Friday, July 29, 2016

CADANGAN MCA BUKA KEAHLIAN DI KALANGAN BUKAN CINA


Bagi memulakan cadangan membuka keahlian MCA di kalangan rakyat Malaysia yang bukan berbangsa Cina pada masa akan datang, gerakan Pemudanya akan menawarkan keahlian sebagai "ahli bersekutu" dan dipertanggungjawabkan untuk menerajuinya.

Bagi sesetengah pihak ia mungkin sebagai satu kejutan tetapi sebenarnya UMNO juga telah lama membuka keahliannya kepada bukan Melayu iaitu di kalangan Bumiputra dari Sabah, orang asli dan juga dari Siam.

Pada dasarnya, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai telah memberi kelulusan dan ia juga sebagai sebahagian daripada pelan transformasi MCA untuk memperluaskan sokongan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

Pada zahirnya ia nampak mungkin agak mustahil terutama melibatkan dari veteran-veteran MCA, namun cadangan ini adalah satu langkah membuka sokongan yang lebih luas dan mendekati rakyat Malaysia agar lebih memahami dan menerima baik objektikf perjuangan MCA.

Bagi Ketua Pemuda MCA, memandangkan ramai di kalangan pelajar bukan berbangsa Cina yang kini boleh bertutur dan menulis di dalam bahasa Mandarin mahupun Kantonis, ini adalah peluang terbaik bagi mereka merapatkan diri dengan MCA dan memahami dasar-dasar kerajaan dengan lebih baik.

Ketika ini, daripada laporan Setiausaha Agung MCA, pada 3 Sept tahun lepas parti ini mempunyai keahlian seramai 1.07 juta ahli di mana seramai 238,689 adalah ahli Pemudanya. Walaubagaimanapun, cadangan ini akan dibangkitkan pada mesyuarat agung tahunan akan datang dan jika mendapat persetujuan, proses pindaan perlembagaan akan dilaksanakan.

Terdengar juga desas-desus yang salah satu daripada parti komponen BN, The People's Progressive Party (MyPPP), sedang membuka tawaran untuk bergabung dengan parti-parti politik yang lebih senior seperti MCA mahupun Gerakan walaupun hasrat mereka telah ditolak oleh 2 Presidennya yang terdahulu.

Walaubagaimanapun, langkah MCA ini masih di peringkat cadangan dan diharap agar ia dapat memperluaskan lagi pengaruh sokongan di kalangan rakyat Malaysia terutama di kalangan bangsa minoriti seperti Serani dan juga orang asli.
 

No comments: