Wednesday, October 29, 2014

604 PELATIH PLKN TIDAK BOLEH BERCAKAP BAHASA MELAYU TELAH DIATASI



Kajian mengenai 604 pelatih PLKN yang tidak boleh bercakap bahasa Melayu telah ditimbulkan semula oleh Prof Dr Tewo Kok Seong, seorang pensyarah dari Institut Alam dan Tamadun Melayu, UKM adalah suatu perkara yang bukan sekadar membimbangkan tetapi telah menjadi tandatanya bagaimana mereka layak melepasi peperiksaan SPM dan seterusnya layak sebagai pelatih PLKN.

Rupanya kajian yang ditimbulkan semula ini adalah kajian pada tahun 2010. Dan kita juga tertanya-tanya apakah pelatih-pelatih yang tidak boleh bercakap bahasa Melayu di dalam kategori tidak boleh menyebut langsung perkataan-perkataan Melayu, tidak langsung boleh mengucapkan Selamat Pagi dan seterusnya tidak langsung mampu mengucapkan perkataan semudah "terima kasih" atau "nama saya Lim Kit Siang"?

Walaubagaimanapun, Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN), Datuk Noor Ehsanuddin Mohd. Harun Narrashid telah menjelaskan bahawa jabatan telah pun mengatasi masalah ini.

Modul I-Smart yang telah pun diperkenalkan pada tahun 2011 bukan sekadar menumpukan kepada pelatih yang tidak boleh berbahasa Melayu namun modul khas ini telah pun membantu pelatih yang buta huruf sepanjang menjalani latihan di kem seluruh negara. Pelatih yang buta huruf akan dapat menguasai kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira melalui kelas petang yang diadakan selama sejam selepas tamat latihan harian mereka.

Ada lima tahap yang digunakan dalam program ini bagi membolehkan tahap celik huruf mereka diukur dan dipertingkatkan bagi mempersiapkan mereka di alam pekerjaan
nanti.

Sebelum ini pengambilan pelatih PLKN dibuat secara rawak di mana ada yang tidak bersekolah, ada yang belajar sehingga Tingkatan Tiga sahaja. Namun, menurut Datuk Ehsan, kaedah pengambilan pelatih PLKN akan dikaji semula dan langkah ini adalah untuk membuka peluang kepada belia-belia yang berminat secara sukarela menyertai program ini.

Nampaknya program khidmat negara ini  telah berjaya mengesan pada peringkat awal remaja-remaja yang tidak boleh bercakap bahasa Melayu mahupun buta huruf. Justeru, adalah lebih efektif sekiranya bakal-bakal pelatih ini melalui satu ujian mudah samada lisan atau menulis sebelum diterima menyertainya.

Di dalam usaha untuk penambahbaikan dari segi modul, penyertaan pelatih dan kemudahan infrasturtur mencapai sasarannya, PLKN akan dinilai secara berterusan dengan melantik beberapa pasukan. 

No comments: