Tuesday, July 12, 2016

TRAGEDI TEROWONG MENORA - SYARIKAT BAS EKSPRES TERLIBAT BAKAL MENYESAL

Mohd Azharuddin Mat Sah, CEO SPAD

Setiap kali musim perayaan dan kali ini ketika rakyat menyambut Hari Raya Aidil Fitri, kita dikejutkan dengan tragedi kemalangan yang melibatkan bas ekspres di Km265.8 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Terowong Menora.

Nampaknya kempen kesedaran keselamatan jalanraya yang dijalankan pihak kerajaan tidak diambil serius oleh sesetengah syarikat pengendali bas ekspres sehinggakan kemalangan di Terowong Menora telah melibatkan 10 buah kereta dirempuh sebuah bas ekspres.

Oleh itu, sebagai suruhanjaya yang bertanggungjawab mengeluarkan lesen pengendali kepada sesebuah syarikat bas ekspres, maka pihak SPAD juga akan menjalankan penguatkuasaan dan tanggungjawab mereka untuk mengambil tindakan yang setegas-tegasnya ke atas syarikat pengendali yang terlibat.

Walau apa pun alasan yang bakal diberi syarikat pengendali tersebut, SPAD tidak akan teragak-agak untuk menggantung dan berkemungkinan membatalkan lesen pengendali syarikat terlibat. Kepastian ini telah dinyatakan di dalam kenyataan rasmi SPAD oleh Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Azharuddin Mat Sah.

Pihak SPAD juga memberi jaminan untuk memberi kerjasama penuh di dalam siasatan yang telah dimulakan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS). Di antara aspek siasatan yang diberi penekanan adalah kejuruteraan jalan raya serta pengurusan keselamatan dan pengurusan kenderaan dan pemandunya.

Adalah menjadi keutamaan SPAD menjamin keselamatan pengguna di jalan raya samada mereka adalah penumpang mahupun pengguna awam.  Apabila melibatkan pengangkutan awam darat, pihak SPAD tidak sekali-kali akan berkrompomi jika berlakunya kemalangan kerana telah termaktub di dalam syarat-syarat lesen agar aspek keselamatan seharusnya diutamakan syarikat pengendali. 

Aspek keselamatan ini termasuklah keadaan kenderaan awam yang dilengkapi dengan sistem pemantauan serta pemandu yang telah menjalani kursus keselamatan. Oleh itu, sekiranya tragedi Terowong Menora ini adalah akibat daripada kecuaian syarikat pengendali, maka sememangnya dialu-alukan agar pihak SPAD mengambil tindakan setegas-tegasnya terhadap mereka.

Jika ada di antara syarikat pengendali bas ekspres cuba berlaku cuai dan sengaja enggan mematuhi aspek-aspek keselamatan jalanraya, kesalahan yang dilakukan pemandu kenderaan mereka akan berada di mata rakyat secara meluas dalam beberapa ketika saja terutamanya di media-media sosial. Syarikat-syarikat bas ekspres ini perlu mengetahui yang perniagaan mereka bukan sekadar untuk mengaut keuntungan tetapi termasuk juga keselamatan awam.

Kita tunggu tindakan seterusnya dari pihak SPAD dan diharapkan syarikat bas ekspres yang terlibat diberi hukuman yang setimpal tanpa sebarang kompromi.



No comments: