Wednesday, July 20, 2016

MCA ANGGAP DR MAHATHIR SEORANG YANG TIDAK BERETIKA BILA BERPALING TADAH


Isu yang sedang hangat diperkatakan sekarang ialah apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sedang giat membentuk pakatan pembangkang baru dan bagi MCA, ia adalah satu tindakan mantan PM ini yang tidak beretika kerana berpaling tadah terhadap parti politik yang telah meletakkan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun.

Tindakan Dr Mahathir dilihat sebagai membelot kesetiaan ahli-ahli Barisan Nasional. Kenyataan ini telah dibuat oleh Setiausaha Agung MCA Datuk Seri Ong Ka Chuan memandangkan sokongan padu yang pernah diberikan kepada Dr Mahathir selama 22 tahun dan malangnya mantan PM ini memilih untuk  menentangnya pula bersama-sama barisan pembangkang.

Walaupun keputusan Dr Mahathir untuk bekerjasama dengan pakatan pembangkang dilihat MCA sebagai tidak beretika namun memandangkan Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, ia adalah hak beliau. Namun MCA tidak akan mengabaikan pengaruh Dr Mahathir dan sentiasa memantau perkembangan yang berlaku dan terlalu awal untuk mengatakan ia bakal memberi ancaman kepada parti gabungan Barisan Nasional.

Di antara perkembangan yang perlu diperhatikan termasuklah persetujuan parti-parti pembangkang untuk bekerjasama di mana pertubuhan pakatan baru ini masih di peringkat pelancaran tanpa belum ada apa-apa pertubuhan yang rasmi. Kita juga telah menyaksikan ada di antara parti pembangkang yang menolak untuk bekerjasama seperti PAS dan PKR yang berbelah bagi pendirian pemimpin-pemimpinnya. Walaupun pada peringkat awal ini, kepimpinan tertinggi DAP seperti Lim Kit Siang sentiasa menghadirkan diri sepentas dengan Dr Mahathir, kedengaran secara lantang juga ada di antara pemimpinnya yang meragui Dr Mahathir.

Bagi Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai pula, beliau menganggap ia sebagai satu tindakan terdesak seorang lelaki dan akan berakhir sebagai usaha yang sia-sia. Pandangan Datuk Liow adalah benar kerana baginya perjuangan Dr Mahathir adalah didorong oleh kepentingan peribadi manakala pergaduhan sesama pemimpin Pakatan Harapan yang tiada akhirnya akan lebih menyulitkan.

Seperkara yang perlu diberi perhatian apabila Timbalan Menteri Dalam Negeri menjelaskan bahawa pihak kementerian masih belum menerima apa-apa permohonan rasmi dari pihak Dr Mahathir untuk menubuhkan parti baru untuk dipertimbangkan sebelum kelulusan diberi. Sememangnya bukan mudah untuk menubuh sebuah parti politik baru kerana beberapa aspek penting perlu disemak terutama sumber kewangan mereka kerana ia penting untuk mengetahui samada sumbernya datang dari luar yang berkemungkinan berniat jahat terhadap negara kita.

MCA sebagai rakan politik di dalam Barisan Nasional terlalu kecewa dengan tindakan Dr Mahathir ini memandangkan MCA sentiasa berada bersama-samanya di dalam setiap ketika terutama di saat-saat genting yang menyaksikan mantan PM ini diserang dari pelbagai pihak ketika Anwar Ibrahim disingkirkan dan populariti Dr Mahathir tercalar.

Sejarah sejak merdeka juga menyaksikan bagaimana MCA sentiasa menyokong Dr Mahathir ketika diasak dan dibuli di pentas pembangkang terutama dari pihak DAP. Maka apabila Dr Mahathir bekerjasama dengan DAP untuk menjatuhkan Barisan Nasional, ini yang dikatakan tindakan yang tidak beretika dan berpaling tadah kepada rakan seperjuangan.

No comments: