Sunday, October 12, 2014

MAKLUMAT TERKINI GANGGUAN BEKALAN AIR DI WP DAN SELANGOR

Maklumat terkini tentang tumpahan minyak yg melibatkan pengeluaran air bersih di Selangor;


KENYATAAN MEDIA
12 OKTOBER 2014

GANGGUAN BEKALAN AIR TIDAK BERJADUAL DI TUJUH (7) WILAYAH DI NEGERI SELANGOR DAN WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR DISEBABKAN PENCEMARAN SUNGAI SELANGOR

Kuala Lumpur – Syarikat Bekalan Air Selangor SdnBhd (SYABAS) ingin memaklumkan bahawa gangguan bekalan air telah dialami di tujuh (7) wilayah iaitu di Wilayah Gombak, Klang/Shah Alam, Petaling, Kuala Lumpur, Hulu Langat, Kuala Langat dan Kuala Selangor sejak pagi ini (12 Oktober 2014).

Untuk makluman Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 dan Fasa 3 yang diurus oleh Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) dan LRA Sungai Selangor Fasa 2 dan Rantau Panjang yang diurus oleh Puncak Niaga (M) Sdn Bhd telah ditutup sementara operasinya pada sekitar jam 8 malam semalam (11 Oktober 2014) ekoran berlakunya pencemaran air mentah di Sungai Selangor akibat tumpahan cecair hydrolik, kini telah beroperasi semula sejak jam 8 pagi hari ini (12 Oktober 2014) dan pengeluaran air terawat telah disalurkan semula ke kolam imbangan loji rawatan air masing-masing. 

Penutupan selama 12 jam ke empat-empat loji rawatan air yang membekalkan sekitar 60% keperluan bekalan air terawat Lembah Klang ini telah mengurangkan kuantiti bekalan air terawat ke kawasan pengguna di Wilayah Gombak, Klang/Shah Alam, Petaling, Kuala Lumpur, Kuala Langat dan Kuala Selangor telah berkurangan sebanyak 1,350 juta liter sekali gus menyebabkan beberapa kawasan di wilayah-wilayah tersebut mengalami terputus bekalan dan tekanan rendah tidak berjadual. Pihak SYABAS menjangkakan bekalan air di kebanyakan kawasan yang terjejas akan mulai pulih sepenuhnya pada jam 8 pagi esok (13 Oktober 2014). 

Walaubagaimanpun, pemulihan di beberapa kawasan terutamanya bagi pengguna yang berada di kawasan tinggi dan di penghujung sistem agihan akan berlaku secara berperingkat dalam tempoh 3 hari. Proses pemulihan bekalan tidak dapat dipercepatkan memandangkan ketiadaan sumber bekalan air alternatif di samping rezab simpanan air yang kecil. Bagi mengurangkan kesulitan pengguna, bekalan air melalui lori tanki telah digerakkan dari masa ke semasa bagi mengagihkan bekalan air kecemasan. 

Walaubagaimanapun memandangkan kemudahan-kemudahan bantuan bekalan air kecemasan milik SYABAS termasuk lori tangki dan tangki air statik ini adalah terhad, keutamaan akan diberikan kepada pengguna kritikal seperti hospital dan pusat dailisis dan pengguna diminta menggunakan bekalan air kecemasan sebaik mungkin dan untuk keperluan yang utama sahaja. Dalam pada masa yang sama, pihak SYABAS akan terus memantau situasi dan memaklumkan perkembangan terkini dari masa ke semasa melalui media massa. 

Sementara itu, pihak SYABAS dimaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Selangor melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) akan mengambil tindakan tegas kepada pihak yang bertanggungjawab terhadap pencemaran ini. 

Dalam pada itu, bagi gangguan bekalan air berjadual pada 9 Oktober 2014 di 120 kawasan di Wilayah Petaling, Hulu Langat dan Sepang yang disebabkan oleh kerja kecemasan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih yang dikendalikan oleh pihak Syarikat Konsortium ABASS Sdn Bhd (ABASS) dan kerja menaiktaraf sistem agihan bekalan air oleh SYABAS, kesemua kawasan terlibat telah pulih seperti sediakala kecuali hanya bekalan air di Taman Pelangi Semenyih yang belum pulih sepenuhnya. Pihak SYABAS menjangkankan bekalan air ke kawasan tersebut akan pulih sepenuhnya hari ini.

Sementara itu, pihak SYABAS telah juga dimaklumkan oleh PNSB bahawa LRA Sungai Langat yang diuruskan oleh syarikat tersebut yang sentiasa beroperasi melebihi kapasiti rekabentuk (overload) menghadapi masalah di mana satu pam air mentah telah rosak pada sekitar jam 12 tengahari semalam (11 Oktober 2014). Pihak SYABAS dimaklumkan oleh PNSB bahawa kerja pembaikan akan siap sepenuhnya menjelang jam 6 petang hari ini (12 Oktober 2014).

Berikutan dengan kerosakan tersebut, bekalan air terawat yang dikeluarkan oleh loji rawatan tersebut telah berkurangan sebanyak 15 Juta Liter Sehari (JLH). Sehubungan itu, sebahagian daripada pengguna di beberapa kawasan di Wilayah Hulu Langat dan Kuala Lumpur dijangka akan mengalami gangguan bekalan air termasuk tekanan rendah terutamanya pengguna yang berada di penghujung sistem agihan bekalan air dan lokasi kependudukan yang tinggi.

Dalam pada itu, pengguna di kawasan yang terjejas yang menghubungi Pusat Panggilan SYABAS (PUSPEL) diminta bersabar dan menunggu sedikit lama sebelum panggilan mereka dijawab. Berikutan, banyak kawasan yang terlibat maka PUSPEL kini sedang berhadapan dengan jumlah panggilan yang amat tinggi. Sebagai sumber alternatif, pengguna digalakkan melayari laman web SYABAS, Facebook dan Twitter untuk mendapatkan status terkini dari masa ke semasa.

~TAMAT~

No comments: