Wednesday, January 28, 2015

HENTI PELABURAN LUAR NEGARA DAN TUMPU PERNIAGAAN TEMPATAN, LANGKAH PENYESUAIAN FELDA


Kejatuhan harga minyak dunia serta tempias yang dialami ringgit Malaysia, menyebabkan kerajaan mengambil langkah untuk mengukuhkannya semula. Ini tidak terkecuali bagi Felda sebagai salah sebuah konglomerat kerajaan membantu langkah-langkah ini.

Langkah serta-merta adalah menghentikan pelaburan baru di luar negara dan memberi tumpuan kepada pelaburan tempatan. Rasional yang telah diberi Tan Sri Isa selaku Pengerusi Felda, di dalam usaha kerajaan untuk mengukuhkan ringgit ketika ini, pelaburan ke luar negara hanya akan akan meningkatkan aliran keluar jumlah mata wang negara di luar negara.

Langkah penyesuaian ini juga melibatkan fokus Felda kepada produk-produk keluarannya dan juga memberi tumpuan kepada pelancongan tempatan. Sekali gus mampu meningkat pendapatan negara dan juga Felda.

Sesuatu yang menarik apabila Tan Sri Pengerusi menyambut baik untuk lebih agresif mempromosi 'Beli Barangan Malaysia' di dalam negara.

Jabatan Pembangunan Usahawan adalah salah satu jabatan diwujudkan Felda yang bertanggungjawab melahirkan usahawan baru selain membangunkan usahawan yang berdaya maju di kalangan warga peneroka dan generasi baharu FELDA.

Pelaksanaan tindakan ini adalah menyokong strategi dan teras FELDA yang kedua iaitu “warga peneroka menjadi golongan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.”. Aktiviti keusahawanan yang dilaksanakan merupakan aktiviti non farm bagi menambah pendapatan warga peneroka selain daripada hasil utama daripada sawit dan getah.

Produk keluaran pengusaha dipasarkan melalui Outlet SAWARI serta Hypermarket seperti Jaya Jusco, AEON Big, Maidin dll. Usaha meningkatkan mutu dan kualiti produk dari segi pembungkusan juga terus dibuat dengan kerjasama SIRIM dan SME Corp melibatkan 20 pengusaha di bawah program SAWARI. 

Pada pertengahan tahun lepas pula, Datuk Seri Najib Tun Razak telah memaklumkan rangkaian pasar raya besar, LuLu Group di Abu Dhabi akan mengimport pelbagai barangan keperluan daripada Felda di bawah jenama 'Felda Best' bernilai RM110.6 juta untuk dipasarkan ke 105 rangkaian perniagaannya di Asia Barat.

Di samping itu, Lulu Group juga akan membuka pasaraya di Malaysia dan Felda akan menjadi penganjur kepada kira-kira 25,000 usahawan yang terdiri daripada peneroka Felda. Pihak Felda akan membantu usahawan terlibat memasarkan pelbagai produk mereka untuk dipasarkan di pasar raya besar berkenaan.

“Produk keluaran Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) pula menerusi syarikat sekutunya, Delima Oil Products Sdn. Bhd. (Delima Oil) dengan jenama Saji seperti Saji Krimer Manis Teh Tarik dan Saji Krimer Sejat Teh-C telah mengeluarkan lebih daripada 50 produk tempatan, telah pun menembusi beberapa pasaran luar seperti Filipina dan Maldives.

Itulah sebahagian produk-produk Felda yang pastinya 'Buatan Malaysia' yang dikatakan Tan Sri Pengerusi perlu dibuat promosi dengan lebih agresif di samping merealisasikan hasrat kumpulan untuk muncul sebagai kumpulan perniagaan tani bersepadu terbesar dunia menjelang 2020.

TUK-TUK BUKAN CADANGAN RASMI SPAD

Dengan tegasnya, Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid memberi respon kepada isu tuk-tuk, beliau tidak pernah keluarkan kenyataan rasmi untuk perkenalkan tuk-tuk atau teksi roda tiga digunakan sebagai kenderaan alternatif awam.

Beliau juga memaklumkan SPAD tiada kuasa untuk bercakap mengenai apa-apa kenderaan awam baru untuk diperkenalkan. Bidangkuasa SPAD hanya mengeluarkan lesen tetapi jika ada yang berminat, SPAD akan menguruskan perbincangan dengan pengguna dan kerajaan. Itu saja!

Sungguhpun Tan Sri pernah menyebut tetapi ia bukanlah perlu dianggap sebagai satu cadangan rasmi di mana reaksi dan maklumbalas pengguna perlu diutamakan sebelum membuat apa-apa berkaitan kenderaan awam seperti yang  dipesan Datuk Seri Najib Razak.

Menariknya, walaupun mendapat reaksi yang pelbagai tetapi ada yang menyambut baik pula.

Dalam mencari formula untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di Ipoh, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu (DPPM) Perak menyokong cadangan  Tan Sri. Manakala Pengerusi Perdagangan dan Industri Produk Halal DPPM Abdullah Sani Shaari berpendapat berkata kenderaan seperti tuk-tuk mampu memudahkan penduduk dan pelancong bergerak dari satu tempat ke tempat lain dan faktor kos tambang juga mampu diatasi berbanding teksi.

Persatuan pemandu teksi pula membantah dengan alasan mampu menjejas pendapatan mereka dan portal-portal berita pembangkang tidak lepas mengkritik cadangan ini dan mencadangkan penggunaan trem lebih berkesan.

Apa yang berada di kepala mereka mungkin tuk-tuk yang hodoh seperti ini;



Tetapi, mungkin SPAD melihat yang ini;


atau yang ini...


 
Jika SPAD memilih tuk-tuk yang lebih moden dengan penampilan yang lebih bergaya, bukankah ia mampu menjadi daya tarikan kepada pelancong? Kenderaan bersaiz kecil ini pasti mampu bergerak ke jalan-jalan yang sukar dilalui kenderaan seperti bas dan teksi dengan lebih mudah, murah dan cepat.

Kita ada beca tradisional di Melaka dan Pulau Pinang yang juga menjadi faktor tarikan pelancong yang membawa pelancong-pelancong dan penduduk sekitar bandar pergi dari satu tempat ke satu tempat yang berdekatan, oleh itu mungkin bandaraya Ipoh perlu diberi peluang untuk menjadikan tuk-tuk sebagai kenderaan awam alternatif.

Jika ada yang risaukan pertambahan pencemaran alam, tuk-tuk yang bakal diperkenalkan perlu lebih bersifat mesra alam dengan menggunakan gas asli untuk kenderaan (NGV) dan bukan bahan bakar seperti minyak petrol.

Kepada pemandu teksi pula, apa kata mereka diberi juga peluang menjadi pengusah tuk-tuk? Bukankah sepatutnya cadangan tuk-tuk ini perlu disambut secara positif untuk menambah pendapatan mereka juga?

Tuesday, January 27, 2015

PERKAHWINAN PAKATAN DI AMBANG PARAH... BETULKE DR MASHITAH?



Seandainya kita adalah penyokong tegar Pakatan Rakyat, apabila membaca artikel Datuk Dr Mashitah di Sinar Harian bertajuk "Pakatan Rakyat jerut leher sendiri", boleh diagak reaksi panas mereka untuk menafikannya tetapi kepada penyokong BN pula, hati-hati permainan politik mereka.

Bermula dengan...
MANTRA yang sering dilaungkan parti yang menganggotai Pakatan Rakyat (PR) ialah ‘ayunan dua peratus undi lagi akan membawa kita ke Putrajaya.’

Namun, Dr Mashitah ingin rakyat semua kembali ingatkan apa yang berlaku sejak Pakatan Pembangkang diwujudkan di antara DAP, PAS dan PKR...

Dua tahun selepas ditubuhkan pada 2008, PR terpalit dengan krisis kepimpinan dan keyakinan yang serius sehingga memaksa Datuk Zaid Ibrahim keluar PKR, dan seterusnya menubuhkan parti baharu.

Selain beliau, berpuluh lagi pemimpin Pas, DAP dan PKR keluar pakatan yang suka berkomplot dan ‘membunuh’ sesama sendiri semata-mata kerana kuasa, kekayaan dan pengaruh.

Kerakusan kuasa Pakatan Pembangkang tidak terhenti di situ walaupun berjaya menambah kerusi di PRU13 terutama PKR. Seterusnya Dr Mashitah mengingatkan kita dengan 'Kajang Move" ...
Paling klasik ialah krisis Menteri Besar Selangor selepas PRU13. Secara tiba-tiba, Adun Kajang letak jawatan untuk memberi jalan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di situ.

Penduduk dan pengundi kawasan Kajang, malah hampir semua ahli dan penyokong PR terkejut dengan tindakan yang dipanggil Langkah Kajang. Dari situ bermulalah satu siri krisis yang panjang membabitkan keseluruhan kepimpinan PKR, DAP dan Pas, serta memalitkan pihak istana Selangor dan memangsakan rakyat Selangor.

PR terpaksa membayar harga politik yang cukup mahal.

Perkahwinan sumbang Pakatan sedang menuju perpecahan dan siapa mampu menafikannya dengan kenyataan ini...
Misalnya, dalam keadaan sekarang, mahukah Pas pinjamkan logonya kepada DAP seperti yang pernah ditawarkan satu masa dulu? Lebih relevan mungkin DAP pun tidak ‘hingin’ lagi.

Dalam parut krisis pergelutan kuasa di Selangor masih ada, PR terjerat lagi dengan isu hukum hudud di Kelantan. Sudah berbulan-bulan, pemimpin Pas dan DAP saling bertikam lidah, menuduh dan mencabar untuk keluar PR.

Yang terkini, DAP dan PAS terus menunjukkan mereka tidak mampu berkongsi kuasa...
Seminggu kebelakangan ini, hubungan Pas dan DAP diuji lagi kerana perbezaan pendapat mengenai pilihan raya kerajaan tempatan. Pemimpin tertinggi kedua-dua parti berkelahi di ruang awam manakala penyokong masing-masing saling mengutuk di ruang media sosial.

Keluh kolumnis Harakah, Lim Hong Siang: “Apakah hubungan PR mampu diperbaiki (dan) kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap PR mampu dikembalikan? Saya tidak nampak ada usaha untuk membubuh noktah kepada kemelut yang sedang berlangsung sekarang.

1 parti ortodok, 1 parti 'kiasu' dan 1 lagi parti liberal  di mana si kiasu dan si liberal mengagongkan kebebasan bersuara tetapi si ortodok seperti selalu lebih gemar mengumpat di belakang. Ironinya, langkah mereka tetap memakan diri... ini pengakuannya;
Setiausaha Agung Pas Datuk Mustafa Ali bimbang dengan trend pemimpin PR yang sering membuat kenyataan media yang merenggangkan hubungan parti sekutu, mengelirukan ahli dan penyokong parti, serta membuka ruang diserang musuh. Beliau tidak sedar bahawa beliau juga merujuk diri sendiri.

Kata seorang kolumnis Harakah: “Penyatuan fikrah, walak dan kerahsiaan jemaah tidak lagi boleh disandarkan untuk dijadikan asas kekuatan berjemaah. Semuanya dilanggar gara-gara ‘kebebasan bersuara’ dalam media maya yang dianggap seolah-olah platform teragung mengatasi semua disiplin jemaah.

“Amat malang apabila sebahagian sukarelawan maya Pakatan kini bertarung sesama sendiri secara sepenuh masa. Bahkan segelintir daripada mereka langsung tidak menyerang BN lagi, sebaliknya leka menyerang pemimpin dari parti sendiri atau parti politik komponen Pakatan.

Mereka mengambil ‘jalan selamat’ mewujudkan akaun maya menggunakan nama samaran dalam melancarkan serangan terhadap pemimpin tertentu dalam parti sambil mengadu domba, yang boleh bawa perpecahan dalaman.”

Apa yang ditulis oleh Dr Mashitah adalah sangat benar. Jika kita gemar membaca portal-portal akhbar pro-pembangkang, hari ini kita akan lihat bagaimana penyokong-penyokong parti terutama PAS dan DAP membuat komen di antara satu sama lain dengan lebih terbuka dan tanpa kiasan bahasa pun. DAP yang terkenal dengan kelantangannya, tanpa segan silu dan hormat menghentam Presiden PAS dengan pelbagai gelaran dan ini termasuk anak beranak Lim.



Apa pun perang media di antara PAS dan DAP sekarang ini, amat jauh sekali dengan apa yang diamalkan kepimpinan BN dan UMNO sebagai penerajunya. Apakah kita boleh menyaksikan di antara pemimpin-pemimpin BN membuat kritikan sesama mereka secara terbuka di media?

Amalan wasatiyyah yang disarankan Perdana Menteri walaupun di dalam memperjuangkan ideologi politik masing-masing, akan hanya dapat dilihat di antara komponen parti-parti politik Barisan Nasional.

Seharusnya, artikel yang ditulis Dr Mashitah ini mampu membuka mata rakyat agar lebih berhati-hati menentukan masa depan kita ketika pilihanraya nanti.

Walaubagaimanapun, kita janganlah terlalu yakin dengan sandiwara Pakatan ini, kerana menjelang pilihanraya nanti segala tuduhan-tuduhan kesat sesama sendiri akan dilupakan begitu sahaja demi menghancurkan keharmonian rakyat dan kesejahteraan negara.

Baca seterusnya artikel ini, dan nilailah perkahwinan sumbang yang sedang menuju ambang parah... DI SINI

ORANG RAMAI YAKIN KEBERKESANAN @aduanSPAD

Pasti kita semua pernah melihat pelekat SPAD seperti di sebelah pada semua badan kenderaan awam seperti lori, bas, bas sekolah, bas ekspres dan teksi. Pelekat ini telah dikuatkuasakan pada 30 September 2014. Nampaknya pelekat aduan SPAD ini telah mula mendapat perhatian masyarakat dan sepanjang 2014, sebanyak 24,343 aduan telah diterima SPAD dan 97% daripada aduan rakyat telah berjaya diselesaikan.

Namun, selebih 3% daripada aduan yang tidak diselesaikan adalah kerana samada kes tersebut masih di dalam proses siasatan oleh penguatkuasa atau sedang menunggu tindakan mahkamah.

Berbanding aduan pada 2013 sebanyak 10,549, aduan yang diterima pada tahun 2014 adalah sekali ganda dan ini jelas menunjukkan masyarakat yakin dengan cara SPAD menyelesaikan setiap aduan kepada mereka. Kesemua aduan dan maklumbalas yang diterima dari masyarakat umum pula akan dibawa ke pengetahuan pengurusan atas dalam proses membuat sesuatu keputusan ataupun pengumuman awam.

Untuk perbaiki lagi perkhidmatan aduan ini, SPAD sedang mempertimbangkan beberapa langkah dan inisiatif termasuk 'web chat' dengan orang ramai, makluman SMS kepada pengadu terhadap aduan yang dibuat dan memberi nombor siri untuk mengetahui perkembangan kes.

Selain daripada itu, langkah seterusnya adalah kaunter bergerak di tempat-tempat strategik supaya orang ramai mudah membuat aduan.

Walaubagaimanapun, setiap aduan perlulah lengkap dengan maklumat ketika membuat aduan kepada SPAD. Ini adalah bertujuan agar tindakan dan siasatan yang akan dijalankan lebih berkesan dan lancar. Di antara maklumat penting yang perlu disertakan adalah maklumat lengkap pengadu seperti nama, nombor kad pengenalan, alamat atau email. Maklumat kes pula seperti tarikh, tempat dan waktu kejadian berlaku, nombor pendaftaran kenderaan dan jenis
kenderaan, syarikat yang terlibat atau mungkin bukti tambahan seperti disertakan juga gambar, video atau apa-apa saja maklumat sokongan.

Perlu diingat, sekiranya maklumat yang diterima SPAD tidak mencukupi dan lengkap, aduan tersebut akan diistilah sebagai surat layang atau mungkin tidak diambil tindakan kerana pihak SPAD akan mengalami kesukaran untuk membuat siasatan seterusnya.

Walaupun terdapat peningkatan aduan terhadap pengangkutan awam, namun daripada aduan-aduan inilah maka kerajaan telah membuat beberapa inisiatif seperti penambahbaikan perhentian bas, pelaksanaan Transit Bas Ekspres dan integrasi tiket. SPAD juga dalam rangka menambah dan menempatkan stesen pengangkutan awam di tempat yang padat dengan penduduk.

Hanya dengan maklumbalas dari kita sebagai pengguna saja yang membolehkan kerajaan menambahbaik sistem pengangkutan sediada dan prihatin pengguna akan sentiasa diberi perhatian ke arah usaha ini.

 

MCA MULA MENCARI CALON PRU 14 DEMI MEREALISASI TRANSFORMASI PARTI


Ketika di dalam ucapan Presiden MCA YB Dato Sri Liow Tiong Lai dalam Program “Teguh Bersama” pada 3 Mei 2014 lalu, ini janjinya;
"MCA telah mengalami kekalahan teruk dalam Pilihanraya Umum pada tahun 2008 dan 2013. Oleh itu, pucuk pimpinan baru parti telah memutuskan untuk melaksanakan transformasi dalam MCA."

Bagi merealisasikan rancangan transformasi parti, salah satu langkah yang telah diambil MCA adalah persediaan PRU 14 dengan pemilihan calun-calunnya. Presidennya sendiri mengumumkan bakat-bakat kepimpinan baru sedang dicari dan diteliti di mana masyarakat tempatan diberi peluang memberi pandangan tentang calon-calon MCA nanti.

MCA juga akan memastikan calon-calon mereka termasuk di dalam kriteria calon yang berkualiti, mempunyai komitmen dan kebolehan untuk berkhidmat kepada rakyat.

Malahan, satu jawatankuasa PRU 14 di peringkat kebangsaan dan bahagian telah ditubuhkan untuk melihat bagaimana MCA boleh mengatasi cabaran yang bakal muncul.

Kita semua ketahui pada PRU 13, majoriti pengundi Cina telah beralih arah kepada DAP dan di antara faktor-faktornya adalah calon yang bertanding. Jika kita lihat DAP telah mengemukakan ramai calon muda dan baru yang berprofil pendidikan yang tinggi. DAP juga telah meletakkan lebih ramai calon wanita muda.

Dahulu, mungkin ramai berpandangan wanita tidak mungkin mampu berkhidmat dengan berkesan sebagai seorang wakil rakyat tetapi pada hari ini hampir kesemua calon wanita yang diletakkan bertanding telah mendapat keyakinan pengundi. Oleh itu, tiba masanya MCA juga perlu memikirkan untuk meletak lebih ramai calon wanita nanti.

Di dalam ucapan Presiden MCA ketika program "Teguh Bersama", beliau telah menggariskan 11 teras utama dalam kerangka program transformasi termasuk di antaranya ialah kaedah pemilihan calon; penubuhan pejabat pilihan raya parti tetap; pembaharuan latihan kader; mekanisme latihan menghadapi pilihan raya serta merangka strategi mendekati golongan belia serta wanita dalam persiapan PRU 14 nanti.

Nampaknya, dengan barisan kepimpinan MCA yang diketuai Datuk Sri Liow Tiong Lai ini serta transformasi parti, seperti satu nafas baru kepada pengundi Cina untuk kembali meyakini MCA semula.

MCA tidak perlu ikut rentak politik benci yang diserapkan DAP dan pengundi Cina tidak perlu terpengaruh dengan hasutan DAP yang terus-terus menggunakan politik rasis.

Dengan pendekatan inklusif dan menghormati parti komponen lain dalam Barisan Nasional, pengundi Cina tidak perlu ragu dengan perkongsian kuasa yang ingin dihapuskan DAP kerana formula inilah yang telah membawa negara ke peringkat lebih maju dan berdaya saing di persada antarabangsa.

Tiba masanya, samada Melayu, Cina dan India tidak lagi berpolitik berpaksikan perkauman tetapi lebih menilai calon parti yang benar-benar mampu berkhidmat dan bukan sekadar menjual modal dan memberi harapan kosong kepada mereka.

Perpaduan di dalam MCA yang telah berjaya diusahakan barisan kepimpinan Datuk Sri Liow Tiong Lai juga adalah antara faktor pengundi Cina perlu kembali memberi kepercayaan mereka.