Sunday, April 24, 2016

#MCDONALD'S - DENGAN KALIMAH ALLAH, AYAM DISEMBELIH

Seperti yang dijanjikan, kami akan berkongsi maklumat mengenai beberapa soalan berbangkit yang dikemukakan blogger semasa lawatan ini dan di antaranya penglibatan pihak JAKIM serta JAIPerak di kilang Dindings Poultry Processing Sdn Bhd (DPP) iaitu pembekal daging ayam untuk McDonald's Malaysia.

Terdapat 15 orang menduduki kerusi Jawatankuasa Halal di DPP yang diketuai oleh Dato' Dr. Kardin Syukor selaku Pengerusi dan DPP adalah pilihan teratas di dalam senarai pengeluar dan pengedar makanan halal JAKIM mahupun JAIPerak.

JAKIM dan pihak JAIPerak telah meletakkan garis panduan penyembelihan ayam maka dengan kalimah Allah sambil mengadap kiblat adalah aspek utamanya. Selain itu, pihak DPP tidak akan menyembelih ayam-ayam yang telah pun mati.

Amalan syariah ini telah dikuatkuasakan sejak DPP dilantik sebagai pembekal daging mentah ayam kepada McDonald's dan setiap panduan yang telah ditetapkan JAKIM telah pun sempurnakan ketika proses penyembelihan termasuk juga dibuat penelitian dan pemantauan oleh jabatan tersebut. Pihak JAKIM melalui JAIPerak juga akan membuat pemantauan mengejut ke kilang DPP di mana operasi tanpa notis setiap 3 bulan untuk memastikan garis panduan syariah dipatuhi pada setiap masa.

Di samping itu, tugas jawatankuasa halal di DPP termasuklah memastikan polisi halal dipraktikkan dengan betul di kesemua jabatan dan juga memberi penerangan kepada setiap kekeliruan yang timbul. 


Ayam yang disembelih juga bertepatan dengan garis panduan MS1500:2009 - Makanan Halal dan ini menjadikan DPP sebagai sebuah syarikat yang mematuhi keperluan yang ditetapkan dalam standard pengeluaran, penyediaan, pengendalian dan penyimpanan makanan halal serta pemeriksaan tapak oleh pihak berkuasa.

DPP juga telah memperkenalkan slogan ''Halalan Toyyiban Teras kepada Pembangunan Ummah' di mana ia bukan sahaja menitikberat soal halal tetapi mementingkan aspek kebersihan serta pengeluaran produk berkualiti dan selamat. Justeru itu, DPP yang telah memulakan operasinya sejak 30 tahun lalu telah diiktiraf sebagai kilang yang berkualiti tinggi yang patuh syariah.

Selain daripada diperakui oleh Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM), DPP yang juga merupakan syarikat dibawah kumpulan Malayan Flour Mills Berhad turut diiktiraf mengikut piawaian antaranya daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Hazard Analysis and Critical Control Point (HACCP), ISO 9001:2008 (Sistem Pengurusan Kualiti), ISO 22000:2005 (Sistem Pengurusan Keselamatan Makanan) dan Amalan Pengilangan Baik (Good Manufacturing Practices - GMP).

Piawaian ini bukan saja dipatuhi kilang DPP yang menjalankan proses penyembelihan dan pembersihan, ia juga dipatuhi kilang ternakan yang dikendali oleh Dindings Poultry Development Centre Sdn Bhd (DPDC) dan kedua-dua kilang ini adalah syarikat kumpulan Malayan Flour Mills Berhad (MFM).

Di dalam berhadapan dengan cabaran cuaca panas El Nino, ayam ternakan di reban DPDC tidak sedikit terkesan pun kerana dilengkapi dengan teknologi-teknologi canggih seperti kipas bagi memastikan suhu dalam reban kekal sejuk mengikut keperluan dan persekitarannya bukanlah seperti reban yang biasa kita lihat.

Seandainya terdapat wabak penyakit atau permasalahan yang melanda ayam ternakan ini, maka pihak syarikat akan mengambil langkah yang mengutamakan keselamtan pelanggan dan mengurangkan risiko kerugian di mana kesemua ayam yang terkesan akan dihapuskan serta-merta walaupun mampu diubati.

Walaubagaimanapun, pihak MFM tidak mahu mengambil risiko kerugian dan oleh kerana itu ciri-ciri keselamatan dan kebersihan sangat-sangat diutamakan tanpa sebarang kompromi. Dengan pengawasan yang begitu ketat serta komitmen DPP untuk mematuhi setiap syarat yang dikenakan, maka tidak hairanlah mengapa syarikat ini menjadi pilihan dan diyakini pihak McDonald's Malaysia sebagai pembekal daging ayam.


No comments: