatkuasa yang akan terlibat. Pertama ialah pihak PDRM di mana siasatan seperti penglibatan jenayah atau apa-apa kesalahan yang melibatkan Penal Code atau Akta Jalanraya. Keduanya, JPJ akan menyiasat samada terdapatnya kegagalan kenderaan atau pemandunya dan yang ketiga, pihak MIROS akan menyiasat secara terperinci untuk mencari punca kemalangan dan melaporkan kepada Menteri Pengangkutan.

Di mana pula peranan SPAD? Suruhanjaya ini adalah agensi terakhir di mana segala hasil siasatan dari PDRM, JPJ dan MIROS, pihak SPAD perlu mengambil tindakn untuk menggantung syarikat operator atau tidak.

Inilah proses-proses yang perlu dilalui sebelum sebarang tindakan diambil pihak SPAD dan pastinya ia memerlukan masa apabila maklumbalas laporan dari ketiga-tiga agensi yang terlibat juga perlu berasaskan undang-undang negara.

Begitulah penjelasan Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar ketika ada pihak yang mempersoalkan apa sebenarnya peranan SPAD serta agensi-agensi penguatkuasa setiap kali berlakunya kemalangan jalanraya di mana sering berlaku ketika menjelang waktu perayaan.

Di dalam kes kemalangan berhampiran Terowong Menora yang melibatkan bas ekspres Qistina, keputusan untuk menggantung lesen syarikat pengendali ini tidak terlepas dari proses-proses yang disebutkan Tan Sri tadi. Malahan, keputusan tidak terus diambil sebelum pihak bas ekspres Qistina memberikan surat tunjuk sebab terlebih dahulu. Hanya selepas pihak SPAD berpuas hati bahawa terbukti ada dan kesalahan bersabit, maka barulah tindakan menggantung leses mereka dilaksanakan.

Kemalangan bukan sesuatu yang boleh sesiapa jangka, maka menurut Tan Sri Syed walaupun lesen telah digantung namun tiket-tiket telah pun dibeli penumpang, sebagai pihak yang bertanggungjawab, SPAD mensarankan agar tambang dikembalikan atau bekerjasama dengan pihak TBS untuk diberi bas yang lain.

Perlu juga dijelaskan yang pihak SPAD tidak memiliki rekod pemandu bas di mana segalanya berada di dalam bidang kuasa JPJ. Pada lazimnya, JPJ akan memaklumkan pihak SPAD ketika kemalangan telah berlaku, sejarah rekod pemandu sebelum keputusan penggantungan lesen PSV pemandu diambil. Pihak SPAD juga tidak menyimpan rekod jenayah seseorang pemandu yang hanya disimpan pihak polis.


Oeh itu, langkah yang terbaik adalah agar di antara pihak polis, JPJ dan SPAD berkongsi maklumat ke atas rekod seseorang pemandu. Pihak SPAD hanya mampu bertindak ke atas 2 perkara iaitu samada kesalahan itu adalah kesalahan kecuaian berat atau jenayah dan samada syarikat pengendali telah mematuhi I-She-Cop di mana tindakan mengikut sewajarnya tertakluk di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Daripada seseorang itu mempertikaikan samada SPAD seharusnya diletakkan di bawah Kementerian Pengangkutan, Tan Sri Syed Hamid berpendapat adalah lebih baik ditumpukan persoalan pokok berkenaan kemalangan kerana kemalangan yang berlaku bukanlah disebabkan SPAD yang sekarang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri dan bukan di bawah MOT.

Saturday, July 16, 2016

PILIHANRAYA AWAL TERNYATA GIMIK POLITIK DAP - DATUK WEE


Tepat sekali telahan Datuk Wee Ka Siong, Timbalan Presiden MCA yang seharusnya dilakukan Lim Guan Eng adalah membersihkan namanya di mahkamah dan bukan cadangan untuk mengadakan pilihanraya negeri awal di Pulau Pinang untuk menagih gimik politik DAP. 

Malahan alasan yang diberi untuk mengukur sentimen rakyat untuk Lim Guan Eng kerana pertuduhan rasuah terhadapnya hanyalah semata-mata untuk mengalih tumpuan rakyat ke atas kesalahan Guan Eng sebagai seorang individu yang berjawatan Ketua Menteri dan penjawat awam. 

Guan Eng juga menuduh yang mahkamah telah berlaku tidak adil dan terpilih sehingga ia menuduh ini adalah penganiayaan politik terhadap dirinya daripada pihak lawan. Tetapi apabila Guan Eng menang dalam mana-mana saman mahkamah, ia dianggap keadilan untuknya tapi apa yang menimpa beliau sekarang walaupun belum pun bermula tapi Guan Eng telah mengheret rakyat Pulau Pinang dalam kesalahan peribadinya.

Perlu diingat yang pertuduhan ke atas Guan Eng adalah menggunakan kedudukannya sebagai Ketua Menteri untuk kepentingan peribadi dan isterinya, Betty Chew Gek Cheng, dengan meluluskan urusan menukar status sebidang tanah daripada tanah pertanian kepada tanah kediaman dan memindah miliknya kepada sebuah syarikat, Magnificient Emblem Sdn. Bhd.

Pertuduhan kedua, beliau dituduh mendapatkan untuk dirinya dan isteri secara rasuah sebidang tanah serta banglo di 25, Jalan Pinhorn, George Town daripada seorang ahli perniagaan wanita, Phang Li Koon pada harga RM2.8 juta. Di mana terlibatnya rakyat Pulau Pinang melainkan ia adalah kesalahan rasuah Guan Eng itu secara individu?

Oleh itu, persoalan yang ditimbulkan Datuk Wee adalah apakah mahkamah telah bersifat berat sebelah ketika kes Guan Eng belum lagi bermula perbicaraannya dan sekadar dibacakan pertuduhan? Siapa sebenarnya yang tidak berlaku adil di sini? Samada Guan Eng melakukan kesalahan atau pun tidak, dia sepatutnya membuktikan di mahkamah dan bukan mengheret rakyat bersamanya.

Lebih kelakar apabila diimbas kembali kenyataan Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua yang tidak bersetuju Guan Eng bercuti walaupun dalam kenyataannya terdahulu menegaskan yang Guan Eng perlu berbuat demikian sekiranya telah didakwa. Kini, lain pula tindakan DAP, gimik politik yang dikejar tetapi kenyataan sendiri tidak serupa bikin.