Tuesday, April 12, 2016

KE KILANG PROSES AYAM MENTAH, PEMBEKAL UTAMA #MCDONALD'S MALAYSIA

Sebelum ini, blog mantra telah berkongsi maklumat mengenai proses makanan di kilang MacFood Services Sdn Bhd di Subang yang jelas mementingkan aspek keselamatan dan kebersihan dari pintu masuk sehinggalah proses pembungkusan dan penghantaran. Namun, pasti kita akan tertanya bagaimana pula ayam-ayam mentah ini diproses dan di mana?


Sekali lagi beberapa rakan blogger dan pemberita diberi peluang melawat kilang ayam yang menternak, menyembelih dan memproses ayam mentah untuk McDonald's di Dindings Poultry Processing Sdn Bhd (DPP) yang terletak di Sitiawan, Perak. Rombongan kali ini telah diketuai Pengarah Urusan McDonald's Malaysia, Azmir Jaafar.

Sebagaimana ketatnya kawalan kesihatan di kilang MacFood Services Sdn Bhd, begitu juga di DPP di mana setiap peserta rombongan diambil bacaan suhu bagi memastikan mereka benar-benar sihat sebelum dibenarkan memasuki kawasan kilang. Langkah pencegahan kesihatan pertama ini bukan sahaja untuk pelawat tetapi dilakukan kepada setiap pekerja pada setiap hari.

Di antara yang hadir bagi pihak Dindings adalah Pengurus Besarnya, Encik Tony Wo Kah Keat, Pengarah Eksekutif Dindings Poultry Development Centre Sdn Bhd (DPDC) Ang Pun Heng dan Pengarah Hal Ehwal Pembangunan Perniagaan & Korporat Malayan Flour Mills Berhad (MFM) Azhari Arshad. DPP dan DPDC merupakan syarikat yang berada dibawah kumpulan MFM.

Dikatakan tempat menternak ayamnya sangat canggih di mana ia merupakan sebuah bangunan yang dilengkapi dengan teknologi canggih seperti kipas untuk memastikan suhunya kekal pada 25 hingga 29 darjah celsius pada setiap masa. Bangunan ini juga memastikan aliran udara bersih diperiksa setiap masa agar ayam dipelihara dalam keadaan sempurna.



Sebelum peserta rombongan dibawa masuk ke tempat pemprosesan ayam, mereka diminta untuk menanggalkan sebarang barangan logam seperti jam, gelang dan cincin dan seterusnya diberi set pakaian berwarna putih seperti jubah berserta sarung kepala, topeng muka dan juga kasut getah ala kasut Phua Chu Kang yang semuanya serba putih. Mereka juga harus melalui kawalan keselamatan dengan diimbas peralatan elektronik untuk sekali lagi mengesan elemen-elemen yang tidak dibenarkan.


Seterusnya mereka dibawa untuk mencuci tangan dengan sabun khas yang telah disediakan sebelum melalui lantai-lantai berlopak yang diisi dengan klorin. Setiap pergerakan ini diperhatikan oleh kakitangan kilang bagi memastikan segala 'undang-undang kilang' dipatuhi pelawat.

Di DPP terdapat 18 orang penyembelih yang diperakui dan memiliki sijil dari Jabatan Agama Islam Negeri bagi menjamin pengeluaran produk halal. Pada setiap sesi hanya 5 saja penyembelih yang akan bertugas untuk menyembelih lebih kurang 3,500 ekor. Ini adalah untuk memastikan stamina setiap penyembelih kekal cergas dan fokus ketika bertugas terutama di dalam menjalankan tuntutan syariah.

Mungkin ada yang tidak ketahui bahawa pisau yang digunakan untuk menyembelih seekor ayam kepada ayam kedua perlu dibersihkan terlebih dahulu dan di DPP jugalah peraturan mengikut tuntutan syariah dipraktikkan. Di dalam bilik sembelihan disediakan 5 saluran air seperti pancuran di bilik mandi agar pisau yang digunakan kekal bersih.

Peringkat seterusnya adalah memasuki kawasan pemprosesan. Dengan suhu di dalam kilang yang sejuk dan persekitaran yang bersih, walaupun peserta rombongan dikelilingi dengan ribuan ekor ayam, namun mereka merasakan yang mereka BUKAN berada disekeliling ayam kerana tidak mengesan apa-apa bau ayam pun.

Mereka juga diberi penerangan tentang beberapa bahagian operasi lain seperti timbang berat ayam, proses pemotongan, pengasingan tulang dan pengadunan serta pembungkusan dan penyimpanan sejuk sementara. Canggihnya teknologi yang ada di kilang ini apabila dari proses membuang bulu, bahagian kaki dan pengasingan organ dalamam adalah melalui mesin. Namun, ia tetap dipantau oleh beberapa pekerja agar ia sentiasa berjalan lancar.

Berat untuk setiap ayam akan dijatuhkan di 9 tempat berbeza mengikut kategori berat yang telah ditetapkan. Seterusnya ialah proses pemotongan bahagian ayam mengikut permintaan mengikut saiz dan daging yang dibekalkan adalah daging yang telah diasingkan tulangnya.

Proses pengasingan tulang juga di antara proses yang mendapat perhatian peserta rombongan apabila sisa-sisa tulang ayam mampu dikesan dengan kecanggihan mesin di kilang ini. Pekerja kilang juga sangat teliti dan berhati-hati dan peralatan pisaunya sangat tajam dan dijaga bersih.

Setiap pisau yang diguna pekerja akan ditukar ganti setiap dua sesi pada setiap hari. Malahan pisau yang dibekalkan akan ditetapkan mengikut 'tag nombor dan selepas digunakan, pisau-pisau tersebut akan dicuci dan dipanaskan untuk tujuan kawalan kebersihan. Pihak kilang akan pastikan hayat setiap pisau untuk 6 bulan sahaja dan akan diganti dengan yang baharu.

Di kawasan proses mengadun, 2 unit mesin khas untuk daging-daging ayam mengikut permintaan dan resepi McDonald's samada 'original' atau yang 'spicy'.

Proses terakhir pula ialah pembungkusan dan penyimpanan sementara di peti sejuk sebelum dihantar ke dapur rangkaian restoran McDonald's. Daging ayam mentah tidak akan disimpan lama untuk memelihara kesegarannya. Inilah di antara sebab McDonald's Malaysia telah memilih Dindings Poultry Processing (DPP) sebagai pembekal mereka.

Seterusnya, kami akan berkongsi maklumat mengenai beberapa soalan berbangkit yang dikemukakan blogger semasa lawatan ini dan di antaranya penglibatan pihak JAKIM serta JAIPerak di kilang DPP.

No comments: