Di dalam titah DiRaja Sultan Perak sempena ulang tahun penuhuban BPR/SPRM ke47, jika dibaca dengan penuh teliti dan kefahaman, Tuanku Sultan Nazrin berkongsi pengetahuannya dengan kita sejarah rasuah dari zaman Rasulullah sehingga kini, betapa canggihnya rasuah hari ini serta kesan kepada negara dan rakyat jika rasuah tidak dibanteras.
Paling menarik, Tuanku membuktikan bagaimana rasuah di kalangan mereka-mereka yang berkuasa tidak kira samada di sebuah negara yang mengamalkan pemerintahan komunisma mahupun demokrasi yang total.
Diringkaskan titah baginda dan bacalah sepenuhnya sehingga akhir. Ini akan menyentuh dua aspek:
Pertama: Senario umum
Rasuah adalah perbuatan pecah amanah. Dosa pertama yang
dilakukan oleh manusia adalah kesalahan melanggar amanah dan hukuman berat dikenakan ke atas
mereka yang terlibat melakukannya dari zaman Dinasti Qing lagi.
Rasuah berlaku di sektor awam dan di sektor swasta,
malah hari ini turut berlaku dalam institusi antarabangsa, institusi
agama serta badan sukarela dan badan sukan.
Rasuah mampu membantutkan ekonomi.
Apabila tidak ada kesungguhan untuk
membanteras rasuah, ia akan diterima sebagai norma dan akhirnya meresap menjadi budaya, hingga
memusnahkan sesebuah negara bangsa.
Hasil negara yang sepatutnya dibelanjakan untuk perkhidmatan kesihatan, makanan dan infrastruktur telah dilesapkan.
Rasuah berlaku tidak hanya di negara miskin TETAPI rasuah juaga turut berlaku di negara maju dan negara kaya, pertubuhan-pertubuhan antarabangsa malah berlaku pada skala lebih besar.
Sektor Swasta seperti Syarikat Siemens pada tahun 2008, telah mengolah akaun syarikat untuk menghalalkan rasuah. Dalam tahun 2010, enam syarikat minyak dan gas yang beroperasi di Amerika Syarikat. Selama 25 tahun, Syarikat WALMART mengaku secara konsisten telah membayar rasuah di Mexico antara tahun 2003-2008. Rolls-Royce membuat pengakuan terbuka menggunakan rasuah sebagai instrumen untuk menembusi pasaran China.
PBB dengan skandal program ‘oil-for-food' yang dilakukan oleh pihak tertentu, melibatkan individu dan syarikat di beberapa negara, antaranya, Amerika Syarikat, Australia, Britain, Jerman, Perancis, Rusia dan Switzerland.
Program Millenium Development Goals (MDG), diperkenalkan pada tahun 2000; rasuah telah mengakibatkan kos program bekalan air bersih dan sanitasi meningkat 48 bilion dolar.
CHINA - Sistem pemerintahan komunisme membolehkan rasuah tumbuh melata walaupun di era Deng Xiaoping pada tahun 1978 Negara China telah melakukan transformasi ekonomi secara radikal. The Washington-based Global Financial Integrity menganggarkan 2.83 trilion Dolar telah dialirkan keluar secara haram dari Negara China di antara tahun 2005 hingga 2011. Lebih 150 ‘economic fugitives' dari Negara China dilaporkan berada di Amerika Syarikat dan sumber Reuter melaporkan Interpol melaporkan sejak tahun 2008, 730 warga China dari pelbagai negara di serata dunia, yang disyaki melakukan jenayah ekonomi telah diserahkan kembali (extradited). Presiden Xi Jinpeng mengakui secara terbuka bahawa China sedang dilanda masalah rasuah dalam ucapan ulungnya setelah mengambil alih kepimpinan negara.
INDIA - mengamalkan demokrasi terbesar dunia denga kebebasan yang luas kepada rakyatnya untuk bersuara namun amalan rasuah terus menjalar bagaikan parasit yang semakin merebak. Sistem demokrasi, berpegang kepada doktrin Kerajaan oleh rakyat untuk rakyat memiliki mekanisme dan saluran untuk mendedahkan amalan rasuah elit pemerintahan.
Peristiwa Tehelka.com adalah kes menarik untuk dijadikan rujukan apabila pada 13 Mac 2001 telah mendedahkan skandal rasuah dalam urusan pembelian senjata yang melibatkan pemimpin-pemimpin tinggi politik, birokrat dan tentera. Tehelka.com turut mendedahkan budaya rasuah di Kementerian Pertahanan India. Tehelka.com terpaksa gulung tikar kerana bertindak sebagai whistle blower; sementara pihak yang didedahkan melakukan rasuah, terlepas daripada hukuman; malah George Fernandez dilantik semula sebagai Menteri Pertahanan tujuh bulan selepas meletakkan jawatan.
India disifatkan memiliki budaya rasuah yang berterusan dan berulang. Wawancara Julian Assange yang disiarkan oleh Times Now News Channel, pada 26 April 2011, menyatakan rekod simpanan wang dalam Bank-bank di Switzerland dari kalangan warga India mengatasi warga-warga lain dunia.
JEPUN - Skandal Lockheed 1976, melibatkan Perdana Menteri Kakuei Tanaka dalam urusan pembelian 21 pesawat Airbus oleh All Nipon Airways. Meskipun disabitkan kesalahan, Tanaka tetap mendapat sokongan rakyat dan dianggap pemimpin politik Jepun paling popular pada era pasca Perang Dunia Kedua.
Indeks Persepsi Rasuah 2013, Jepun dianggap
hampir mencapai status sifar rasuah di peringkat 'petty corruption' yang
melibatkan pegawai bawahan tetapi berlaku structural corruption secara
besar-besaran melibatkan pihak atasan sehingga YAKUZA, kumpulan
mafia berlegar dalam sistem politik dan sistem ekonomi Jepun.
AMERIKA SYARIKAT - Amerika Syarikat tidak terkecuali dengan skandal rasuah dan salah guna kuasa. Spiro Agnew adalah Naib Presiden yang pertama meletakkan jawatan dalam keadaan aib pada 10 Oktober 1973 kerana Jabatan Kehakiman mendapati cukup bukti beliau melakukan rasuah politik dan menerima sogokan.
Skandal Watergate berlaku pada 17 June 1972. Presiden Richard Nixon menyogok wang untuk menutup kes dan turut menggunakan CIA untuk menghalang FBI daripada melakukan siasatan.Richard Nixon mendapat pengampunan di atas apa juga jenayah yang telah beliau lakukan atau mungkin telah lakukan semasa menjawat jawatan Presiden; bermakna Richard Nixon bebas daripada sebarang dakwaan mahupun hukuman.
Institusi Agama seperti didedahkan dengan pelbagai skandal di Vatican yang diantaranya, Monsignor Nunzio Scarano, ditahan dan disoal siasat kerana disyaki terlibat dalam perancangan penyeludupan 20 juta Euro dari Switzerland ke Itali. Pengarah Bank Vatican, Paolo Cipriani dan Timbalan Pengarah Massimo Tulli diarah berundur, disyaki terlibat dengan skandal kewangan bernilai 23 juta Euro.
Kedua: Cabaran Menangani rasuah.
Jika undang-undang hanya
berstatus dokumen bertulis, tidak dikuatkuasakan, ia tidak mungkin
menjadi senjata berkesan untuk memberi kemenangan dalam medan perang
menghadapi rasuah. Pelbagai agensi yang ditubuhkan tidak akan menjadi
briged perang yang boleh mengibarkan bendera kemenangan jika medan
memerangi rasuah dilakukan secara selektif.
Di kalangan negara Asia, Filipina memiliki instrumen pencegahan rasuah paling banyak, 7 undang-undang dan 19 agensi penguat kuasa di bawah Presiden Ferdinand Marcos, namun ia hanyalah kosmetik hiasan untuk melindungi wajah yang hodoh.
Pada 4 Oktober 2012, Perdana Menteri menegaskan azam dan usaha Kerajaan Malaysia untuk membasmi rasuah. Usaha membanteras rasuah ditetapkan sebagai salah satu daripada tujuh komponen NKRA di bawah GTP dan ETP dengan penubuhan 14 mahkamah khas rasuah.
Kajian Persepsi Keberkesanan Tindakan SPRM 2013, menunjukkan tahap keyakinan rakyat terhadap keberkesanan SPRM telah meningkat dan tahap sokongan masyarakat kepada SPRM turut meningkat.
Pelaku rasuah terbahagi kepada dua kategori. Pertama; kumpulan yang terdesak, terpaksa melakukannya kerana kesempitan hidup, ketidakupayaan mengimbangkan gaji untuk membiayai keperluan asas harian.
Di kalangan negara Asia, Filipina memiliki instrumen pencegahan rasuah paling banyak, 7 undang-undang dan 19 agensi penguat kuasa di bawah Presiden Ferdinand Marcos, namun ia hanyalah kosmetik hiasan untuk melindungi wajah yang hodoh.
Pada 4 Oktober 2012, Perdana Menteri menegaskan azam dan usaha Kerajaan Malaysia untuk membasmi rasuah. Usaha membanteras rasuah ditetapkan sebagai salah satu daripada tujuh komponen NKRA di bawah GTP dan ETP dengan penubuhan 14 mahkamah khas rasuah.
Kajian Persepsi Keberkesanan Tindakan SPRM 2013, menunjukkan tahap keyakinan rakyat terhadap keberkesanan SPRM telah meningkat dan tahap sokongan masyarakat kepada SPRM turut meningkat.
Pelaku rasuah terbahagi kepada dua kategori. Pertama; kumpulan yang terdesak, terpaksa melakukannya kerana kesempitan hidup, ketidakupayaan mengimbangkan gaji untuk membiayai keperluan asas harian.
Pelaku rasuah kategori kedua terdiri dari kalangan yang
bersifat tamak - bersifat haloba; secara umumnya daripada kumpulan
atasan, berjawatan penting, bernafsu tinggi, mengamalkan gaya hidup
mewah - gaya hidup megah. Mereka amat licik,
melakukan rasuah secara sofistikated, bijak membersihkan tangannya
daripada sebarang lumpur kekotoran, tidak mudah untuk disabitkan, di
samping sebahagian mereka mempunyai hubungan intim dengan orang-orang
atasan.
Dua aspek wajib diberi fokus memerangi rasuah;
Pertama LANGKAH PUNITIF YANG TEGAS DAN TIDAK SELEKTIF, dilaksanakan tanpa gentar - tanpa pilih kasih;
Kedua: LANGKAH PREVENTIF UNTUK MENGUKUHKAN INTEGRITI. TEGAS dan TIDAK SELEKTIF adalah dua kata kunci penting yang wajib dijadikan prinsip.
Pertama LANGKAH PUNITIF YANG TEGAS DAN TIDAK SELEKTIF, dilaksanakan tanpa gentar - tanpa pilih kasih;
Kedua: LANGKAH PREVENTIF UNTUK MENGUKUHKAN INTEGRITI. TEGAS dan TIDAK SELEKTIF adalah dua kata kunci penting yang wajib dijadikan prinsip.
Majistret pertama yang dilantik di Pulau Pinang lebih
200 tahun lalu pada era pemerintahan kolonial, dipecat kerana melakukan
rasuah.
Pada era pimpinan Tunku Abdul Rahman Putra (Almarhum), Menteri Pelajaran merangkap Menteri Kesihatan pada tahun 1964, Abdul Rahman Talib dan akhirnya mengundur diri dari menjadi anggota Jemaah Menteri.
Pada era pimpinan Tunku Abdul Rahman Putra (Almarhum), Menteri Pelajaran merangkap Menteri Kesihatan pada tahun 1964, Abdul Rahman Talib dan akhirnya mengundur diri dari menjadi anggota Jemaah Menteri.
Ketika era Tun Abdul Razak, di atas nasihat Dato' Harun Hashim, MAJLIS
GERAKAN NEGARA (MAGERAN) melalui Ordinan Darurat No. 22, memberikan
kuasa kepada Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), membekukan aset
orang yang disyaki melakukan rasuah.
Menteri Besar Perak, Dato' Ahmad Said didedahkan
memiliki hampir satu perpuluhan dua juta ringgit (1,138,403.00 ringgit);
tiga ratus tiga puluh ribu ringgit (329,979.00 ringgit) disita kerana
didapati diperoleh secara rasuah. Dato' Ahmad Said meletakkan jawatan.
Pada Julai 1970, Menteri Besar Terengganu, Ibrahim Fikri diarah bercuti dua bulan; selepas itu beliau digantikan dengan Mahmood bin Sulaiman.
Di peringkat Persekutuan, Khaw Kai Boh diarah berundur dari menjadi anggota jemaah Menteri pada September 1970.
Pada Julai 1970, Menteri Besar Terengganu, Ibrahim Fikri diarah bercuti dua bulan; selepas itu beliau digantikan dengan Mahmood bin Sulaiman.
Di peringkat Persekutuan, Khaw Kai Boh diarah berundur dari menjadi anggota jemaah Menteri pada September 1970.
Sifat
terpuji Cincinnatus, sebenarnya menjelma dalam batang tubuh Tun Abdul
Razak yang mindanya tidak boleh dirasuah dengan sifat tamak
mempertahankan kuasa. Sebagai Pengarah MAGERAN, beliau memiliki kuasa mutlak. Apabila negara kembali aman,
meskipun dipohon untuk tidak membubarkan MAGERAN, Tun Abdul Razak
memilih untuk mengembalikan kuasa kepada institusi rakyat; sistem
demokrasi berparlimen dihidupkan semula.
Pada era pimpinan Dato Hussein Onn (Allahyarham), Dato'
Harun Idris (Allahyarham) pada tahun 1976 disabitkan kesalahan rasuah dibicarakan di hadapan Hakim Raja Azlan Shah ketika itu
Hakim Raja Azlan Shah menghadapi tugas berat dan ketika
menjatuhkan hukuman.
David Owen, seorang doktor perubatan menyifatkan
perlakuan rasuah yang berlaku kerana gilakan kuasa adalah satu penyakit
mental.
Mahatma Ghandi memerhatikan bahawa kuasa membuatkan manusia menjadi tuli dan buta.
Mahatma Ghandi memerhatikan bahawa kuasa membuatkan manusia menjadi tuli dan buta.
Kehidupan dunia adalah ujian. Pangkat dan
jawatan adalah ujian. Amanah dan tanggung jawab adalah ujian. Menegak
yang makruf dan menentang yang mungkar adalah satu tuntutan.
Memerangi rasuah adalah jihad.
"Dalam diri manusia ada segumpal ‘daging' apabila ‘daging'
itu baik maka baiklah akhlak orang itu; apabila ‘daging' itu buruk, maka
buruklah akhlak orang itu"
TITAH PENUH DI RAJA:
TITAH PENUH DI RAJA:
DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI SULTAN PERAK
SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH IBNI ALMARHUM SULTAN AZLAN MUHIBBUDDIN SHAH AL-MAGHFUR-LAH
SEMPENA ULANG TAHUN PENUBUHAN
BADAN PENCEGAH RASUAH (BPR/SPRM) KEEMPAT PULUH TUJUH.
TARIKH: 1 OKTOBER 2014 (RABU); MASA: 10.00 PAGI.
TEMPAT: DEWAN PLENARY, ARAS 1,
PUSAT KONVENSYEN KUALA LUMPUR (KLCC), KUALA LUMPUR.
‘RASUAH: SENARIO DAN CABARAN'
Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan izin dari Nya jua, Beta dapat berangkat untuk menzahirkan Titah Diraja sempena sambutan ulang tahun keempat puluh tujuh penubuhan Badan Pencegah Rasuah yang kini dikenali dengan nama Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM). Titah ini akan menyentuh dua aspek:
Pertama: Senario umum.
Kedua: Menangani rasuah.
2. Aspek Pertama: Senario Umum; Rasuah adalah perbuatan pecah amanah. Dosa pertama yang dilakukan oleh manusia adalah kesalahan melanggar amanah; dikisahkan dalam ayat 115 Surah Thaahaa bermaksud:
"Dan sesungguhnya telah Kami perintahkan kepada Adam dahulu, maka ia lupa (akan perintah itu), dan tidak Kami dapati padanya kemahuan yang kuat".
Perintah tersebut terkandung dalam ayat 35 Surah Al-Baqarah yang bermaksud:
"Dan Kami berfirman:'Hai Adam, diamilah oleh kamu dan isteri mu syurga ini, dan makanlah makanan-makanannya yang banyak lagi baik di mana saja yang kamu sukai, dan janganlah kamu dekati pohon ini, yang menyebabkan kamu termasuk orang-orang yang zalim."
3. Dokumen tertua yang ditemui menyentuh subjek rasuah, terkandung dalam Arthasastra, tulisan BC Kautilya di India, pada tahun 300 sebelum Masihi. Di China, Dinasti Qing pada tahun 220 sebelum Masihi memahami konsep rasuah dan mengenakan hukuman berat ke atas mereka yang terlibat melakukannya.
4. Rasuah ditakrifkan, perbuatan salah guna kuasa untuk memperkayakan atau memberi kelebihan kepada individu, anggota keluarga dan kenalan rapat ketika seseorang itu diamanahkan tanggung jawab mentadbir urus sumber awam. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah,
"Aku pernah mendengar Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam bersabda bermaksud: Akan datang suatu zaman, umat manusia tidak lagi mempedulikan rezeki yang diterima olehnya sama ada daripada sumber halal atau haram"
5. Profesor Emeritus Dr. Petrus van Duyne (Tilburg Universiti), penyelidik tersohor jenayah ekonomi, penyeludupan wang dan rasuah, mentakrifkan konsep rasuah secara saintifik:
"Corruption is an improbity or decay in the decision-making process in which a decision-maker consents to deviate or demands deviation from the criterion which should rule his or her decision-making, in exchange for a reward or for the promise or expectation of a reward, while these motives influencing his or her decision-making cannot be part of the justification of the decision."
6. Rasuah berlaku di sektor awam dan di sektor swasta, malah hari ini turut berlaku dalam institusi antarabangsa, institusi agama serta badan sukarela dan badan sukan. Ban Ki-Moon, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada September 2007 menyatakan:
"Corruption undermines democracy and the rule of law. It leads to violations of human rights. It erodes public trust in government. It can kill."
7. Rasuah dikenal pasti sebagai salah satu sebab utama yang membantutkan pertumbuhan ekonomi, menghilangkan minat pelaburan asing, meningkatkan kos pentadbiran dan urus niaga, menidakkan rakyat daripada mendapat perkhidmatan serta mendorong kepada berlakunya ketidakstabilan politik. Banyak negara dianugerahi rahmat ILAHI dengan pelbagai sumber kekayaan tetapi kerana rasuah, ada yang terbenam dalam kemelut kemunduran - ada yang tertimbus dalam lumpur kemiskinan. Kekayaan negara disalah guna - hasil mahsul lesap, akibatnya kemunduran terus melanda - kemiskinan terus merebak. Apabila tidak ada kesungguhan untuk membanteras rasuah, ia akan tumbuh melebar - subur membesar, lalu diterima sebagai norma dan akhirnya meresap menjadi budaya, hingga memusnahkan sesebuah negara bangsa.
8. Rasuah mengakibatkan ketirisan khazanah negara, pembangunan tidak lestari, pencemaran alam sekitar, agihan kekayaan tidak seimbang, dan peningkatan kemiskinan. Antara tahun 2001 hingga 2010, hampir enam trilion Dolar disalah guna di negara-negara miskin hingga menjejaskan kehidupan rakyat biasa. Dianggarkan, setiap tahun, satu trilion Dolar pengubahan wang secara haram (money laundering) berlaku di negara-negara miskin dan kurang membangun; dianggarkan juga, setiap tahun, 38 ke 64 bilion Dolar hasil dalam bentuk cukai di negara-negara sedang membangun, tidak dipungut kerana rasuah. Ketirisan 1 trilion Dolar, menjadi punca kepada 3.6 juta kematian setahun; kerana hasil negara yang sepatutnya dibelanjakan untuk perkhidmatan kesihatan, makanan dan infrastruktur, telah dilesapkan. Perangkaan 2012 mendedahkan, separuh daripada 61 juta kanak-kanak yang tercicir sekolah rendah berlaku di Sub Saharan Afrika. Jika rasuah berjaya dihapuskan di Sub Saharan Afrika, setiap tahun, 10 juta kanak-kanak akan mendapat kemudahan sekolah, 500,000 guru boleh dilantik, dan lebih 11 juta penghidap HIV/AIDS dapat dibekalkan ubat antiretroviral.
9. Rasuah berlaku tidak hanya di negara mundur - negara miskin. Rasuah turut berlaku di negara maju - negara kaya, dalam pertubuhan-pertubuhan antarabangsa; malah berlaku pada skala lebih besar, memberikan impak global hingga menjejaskan kehidupan insan di serata dunia. Bermakna, mereka di negara maju, tidak sebersih kain yang putih - tidak sejernih air di telaga Zam-zam.
10. Sektor Swasta tidak sunyi daripada skandal rasuah. Pada tahun 2012, bank-bank ternama antarabangsa dikenakan denda 21 bilion Dolar atas pelbagai kesalahan melibatkan fraud, mengelak cukai, manipulasi kadar faedah dan pelaburan berisiko tinggi. Syarikat Siemens pada tahun 2008, telah mengolah akaun syarikat untuk menghalalkan rasuah dengan menyediakan peruntukan 50 juta Dolar, di bawah klasifikasi Bajet Rasuah Tahunan. Syarikat Siemens didenda 800 juta dolar di bawah akta The Foreign Corrupt Practices, Amerika Syarikat. Dalam tahun 2010, enam syarikat minyak dan gas yang beroperasi di Amerika Syarikat didenda 236 juta dolar di bawah akta yang sama. Selama 25 tahun, Syarikat WALMART menjadi subjek Foreign Corruption Act; WALMART akhirnya mengaku secara konsisten telah membayar rasuah di Mexico antara tahun 2003-2008. Rolls-Royce membuat pengakuan terbuka menggunakan rasuah sebagai instrumen untuk menembusi pasaran China.
11. Institusi-institusi Antarabangsa tidak bebas daripada pelbagai skandal. Nama baik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tercemar berikutan pendedahan skandal program ‘oil-for-food' yang dilakukan oleh pihak tertentu, melibatkan individu dan syarikat di beberapa negara, antaranya, Amerika Syarikat, Australia, Britain, Jerman, Perancis, Rusia dan Switzerland. Program Millenium Development Goals (MDG), diperkenalkan pada tahun 2000, bertujuan membantu nasib lebih satu bilion manusia yang berpendapatan kurang daripada satu Dolar sehari; rasuah telah mengakibatkan kos program bekalan air bersih dan sanitasi meningkat 48 bilion dolar lebih tinggi.
12. Sumber ekonomi dan kegiatan ekonomi di bawah sistem pemerintahan komunisme terletak di bawah kawalan langsung negara. Maklumat dikawal secara ketat, media berada di bawah kawalan pemerintah dan masyarakat awam tidak mempunyai kebebasan bersuara secara terbuka. Sistem pemerintahan sedemikian membolehkan akar rasuah tumbuh melata.
13. Bermula dengan era Deng Xiaoping pada tahun 1978, meskipun kekal dengan doktrin politik berteraskan komunisme, Negara China telah melakukan transformasi ekonomi secara radikal hingga kini muncul sebagai kuasa ekonomi kedua terbesar di dunia. Reformasi ekonomi membuka ruang untuk membolehkan berlakunya rasuah lebih besar, melalui pelbagai peluang baru penswastaan. Kekayaan baru mencetuskan masalah baru. The Washington-based Global Financial Integrity menganggarkan 2.83 trilion Dolar telah dialirkan keluar secara haram dari Negara China di antara tahun 2005 hingga 2011. Lebih 150 ‘economic fugitives' dari Negara China, majoritinya terdiri daripada pegawai yang mempunyai rekod melakukan rasuah dilaporkan berada di Amerika Syarikat. Sumber Reuter melaporkan Interpol mempunyai waran tangkap terhadap 69 warga China atas kesalahan rasuah, menggelapkan wang, fraud, dan sogokan. Xinhua News Agency dalam bulan Julai 2014, melaporkan sejak tahun 2008, 730 warga China dari pelbagai negara di serata dunia, yang disyaki melakukan jenayah ekonomi telah diserahkan kembali (extradited).
14. Presiden Xi Jinpeng mengakui secara terbuka bahawa China sedang dilanda masalah rasuah; mengumumkan pendirian tegas bahawa kepimpinan beliau berazam untuk membanteras rasuah. Dalam ucapan ulungnya setelah mengambil alih kepimpinan Negara, Presiden Xi antara lain menegaskan:
"Inside the party, there are many problems that need to be addressed, especially the problems among party members and officials of corruption and taking bribes, being out of touch with the people, undue emphasis on formalities and bureaucracy;
...to forge iron, one must be strong."
15. Rakyat China diingatkan bahawa tentera China tewas kepada tentera Jepun dalam tahun 1894 walaupun pertahanan China memiliki kapal-kapal yang mahal daripada Eropah. Sejarawan menyifatkan kekalahan China adalah disebabkan amalan rasuah di kalangan pemimpin tinggi China ketika itu. Presiden Xi memberikan amaran bahawa parti dan negara akan musnah jika rasuah tidak dihentikan. Li Keqiang dalam sidang akhbar pertama selepas dilantik sebagai Perdana Menteri pada 15 Mac 2013, menegaskan:
"stirring vested interest may be more difficult than stirring the soul...; clean government should start with oneself,. Only if one is upright himself should he ask others to be upright. After entering public service, we should give up all thought of making money".
16. Pegawai Kerajaan yang hidup mewah, mengadakan Majlis Keraian secara besar-besaran termasuk Majlis Perkahwinan, disiasat, diminta mengisytiharkan sumber pembiayaan. Langkah pengisytiharan harta diri dan anggota keluarga diperkenalkan di kalangan ahli parti dan anggota pentadbiran. Serbuan dilakukan di pusat-pusat hiburan dan pelacuran, dan tindakan dikenakan kepada polis serta pihak berkuasa tempatan kerana tidak bertindak memberhentikan aktiviti sedemikian. Sejak tahun 2013, lebih 200,000 Pegawai telah dijatuhkan pelbagai hukuman.
17. Sistem pemerintahan berteraskan demokrasi, berpegang kepada doktrin Kerajaan rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat. Betapa sekalipun kecacatan yang ada, sistem demokrasi sering kali dianggap lebih superior, memiliki mekanisme dan saluran untuk mendedahkan amalan rasuah elit pemerintahan. Ia dikatakan modul terbaik, membolehkan berlangsungnya amalan-amalan ketelusan, akauntabiliti serta semak dan imbang. Doktrin demokrasi membolehkan rakyat menukar Kerajaan, jika Kerajaan gagal memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
18. India terkenal sebagai demokrasi terbesar dunia, memberi ruang kebebasan yang luas kepada warga untuk bersuara. Namun demokrasi yang mengizinkan kebebasan bersuara tidak banyak membantu untuk membendung rasuah secara berkesan. Amalan rasuah terus menjalar bagaikan parasit yang subur hidup di setiap pepohon pentadbiran negara. Ia dibimbangkan semakin merebak.
19. Peristiwa Tehelka.com adalah kes menarik untuk dijadikan rujukan. Pada 13 Mac 2001, Tehelka.com mengadakan sidang akhbar, mendedahkan skandal rasuah dalam urusan pembelian senjata. Rakaman video mendedahkan penglibatan pemimpin-pemimpin tinggi politik, birokrat dan tentera. Dua wartawan Tehelka.com menyamar sebagai agen Syarikat West End International, berunding untuk mendapatkan kontrak bagi membekalkan peralatan keselamatan. Kamera dipasang secara sulit merakamkan transaksi rasuah yang berlaku. Rakaman video mendedahkan Bangaru Laxman, Presiden Parti Bharatiya Janata menerima sogokan 100,000 Indian Rupee (2,170 Dolar).
20. Tehelka.com turut mendedahkan budaya rasuah di Kementerian Pertahanan India. Rakaman video memperlihatkan pegawai-pegawai kanan tentera minum wiski sambil berfoya-foya bersama pelacur; juga mendedahkan 16 pegawai tentera menerima sogokan antara September hingga Disember 2000. Atas desakan rakyat, Menteri Pertahanan George Fernandez meletakkan jawatan, Bangaru Laxman meletakkan jawatan Presiden Parti Bharatiya Janata, empat Pegawai Kanan Kementerian Pertahanan digantung kerja.
21. Tehelka.com dipuji rakyat kerana berani mendedahkan perlakuan rasuah peringkat tinggi; tetapi Kerajaan menguar-uarkan bahawa Tehelka.com menjadi instrumen parti pembangkang, di samping berperanan sebagai agen Pakistan dan agen kepada Agensi Perisikan Eropah, bertujuan jahat memburukkan Kerajaan. Direktorat Badan Perisikan India, Pihak Berkuasa Percukaian, Jabatan Kastam dan Polis, bergabung tenaga, melakukan pelbagai siasatan terhadap Tehelka.com. Ironinya, siasatan lebih menumpukan kepada etika kewartawanan dan bukannya perlakuan rasuah yang didedahkan.
22. Kesudahannya, Ketua Pengarang Tehelka.com, Tarun Tejpal didakwa pada September 2001 atas kesalahan moral menawarkan pelacur kepada pegawai tentera. Shanker Sharma, pelabur terbesar Tehelka.com dipenjarakan tanpa dakwaan. Bilangan staf Tehelka.com menguncup daripada 120 orang pada tahun 2001 kepada 4 orang pada tahun 2003, di samping aset syarikat yang tinggal hanyalah tiga unit komputer dan beberapa kerusi berdebu. Bermakna, Tehelka.com terpaksa gulung tikar kerana bertindak sebagai whistle blower; sementara pihak yang didedahkan melakukan rasuah, terlepas daripada hukuman; malah George Fernandez dilantik semula sebagai Menteri Pertahanan tujuh bulan selepas meletakkan jawatan.
23. India disifatkan memiliki budaya rasuah yang berterusan dan berulang. Data tahun 2003 menunjukkan hanya 15 peratus daripada Dana Membasmi Kemiskinan, sampai kepada rakyat miskin. Laporan The Centre of International Policy yang berpangkalan di Washington bertarikh November 2010 mencatatkan, sejak mencapai kemerdekaan, India dianggarkan kehilangan 452 bilion Dolar, pada kadar 20 bilion Dolar setahun melalui pemindahan wang ke luar negara secara haram. Wawancara Julian Assange yang disiarkan oleh Times Now News Channel, pada 26 April 2011, menyatakan rekod simpanan wang dalam Bank-bank di Switzerland dari kalangan warga India mengatasi warga-warga lain dunia.
24. Di Jepun, Skandal Lockheed 1976, melibatkan Perdana Menteri Kakuei Tanaka dalam urusan pembelian 21 pesawat Airbus oleh All Nipon Airways. Kakuei Tanaka melalui proses perbicaraan mengambil masa tujuh tahun. Pada Oktober 1983, Tanaka disabitkan oleh Mahkamah Daerah Tokyo, dijatuhkan hukuman empat tahun penjara dan denda 500 juta Yen. Tanaka mengemukakan rayuan. Pada Julai 1987, Mahkamah Tinggi Tokyo mengekalkan keputusan; Tanaka sekali lagi mengemukakan rayuan.
25. Meskipun disabitkan kesalahan, Tanaka tetap mendapat sokongan rakyat, dipilih sebagai ahli parlimen (DIET) kawasan Niigata dengan kemenangan majoriti besar dalam pilihan raya yang berlangsung pada Disember 1983. Seluruh prosiding perbicaraan Tanaka melewati 17 tahun. Ketika Tanaka meninggal dunia pada 16 Disember 1993, proses rayuannya masih belum selesai; bermakna Tanaka terlepas daripada menjalani sebarang hukuman. Soal selidik yang dilakukan pada Januari 1995 oleh akhbar Yomiuri Shimbun mendapati, populariti Tanaka tidak terjejas kerana Skandal Lockheed, malah Tanaka berada di ranking teratas berbanding Perdana Menteri-Perdana Menteri Yoshida Shigeru, Sato Eisaku dan Ikeda Hayato. Di kalangan penyokong, Tanaka disanjung sebagai pemimpin yang mengambil berat nasib rakyat, dianggap pemimpin politik Jepun paling popular pada era pasca Perang Dunia Kedua.
26. Indeks Persepsi Rasuah 2013, mencatatkan Jepun mencapai 74 markah, berada di ranking kelapan belas. Namun skandal rasuah yang berlaku, meletakkan Jepun berada dalam paradoks, di antara jernih air di permukaan tasik dengan lumpur hitam di dasar tasik. Jepun dianggap hampir mencapai status sifar rasuah di peringkat petty corruption yang melibatkan pegawai bawahan tetapi berlaku structural corruption secara besar-besaran melibatkan pihak atasan. Ahli politik Jepun perlu modal besar untuk survival, untuk menampung perbelanjaan aktiviti politik dan untuk mendapatkan sokongan politik.
27. Skandal Lockheed 1976, adalah antara faktor yang telah mendorong Amerika Syarikat menggubal The Foreign Corrupt Practices Act. Skandal-skandal besar lain di Jepun adalah kes Recruit (1989), menjadi punca kepada kejatuhan pentadbiran Perdana Menteri Noboru Takeshita, kes-kes kontraktor Zenecon (1993-1994), mengakibatkan beberapa Prefectural Governors disabitkan kesalahan dan seorang daripadanya membunuh diri, dan skandal Bank of Japan/Kementerian Kewangan (1997-1998), mengakibatkan tangkapan, peletakan jawatan dan membunuh diri beberapa pegawai tinggi. Budaya politik yang berlangsung di Jepun pasca Perang Dunia Kedua mencatatkan belanja bagi tujuan kempen-kempen pilihan raya mencecah 10 bilion dolar; sebahagian besar perbelanjaan ditaja oleh kumpulan yang dikenali sebagai YAKUZA, kumpulan mafia yang berlegar dalam sistem politik dan sistem ekonomi Jepun, menghulurkan derma kepada ahli-ahli politik, kemudiannya mendapat perlindungan daripada ahli-ahli politik. Structural Corruption begitu endemik dalam sistem yang dikawal oleh oligarki yang mengamalkan politik naungan dan budaya imbuhan lalu terbina segi tiga yang reput (the rotten triangle), persepakatan (collusion), di antara ahli politik, anggota birokrasi dan tokoh perniagaan.
28. Amerika Syarikat tidak terkecuali dengan skandal rasuah dan salah guna kuasa. Spiro Agnew adalah Naib Presiden yang pertama meletakkan jawatan dalam keadaan aib pada 10 Oktober 1973 kerana Jabatan Kehakiman mendapati cukup bukti beliau melakukan rasuah politik dan menerima sogokan. Agnew berkompromi untuk tidak mencabar dakwaan di bawah Federal Income Tax Evasion Act jika dakwaan rasuah politik digugurkan. Beliau dikenakan denda 10,000 Dolar, dihukum tiga tahun probation dan ditegah daripada mengemukakan rayuan. Skandal Watergate berlaku pada 17 June 1972. Presiden Richard Nixon mengetahui dan terlibat dengan operasi espionage tersebut. Selain menyogok wang untuk menutup kes, Presiden Nixon turut menggunakan CIA untuk menghalang FBI daripada melakukan siasatan, memusnahkan bukti dan memecat staf yang tidak mahu bersubahat dengannya; perbuatan salah guna kuasa yang ketara. Apabila penglibatan Presiden Nixon tidak lagi dapat dilindungi, beliau meletakkan jawatan pada 8 Ogos 1974. Pengganti beliau, Presiden Gerald Ford memberikan Richard Nixon pengampunan di atas apa juga jenayah yang telah beliau lakukan atau mungkin telah lakukan semasa menjawat jawatan Presiden; bermakna Richard Nixon bebas daripada sebarang dakwaan mahupun hukuman.
29. Apakah moral di sebalik skandal-skandal yang berlaku di tiga negara demokrasi ini. Ia mencerminkan sistem nilai dalam masyarakat yang terperangkap dalam paradoks antara undang-undang, moraliti dan emosi. Betapa jawatan dan status, memberikan imuniti melepaskan seseorang yang telah melakukan kesalahan dari menjalani hukuman. Ia melibatkan persoalan moral, betapa ikatan emosi di antara pengikut dengan pemimpin, betapa esprit de corps di antara mereka yang berada dalam liga yang sama, mencetuskan kesetiaan yang menghalang proses keadilan dapat dilaksanakan; mereka saling mempertahankan, saling melindungi, saling membela rakan dan kawan daripada dikenakan hukuman.
30. Nicollo Machiavelli dan Jean-Jacques Rousseau, memetik contoh-contoh daripada negara-negara pada era silam, merumuskan kerosakan rasuah berlaku apabila rakyat sendiri sudah tidak mengambil kisah, malah memberikan kesetiaan yang membuta tuli kepada pemimpin kerana terlalu bergantung pada pemimpin hingga hilangnya minda dan jiwa merdeka; akibatnya masyarakat juga terperangkap dalam putaran ganas rasuah dan menjadi masyarakat yang rasuah, hatta tidak berupaya mengawal pemimpin daripada melakukan rasuah.
31. Institusi Agama sewajibnya berpegang kepada etika dan nilai moral yang tinggi. Namun dunia didedahkan dengan pelbagai skandal di Vatican. Antaranya, Monsignor Nunzio Scarano, ditahan dan disoal siasat kerana disyaki terlibat dalam perancangan penyeludupan 20 juta Euro dari Switzerland ke Itali. Pengarah Bank Vatican, Paolo Cipriani dan Timbalan Pengarah Massimo Tulli diarah berundur, disyaki terlibat dengan skandal kewangan bernilai 23 juta Euro.
32. Islam agama syumul, menyeluruh lagi sempurna. Kehidupan dunia berkesinambungan dengan kehidupan akhirat seperti yang diperingatkan dalam firman Allah Subhanahu Wata'ala, ayat 39 Surah Al-Mu'min bermaksud:
"...,sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (sementara) dan sesungguhnya akhirat itulah negeri yang kekal."
Hadis Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam yang diriwayatkan oleh Bazzar, Thabrani-Al-Targhib bermaksud:
"Tidak dapat bergeser kaki seorang hamba pada hari kiamat, sehingga ia ditanya empat perkara: Tentang umurnya, untuk apa dihabiskan? Tentang masa mudanya, untuk apa ia gunakan? Tentang ilmunya, apakah ia mengamalkannya? Tentang hartanya dari mana ia dapat dan ke mana ia belanjakan?"
33. Islam menetapkan tanda aras yang tinggi untuk menghindarkan rasuah dengan menegaskan aspek integriti. Islam menegah keras perbuatan salah guna kuasa di kalangan mereka yang telah diamanahkan dengan jawatan dan kuasa. Abu Humaid Ibn Sa'd As-Saidi, meriwayatkan peristiwa di antara Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam dengan Ibn Al-Lutabiyyah yang Baginda lantik bertugas memungut zakat. Semasa Al-Lutabiyyah memungut zakat, beliau turut diberikan hadiah. Ketika menyerahkan kutipan zakat, Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam bertanya, bahagian yang beliau tidak serahkan. Al-Lutabiyyah memaklumkan, bahagian tersebut telah dihadiahkan oleh beberapa pembayar zakat kepadanya. Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam bertanya, adakah beliau akan diberikan hadiah, jika beliau tidak ditugaskan memungut zakat; Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam menganggap pemberian sedemikian diragukan, berkemungkinan menjadi pencetus kepada perbuatan rasuah, lalu menasihatkan agar ia dikembalikan kepada pemberi.
34. Al-Quran dan Sunah Rasul sarat dengan peringatan menegah ummah daripada melakukan rasuah. Umat Islam, pemimpin Islam dan negara Islam mempunyai cukup rujukan untuk memenuhi amanah dan tanggung jawab menuju Siratul Mustaqim ia itu "jalan lurus yang dipohonkan", menurut yang diseru dalam ayat 6 Surah Al-Fatihah. Jika ajaran Islam dihayati lalu diamalkan sepenuhnya, Negara Islam di bawah pimpinan umat Islam sewajibnya sifar rasuah.
35. Pada malam berlakunya peristiwa Isra Mi'raj, Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam melihat sekelompok manusia yang lidahnya digunting-gunting. Baginda bertanya, "Siapakah orang-orang itu?" Jibril Alai Hissalam menjawab, "Mereka adalah para mubaligh dari kalangan umat Mu yang tidak mengamalkan apa yang mereka dakwahkan." Firman Allah dalam ayat 44 Surah Al-Baqarah bermaksud:
"Mengapakah kamu suruh orang lain (mengerjakan) kebajikan sedang kamu melupakan diri (kewajipan) mu sendiri, padahal kamu membaca Al Kitab..."
36. Gambaran yang diperlihatkan semasa peristiwa Isra Mi'raj wajib dijadikan peringatan oleh setiap insan yang diamanahkan dengan tanggung jawab pimpinan, apatah lagi di kalangan mereka yang berikrar akan melakukan yang makruf dan menentang yang mungkar, supaya ikrar tidak tergantung dalam retorik.
37. Aspek Kedua: Cabaran menangani rasuah. Ternyata rasuah berlaku dalam setiap sistem pemerintahan dan dalam setiap negara. Kautilya ketika menghasilkan Arthashastra mengenal pasti 40 kaedah menyalah gunakan wang yang dilakukan oleh pegawai awam untuk kepentingan peribadi. Kautilya mencatakan:
"Just as it is impossible not to taste honey or the poison that finds itself at the tip of the tounge, so it is impossible for a government servant not to eat up, at least, a bit of the King's revenue. Just as a fish underwater cannot possibly be found out either as drinking or not drinking the water, so government work cannot be found out (while) taking money (for themselves)".
38. Transparacency International, menyatakan misi atau mission statement"
"(corruption) undermines good government, fundamentally distorts public policy, leads to the misallocation of resources and particularly hurts the poor. Controlling it is only possible with the cooperation of a wide range of stakeholders in the integrity system, including most importantly, the state, civil society, and the private sector."
39. Rasuah sering kali menjadi isu utama menyebabkan pemimpin dijatuhkan lalu diganti dengan yang baru. Setiap pemimpin yang diberikan amanah berikrar mahu memerangi rasuah. Undang-undang baru, digubal; undang-undang sedia ada, dipinda; pelbagai agensi dibentuk; rakyat dijanjikan dan harapan diberikan; tetapi jika undang-undang hanya berstatus dokumen bertulis, tidak dikuatkuasakan, ia tidak mungkin menjadi senjata berkesan untuk memberi kemenangan dalam medan perang menghadapi rasuah. Pelbagai agensi yang ditubuhkan tidak akan menjadi briged perang yang boleh mengibarkan bendera kemenangan jika medan memerangi rasuah dilakukan secara selektif.
40. Di kalangan negara Asia, Filipina memiliki instrumen pencegahan rasuah paling banyak, 7 undang-undang dan 19 agensi penguat kuasa. Presiden Ferdinand Marcos memperkenalkan lima Agensi Pencegah Rasuah yang baru dalam tempoh 21 tahun era pemerintahannya (1965 - 1986). Namun ia hanyalah kosmetik hiasan untuk melindungi wajah yang hodoh. Bumi dan langit Filipina sarat diselubungi mendung rasuah. Amalan rasuah memuncak semasa era pemerintahan Marcos; amalan kronisme berlaku secara berleluasa, sanak saudara dan kenalan rapat dilantik mengetuai pelbagai agensi; masing-masing lebih cenderung mengumpul kekayaan peribadi.
41. Ketika berucap di Perasmian Persidangan Pertubuhan Agensi Penguat Kuasa Anti Rasuah Antarabangsa pada 4 Oktober 2012, Perdana Menteri menegaskan azam dan usaha Kerajaan Malaysia untuk membasmi rasuah. Usaha membanteras rasuah ditetapkan sebagai salah satu daripada tujuh komponen Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP). Pelbagai langkah susulan telah dirintis termasuk penubuhan 14 mahkamah khas rasuah. Kajian Persepsi Keberkesanan Tindakan SPRM 2013, menunjukkan tahap keyakinan rakyat terhadap keberkesanan SPRM telah meningkat daripada 64 peratus ke 65.8 peratus; dan tahap sokongan masyarakat kepada SPRM turut meningkat daripada 86.4 peratus dalam tahun 2012 kepada 87.3 peratus dalam tahun 2013. Usaha-usaha terus dirintis untuk memperkemaskan undang-undang di samping meningkatkan kapasiti dan capability agensi penguat kuasa.
42. Undang-undang dan agensi penguat kuasa adalah instrumen yang perlu dilengkapi dengan program yang komprehensif lagi holistik. Memahami latar belakang pelaku rasuah akan memberikan kelebihan kepada para petugas untuk berupaya memberikan preskripsi dan diagnostik yang tepat. Secara simplistik, pelaku rasuah terbahagi kepada dua kategori. Kategori pertama, adalah kumpulan yang terdesak, terpaksa melakukannya kerana kesempitan hidup, ketidakupayaan mengimbangkan gaji untuk membiayai keperluan asas harian.
43. Data Laporan Model Ekonomi Baru menunjukkan, 80 peratus isi rumah di negara ini berpendapatan kurang 5,000 ringgit sebulan; 40 peratus isi rumah berpendapatan kurang 2,000 ringgit sebulan; 78.6 peratus penyimpan KWSP berpendapatan kurang 3,000 ringgit sebulan. Tahap keupayaan pelaburan di kalangan majoriti Bumiputera boleh dimanifestasikan dengan data yang menunjukkan 75 peratus penabung Amanah Saham Bumiputera memiliki purata tabungan hanya 611 ringgit seorang. Permintaan Presiden CUEPACS agar bank membekalkan lebih banyak nota sepuluh ringgit dalam mesin ATM, memberikan petanda bahawa pada masa tertentu, sebilangan pemilik kad ATM, tidak pun mempunyai baki minimum 50 ringgit dalam akaun masing-masing.
44. Data menyentuh agihan sangat membimbangkan dalam usaha gigih Negara mahu mencapai taraf Negara Maju dengan sasaran pendapatan per kapita 48,000 ringgit pada tahun 2020. Agihan tidak seimbang dan jurang pendapatan yang lebar akan mewujudkan persekitaran yang boleh menyuburkan budaya petty corruption. Apakah opsyen yang ada di kalangan Pegawai Awam mahupun Swasta jika gaji tidak dapat menampung perbelanjaan hidup harian? Majoriti yang berada dalam kategori ini, sebenarnya, tidak mahu melakukan rasuah. Ada yang melakukan kerja kedua, berniaga di pasar malam, memandu teksi secara sambilan, mengadakan kelas tuisyen, menjual kuih, mengambil upah menjahit, melibatkan diri dalam direct selling, serta melakukan pelbagai kerja sampingan untuk mencukupkan pendapatan. Akibatnya mereka tidak cukup rehat - mereka keletihan, menyebabkan mereka menjadi petugas yang lesu ketika bertugas lalu menjejaskan produktiviti.
45. Inilah hakikat senario semasa di dalam negara. Bilangan yang tergolong dalam kategori ini akan semakin bertambah jika formula berkesan tidak diperkenalkan terutama memberikan fokus kepada aspek-aspek perumahan, makanan, pengangkutan serta khidmat kesihatan dan rawatan perubatan yang kosnya semakin hari semakin meningkat. Negara tidak boleh berada dalam minda penafian akan realiti sebenar yang sedang berlaku. Ia cabaran besar kepada negara. Ia bukan sakit tekak yang bersifat sementara, boleh diubati dengan gula-gula strepsil. Ia penyakit sosial yang serius, memerlukan rawatan intensif daripada doktor dan pakar bedah sosial, memerlukan formula perubatan dari farmasi sosial yang berupaya merangka dasar sosial yang komprehensif lagi holistik untuk dilaksanakan.
46. Pelaku rasuah kategori kedua terdiri dari kalangan yang bersifat tamak - bersifat haloba; secara umumnya daripada kumpulan atasan, berjawatan penting, bernafsu tinggi, mengamalkan gaya hidup mewah - gaya hidup megah. Pelaku rasuah dalam kategori ini amat licik, melakukan rasuah secara sofistikated, bijak membersihkan tangannya daripada sebarang lumpur kekotoran, tidak mudah untuk disabitkan, di samping sebahagian mereka mempunyai hubungan intim dengan orang-orang atasan.
47. Usaha memerangi rasuah wajib memberi fokus kepada dua aspek. Aspek pertama LANGKAH PUNITIF YANG TEGAS DAN TIDAK SELEKTIF, dilaksanakan tanpa gentar - tanpa pilih kasih; aspek kedua: LANGKAH PREVENTIF UNTUK MENGUKUHKAN INTEGRITI. TEGAS dan TIDAK SELEKTIF adalah dua kata kunci penting yang wajib dijadikan prinsip. Negara mempunyai contoh-contoh yang boleh dijadikan tanda aras dan rujukan, dijadikan sumber inspirasi dan sumber kekuatan untuk berani bertindak.
48. Majistret pertama yang dilantik di Pulau Pinang lebih 200 tahun lalu pada era pemerintahan kolonial, dipecat kerana melakukan rasuah. Pada era pimpinan Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra (Almarhum), Menteri Pelajaran merangkap Menteri Kesihatan pada tahun 1964, Abdul Rahman Talib (Allahyarham) kalah dalam perbicaraan kes sivil melawan S.P. Seenivasagam, memberi implikasi Abdul Rahman Talib terlibat dengan rasuah. Abdul Rahman Talib (Allahyarham) mengundur diri dari menjadi anggota Jemaah Menteri.
49. Sokongan terhadap parti pemerintah, PERIKATAN, merosot dalam pilihan raya umum 1969. Tun Abdul Razak (Allahyarham) peka membaca mesej rakyat. Tun Abdul Razak meneliti isu-isu utama yang dijadikan peluru menyerang PARTI PERIKATAN dan Kerajaan semasa kempen pilihan raya; lalu segera bertindak melakukan langkah pembetulan. Imej kerajaan berkaitan rasuah ditangani tanpa bertangguh. Tun Abdul Razak tidak memberi perlindungan kepada anggota pentadbiran dan ahli parti yang terpalit dengan rasuah. Atas nasihat Dato' Harun Hashim, MAJLIS GERAKAN NEGARA (MAGERAN) melalui Ordinan Darurat No. 22, memberikan kuasa kepada Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), membekukan aset orang yang disyaki melakukan rasuah.
50. Menteri Besar Perak, Dato' Ahmad Said didedahkan memiliki hampir satu perpuluhan dua juta ringgit (1,138,403.00 ringgit); tiga ratus tiga puluh ribu ringgit (329,979.00 ringgit) disita kerana didapati diperoleh secara rasuah. Dato' Ahmad Said meletakkan jawatan pada Februari 1970. Pada Julai 1970, Menteri Besar Terengganu, Ibrahim Fikri diarah bercuti dua bulan; selepas itu beliau digantikan dengan Mahmood bin Sulaiman. Di peringkat Persekutuan, Khaw Kai Boh diarah berundur dari menjadi anggota jemaah Menteri pada September 1970.
51. Pada era kehebatan Roma, pemerintahan diktator diizinkan oleh undang-undang untuk dilantik bagi tempoh enam bulan dalam situasi negara menghadapi krisis; selepas itu kuasa hendaklah dikembalikan kepada rakyat. Cincinnatus, seorang Jeneral Bersara, yang telah diserahkan kuasa memerintah secara diktator adalah contoh pemimpin Roma yang tidak gilakan pangkat mahupun sanjungan. Cincinnatus dilantik memimpin semasa Roma menghadapi krisis; setelah Roma kembali tenteram, walaupun rakyat Roma memohon agar dia terus memimpin, Cincinnatus, menolaknya, dan mengembalikan kuasa kepada rakyat. Machiavelli merujuk sifat sedemikian sebagai ciri mulia; sifat seorang pemimpin yang memiliki kekebalan serta daya tahan daripada melakukan rasuah kerana tidak haloba untuk mengekalkan kuasa. Sifat terpuji Cincinnatus, sebenarnya menjelma dalam batang tubuh Tun Abdul Razak yang mindanya tidak boleh dirasuah dengan sifat tamak mempertahankan kuasa. Sebagai Pengarah MAGERAN, pasca tragedi 13 Mei, Tun Abdul Razak memiliki kuasa mutlak. Apabila negara kembali aman, meskipun dipohon untuk tidak membubarkan MAGERAN, Tun Abdul Razak memilih untuk mengembalikan kuasa kepada institusi rakyat; sistem demokrasi berparlimen dihidupkan semula.
52. Pada era pimpinan Dato Hussein Onn (Allahyarham), Dato' Harun Idris (Allahyarham) pada tahun 1976 disabitkan kesalahan rasuah. Dato' Harun dibicarakan di hadapan Paduka Ayahanda Beta, ketika itu Hakim Raja Azlan Shah. Hakim Raja Azlan Shah (kini Almarhum Al-Maghfurlah) menghadapi tugas berat. Tertuduh, bukan sahaja mempunyai sokongan politik tetapi seorang individu yang Baginda kenal. Ketika menjatuhkan hukuman antara lain Hakim Raja Azlan Shah menyatakan:
Petikan:
" It is painful for me to have to sentence a man I know. I wish it were the duty of some other judge to perform that task.
To me this hearing seems to re-affirm the vitality of the rule of law. But to many of us, this hearing also suggests a frightening decay in the integrity of some of our leaders.
It has given horrible illustrations of Lord Acton's aphorism ‘power tends to corrupt, and absolute power corrupts absolutely', and has focussed concern on the need of some avowed limitations upon political authority.
..the law is no respector of persons. Nevertheless it will be impossible to ignore the fact that you are in a different category from any person that I have ever tried. It would be impossible to ignore the fact that, in the eyes of millions of our countrymen and women, you are a patriot and a leader. Even those who differ from you in politics look upon you as a man of high ideals. You had every chance to reach the greatest height of human achievement. But half-way along the road, you allowed avarice to corrupt you. It is incomprehensible how a man in your position could not in your own conscience, recognise corruption for what it is. In so doing, you have not only betrayed your party cause, for which you have spoken so eloquently, but also the oath of office which you have taken and subscribed before your Sovereign Ruler, and above all the law of which you are its servant".
53. Penghakiman tersebut mengandungi bukan sekadar kata-kata mensabitkan kesalahan dan menjatuhkan hukum, ia turut mengandungi komponen nasihat, teguran, peringatan dan amaran, agar dijadikan teladan. Tentulah berat bagi lidah Hakim Raja Azlan Shah untuk menzahirkan ungkapan kata-kata sedemikian keras - sedemikian tegas terhadap tertuduh yang turut Baginda kenali; tetapi Hakim Raja Azlan Shah perlu lebih mengutamakan kedaulatan undang-undang dan kepentingan umum dari batang tubuh seorang kenalan.
54. BERTINDAK SECARA TEGAS LAGI TIDAK SELEKTIF bukan satu opsyen, tetapi satu kemestian. ALLAH Subhanahu Wata'ala telah memperlihatkan contoh panduan. Nabi Adam Alaihissalam adalah ciptaan ILAHI, dimuliakan, dikurniakan status tinggi hingga para malaikat diperintahkan sujud kepadanya. Namun apabila peraturan gagal dipatuhi, hukuman dilaksanakan oleh ILAHI secara tegas lagi segera; Nabi Adam Alaihissalam diperintah keluar dari syurga.
55. Ayat 135 surah An-Nisaa, bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang senantiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana ALLAH, sekalipun terhadap diri mu sendiri ataupun ibu bapa dan kaum kerabat mu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin, (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran), kerana Allah lebih mengetahui keadaan keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu, sehingga kamu tidak berlaku adil. Jika kamu memutarbelitkan, atau enggan menjadi saksi, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala apa yang kamu lakukan."
56. Demikian tegasnya prinsip melaksanakan keadilan di dalam Islam yang tidak sama sekali memberi sebarang keistimewaan atau pengecualian kepada sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan baik diri sendiri, teman rapat, kaum keluarga mahupun ibu bapa. Perintah yang terkandung di dalam ayat tersebut diperkukuhkan lagi dengan salah satu hadis Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam yang bermaksud:
" Sesungguhnya telah binasa orang-orang yang sebelum kamu ia itu sekiranya yang mencuri itu yang berpangkat tinggi, lalu mereka dibiarkan sahaja; tetapi jika yang mencuri itu mereka yang lemah, lalu dengan segera dijatuhkan hukuman ke atasnya. Demi Allah, yang aku di dalam kekuasaan Nya, kalaulah Fatimah binti Muhammad mencuri, nescaya ku kudungkan tangannya."
57. Aspek preventif memerlukan usaha meningkatkan integriti agar insan dibina dengan ketahanan dalaman, tidak terpengaruh oleh dorongan nafsu. Sifat tamak merupakan faktor yang sering kali menjerumuskan manusia melakukan dosa. Islam menganjurkan insan untuk mengamalkan sifat kesederhanaan, menjauhkan diri daripada sifat bermegah dan bermewah; tercatat peringatan ILAHI dalam Kisah Nabi Hud Alaihissalam, pada ayat 128 Surah Asy-Syu'araa, bermaksud:
"Apakah kamu mendirikan pada tiap-tiap tanah tinggi bangunan untuk bermewah-mewah dan memperlihatkan kekayaan"
58. Ketika ALLAH Subhanahu Wata'ala murka kepada Nabi Adam Alaihissalam kerana terpengaruh dengan godaan Iblis, Nabi Adam Alaihissalam berada di dalam kesenangan syurga, dilimpahi nikmat yang dijamin oleh Allah Subhanahu Wata'ala seperti maksud yang terkandung dalam ayat 118 dan 119 Surah Thaahaa,
"tidak akan kelaparan, tidak akan merasa dahaga, tidak akan telanjang, tidak akan ditimpa panas matahari",
Nabi Adam Alaihissalam tertipu dengan godaan Iblis. Bahawa ALLAH telah memberi peringatan dalam ayat 117 Surah tersebut, "iblis adalah musuh". Baginda ditewaskan musuh dengan janji palsu iblis untuk memberikan kuasa, janji palsu "pengekalan kuasa" seperti yang terkandung dalam ayat 120 surah berkaitan yang bermaksud:
"Lalu syaitan membisikkan fikiran jahat kepadanya, dengan berkata: ‘Hai Adam, mahu kah aku tunjukkan kepada kamu pohon khuldi dan kerajaan yang tidak akan binasa."
59. Betapa dinding ketahanan iman ditembusi kerana tarikan untuk mendapatkan kuasa. Nafsu gilakan kuasa nyata boleh menewaskan kewarasan akal. Memperkukuhkan iman adalah benteng pertahanan yang wajib dibina untuk meningkatkan daya tahan insan daripada tergelincir dengan tarikan kebendaan - tarikan kemewahan serta tarikan kepada pangkat dan tarikan kepada kuasa. Insan wajib diperingatkan dengan firman Allah yang terkandung dalam ayat 35 Surah Al-Anbiyaa bermaksud:
"Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan."
60. David Owen, dalam karyanya, ‘The Hubris Syndrome: Bush, Blair and the Intoxication of Power', melakukan analisis perlakuan rasuah daripada lensa seorang doktor perubatan; Owen menyifatkan perlakuan rasuah yang berlaku kerana gilakan kuasa adalah satu penyakit mental. Mahatma Ghandi memerhatikan bahawa kuasa membuatkan manusia menjadi tuli dan buta; lalu keputusan dilakukan berdasarkan naluri; kepuasan peribadi mengatasi kepentingan awam; sebarang pendapat yang bercanggah, meskipun datang daripada kenalan rapat, dianggap bersuara musuh - dianggap mengancam kedudukannya; lalu pelbagai tindakan dilakukan untuk menghapuskan apa jua tentangan.
61. Bahawa kehidupan dunia adalah ujian. Pangkat dan jawatan adalah ujian. Amanah dan tanggung jawab adalah ujian. Menegak yang makruf dan menentang yang mungkar adalah satu tuntutan. Setiap janji yang diungkapkan, setiap perkara yang dilakukan atau tidak dilakukan akan diperiksa pada hari kebangkitan, di Mahkamah Rabbuljalil di Padang Mahsyar; ketika itu tidak ada Peguam Bela untuk membela dosa yang telah dilakukan, begitu juga amanah yang gagal disempurnakan.
62. Memerangi rasuah adalah jihad, yang perlu disemaikan di hati sanubari insan. Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam bersabda:
"Dalam diri manusia ada segumpal ‘daging' apabila ‘daging' itu baik maka baiklah akhlak orang itu; apabila ‘daging' itu buruk, maka buruklah akhlak orang itu",
‘DAGING' itu adalah QALBU, ia itu HATI. Isikan HATI manusia dengan keyakinan ILAHIYAH, keyakinan yang selaras dengan ajaran yang terkandung di dalam Al-Quran dan Sunah Rasul agar ALLAH Subhanahu Wata'ala menyempurnakan akal dan iman insan, teguh dan tidak tergoyang dengan godaan Iblis. Bertawakallah kepada ALLAH Subhanahu Wata'ala dalam memenuhi tugas berat lagi mulia ini. Berpeganglah kepada semangat saling menegur dan saling memperingati selaras dengan seruan yang terkandung dalam Surah Al-Ashr:
"Demi masa; sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian; kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menepati kesabaran."
63. Semoga ALLAH Subhanahu Wata'ala memberikan petunjuk dan kekuatan kepada setiap anggota Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia, gigih menyempurnakan tugas berat membasmi rasuah. Semoga setiap niat ikhlas dan tugas yang dilaksanakan secara jujur mendapat hidayat dan ganjaran ILAHI.
Wabillahi taufik walhidayah
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment