Wednesday, April 20, 2016

PENDIDIKAN SEKOLAH ECAH - PELAJAR DIGILIS LORI, DITANGGUNG MCDONALD'S MALAYSIA


Cemuhan, fitnah yang dilempar serta kritikan dari pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab terhadap McDonald's Malaysia sekali-kali tidak akan menghalang dan membantutkan usaha kebajikan syarikat makanan segera ini. Malahan bantuan seperti pemberian biasiswa kepada pelajar-pelajar miskin yang layak sentiasa diteruskan dan pencarian pelajar ini dilakukan di setiap negeri di seluruh Malaysia pada setiap tahun.

Di bawah Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia atau Ronald McDonald House Charities Malaysia (RMHC Malaysia) yang dahulu dikenali sebagai Tabung Kebajikan Ronald McDonald Untuk Kanak-kanak Malaysia (RMCC), ia adalah sebuah badan kebajikan berdaftar dan NGO yang telah ditubuhkan pada 15 Februari 1990 bermatlamat untuk membantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik daripada aspek pendidikan, kesihatan dan sosial.

Ecah atau nama sebenarnya Siti Nuraisyah Syahrin telah mendapat perhatian McDonald's Malaysia untuk dijadikan anak angkat mereka. Tragedi malang yang dialami Ecah apabila kakinya putus digilis lori pasir pada awal tahun ini telah diberi tawaran biasiswa berjumlah RM5,000 untuk membiayai pembelajarannya dari tingkatan satu hingga tingkatan lima.

Pelajar ini yang baru berusia 13 tahun telah hilang keupayaan apabila kedua-dua kakinya hilang telah diberi sinar harapan dan suntikan semangat dari RMHC turut menyumbang wang tunai berjumlah RM2,000, buku-buku sekolah bernilai RM300 serta baucar tunai McDonald's bernilai RM400 selama setahun.

Kepulangan Ecah ke Sabak Bernam telah diraikan McDonald's bersama-sama rakan-rakannya, ahli keluarga, guru dan kakitangan McDonald's Sungai Besar dan ia adalah sebahagain daripada tanggungjawab sosial syarikat. Ecah juga telah menerima buku-buku rujukan dan baucar tunai sumbangan McDonald's manakala wang tunai akan dimasukkan ke dalam bank Ecah.

Ecah hanyalah salah seorang daripada beribu-ribu kanak-kanak yang telah mendapat perhatian berterusan McDonald's. Adalah tidak adil sekiranya ada yang mengatakan McDonald's sekadar membuat keuntungan untuk perniagaan tanpa memberi perhatian kepada tanggungjawab sosial.

Di dalam pelbagai inisiatif, RMHC bermatlamat untuk mengukuhkan komitmen McDonald's membantu masyarakat dengan meningkatkan kualiti hidup kanak-kanak kurang bernasib baik.

Sejak 1990, sebanyak RM11 juta telah disalurkan untuk membantu kanak-kanak dari segi kesihatan, pendidikan dan kebajikan. Di antara inisiatif ini termasuklah Rumah Ronald McDonald di Pusat Perubatan UKM untuk kemudahan penginapan kepada pesakit pediatrik dan ahli keluarga mereka di mana lebih dari 600 keluarga telah menginap di sini dan RMHC telah membelanjakan sebanyak RM4.5 juta bagi menampung program ini.

Selain dari itu, RMHC telah membina Bilik Sensori Ronald McDonald dan lebih 5,000 kanak-kanak menggunakan kemudahan yang disediakan di 20 buah bilik di seluruh Malaysia yang membantu perkembangan kanak-kanak istimewa dengan menggunakan peralatan multi deria khas.

Program Ronald McDonald 'Gift of Smile' yang pernah dilancarkan pula adalah untuk mengembalikan senyuman kanak-kanak yang dilahirkan sumbing bibir dan lelangit dan akibatnya mereka mengalami masalah pertuturan serta kesan-kesan psikologi. RMHC Malaysia akan membiayai sepenuhnya kos pembedahan dan pembetulan kanak-kanak ini dan bantuan ini tertumpu kepada golongan keluarga yang berpendapatan rendah.

Sejak program ini mula diperkenalkan pada 2004, lebih daripada 350 kanak-kanak telah menjalani pembedahan yang telah menelan belanja sebanyak RM3 juta.

Bagi program biasiswa Ronald McDonald yang dijalankan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia pula, ia adalah bantuan kewangan bagi pelajar cemerlang dari golongan keluarga berpendapatan rendah. Sehingga kini, lebih dari 500 pelajar telah mendapat manfaat dan bantuan yang diberikan berbentuk elaun untuk makanan, di samping sejumlah wang tambahan pada awal tahun untuk bayaran pengangkutan, pakaian seragam dan yuran sekolah.

Diharap rakyat Malaysia akan terus menyokong dan prihatin bersama-sama inisiatif McDonald's Malaysia dalam membantu lebih ramai kanak-kanak dan keluarga yang memerlukan yang pastinya mampu mengurangkan beban mereka dan jangan pula ada yang cuba menghalang usaha murni ini.
 

No comments: